Friday, July 16, 2010

Mukadimah Tafsir Surah al-Tin 95

سورة التين - 95
Surah Buah Tin - 95
MUKADIMAH

Nama

Nama surah ini ialah al-Tin (buah Tin). Nama ini diambil daripada perkataan Wa al-Tin dalam ayat pertama surah ini. Allah swt bersumpah dengan buah ini kerana banyak faedah, kegunaan dan keberkatan padanya, firman-Nya:

وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ

Terjemahan: Demi buah tin dan buah zaitun

Munasabat Surah

Ayat 7 dan 8 surah al-Isyirah terdahulu menyeru Nabi saw dan umatnya supaya bekerja sungguh-sungguh, tanpa membuang masa. Apabila seslesai satu tugas, sempurnakan tugas yang lain pula serta tumpukan perhatian dan minat kepada Allah.

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ * وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ*

Terjemahan: Oleh itu, apabila engkau telah selesai dari sesuatu kerja, maka tumpukanlah dengan sungguh-sungguh kerja yang lain pula. Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaknya engkau tumpukan perhatian.

Inilah jalan bagi manusia membina kehidupannya di dunia dan inilah juga jalan bagi membina kehidupan yang diredai Allah di Akhirat.

Di dalam surah al-Tin pula Allah swt bersumpah dengan buah tin, buah zaitun, bukit Tur Sina dan negeri Makkah bagi mengukuhkan suatu hakikat bahawa manusia diciptakan dengan sebaik-baik ciptaan, namun antara manusia ada yang abaikan ciptaannya yang cantik, mereka lupakan Akhirat, mereka lebih suka memilih dunia yang segera, lalu Allah swt turunkan kedudukan mereka ketahap yang paling bawah, firman-Nya:

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ * ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ

Terjemahan: Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dalam bentuk kejadian yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikannya ke tingkat yang sebawah-bawahnya (disebabkan kekufuran)

Zaman Nuzul

Ada dua pendapat tentang zaman turun surah ini. Sesetengah pendapat mengatakan ia diturunkan di Madinah, sesetengah yang lain pula mengatakan di Makkah. Sumpah dengan al-Balad al-Amin (negeri Makkah) dalam ayat (3) mengutkan pendapat yang menyatakan turunnya di Makkah.

Tentang zamannya dengan tepat tidak dapat dinyatakan, tetapi dijangka beberapa bulan sebelum hujrah ke Madinah kerana ayat-ayat membayangkan Nabi saw telah mengajar umatnya prinsip-prisip akidah yang meliputi hari akhirat serta pembalasan syurga dan neraka.

Tema dan Ikhtisar Surah

Tema surah ini ialah “Manusia: Meningkat dan menjunam”. Di dalam surah ini mengandungi beberapa topik utama dalam akidah Islam.

Pertama: Allah swt bersumpah dengan buah tin, buah zaitun, Tur Sina dan negeri Makkah bagi mengukuhkan beberapa perkara dalam akidah Islam. Keistimewaan nama buah dan tempat ini dan hubungan antara satu dengan lain akan perkatakan dalam tafsiran ayat nanti In-Sya-Allah.

Kedua: Allah swt menyatakan bahawa manusia diciptakan dalam sebaik-baik kejadian, kaki tangannya cantik dan bentuk badannya juga tegak tidak seperti haiwan.

Ketiga: Allah swt mmenyatakan manusia ini ada yang martabatnya rendah dan berada pada tahap yang mendukacitakan. Mereka ialah ahli, iaitu manusia yang kufur kepada Allah dan menolak akidah Islam, sekalipun banyak dalil yang boleh disaksikan bagi membuktikan kebenarannya.

Keempat: Menyatakan keadilan Allah pada pemberian pahala kepada orang mukmin dan penyeksaan terhadap orang kafir.

Kelebihan Surah
Beberapa riwayat menunjukkan kelebihan surah ini, antaranya:
1:    Riwayat  daripada al-Bara` Ibn `Azib ra katanya:   
سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ فِي الْعِشَاءِ بِ : التِّينِ وَالزَّيْتُونِ ، فَمَا سَمِعْتُ أَحَدًا أَحْسَنَ صَوْتًا مِنْهُ [624].  
Terjemahan: “Aku dengar Rasulullah saw membaca wa al-Tin wa al-Zaytun dalam salat `Isya`.  Aku tidak pernah dengar ada orang lebih baik baik bacaan darinya”.
 2:  Riwayat daripada seorang lelaki daroipada Abu Hurairah ra, katanya: Sabda Rasulullah saw:
 
َمَنْ قَرَأَ : وَالتِّينِ وَالزَّيْتُون ، فَلْيَقُلْ : بَلَى ، وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ[625]
 Terjemahan:  Sesiapa (selesai) membaca sujrah al-Tin, hendaklah dia membaca  (terjemahan teks) Ya, dan aku termasuk sebahagian orang yang menyaksikannya”

Ke Tafsiran Ayat Al Tin Ayat 1-3


[624] Al-Bukhari, al-Tawhid, Bab Qawl al-Nabi …, hadith (7017) Muslim, al-Salah; al-Qira`ah fi al-`Isya`, hadith (713) Musnad Ahmad, hadith (18301) daripada al-Bara` Ibn `Azib.
[625] Tafsir al-Tabari, 12/643, hadith (37662) Musnad Ahmad, hadith (7217), sanadnya sangat da`if, iaitu lelaki meriwayatkan daripada Abu Hurairah.