Wednesday, July 7, 2010

Menulis dan Membaca Satu Kewajipan Umum


               Wahyu “Iqra`” merupakan amanah sulung dalam perutusan Allah melalui Nabi Muhammad saw untuk disampaikan kepada umat manusia. Pada ketika itu kebanyakan orang Arab dikotori dengan pencemaran syirik, khurafat dan kejahilan.  Amanah ini kemudiannya menjadi tonggak kepada tamadun Islam yang merupakan simbul kepada ilmu dan tamadun.
Wahyu  “Iqra`” dengan jelas menjadikan ilmu sebagai asas bagi tamadun Islam yang bermula dengan membaca dan menulis dengan pena. Persoalan awal perlu diteliti ialah kepada siapakah wahyu itu  ditujukan?.  Umum Mufassirin berpendapat, ia ditujukan kepada Nabi saw ketika baginda sedang beribadat di dalam gua Hira`.  Jawapan mereka itu dilihat serasi dengan  hadith Jibril yang menyuruh berkali-kali supaya Nabi membaca, sambil memeluknya dengan kuat hinggalah dia menghilangkan dirinya dari pandangan Nabi saw.
            Sepanjang pengetahuan penulis, tidak ramai Mufassirin mengulas ayat pertama al-`Alaq ini dari aspek hukum membaca, sama ada wajib, senat atau lain-lain. Ayat pertama al-`Alaq ini  ditujukan kepada Nabi saw yang diketahui umum sebagai seorang ummi yang tidak pandai membaca dan menulis. Pada zahirnya ayat “Iqra`” ini menunjukkan hukum wajib wajib membaca dikenakan nke atas seluruh mukallaf, sama ada le;laki dan perempuan.  Hukum kewajipan membaca ini juga dengan sendirinya meliputi menulis.
Tiada dalil menunjukkan perintah ini khusus kepada kumpulan tertentu dan mengecualikan kumpulan yang lain atau secara lebih khususnya diwajibkan ke atas lelaki dan tidak diwajibkan ke atas kaum wanita.
Biasanya sesuatu hukum boleh difahami dengan jelas daripada rangkaian ayat dengan dibantu sebab nuzulnya yang menentukan kehendak sesuatu ayat, muhkam atau tidak muhkam,  umum atau khusus, muqayyad atau mujmal dan lain-lain. Jika ayat dikhususkan kepada Nabi saw  sahaja, nescaya kita dapati jelas pengkhususan itu, sebagai contoh:
يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ * قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا*
Terjemahan: Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa” [al-Muzzammil: 1-2]
Ayat ini dikhususkan kepada Nabi kerana baginda meminta dia diselimutkan sekembalinya  dari menerima wahyu pertama di gua Hira’.  Ayat tidak mungkin ditujukan kepada umatnya kerana mereka tiada kena mengena dengan selimut dan tiada pula hubungan di antara salat malam dengan orang berselimut.
Umum sedia maklum, salat tahajjud diwajibkan  ke atas Nabi, tetapi umatnya dikecualikan dari hukum itu, hanya disunatkan sahaja sebagai mu`akkad.  Jika ayat dikhitabkan kepada Nabi saw dan umatnya, nescaya disebutkan dengan jelas, misalnya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah dan beribadatlah kepada Tuhan kamu, serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu Berjaya”  [al-Hajj: 77]
Ayat ini memerintah seluruh para Mu`minin supaya menunaikan salat yang menagandungi ruku`, sujud serta beribadat kepada Allah dengan mentauhikannya ditujukan kepada Nabi dan seluruh umatnya. Tiada dalil yang menunjukkan sebahagian manusia dikecualikan dari perintah ini.
Ayat (1) al-`Alaq ini tiada dalil menunjukkan perintah membaca itu dikhususkan kepada Nabi saw sahaja.  Oleh itu, kewajipan ini meliputi seluruh umatnya tanpa kecuali sama ada lelaki atau perempuan. Mereka dituntut menunaikan kewajipan membaca yang menjuruskan kepada keredaan Allah, terutama al-Qur`an, hadith dan kitab-kitab agama pada setiap hari. Tafsir ini bersetuju dengan pendapat Fuqaha yang menggariskan kaedah usul berikut:
الاَمْرُ فِي الْقُرْآنِ لِلْوُجُوبِ إلاَّ أن تَصْرِفَهُ عَنْهُ قَرِيَنَةٌ إلَى الاسْتِحْبَابِ أو الإبَاحَةِ.
Terjemahan: “Perintah di dalam al-Qur`an menunjukkan hukum wajib, kecuali jika ada sebab yang memalingkannya kepada istihbab atau ibahah”.
Ayat 1 hingga 5 al-`Alaq menggariskan dua panduan bagi memenuhi tuntutan membaca yang diwajibkan:
Pertama: Hendaklah pembacaan itu disempurnakan dengan nama Allah.  Pembaca tidak harus membaca bahan-bahan yang dilarang Allah seperti bahan-bahan lucah,  berita-berita yang membawa fitnah dan sebagainya kerana bahan-bahan ini menjauhkan manusia dari Allah, firman Allah:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ
Terjemahan: Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan.[al-`Alaq: 1]
Kedua: Pembacaan atau perolehan ilmu, terutama yang duhasilkan melalui pembacaan tidak  seharusnya dijadikan laluan bagi menonjolkan diri, sombong dan takbur, sebaliknya hendaklah diterima dengan bersyukur kepada Allah yang memberi ilmu, firman-Nya:
اقْرَأْ وَرَبُّكَ اْلأَكْرَمُ * الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ * عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
Terjemahan:  “Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Dia mengajar  manusia apa yang tidak diketahuinya”.[al-`Alaq: 3-5]
Sebagai kesimpulan,  ayat “Iqra`” menunjukkan wajib membaca dan menulis.  Hukuman ini meliputi Nabi saw dan umatnya, sama ada lelaki atau perempuan.  Inilah asas tamadun Islam yang berjaya mendidik umatnya supaya berilmu dan beramal. Malangnya setelah negara dijajah, kebangkitam Islam terancat, umatnya dihimpit kejahilan hingga ke peringkat buta huruf yang sukar diselamatkan.

No comments: