Monday, July 19, 2010

Mendebatkan Isu Isu Ibadat


SOALAN:

Saya selalu berdebat dengan kawan-kawan tentang keutamaan sesuatu amalan, mana yang patut didahulu dan dikemudiankan. Bolehkah ustaz jelaskan asas-asas yang boleh dijadikan pertimbangan dalam memutuskan sesuatu keutamaan. Apakah buku yang patut saya baca dan boleh difahami dengan jelas kaedah-kaedah yang dijadikan ukuran bagi sesuatu keutamaan.

Apakah kekecohan dalam politik di Malaysia hari ini juga berpunca daripada perbezaan kaedah dan pendekatan dalam membuat sesuatu penyelesaian? - ZUBAR, Setapak, Kuala Lumpur.

JAWAPAN:

Dua perkara yang dikemukakan dalam soalan di atas menarik perhatian saya. Pertama, debat dalam isu-isu ibadat. Kedua, kaedah bagi menimbang antara beberapa ibadat, yang mana patut didahulu atau dikemudiankan. Dua perkara yang dipertanyakan itu memang ada aturannya dalam Islam, ia boleh diikuti dengan lengkap berpandukan dua sumber Islam, al-Quran dan hadis.

Pertama, ramai pendakwah dan ahli-ahli fikir Islam berpendapat, debat dalam isu-isu agama dan ibadat tidak banyak faedah yang boleh didapati kecuali jika ia dilangsungkan dengan etika debat yang tinggi, hormat-menghormati antara peserta dan dengan kekuatan ilmiah yang meyakinkan. Biasanya debat yang tidak dikawal oleh akhlak lebih banyak mengundang kepada perbalahan dan permusuhan yang merugikan.

Tidak dinafikan debat merupakan salah satu uslub yang sangat berkesan dalam menyebarkan Islam, dakwah dan kebenaran, tetapi ia adalah langkah ketiga dan terakhir, iaitu setelah buntu jalan-jalan menggunakan pendekatan berhikmah dan nasihat pengajaran yang baik. Itupun hendaklah dilangsungkan dengan akhlak dan adab yang tinggi.

Sehubungan ini Allah berfirman yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik (al-Nahl: 125). Ayat ini meletakkan debat pada tempat terakhir, iaitu selepas pendekatan berkhidmat dan nasihat yang baik. Debat menjadi langkah terakhir, bukan kerana kurang berkesan atau tiada faedahnya, tetapi kerana kesukaran mematuhi aturan, akhlak, adab dan aturannya.

Mungkin ramai orang sedia berdebat, tetapi tidak ramai yang sedia patuh kepada akhlak dan adabnya. Diperhatikan kepada ayat di atas, ada dua perkataan yang disebut tatkala memperkatakan uslub atau gaya dakwah, iaitu mawizah (nasihat) dan jidal (debat). Kedua-duanya hendaklah dengan cara yang baik, malah jidal dikehendaki dengan cara terbaik.

Debat selalunya dirosakkan oleh ketiadaan ikhlas antara dua kumpulan yang terbabit. Pendebat selalunya inginkan kemenangan sekalipun ia tidak mempunyai hujah. Pendebat tidak sedia mengalah, sekalipun ternyata ia berada pada pihak yang salah. Pendebat akan memilih untuk berkata ya apabila lawan berkata tidak dan berkata tidak apabila lawan berkata ya.

Debat selalunya dikuasai oleh pihak yang handal bercakap, sekalipun tidak berisi. Keadaannya bagaikan dua pasukan pemain bola sepak yang masing-masing ada penyokong yang tidak pernah mengaku kalah sekalipun tidak pernah bermain. Kalaupun ada yang mengaku, tetapi hanya dalam gelanggang, di luarnya belum lagi. Begitulah debat yang tidak berakhlak dan biasa kita saksikan.

Antara akhlak atau etika debat yang perlu dipatuhi bagi menghasilkan natijah yang baik bahkan sekali gus debat disifatkan sebagai terbaik ialah:

l Elakkan penggunaan bahasa yang rendah, tindakan yang kasar dan tidak menghormati pemikiran lawan. Jika perlu, adakan pengadil untuk mengadili perjalanan debat. Pengadil perlu diberi hak memberi kad kuning atau merah bahkan membuang padang mana-mana pendebat yang melanggar disiplin debat dan aturan.

l Hendaklah lebih banyak mencari titik persamaan antara kedua-dua pihak. Kurangkan usaha mencari titik perbezaan ataupun abaikan langsung. Lebih banyak persamaan yang ditemui, lebih banyak hasil yang diperoleh. Tumpukan sepenuhnya kepada titik-titik persamaan.

Debat al-Quran yang berlangsung antara Nabi s.a.w. dengan Yahudi dan Nasara bahkan dengan kaum musyrikin menjadi sebaik-baik contoh untuk dipelajari disiplin, akhlak dan etikanya. Dikemukakan di sini debat antara Nabi dengan musyrikin dalam ayat 24-26 surah sabar' yang bermaksud:

Bertanyalah wahai Muhammad, siapa yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Terangkanlah jawabnya ialah Allah. Sesungguhnya tiap-tiap satu golongan, sama ada kami atau kamu tetap di atas hidayat atau tenggelam dalam kesesatan. Katakanlah: Tuhan akan menghimpunkan kita semua pada hari kiamat, kemudian akan menyelesaikan krisis di antara kita dengan penyelesaian yang benar.

Debat nabi-nabi sememangnya beretika dan halus budi bahasanya. Setiap patah dalam ungkapannya boleh dicontohi pendakwah yang cintakan kebenaran. Tetapi sayang, sesetengah pendebat terkini menyimpang jauh daripada panduan nabi-nabi, mereka berdebat seolah-olah berperang. Segala isu yang berbangkit dalam dakwah, besar kemungkinan ada persamaannya dalam politik.

Kedua, isu tentang keutamaan antara jenis-jenis ibadat, yang mana patut didahulu atau dikemudiankan. Saya berpendapat, isu ini mudah sahaja diselesaikan jika pihak-pihak yang terlibat memahami Islam dan ajarannya secara syumul dan lengkap.

Fikah Awlawiyyat atau fikah keutamaan adalah suatu cabang pengajian yang mustahak difahami dalam pengajian fikah Islam. Pengajian ini memungkinkan seseorang membuat pilihan dengan betul apabila berhadapan antara dua atau beberapa perkara, sama ada dalam ibadat atau hal-hal keduniaan.

Syeikh Muhammad al-Ghazali, seorang pendakwah Mesir yang terkenal dalam abad-abad terakhir ini dan meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, dikira pendakwah yang pertama mencetuskan idea penstrukturan Fikah Awlawiyyat sebagai suatu ilmu. Beliau dalam beberapa bukunya menggarapkan idea ini dengan jelas dan terang terutama apabila membicarakan kedudukan dakwah dan umat Islam pada masa-masa yang akhir.

Dipercayai buku Fikah Awlawiyyat karangan Dr. Yusuf al-Qaradawi yang mengandungi 282 halaman yang telah diterjemah dan diterbitkan dalam bahasa Malaysia adalah lanjutan kepada hasil idea Syeikh Muhammad al-Ghazali. Saudara dicadangkan membaca buku ini kerana di dalamnya menggariskan jenis-jenis amalan yang sepatutnya didahulu dan dikemudiankan, berpandu kepada kaedah-kaedah yang tetap dan boleh dijadikan ukuran bagi apa jua amalan wajib dan sunat.

Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya Laysa Min al-Islam halaman 38, menyatakan umat Islam menjadi keliru dengan jenis-jenis amalan, kerana mereka gagal meletakkan hadis pada tempatnya yang sebenar. Padahal keutamaan sesuatu amalan adalah bergantung pada masa, suasana dan jenis amalan itu sendiri. Ulama terdahulu mempunyai kefahaman yang betul apabila memahami sesuatu dan berjaya meletakkan pada tempatnya dengan betul.

Saya sangat menghargai pandangan Syeikh al-Ghazali ini kerana ia menunjukkan kita titik sebenar perbezaan pendapat antara ulama Islam, bahkan memahami kaedah-kaedah dalam amalan itu juga perlu dipelajari dengan cermat, kerana sering kali kita salah memahami kaedah boleh membawa perbezaan pendapat yang tidak mudah diselesaikan.

Sebagai contoh, mana yang afdal bagi seorang yang masuk masjid ketika penceramah sedang mengajar, sama ada duduk dalam majlis ilmu atau solat sunat menghormati masjid. Kata jemaah itu: Seorang ustaz memberitahunya, tidak perlu solat sunat, teruskan sahaja berada dalam majlis ilmu kerana belajar itu wajib, sedangkan solat itu sunat sahaja. Amalan wajib hendaklah mendahului amalan sunat.

Saya mengakui jawapan ustaz ini kerana tidak membezakan antara majlis-majlis ilmu, mana yang wajib dan mana yang tidak wajib. Saya boleh menerima jika seorang yang melangkah kaki memasuki masjid itu seorang saudara yang baru memeluk Islam, ia tidak tahu sembahyang dan tidak tahu membaca apa-apa, kecuali dengan duduk belajar pada ustaz yang sedang mengajar itu terlebih dahulu.

Bagi orang yang sudah lama memeluk Islam, tahu bersolat dan merupakan jemaah tetap bagi masjid itu, lebih baik baginya bersolat dua rakaat terlebih dahulu, sebelum bersama-sama mendengar ceramah agama yang sedang berjalan. Ustaz ini keliru apabila meletakkan hukum bahawa semua ceramah agama itu wajib didengari, sedangkan pada saya ada ceramah yang wajib didengar, ada yang sunat dan ada yang harus, bahkan ada juga yang haram.

Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya Dakwah Islam Menjelang Abad Ke-15 menulis pengalamannya dalam bidang dakwah yang dilalui lebih separuh abad. Katanya:

Dukacita, kerana ramai orang masih tidak memahami hakikat iman yang mengandungi lebih 60 atau lebih 70 cabang itu. Mereka memahaminya sebagai timbunan yang tidak berjuzuk antara satu cabang dengan yang lain. Semua amalan dikira sama dan tidak perlu dipilih mana yang afdal.

Fahaman ini salah dan perlu dibetulkan kerana cabang-cabang iman itu tidak bertimbun antara satu bahagian dengan yang lain tetapi tersusun. Iman bagaikan pokok besar, ada tunjang, ada akar, ada dahan, ada ranting, ada daun dan ada buahnya. Iman atau Islam perlu dilihat daripada keseluruhan ajarannya, dengan itu akan difahamilah keutamaan sesuatu amalan itu. Jika amalan itu berupa akar dan tunjang, tentu lebih penting berbanding ranting dan daun.

Jika masyarakat tidak dapat memahami iman bagaikan pokok yang ada juzuk-juzuknya, maka lahirlah unsur negatif, banyaklah perdebatan yang berlaku di sana sini dan sukar diselesaikan. Islam yang kelihatan cantik, tidak dilihat cantik lagi, apabila rupanya diconteng oleh orang yang tidak faham ajaran Islam.

Sebagai kesimpulan, susunan Islam dan kedudukan ajarannya yang terdiri daripada pelbagai juzuk, besar dan kecil hendaklah dipelihara. Kecantikannya akan terjejas besar apabila keutamaannya tidak dipedulikan.

Utusan Malaysia

No comments: