Saturday, July 24, 2010

Hukum Menikmati Keindahan Haiwan Perhiasan

SOALAN:

Saya seorang peminat ayam serama, segala jenis burung dan haiwan perhiasan. Saya membiak dan menjualnya kepada peminat-peminatnya. Di sini saya ingin kemukakan dua soalan berikut:

1. Bolehkah saya pelihara burung dan mengurungnya dalam sangkar dengan diberi makan minum dan kawalan keselamatannya yang cukup?

2. Bolehkah saya menjual burung-burung perhiasan, ayam serama dan ayam laga yang saya biakkan itu pada harga yang agak tinggi, iaitu bergantung pada kecantikan yang disukai peminatnya? Apa hukum perusahaan ini dari perspektif Islam? - ISMAIL, Kota Bharu.

JAWAPAN:

Sebelum saya memberi maklum balas berhubung soalan di atas, sama ada harus atau tidak harus memelihara ayam serama, burung hiasan dan sebagainya, izinkan saya menyediakan suatu mukadimah yang menerangkan kedudukan di bumi ini terlebih dahulu, dengan menumpukan sedikit perhatian kepada Adam alaihissalam sebagai insan pertama dan bapa kepada semua manusia.

Insan adalah makhluk Allah yang istimewa, ia dimuliakan dalam suatu majlis tiupan roh yang dijemput hadir para malaikat dan iblis, lalu mereka semua diperintah Allah supaya sujud kepada makhluk ini. Semua sujud, kecuali iblis yang takbur dengan kejadian sendiri.

Penciptaan insan yang diperintah sujud kepadanya itu berbeza sekali dengan penciptaan malaikat dan iblis, kerana penciptaan makhluk ini adalah gabungan antara tiga komponen utama, iaitu roh, badan kasar dan badan halus. Setiap satu daripadanya mempunyai kehendak dan keperluan sendiri yang wajid dipenuhi.

Badan kasar mempunyai keperluannya sendiri, ia perlukan makan, minum, pakai, berkemahuan seks dan sebagainya. Roh juga ada keperluannya yang terdiri daripada ibadat, amal dan aktiviti-aktiviti kerohanian. Islam mewajibkan umatnya supaya melayani semua keperluan ini dengan adil. Sehubungan makan minum, Allah berfirman yang bermaksud: Makan dan minumlah kamu dan jangan pula kamu melampau-lampau. (al-A'raf: 31).

Melayani keperluan roh juga hendaklah dengan sederhana, tanpa berlebihan. Baginda rasulullah s.a.w. pernah mendengar berita Abdullah ibn Umar yang keterlaluan dalam ibadatnya, lalu menasihati beliau supaya tidak keterlaluan, iaitu melalui sabdanya yang bermaksud: Wahai Abdullah! Bersederhanalah, kerana jasad kamu juga mempunyai hak, mata kamu juga mempunyai hak, isteri kamu juga mempunyai hak. Layanilah hak masing-masing (Jami'al-Usul, 1/297 bilangan 87).

Jika roh dan badan kasar mempunyai hak yang wajib dilayani dengan adil. Bagaimana pula dengan keperluan badan halus atau yang disebutkan dengan istilah falsafah dengan al-nafs al-insaniyyah (jiwa manusia) yang memerlukan kepuasan pada semua perkara, sama ada yang dilihat, disentuh, dirasa, didengar dan difikir.

Menikmati keindahan pada semua perkara merupakan makanan yang diperlui badan halus atau jiwa manusia. Badan ini tidak akan mencapai tahap kebahagiaannya dengan sempurna tanpa persekitaran yang bersih, indah dan menyegarkan. Jiwa yang hidup dalam suasana yang menakutkan, persekitaran yang ngeri dan bising, akan melahirkan manusia yang keras hati dan bertabiat besar. Memang jiwa yang bersih, cintakan kata-kata yang sopan ketika berbicara, pemandangan yang indah ketika bergerak dan tindak-tanduk yang lemah lembut ketika bekerja.

Berpandukan mukadimah ini, saya berpendapat, ayam serama dan burung-burung hiasan yang saudara bela dan niaga itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam, kerana ajaran ini tidak menentang perhiasan yang dinikmati oleh jiwa. Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad! Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkannya untuk hamba-hamba-Nya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakannya (al-A'raf: 32).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Kuda, baghal dan keledai dijadikan untuk kamu menungganginya dan sebagai perhiasaan (al-Nahl: ayat 8). Ayat ini memberi maklum bahawa Allah s.w.t. menjadikan haiwan, tumbuh-tumbuhan sebagai perhiasaan yang harus dinikmati manusia, maka berhias dengan barang-barang ini semua adalah harus dalam apa jua keadaan sekalipun. Kalaupun barang-barang hiasan ini dilarang, maka larangan itu disebabkan pembaziran, kesombongan yang lahir daripada penggunaan yang salah dan sebagainya.

Memang penggunaan perhiasan ini berada pada peringkat thasiniyyat (mewah). Barang-barang mewah hanya boleh dipakai apabila sempurna keperluan yang wajib dimiliki. Sebagai contoh, memiliki kediaman untuk anak-anak dan keluarga adalah wajib dan termasuk dalam kategori daruriyyat (kepentingan). Peralatan-peralatan mewah hanya boleh dimiliki setelah memperoleh kediaman dengan sempurna.

Menikmati keindahan ayam serama, ikan emas dan burung pipit berwarna-warni tidak salah dari segi pandangan Islam, tetapi hendaknya jangan melampaui batas-batas kesederhanaan, sehingga mengurangkan barang-barang keperluan hidup yang sepatutnya dimiliki anak-anak dan keluarga untuk kehidupan mereka.

Jika bunga yang berwarna-warni dalam pasu dan taman-taman harus dinikmati keindahannya, pokok-pokok yang indah segar harus dimiliki, sekalipun jika terpaksa mengeluarkan sedikit bayaran. Mengapa keindahan ayam serama, ikan emas dan burung pipit tidak boleh dinikmati.

Menyekat kebebasan burung dan ikan emas dalam sangkar tidak harus menjadi alasan pengharaman, kerana pokok-pokok bunga juga dikawal kebebasannya dalam pasu dan bekas-bekas kecil.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan: Bukan semua perkara yang menyenangkan hati itu dibenci Islam, bukan juga sesuatu yang disukai hati manusia itu buruk, tetapi dilarang mengambilnya jika syarak melarangnya kerana membawa kepada riak dan sombong. Insan memang sukakan sesuatu yang indah, suka supaya dilihat dirinya cantik, oleh itu mencari sesuatu yang disenangi jiwa tidak dilarang. Seseorang harus menyikat rambutnya dan tidak harus membiarnya kusut masai, menilik mukanya dalam cermin, membetulkan serbannya yang tidak cantik dilihat, memakai kain tebal di sebelah dalam dan memakai yang halus di sebelah luar supaya senang hati orang melihatnya (Jami' al-Ahkam, 7/97).

Makhul al-Dimasyqi seorang ahli Fiqh tabi'i meriwayatkan daripada Aishah r.a. katanya: Sekumpulan sahabat nabi s.a.w. menunggu baginda di pintu rumahnya, lalu baginda keluar menemui mereka. Kebetulan dalam rumah itu ada bekas berisi air, baginda melihat mukanya dalam air itu, lalu membetulkan janggut dan rambutnya. Aku bertanya: Wahai rasulullah! Kamu juga berbuat begitu. Jawab baginda: Ya, apabila seseorang keluar kerana berjumpa saudaranya, maka kemaskan dirinya, kerana Allah indah, Ia sukakan keindahan. Dalam Sahih Muslim, daripada Ibn Mas'ud r.a. nabi s.a.w bersabda: Tidak masuk syurga orang yang ada takbur dalam hatinya seberat zarah. Berkata seorang lelaki: Sesungguhnya orang lelaki suka kainnya cantik, kasutnya cantik dan semuanya cantik. Sabda nabi s.a.w.: Memang, Allah itu cantik, ia sukakan kecantikan. Besar diri yang sebenarnya ialah melawan kebenaran dan melupakan kebaikan manusia lain.

Berpandukan mukadimah ini, kita dapat menarik kesimpulan, iaitu Islam tidak menentang sebarang perhiasan, perniagaan dan penggunaan barang-barang hiasan. Antara perhiasan termasuklah ayam serama, burung pipit dan ikan emas yang dibela untuk hiasan rumah. Haiwan ini harus dibela, dijual dan diniagakan, tetapi hendaklah dengan syarat-syarat berikut:

1. Tidak bermaksud untuk berbangga dan bermegah-megah, sebagaimana adat orang mewah dan berada. Hukum pengambilan barang-barang hiasan itu bergantung kepada niat.

2. Jangan lekakan tanggungjawab disebabkan oleh pembelaan haiwan dan sesuatu yang berupa hiasan.

3. Jangan cuai melaksanakan tanggungjawab terhadap haiwan yang dipelihara seperti memberinya makan, minum dan keselamatannya.

Dalam sebuah hadis yang sangat popular tentang penyeksaan terhadap haiwan, baginda rasulullah s.a.w. memberi amaran terhadap seorang wanita yang memelihara kucing, tetapi tidak memberinya makan minum dan penjagaannya, lalu ia dimasuk ke neraka atas kesalahan itu.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Anas ibn Malik r.a. katanya: Baginda rasulullah s.a.w. adalah insan yang paling baik akhlaknya, baginda selalu datang ke rumahku dan selalu bertanya adikku Umair. Pada suatu hari, baginda datang dan bertanya: Oh Abu Umair ke mana perginya burung kecil engkau? Dijawabnya, burung masih dalam peliharaannya.

Al-Damiru dalam kitabnya Hayat al-Haiwan menyatakan: Hadis di atas menjadi dalil harus memelihara burung dan berhibur dengannya. Berkata Abu al-Abbas al-Qurtubi: Membela burung terpaksa disekat kebebasannya dalam sangkar. Adapun menyeksa dan memain-mainkannya maka hukumnya haram, kerana nabi s.a.w. melarang menyeksa haiwan, kecuali kerana sembelih untuk dimakan sahaja.

Ibn Aqil al-Hanbali melarang menyekat burung dalam sangkar, kerana cara itu adalah suatu penyeksaan terhadapnya. Beliau mengambil dalilnya daripada hadis Abu al-Dard' r.a. yang menyatakan: Pada hari kiamat akan datang burung-burung pipit, lalu membuat aduan kepada Allah, kerana manusia menyeksanya semasa di dunia dahulu.

Alasan ini dijawab oleh sesetengah ulama, iaitu hadis ini dituju kepada mereka yang menyeksa dan tidak memberinya makan dan minum. Al-Qaffal menyatakan, jika haiwan iaitu diberinya makan minum yang cukup, nescaya harus dibelanya.

Saya lebih cenderung kepada pendapat al-Damiri yang mengharuskan bela burung, ayam dan ikan untuk hiasan, dengan syarat hendaklah dijaga dengan cukup makan minum dan keselamatannya. Demikian juga dengan ikan emas dan lain-lain haiwan yang dibela dalam tempat yang terbatas jarak keluasannya, kira-kira tidak seluas sungai dan laut.

Adapun ayam laga, jika dibela untuk tujuan perhiasan maka tidak menjadi apa-apa halangan, namun jika diternak bagi tujuan judi dan bersabung, maka ini adalah suatu penyeksaan yang sangat besar dosanya.

Sama juga hukumnya dengan haram minum arak, sebarang usaha membantu peminum arak adalah dosa. Wallah a'lam.


Ke Laman Utama

No comments: