Thursday, June 17, 2010

PENTAFSIRAN SURAH aL-DUHA AYAT 6-11 (3)



Allah Lindungi Keselamatan Nabi-Nya

أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَى* وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَى * وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَى* فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ* وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ* وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ *
Terjemahan


[93: 6] Bukankah dahulunya engkau seorang anak yatim paitu, lalu Allah memberi perlindungan kepadamu?

[93: 7] Dan bukankah Dia mendapati kamu dahulu tiada pedoman, lalu Dia memberi hidayat kepadamu?

[93: 8] Dan bukankah Dia mendapati engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan?

[93: 9] Oleh itu, janganlah engkau hinakan anak yatim.

[93: 10] Dan janganlah herdikkan peminta (bantuan).

[93: 11] Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan syukur kepadaNya).


Munasabah Ayat

Setelah menyatakan Allah akan memberikan nikmat-nikmat yang besar kepada Nabi saw di dunia dan Akhirat. Pemberian ini bukan sesuatu yang baru, ia berlaku sebelum menjadi rasul lagi. Nikmat-nikmat sebelum manjadi Rasul dinyatakan dalam ayat-ayat berikut:

Allah Melindungi Keselamatan Nabi-Nya

(93: 6) Allah merlindungi keselamatan Nabi saw berlaku sejak kecilmnya lagi. Nabi dilindungi datuk dan bapa saudaranya Abu Talib?.

* أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَى

[93: 6] Bukankah dahulunya engkau seorang anak yatim paitu, lalu Allah memberi perlindungan kepadamu?

Rasulullah saw dibesarkan dalam keadaan yatim, bapanya meninggal dunia ketika dia dalam kandungan ibunya, kemudian ibunya pula turut meninggal ketika dia berusia enam tahun, dia merasai kesepian dalam hidupnya sebagaimana kebiasaan kanak-kanak yang ditinggal ibu dan bapa. Kemudian Allah menjadikannya sebagai tempat datuknya Abd al-Muttalib menumpahkan kasih sayang. Selepas kewafatan datuknya, Abu Talib pula mengambil alih penjagaannya ketika dia bereusia lapan tahun.

Kehendak Allah telah menentukan kehidupan Nabi saw sebagai anak yatim, beliau dipelihara oleh Allah, tanpa dipengaruhi campur tangan dari pihak luar yang biasanya membantutkan kemurnian pendidikan. Kehidupan ini membentuk keperibadian Nabi saw dengan kayakinan dan jati diri, dia mengetahui erti hidup ini lebih awal tatkala menghadapi beberapa ujian yang besar pada usia yang begitu awal seperti kematian ibu, diikuti dengan kematian datuknya yang menggantikan tempat bapanya dan kemudian meninggal dunia ketika dia berusia lapan tahun.

Ujian-ujian ini melahirkan Nabi sebagai seorang yang lembut hati kerana perasaan dukacita itu sendiri merupakan proses pembentukan peribadi yang membebaskannya dari kekerasan dan kesombongaan dan seterusnya melahirkan insan yang terpuji, lamah lembut dan jati diri.

Dari ujian menjadi sorang anak yatim kepada ujian menjadi seorang Nabi dan pendakwah yang dipilih Allah untuk memimpin umat manusia, Nabi saw menghadapi pelbagai cabaran, terutama dari kaum keluarganya sendiri yang mengatur berbagai-bagai helah untuk melumpuhkan gerakan dakwa yang dipimpin Nabi saw, tetapi segala-galanya gagal sehingga mereka melanti beberapa pemimpin Quraisy datang mengadap Abu Talib dan meminta beliau menggunakan budi bicaranya untuk menasihati Nabi supaya menghentikan kegiatan dakwahnya dengan alasan memelihara perpaduan kaum Quraisy. Abu Talib menyampaikan hasrat mereka kepada Nabi, tetapi Nabi tetap dengan pendiriannya, sambil menyatakan:

وَاَللّهِ لَوْ وَضَعُوا الشّمْسَ فِي يَمِينِي وَالْقَمَرَ فِي يَسَارِي، مَا تَرَكْتُ هَذَا الْأَمْرَ حَتّى يُظْهِرَهُ اللّهُ أَوْ أَهْلَكَ فِي طَلَبِهِ[1]
Terjemahan: “Demi Allah! Andainya mereka letakkan matahari di kananku, bulan di kiriku, aku tidak akan lepaskan tanggungjawab ini, hingga aku berjaya atau binasa kerananya”
Mendengar jawapan ini, Abu Talib dengan semangat keperwiraannya memberi jaminan keselamatan terhadapnya, beliau sedia pertahankan Nabi dan tidak akan membiarkannya menjadi mangsa kaum Quraisy. Untuk itu beliau mengungkapkan beberapa bait syair:

وَاَللّهِ لَنْ يَصِلُوا إلَيْك بِجَمْعِهِمْ * حَتّى أُوَسّدَ فِي التّرَابِ دَفِينَا
فَاصْدَعْ بِأَمْرِك مَا عَلَيْك غَضَاضَةٌ* وَأَبْشِرْ وَقَرّ بِذَاكَ مِنْك عُيُونَا
وَدَعَوْتنِي وَعَرَفْت أَنّك نَاصِحِي * وَلَقَدْ صَدَقْت ، وَكُنْت ثَمّ أَمِينَا
وَعَرَضْت دِينًا قَدْ عَرَفْت بِأَنّهُ *مِنْ خَيْرِ أَدْيَانِ الْبَرِيّةِ دِينَا
لَوْلَا الْمَلَامَةُ أَوْ حِذَارُ مَسَبّةٍ لَوَجَدْتنِي سَمْحًا بِذَاكَ مُبِينَا[2]

Terjemahan:
Demi Allah mereka tidak akan mampu mengganggu keselamatanmu,
selagi aku masih hidup.
Teruskan dakwahmu dengan hati yang tenang, tiada perkara perlu
engkau bimbangi
Engkau menyeruku kepada Islam, aku percaya engkau jujur, engkau benar dan engkau
eramanah.
Engkau menyeruku memeluk Islam, aku yakin itulah agama yang benar dan terbaik antara
agama anutan manusia.
Andainya tidak kerana adanya cercaan dan kebimbangan dikata orang, nescaya sikapku jelas
bersamamu.

Itulah pendirian seorang anak yatim yang dibesarkan dalam perlindungan Allah dan itulah sikap seorang bapa saudara yang bermarwah dan bertanggung jawab, tetapi menyi8mpang dari jalan hidayat.
(93: 7) Nabi saw dilahirkan dalam masyarakat jahiliyah yang penuh dengan kepercayaan karut, baginda mencari-cari jalan hidayat, baginda tidak mengetahui bagaimana dan di mana jalan yang harus diikutinya, lalu Allah tunjuknya supaya bersembunyi di gua Hira dan mengasingkan diri daripada kaumnya dengan menumpukan sepenuh masa kepada ibadat dan penjernihan fikiran.

* وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَى

[93: 7] Dan bukankah Dia mendapati kamu dahulu tiada pedoman, lalu Dia memberi hidayat kepadamu?

Baginda mencari-cari hinggalah wahyu diturunkan kepadanya, maka tenanglah hatinya dan jernihlah fikirannya. Dengan pedoman yang ditunjuk kepadanya, baginda mendapati akidah dan pegangan yang dianuti kaumnya terlalu rendah dan tidak wajar diikuti orang yang waras fikirannya. Baginda tidak mengetahui bagaimana untuk menyelamatkan kaumnya itu hinggalah wahyu al-Qur`an diturunkan:

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِّنْ أَمْرِنَا مَا كُنتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَكِن جَعَلْنَاهُ نُورًا نَّهْدِي بِهِ مَنْ نَّشَاء مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيم [3]

Terjemahan: Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu roh dari urusan Kami (al-Qur`an). Sebelum ini engkau tidak mengetahui apakah kitab al-Qur`an dan tidak pula mengetahui apakah iman, tetapi Kami menjadikan al-Qur`an itu nur yang terang dan dengannya Kami memberi hidayat kepada siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba kami, dan sesungguhnya engkau benar-benar berusaha untuk memberi hidayat kepada jalan yang lurus.

Setelah mendapat bimbingan wahyu, maka tegaklah satu bentuk kehidupan yang menghubungkan dirinya dengan Allah.

(93: 8) Rasulullah saw dilahirkan daripada suku Bani Hasyim yang terkenal dengan kemuliaan dan kedudukan tinggi dalam masyarakat, tetapi sederhana harta kekayaannya, terutama Abu Talinb yang mengambil tanggungjawab memelihara Nabi saw.


وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَى*

[93: 8] Dan bukankah Dia mendapati engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan?

Suku Bani Hasyim ini tidaklah kaya, terutama Abu Talib yang merupakan ketua Bani Hasyim. Namun Allah dengan telah mentakdirkan rezekinya bertambah murah, lalu seorang wanita yang terkaya dari kalangan Quraisy memeluk Islam dan berkahwin dengan baginda, akhirnya baginda juga turut sama menjadi kaya menerusi perniagaan bersama isteri tersayangnya Khadijah ra

Allah menjadikan perkahwinan Nabi saw dengan Khadijah sangat serasi untuk berkongsi hidup. Khadijah seorang wanita yang berharta, jujur dan setia kepada suaminya serta sedia meletakkan harta kakayaannya di bawah jagaan Rasulullah saw dan untuk tujuan menyebarkan Islam.

(93: 9) Sesuai dengan peringatan Allah yang menyebut kisah baginda diberi perlindungan semasa hidup yatim dan kisah baginda diselamatkan dari kemiskinan, maka Allah mengarahkan baginda Rasulullah saw agar memberi perlindungan kepada anak-anak yatim.

فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ*

[93: 9] Oleh itu, janganlah engkau hinakan anak yatim.

Sesungguhnya tabiat merendahkan anak-anak yatim itu satu penghinaan terhadap mereka. Masyarakat perlu bangun memperkasakan kelemahan ini dengan membelai kasih terhadap mereka, supaya ketiadaan ibu bapanya tidak menyebabkannya hilang kepercayaan terhadap dirinya sendiri dan menyebabkannya terpaksa menghadapi berbagai-bagai penyakit jiwa, akhirnya mereka akan menjadi seorang warga yang rendah akhlak dan sampah masyarakat.

Perkataan تَقْهَرْ diambil daripada asalnya القَهْرُ ertinya paksa atau gagahi. Penggunaan perkataan ini di sini membawa dua erti: Pertama, Serahkan hak-hak anak yatim itu kepadanya. Kedua, jangan mengambil hak-hak mereka secara kekerasan seperti memaksa, salah guna kuasa dan sebagainya.

Islam menutamakan tugas ini dan mempertanggungjawabkan kepada masyarakat supaya mengambil berat terhadap kepentingan mereka, Rasulullah saw bersabda:

أَنَا وَكَافِلُ الْيَتِيمِ فِي الْجَنّةِ هَكَذَا. وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ والْوُسْطَى وَفَرَّجَ بَينَهُمَا شَيئًا [4]

Terjemahan: Aku dan penjamin anak yatim di syurga bagaikan ini. Baginda isyaratkan dengan anak-anak telunjuk dan jari hantu sambil merenggankan antara kedua-duanya.

(93: 10) Sebagaimana anak-anak yatim, peminta juga hendaklah dilayani.

وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ*

[93: 10] Dan janganlah herdikkan paminta (bantuan).

Jangan herdik peminta, maksudnya peminta sedekah, harta dan barang-barang kepeluan, jangan biarkan mereka kecewa tanpa mendapat kekayanan biarpun sedikit. Layanilah mereka dan tunaikan hajat yang mereka mohonkan pertolongan.

Sesetengah mufassirin menafsirkan ayat ini dengan lebih umum, meliputi orang-orang miskin dan peminta barang-barang dan peminta pengetahuan. Maksudnya layanilah semua hajat manusia, sama ada mereka meminta harta dan sebarang bantuan.

Sesetengah ahli tafsir mengkhususkan peminta di sini kepada peminta ilmu pengetahuan sahaja kerana perkataan peminta dalam al-Qur`an tidak pernah disebut dengan erti minta harta. Lazimnya ia disebut fakir atau miskin.

Meskipun Islam melarang meminta-minta dan menganggapnya sebagai hina dan menjatuhkan air muka, namun apabila ada orang meminta, maka jangan sekali hajat mereka itu di hampakan.

(93: 11) Rezeki merupakan makanan jasad, bersyukur terhadapnya merupakan makanan roh. Sesiapa tidak bersyukur berertinya rohnya sentiasa lapar. Bagi maksud supaya roh sentiasa kenyang dan puas, Allah menyuruh supaya kita bersyukur dengan menyebutkan nikmat yang kita terima.

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ *
[93: 11] Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan syukur kepadaNya).

Berlemah lembut terhadap anak-anak yatim dan melayani hajat orang miskin dengan memberi sesuatu kepadanya atau dengan ucapan yang manis adalah tanda kesyukuran seseorang kepada nikmat Allah. Bagaimana kesyukuran memwa makna yang lebih besar lagi. Menyebut-nyebut nikmat Allah terutama nikmat iman dan Islam merupakan di antara cara bersyukur terhadap Allah yang mengurniakan nikmat itu. Dengan cara ini akan lebih sempurna lagi kesyukuran kepada Allah.

Bersyukur terhadap nikmat boleh dilakukan dengan berbagai-bagai cara, antaranya::

(a) Mengakui menerima nikmat Allah serta menyatakannya kepada orang ramai supaya orang tidak menuduhnya sebagai miskin sedangkan dia ada mempunyai sesuatu yang dianugrahkan kepadanya. Cara ini sesuai dengan orang yang kaya dengan tiba-tiba seperti menndapat pampasan, ganti rugi yang besar kadarnya dan sebagainya.

(b) Syukur kepada pihak yang memberikan sesuatu kepadanya, dengan mebelanjakan pula hartanya kepada orang lain. Dalam hadis menyebutkabn:

مَنْ لاَ يَشْكُرِ النَّاسَ لَمْ يَشْكُرِ اللهَ[5]
ِ
Terjemahan: Orang yang tidak bersykur kepada manusia dia tidak bersyukur juga kepada
Allah.

Maksudnya: Allah tidak menerima kesyukuran hamba yang berlaku ihsan kepada-Nya sehingga dia bersyukur terhadap ihsan orang kepadanya.

(b) Memperlihatkan rezekinya kepada orang sekira-kira dapat dilihat pada cara hidupnya serta tidak pula bakhil terhadap. Saygia bagi mereka yang mempunyai kelapangan harta benda supaya sedar bahawa pada harta milknya, terdapat sebahagiannya hak kepunyaan orang-orang miskin.

Pengajaran dan Saranan

1: Allah mengingatkan kepada Rasulullah saw kepada kasih sayang Allah kepada dirinya dari permulaan hidupnya lagi supaya dia selalu mengenang budi baik dan limpah kurnia Allah yanmg selalu dinikmatinya.

2: Allah mengingatkan Nabi Muhammad saw dengan kemiskinannya pada masa yang lalu, kemudian Allah kayakannya dengan sikap memada dengan apa yang ada, di samping mengayakannya dengan usaha perdagangan dan dengan harta isterinya Khadijah ra.
.
3: Mengingatkan Nabi saw supaya melindungi hak-hak orang yang lemah dan miskin dengan menghulurkan bantuan kepada mereka.

4: Menyebut-nyebutkan nikmat anugrah Allah merupakan salah satu jalan bersyukur. Cara ini juga boleh menghapuskan rasa takbur dan besar diri dengan kekayaan dan kesenangan.




[1] Muhammad al-Khadari bik, Nur al-Yaqin, ms 35. Htpp://Sirah,al-Islam.Com (29/5/2010 Sabtu)
[2] Ibid.
[3]al-Syura: 52.
[4] Bukhari, al-Talaq: al-Li`an, hadis. 5304 Muslim al-Zuhd: al-Ihsan ila al-Armalah, hadis 2983 daripada Sahl ibn sa`d al-Sa`idi.
[5] Abu Dawud, al-Adab: Fi shukr al-Ma`ruf, hadith (4177) Ahmad, bilangan (20836) daripada al-Asy`ath ibn Qays..

No comments: