Friday, July 2, 2010

Kemusykilan Keluarga

Nasib isteri pilihan keluarga*


SOALAN

Saya seorang isteri yang telah berkahwin sejak lima tahun yang lalu dan mempunyai beberapa orang cahaya mata. Suami saya seorang pendakwah bebas, kuat agama, sayangkan anak-anak dan berasal daripada keluarga ternama.

Masalah saya ialah suami tidak mencintai saya agaknya, kerana kecantikan saya tidak seberapa. Beliau memilih saya semata-mata kerana pilihan ibunya. Sebagai contoh, pada hari saya bersalin anak pertama saya di hospital, suami saya hanya tidur di rumah. Dia datang setelah saya selesai bersalin, itupun sekejap sahaja, kemudiannya keluar bersama kawan-kawannya dalam dakwah. Saya tidak pernah merasai kemanisan cintanya pada saya dan kini saya tidak lagi mempercayainya.

Saya memberitahu suami, hasrat saya yang dahagakan cinta. Dia hanya menjawab, perkara itu di tangan Tuhan, kita tidak boleh berbuat apa-apa. Saya kini serba salah sama ada untuk meminta saya diceraikan, tetapi apa pula halnya dengan anak-anak. Atau saya patut biarkan diri terus menjadi mangsa dera oleh suami yang tidak mengerti cinta. Harap tuan berikan pendapat untuk saya fikirkan. Terima kasih. - SH. SALMA, Kok Lanas, Kelantan.

JAWAPAN:

Terima kasih kerana puan menghubungi ruangan ini. Saya bersimpati dengan nasib puan yang terdera, bukan penderaan fizikal, tetapi penderaan cinta yang kehausan di musim bunga waktu pagi. Saya faham masalah puan, tetapi saya tidak mengatakan suami puan bersalah sepenuhnya dalam perkara ini. Puan berkongsi membina rumah, kemudian cuba berkongsi merobohkannya.

Izinkan saya mengeluarkan sepatah kata, mula-mula kepada suami yang puan perkenalkannya sebagai pendakwah bebas, kuat agama, daripada keluarga ternama dan cintakan anak-anak. Saya katakan puan tidak tepat menggunakan perkataan pendakwah bebas dan kuat agama kepada suami yang membiarkan puan bersendirian kehausan cinta dan terdera dengan jeritan batin.

Mungkin puan maksudkan dengan perkataan pendakwah bebas itu, ertinya bebas daripada Akta Perkhidmatan Awam atau Akujanji yang baru sahaja selesai ditandatangani oleh pegawai-pegawai kerajaan dengan majikan mereka. Jika dia bukan seorang pegawai kerajaan, ataupun maksudkan bebas daripada erti suami puan kuat ibadat, tidak mengerjakan dosa-dosa besar, selalu solat jemaah di masjid dan sebagainya.

Saya katakan pendakwah sama ada bebas atau tidak bebas, hendaklah mencontohi nabi besar kita Muhammad s.a.w. pada gerak-geri, tutur kata dan seluruh kegiatan hidupnya sebagai manusia. Baginda diakui sebaik-baik orang, paling lembut ketika berbicara, paling menyayangi isteri dan keluarga.

Jangan terkejut jika saya beritahu apa yang saya baca, ketika Nabi pulang daripada suatu perjalanan, baginda membawa balik beberapa bentuk cincin untuk dihadiah dan disarung sendiri kepada isteri-isterinya. Ketika cincin disarung, baginda membisik ke telinganya, jangan beritahu hadiah ini kepada isteri-isteriku yang lain. Antara isteri baginda ada yang membisik kembali: Siapakah antara isteri yang engkau paling cintai? Baginda membalas bisikan dengan bisikan yang lebih romantis. Paling kucintai ialah isteri yang kusarungkan sendiri cincin ke jarinya. Bayangkan betapa sucinya cinta Nabi!

Baginda pernah salah faham dengan salah seorang isterinya pada suatu malam, kerana keluar rumah ketika orang sedang nyenyak tidur. Entah ke mana baginda akan pergi. Berlakulah pertengkaran ringan antara Nabi dan isterinya itu, hingga akhirnya Nabi bertanya: Apakah kamu cemburu padaku. Adakah kamu telah dirasuk syaitan? Jawab isteri berkenaan: Mengapa orang sepertiku tidak cemburu kepada orang seperti kamu? Nabi dengan nada suara yang rendah menjawab: Aku tidak ke mana-mana, aku tetap bersamamu, hanya ingin ke kubur seketika, kerana siang tadi aku tidak sempat menziarahinya.

Walaupun baginda mempunyai jadual kerja yang cukup padat, tetapi empat isterinya tidak pernah mengadu kehausan cinta daripada suami kesayangan mereka, kerana baginda tahu hati seorang wanita cepat merajuk jika tidak disentuh, mudah tersinggung jika lama dibiar bersendirian.

Saya sedar seorang Muslim hendaklah memelihara lidah dan tangannya daripada mengganggu orang, hendaklah tidak memarahi orang yang memarahinya, sentiasa memaafkan kesalahan orang yang berbuat salah kepadanya, tetapi pendakwah harus lebih tinggi tahap itu, lebih-lebih lagi pendakwah yang disifatkan sebagai bebas dan kuat agama.

Sebagai pendakwah, dia harus sedar gerak-gerinya mewakili jemaahnya, tutur kata dan tingkah lakunya dihubungkan secara langsung dengan Islam. Dakwahnya bukan sahaja dengan ceramah yang berapi-api, tetapi dengan tingkah laku yang sopan dan beradab.

Nasihat saya kepada puan pula ialah bukan semua rumah tangga yang bahagia itu dibina atas asas-asas cinta. Dengan hanya cinta belum cukup untuk menjamin kebahagiaan dalam sesebuah keluarga. Saya percaya ada sesuatu yang lain menjaminkan kebahagiaan. Puan tidak mengetahui, saya juga tidak tahu sepenuhnya. Sehubungan ini Allah berfirman:

فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Terjemahan: (Jangan kamu terburu-buru,) boleh jadi kamu bencikan sesuatu, padahal banyak kebaikan padanya. [al-Nisa`: 19]

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

Terjemahan: Boleh jadi kamu bencikan sesuatu, padahal baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu, padahal, ia buruk bagi kamu [al-Baqarah:216]

Saya tahu puan dalam suasana serba salah kerana puan tidak memiliki sesuatu yang dicintai suami. Sesuatu yang puan tidak memilikinya itu hanya untuk tatapan mata kepala sahaja, bukan tatapan mata hati. Mata kepala memangnya mampu melihat apa yang lahir, tetapi gagal melihat apa yang tersembunyi di hati. Cinta yang berasaskan pandangan mata kepala adalah buta, tetapi kesannya cepat. Biasanya sesuatu yang cepat datang itu cepat pula pergi.

Puan harus ingat, mata hati tetap cintakan nilai-nilai mulia dan murni, tetapi cinta ini tidak datang segera. Sesuatu yang lambat datang, biasanya lambat pula pergi. Jika ia datang, sempat membina sesebuah mahligai sebelum pergi. Andainya cinta mata kepala bergabung dengan cinta mata hati, itulah sebenarnya cinta abadi.

Saya ingin bertanya, mengapa puan tidak berusaha menjadikan suami mencintai puan? Mengapa puan tidak bergaul dengan wanita-wanita yang dianggap ideal oleh suami dan seterusnya mencontohi keistimewaan mereka? Soalan ini lebih baik dicari jawapannya berbanding soalan bagaimana untuk bercerai. Mengapa puan lebih berminat masuk melalui pintu negatif sedangkan pintu positif masih terbuka? Mengapa sikap suami yang negatif itu tidak dianggap sebagai cabaran yang harus puan hadapi dengan berani?

Bukankah puan sepatutnya mencari suami yang kuat agama, cenderung kepada dakwah dan ibadat dan daripada keluarga yang baik untuk menjadi suami dan bapa kepada anak-anak dan keturunan puan. Bukankah ramai wanita yang cuba memerangkap lelaki, kerana ia seorang yang kuat agama, baik hati dan minatnya tinggi kepada dakwah? Apa yang dicari-cari mereka kini sedia ada dalam genggaman puan.

Puan telah berkongsi hidup dengan lelaki ini selama lima tahun, puan telah sekian lama tidur sekatil dengannya, makan bersama, mandi bersama dan mempunyai cita-cita bersama. Mungkin puan lebih tahu hatinya berbanding ibunya sendiri.

Sesungguhnya dalam hidup puan sebagai isteri tidak banyak lagi yang puan harus lakukan untuk mencapai kemuncak kebahagiaan hidup. Pernahkah puan fikir bagaimana menjadi seorang isteri yang terbaik dan dicintai suami?

Saya percaya suami puan menunggu-nunggu kedatangan detik-detik pilu itu. Puan dalam surat puan memberitahu, suami mengahwini puan atas pilihan ibunya. Kalau begitu dia tidak pernah mendakwa mencintai puan pada pandangan pertamanya, puan juga tidak pernah membuat dakwaan yang serupa. Jadi, puan dan dia sama-sama mencari cinta yang tercicir di hadapan mata. Soalnya sudahkah puan mencari di mana adanya cinta?

Mengapa puan tidak menganggap perkahwinan itu sebagai sebiji benih yang memerlukan penjagaan yang rapi, agar suatu hari nanti ia kelihatan menjadi pokok besar yang rimbun dan mengeluarkan buah yang enak dimakan?

Mengapa puan ingin melihat pokok itu sudah besar dan berbuah, sedangkan puan tidak pernah menyiram air dan membajanya ketika ia masih sebiji benih? Puan mahukan untung, tetapi tidak sanggup mengeluarkan modal.

Puan boleh menjawab nasihat saya untuk berkata tidak dengan mencari banyak alasan, misalnya kebahagiaan hidup perlu dicari bersama, saham puan hanya 50 peratus sahaja, baki lagi adalah milik suami. Saya bersetuju dengan pandangan ini, tetapi seperti yang puan katakan, suami puan seorang yang cintakan anak-anak, baik pula pergaulannya. Setakat ini sudah cukup untuk puan membalas kebaikannya, sekalipun tidak pada tahap yang maksimum. Saya percaya jika puan berbuat begitu, dunia akan bertukar wajah, dulunya mendung, kini bercahaya. Suami puan bukan batu tetapi manusia.

Sesungguhnya suara hati yang dibayangkan dengan gerak-geri lebih bermakna daripada teriakan meminta tolong. Sebagai contoh, puan boleh memberi kepadanya hadiah pada hari lahirnya, sehelai kain serban kesukaannya atau buku yang menyatakan tanggungjawab seorang suami, tidak perlu barang yang tinggi harganya, tetapi biarlah ada ertinya.

Puan tidak rugi jika selalu menyebut kebaikan suami sekalipun dengan tokok tambah di sana sini. Hargailah budinya, tidak mengapa jika puan terlebih sebut, jangan terkurang. Jika puan berbuat begitu, nescaya bertemulah buku dengan ruasnya.

* Artikel ini telah disiar dalam Utusan Malaysia pada 14/4/2002

No comments: