Saturday, July 17, 2010

Kemusykilan Keluarga

Tuntut Cerai Kerana Suami Berjudi

Soalan:

Saya telah mendirikan rumahtangga sejak 15 tahun yang lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 14 tahun. Rumahtangga saya tidak pernah aman kerana suami saya suka berjudi. Saya semakin tertekan dengan kehidupan ini. Selama ini saya bersabar, tetapi tiada tanda-tanda suami saya akan insaf. Saya pernah meminta cerai daripadanya, tetapi beliau menyatakan, biarlah kita bercerai mati. Salahkah jika saya menuntut cerai daripadanya, walaupun keluarga saya juga tidak merastui hasrat saya. Harap ustaz berikan pandangan

- Wati, Selangor.

Jawapan:

Kehidupan suami isteri hendaklah berasaskan persefahaman, tolong menolaong dan berkasih sayang. Hubungan antara mereka bukan hanya untuk satu dua hari, tetapi hendaknya berkelalan selagi hayat dikandung badan. Apa ertinya hidup suami isteri selama 15 tahun dalam sebuah rumah, pada hal hati tidak bersentuhan. Jika ada sebab-sebab munasabah yang tidak memungkinkan puan untuk hidup sebagai seorang isteri kepada seorang suami yang suka berjudi, mengapa puan mengambil masa yang begitu lama. Makin cepat puan bertindak, makin baik bagi rumahtangga puan. Puan tentunya lebih tahu dan lebih marasi keperitannya.

Islam membenarkan perkongsian hidup sebagai suami isteri dibubarkan, apabila ada sebab-sebab yang tidak lagi memungkinkan mereka untuk meneruskan perkongsian. Setelah perkongsian dibubarkan, masing-masing mempunyai jalan untuk membina semula kehidupan baru.

Puan sebagai seorang isteri, berhak mendapat perlindungan secukupnya daripada seorang suami yang bertanggungjawab, bukan sahaja dalam soal nafkah dan makan minum, tetapi juga dalam hal-hal agama dan keimanan. Puan berhak mendapat layanan mesra dan kasih sayang, kerana itulah ertinya perkawinan dalam Islam. Allah menjelaskan matlamat perkahwinan dalam firman-Nya yang bermaksud:

وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ [الروم: 21]

Terjemahan: Diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatnya, bahawa ia menciptakan kamu berpasangan, supaya kamu senang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya diantara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir.

Difahamkan daripada keterangan ayat ini, dalam konteks perkahwinan, suami tidak seharusnya menjalani kehidupan suka berjudi, sehingga menimbulakn kebencian isteri terhadapanya, selain Allah yang sentiasa bencikan orang berjudi. Sangat malang bagi kaki judi, dalam kehidupan agamanya dibenci Allah, dalam keluarga dan rumahtangganya pula dibenci keluarga, isteri dan anak-anak.

Saya difahamkan daripada soalan puan, suami puan masih menyintai puan apabil memberi reaksi kepada hasrat puan untuk menamatkan perkongsian hidup dengannya, keluarga puan juga tidak suka puan memilih jalan itu, Suami sebagaimana yang puan nyatakan tidak ingin berpisah, sebaliknya ingin puan kekal sebagai isterinya hingga dia meninggal dunia, dia tidak berhasrat menceraikan puan selagi hayatnya masih ada. Reaksi ini pada saya cukup positif, puan sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri, sehingga mampu menambat hatinya sebagai suami selama 15 tahun, itupun dalam suasana yang tidak menentu, kadang-kadang suka dan kadang-kadang duka. Saya berpendapat, puan masih mempunyai waktu untuk berbicara dengannya dengan kepala yang tenang, jangan lekas marah dan anggaplah suami masih mencintai puan, kalau pun tidak sepenuhnya.

Anak lelaki puan yang berusia 14 tahun itu, merupakan buah hati puan dan suami. Puan boleh jadikan anak ini sebagai pembantu puan untuk mempengaruhi bapanya supaya berhenti segera berjudi. Tanyakan masalahnya mengapa dia berjudi? Adakah kerana kesuntukan wang dan desakan hidup yang menggilakan. Berilah alasan kepadanya, judi tidak pernah menjaminkan kekayaan kepada seseorang kecuali kesusahan, kemelaratan hidup dan kemiskinan yang bertambah-tambah. Jika dia berjudi kerana mencari kepuasan, maka berilah alternatif yang lain kepadanya. Saya cadangkan puan bertiga beranak, mengambil pendekatan berkawan dengan rakan-rakan masjid, di sini hati puan dan suami akan mendapati kepuasan hidup yang lebih sempurna.

Puan tidak harus teragak-agak untuk menasihati suami puan, supaya menghentikan serta merta amalan judi yang dilarang itu. Puan dengan kebijaksanaan yang ada, sebagai seorang ibu dan isteri, harus membetulkan perjalanan suami puan dengan sabar dan tenang hati. Jauhkan diri daripada sikap provokasi yang biasanya lebih memburukkan keadaan yang sudah buruk.

Jika puan telah melakukan segala-galanya, tiada juga tanda-tanda suami puan akan baik dalam jangka masa yang dekat, paun boleh mengambil langkah-langkah selanjutnya, namun setiap langkah yang puan ambil dalam menangani perkara ini, risikonya sangat tinggi, kerana lelaki biasanya tidak sedia mengalah kepada isteri. Siapa benar dan siapa salah, itu hanya perkara kedua bagi lelaki yang tiada iman dan taqwa, menang dan mempertahankan dirinya sebagai lelaki adalah yang pertama.

Langkah-langkah selanjutnya yang saya maksudkan di sini ialah, puan boleh membawa perkara ini ke pejabat agama, untuk meminta nasihat daripada pegawai-pegawai agama yang terlibat secara khusus dengan isu-isu kekeluargaan Islam. Biasanya mereka akan memanggil suami yang terlibat untuk dinasihati, agar lebih bertanggungjawab terhadap isteri dan keluarga, mereka akan memantau perjalanan suami terlibat dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, saya kurang bersetuju dengan cara ini, kerana suami akan merasa malu dan terhina, apabila rahsia dirinya terbomgkar di luar rumah, khususnya di hadapan pegawai-pegawai agama yang bertanggungjawab. Dengan itu kemungkinan untuk menjernihkan semula kehidupan rumahtangga menjadi lebih rumit.

Saya berpendapat, puan boleh ke pejabat agama, hanya untuk mendapatkan pembubaran nikah. Kadi atau hakim syar`i dengan kuasa yang diberi kepadanya boleh memisahkan suami isteri yang bermasalah begini, dengan alasan bahawa suami telah melakukan kegiatan yang menjejaskan kesejahteraan hidup isterinya. Hukum Islam tetap berpegang kepada suatu prnsip yang menjadi asas utamanya, iaitu la darar wa la dirar (tiada mudarat dan tiada memudaratkan).

Memudaratkan hati seorang isteri yang berpegang kepada ajaran agamanya, seharusnya dipandang lebih serius daripada memudarat atau mencederakan tubuh badannya. Isteri boleh merelakan dirinya sebagai isteri kepada seorang suami yang bertanggungjawab, tetapi tidak harus merelakan meruah agamanya dicabuli. Jika seorang isteri menuntut cerai melalui saluran-saluran yang sah, seperti dia tidak sukakan suami yang berjudi, saya beranggapan jika isteri ini benar dalam laporannya, maka wajar sekali permohonannya ditimbang, bagi menyelamatkan kehidupan yang menderita dari terus berpanjangan.

Isteri-isteri yang diceraikan melalui proses mahkamah atau undang-undang, harus menyedari bahawa perceraian mereka adalah ba`in (putus). Ertinya mereka tidak boleh lagi rujuk, kerana pemisahan itu dibuat bagi membebaskan penderitaan isteri. Jika mereka dibenar rujuk dan kembali semula sebagai suami isteri, kemungkinan berulang lagi masalah yang serupa. Oleh itu, saya tetap mengulangi bahawa mahkamah, adalah tempa penyelesaian terakhir. Jika boleh dicari persetujuan, selesaikanlah semua kes di luar mahkamah, tanpa berulang alik ke pejabat agama.

Puan harus berfikir dan membuat keputusan sendiri dalam perkara ini, orang lain hanya boleh menasihati puan, tetapi mereka tidak merasa apa yang puan rasai, kata orang: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Untuk meringankan sedikit tekanan terhadap prasaan, puan harus tingkatkan kesabaran serta menyerah perkara ini kepada Allah. Percayalah, semua orang mempunyai masalah, hanya kecil besarnya sahaja yang berbeza, bahkan ada pasangan yang berjaya membina istana bahagia, setelah sekian lama mendrita. Itupun kalau boleh.

No comments: