Friday, August 6, 2010

Hubungan Di Antara Lelaki dan Wanita Ajnabi

SOALAN

Pekerjaan saya banyak melibatkan perhubungan melalui telefon. Kebanyakan pelanggan saya terdiri dari kaum Adam. Apa hukumnya jika saya sekadar berbual-bual dan bertanya khabar dengan kawan-kawan lelaki. Perbualan kami hanyalah sebagai kawan dan melibatkan isu-isu semasa. Adakah perbualan ditelefon juga dianggap haram. Harap dapat Ustaz jelaskan.
- SALAMAH, Kuala Lumpur.

JAWAPAN

Lelaki dan wanita sama-sama makhluk Allah yang berkongsi hidup di bumi ini, masing-masing bergantung antara satu sama lain untuk menjalani tugas mereka sebagai pemakmur bumi ini. Al-Qur`an merakamkan beberapa kisah yang cukup menarik tentang hubungan di antara lelaki dan wanita dalam konteks pelaksanaan tugas-tugas kemanusiaan serta memenuhi tanggungjawab nkemasyarakatan seperti hubungan antara Nabi Musa as dengan puteri Nabi Syu`aib as, hubungan Nabi Sulaiman as dengan ratu Balqis dan lain-lain. Kisah-kisah ini membayangkan Islam tidak memisahkan antara dua jenis makhluk ini dengan benteng-benteng kebal yang tidak boleh ditembusi, sehingga menjejaskan kepentingan hidup merekaa sebagai pemakmur atau pembina tamadun di bumi ini.

Namun begitu, makhluk insan yang lebih mulia dari haiwan, namun mereka tidak dibenar menentukan sendiri hubungan di antara lelaki dan wanita, bahkan perlu ada syarat dan panduan tertentu, bagi menjamin kesejahteraan hidup serta mempastikan kehormatan mereka sentiasa terpelihara. Atas dasar ini, Islam menentukan batas-batas aurat antara lelaki dan perempuan, bahkan lelaki sesama lelaki dan perempuan sesama perempuan, supaya kehormatan masing-masing sentiasa terpelihara. Al-Qur`an dan hadis dengan terinci menjelaskan batas-batas itu, iaitu mewajibkan perempuan menutup seluruh badannya kecuali muka, tangan dan kaki, sementara lelaki pula wajib menutup antara pusat dan lutut.

Al-Qur`an dan Hadis tidak pernah menyebutkan suara wanita sebagai aurat. Justeru itu, Jumhur ulama pada dasarnya berpendapat, suara wanita bukan aurat. Mereka boleh bercakap dengan lelaki, lelaki boleh mendengar suara wanita, kecuali jika suara mereka mempesonakan. (Wahbah al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, 1/584, 595). Mereka berhujah:
Pertama: Baginda Rasulullah saw pernah berbai`ah (janji setia) dengan sekumpulan wanita yang datang menyatakan hasrat mereka untuk tidak melakukan lagi beberapa jenis dosa besar. Baginda mendengar suara pengakuan itu dan kemudian menrima bai`ah mereka. Butir-butir bai`ah disebutkan dalam firman berikut:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَى أَنْ لَا يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا وَلَا يَسْرِقْنَ وَلَا يَزْنِينَ وَلَا يَقْتُلْنَ أَوْلَادَهُنَّ وَلَا يَأْتِينَ بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلَا يَعْصِينَكَ فِي مَعْرُوفٍ فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ [الممتحنة: 12]

Terjemahan: Wahai Nabi!jika wanita-wanita mu`minat datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak mereka, dan tidak akan melakukan dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan tidak akan melanggar perintah dalam perkara-perkara yang baik, - maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayangi.

Kedua: Salah seorang daripada dua puteri Nabi Syu`aib pernah bercakap dengan Nabi Musa as, malah atas arahan bapanya dia keluar tanpa ditemani mahram untuk menjemput Nabi Musa hadir ke rumah mereka sebagai tetamu kehormat. Firman Allah:

وَلَمَّا وَرَدَ مَاءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِنْ دُونِهِمُ امْرَأتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاءُ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ * فَسَقَى لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّى إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ * [القصص: 23-42]

Terjemahan: Dan apabila dia sampai di perigi negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang sedang memberi minum (binatang ternakan mereka), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak dapat memberi minum (ternakan kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternakan mereka, sedangkan bapa kami seorang yang terlalu tua". Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternakan mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan".

Ramai periwayat hadis dari kalangan sahabat wanita, seperti Aisyah, Ummi Salmah dan lain-lain memperdengarkan hadis kepada kaum lelaki. Hal ini berlaku dalam abad pertama Islam, tidak diketahui ada sahabat-sahabat dan ulama membantah periwayatan itu, dengan alasan suara wanita aurat kepada lelaki.

Syeikh Muhammad al-Ghazali dengan keras menolak pandangan mereka yang berpendapat suara wanita itu aurat. Menurut beliau pendapat itu hanyalah dakyah karut, yang tidak pernah dikeluar oleh sesiapapun dari kalangan ahli Fiqh Islam. (Qadaya al-Mar`ah, halaman 164).

Ada pandangan mengatakan wanita membawa fitnah, justeru itu hubungan dengan mereka perlu dibatasi. Bagi menjawabnya, kalau pun wanita itu membawa fitnah, kaum lelaki hanya dikehendaki mengawasi diri daripada fitnah mereka sahaja. Harta dan anak-anak juga fitnah menurut al-Qur`an, namun manusia disuruh mencari harta dan berkahwin untuk mendapatkan anak, mereka hanya disuruh mengawasi diri dari terjebak dalam fitnah yang diakibatkan daripadanya.Meskipun Islam tidak menganggap suara wanita itu aurat, namun ia tidak sekali-kali bermakna lelaki dan wanita bebas bercakap di mana dan dalam apa jua keadaan. Jika percakapan tidak diperlui atau membawa kesan buruk, sama ada kepada lelaki atau wanita itu sendiri, maka ulama lebih cenderung untuk mengambil sikap berhati-hati, sebagaimana firman Allah yang menasihati para isteri Nabi, agar tidak bercakap dengan suara yang lembut manja dengan lelaki, kerana dibimbangi lelaki yang ada penyakit dalam hatinya akan bertambah buruk lagi penderitaannya. Jika perlu, bercakaplah dengan sopan dan adab.

Merjuk kepada soalan puan Salamh, saya berpendapat tiada salahnya seseorang bercakap dengan pelanggan-pelanggannya yang tidak sejenis dengannya, tetapi hendaklah dengan mematuhi adab sopan Islam, tidak keterlaluan dan berkaitan tajuk-tajuk yang sesuai dan munasabah sahaja. Wallah A`lam.