Tuesday, July 13, 2010

PENTAFSIRAN SURAH aL-INSYIRAH AYAT 1-4 (2)

PENTAFSIRAN AYAT 1-4
بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Pertolongan Allah Kepada Nabi Muhammad

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ* وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ * الَّذِي أَنقَضَ ظَهْرَكَ* وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ

Terjemahan:

[94: 1] (Wahai Muhammad) Bukankah Kami telah lapangkan dadamu ?

[94: 2] Dan Kami telah ringankan bebananmu.

[94: 3] Yang telah memberatkan tanggunganmu?

[94: 4] Dan Kami telah angkatkan namamu?

Sebab Nuzul Surah

Al-Suyuti menyatakan ayat ini diturunkan tatkala kaum musyrikin menghina orang Islam dengan kemiskinan .
Ibn Kathir daripada Ibn Abbas meriwayatkan katanya: Sabda Nabi saw: “Aku memohon kepada Tuhanku satu permohonan, aku berasa lebih jika aku tidak meminta daaripadanya. Aku berkata: “Sebelumku ramai para Nabi telah diutuskan, antara mereka ada yang dipermudahkan angina kepadanya dan ada yang boleh menghidupkan orang mati” lalu Allah berfirman: “Wahai Muhammad! Bukankah Aku dapati kamu seorang anak Yatim, lalu Aku lindungimu?” Aku menjawab: Ya wahai Tuhanku. Allah berfirman lagi: “Bukankah aku dapati kamu dahulu mencari-cari sesuatu, lalu Aku tunjukkanmu?” Aku menjawab: Ya wahai Tuhanku, Allah berfirman lagi: Bukankah Aku dapati engkau miskin, lalu Aku perkayakan? Aku menjawab: Ya, wahai Tuhanku. Allah berfirman lagi: “Bukankah Aku telah lapangkan dadamu dan bukankah Aku telah angkatkan sebutanmu? Aku menjawab: Ya wahai Tuhanku ”

Pertolongan Allah Kepada Nabi Muhammad

Nikmat anugrah Allah kepada manusia semuanya besar, tiada satupun yang kecil dan boleh dipandang ringan, hinggakan sehelai bulu roma yang tumbuh meliar pun tidak boleh dianggap kecil. Nikmat-nikmat yang dianugrah kepada Nabi saw lebih besar lagi seperti adab dan akhlak, ilmu dan hikmat, semuanya besar-besar belaka bahkan lebih besar dari langit dan bumi.

(94: 1) Allah membicarakan nabi Muhammad saw dalam surah ini dengan limpahan kasih sayang dan kemesraan serta mengingatkan umat Islam dengan kelebihan Nabi Muhammad saw lalu menyatakan:

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ

[94: 1] (Wahai Muhammad) Bukankah Kami telah lapangkan dadamu ?

Perkataan شرح memisahkan daging antara satu dengan lain. Dikatakan juga الشَّرِيحة iaitu seketul dagingyang telah dipotong. Dalam istilah perubatan disebut التشريح (anatomi) iaitu satu kajian tentang struktur manusia. Kemudian secara majaz diertikan dengan satu keadaan yang menunjukkan gembira atau suka hati terthadap sesuatu perkara . Kata lawan bagi شَرْحُ الصَّدْرِ (lapang dada) ialah ضِيقُ الصَّدْرِ ertinya (sempit dada). Sebagai contoh, Allah berfirman:

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ

Terjemahan: “Dan sesungguhnya Kami mengetahui bahawa hatimu tidak senang dengan cemuhan-cemuhan yang dikatakan mereka”.

Mufassirin memberi dua tafsiran kepada ayat ini:

Pertama: Jumhur ulama berpendapat, maksud lapang dada di sini ialah reda dan senang hati dengan perkembangan dakwah Islam dan tanda-tanda kemenangan yang dilihatnya.

Nabi kita saw telah beroleh kelapangan dada kerana telah mencapai tahap kemuliaan yang tertinggi, tahap yang tidak pernah sampai kepadanya para Nabi yang diutus kepada umat terdahulu, malah sesiapa pun selainya tidak mungkin sampai ke tahap Muhammad saw. Semuanya ini berlaku dengan rahmat dan limpah kurnia Allah yang tidak terhingga kepadanya.

Kesempurnaan Nabi Muhammad saw adalah disebabkan Allah memuliakannya, kesempurnaan dalam lingkungannya sebagai Nabi dan hamba kepada Allah. Kita akui kemuliaan dan ketinggiannya, kita akui baginda sebagai hamba dan pesuruh-Nya dalam syahadah kita, maka kita ucapkan namanya selepas mengakuai keesaan Allah, lalu kita angkatkan suara dengan jelas dan nyaring, kita laungkan setinggi-tingginya dalam azan selewpas menyebut nama Allah:

َأَشْهَدُ أنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُه

Terjemahan: “Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad hamba dan pesuruhNya”

Ayat-ayat dalam surah al-Duha terdahulu dan bedberapa ayat dalam surah al-Syarh ini mengangkat Nabi saw ke tahap yang tinggi, tetapi ketinggian yang diangkat itu tidak sampai ke peringkat Tuhan atau menyamai Tuhan, sebagaimana yang didakwa umat terdahulu terhadap Nabi-nabi mereka.

Ayat ini meskipun jelas Nabi Muhammad saw itu hamba Allah, sepatutnya tidak ada lagi yang masih keliru, lalu mendakwa bahawa Nabi Muhamad adalah nur yang qadim dan azali, lalu terjebak dalam pemikiran wahdat al-wujud yang boleh membawa kepada kesesatan kerana tidak dapat membezakan di antara kemuliaan Nabi Muhammad yang dianugrah Allah kepadanya dengan kemuliaan zatnya dan syahsiahnya. Nabi Muhammad mulia dengan anugrah bukan dengan zatnya sebagai makhluk ciptaan. Di sini sesetengah kaum sufi terkeliru, lalu mendakwa bahawa Nabi Muhammad qadim dan memalsukan hadis bagi mengukuhkan kepercayaan mereka kepada Nur Muhammad.

Allah melapangkan dada Nabi dengan iman, dengan keyakinan dan dengan risalah sehingga Nabi dapat mengahadapi dan mengubahkan masyarakat Jahiliayah yang keras dan degil kepada masyarakat yang beriman dan berakhlak mulia.

Hati Rasulullah saw terbuka dan lapang dadanya dengan peristiwa yang lalu dan akan datang, lalu diterimanya debgan cekal dan tabah hati serta sedia mengatasi apa jua cabaran yang mungkin berlaku. Meskipun zaman silih berganti,kejadian sentiasa berubah dan bertukar, namun Nabi Muhammad saw tetap dengan prinsip-prinsip kebenaran yang dianugrah Allah kepadanya, baginda dengan anugrah itu tetap memimpin manusia dengan syariatnya yang kekal dan terus hingga ke akhir hayat.

Nabi kita saw dianugrahkan kelapangan dada dengan para sahabat yang mengikut jejaknya, dengan tabi`in yang mewarisi perjuangan dan dengan umat Islam yang menghayati tinggalannya serta mengikuti pedoman dan ajarannya.

Nabi Muhammad diberi kelapangan dada, lalu dia dapat menjelaskan dengan tepat dan padat. Kitab-kitab yang ditulis oleh ulama silam yang berupa matan, disyarahkan kemudiannya oleh ulama, maka bertamabah jelas lagi apa yang dahulunya kurang jelas.

Kedua: Sebahagian ulama mentafsirkan ayat dengan ertinya zahir, iaitu belah sebagaimana yang dilakukan Jibril terhadapnya pada malam Isra` dan Mi`raj. Memang dada Nabi saw dibedah pada malam itu, berpandukan riwayat yang menyatakan Malaikat Jibril datang lalu membawanya pergi untuk dibedah dadanya, kemudian di basuh dan diisikan dengan hikmat dan iman . Peristiwa ini dikatakan berlaku pada malam isra` dan Mi`raj ke langit.

Berkata Ibn Hajar: Sebahagian ulama menolak peristiwa belah dada itu berlaku pada malam Isra` kerana Nabi saw masih kecil dan belum lagi dibangkit menjadi Rasul. Bagaimanapun Ibn Hajar mempertahankan kejadian sebagai berlaku pada malam Isra` kerana peristiwa belah dada berlaku beberapa kali dan pada setiap kejadian ada hikmatnya .

Nabi sebagai seorang pemimpin tidak mungkin menghadapi cabaran demi cabaran tanpa memiliki dada yang lapang. Sesiapa jua dipertanggungjawabkan dengan tugas yang begini besar dan mencabar, kelapangan dadanya juga pastinya lebih besar supaya tidak mudah goyang apabila ditiup angina atau dipukul rebut. Oleh itu, kelapangan dada merupakan anugrah yang terbesar bagi seorang Rasul. Oleh itu, tafsir ini lebih cenderung kepada tafsiran pertama.

(94: 2) Apabila dada menjadi lapang, mudahlah baginya mengatasi segala kesulitan dan kesusahan, bersedialah fikirannya untuk menyelesaikan cabaran yang besar-besar. Segala rintangan dan ujian boleh diselesaikan dengan hikmat dan kebijaksanaan. Mungkin bagi menyatakan maksud ini Allah berfirman:

َووضَعْنَا عَنكَ وِزْرَك

[94: 2] Dan Kami telah ringankan bebananmu.

Perkataan وِزْرٌ ertinya beban. Daripada perkataan ini datangnya perkataan الْوَزِيرُ ertinya menteri kerana dia memikul beban pemerintah. Dosa juga disebutkan وِزْرٌ kerana dosa memberatkan pelakunya.

Apakah bebanan yang diringankan daripada Nabi Muhammad saw? Sesetengah mufassirin menyatakan bebanan yang dimaksudkan ialah bebanan dakwah yang amat berat dengan melapangkan dadanya dan dengan memberikan taufik dan kemudahan melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan tugas-tugasnya dalam dakwah.

Sebahagian mufassirin yang menyatakan beban yang dimaksudkan ialah beban cintakan dunia dan takutkan kesempitannya. Kedua-daua tafsiran itu boleh diterima dalam konteks ayat ini, meskipun terfsiran yang pertama lebih tepat kerana masalah kerasulan, kenabian serta menyeru kepada tauhid dan membersihkan masyarakat daripadsa kotoran al-fasad (kemusnahan) adalah sesuatu yang sangat berat. Nabi-nabi terdahulu juga memikul beban ini dan mereka juga menyatakan beratnya masalah ini.

(94: 3) Tanggungan yang berat menjadikan denyutan jantung cepat, mengah dan penat. Berdakwah memang penat, kadang-kadang bukan sahaja jiwa tetapi juga fizikal. Nabi s.a.w. diringankan kepadanya beban ini kerana Allah melapangkan dadanya dengan iman, yakin dan tawakkal.

الَّذِي أَنقَضَ ظَهْرَكَ

[94: 3] Yang telah memberatkan tanggunganmu?

Persoalan di sini ialah apakah perkara yang membertakan Nabi saw, sama ada yang membebankan tenaga manusia atai jiwa mereka? Jika ayat pertama kita berikan erti lapang dada dengan erti ma`nawi, maka di sini sayugia ditafsirkan secara maknawi. Jika ditafsirkan ayat pertama secara zahir, maka di sini juga sebaik-baiknya diserasikan.

Kita boleh bayangkan betapa beratnya menanggung beban dakwah sebagaimana dalam ucapan Nabi Syu`aib as tatkala beliau memberitahu kaumnya tentang matlamat dari usahanya itu:

إِنْ أُرِيدُ إِلاَّ الإِصْلاَحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلاَّ بِاللّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Terjemahan: Aku tidak mempunyai tujuan yang lain melainkan untuk melakukan islah sedaya upayaku, dan aku tidfak mengharapkan kejayaanku melainkan dengan taufiq dari Allah, kepadaNya aku berserah dan kepadaNya aku kembali.

Bagaimana bebanan Nabi saw diringanlan? Ibn `Ashur memberi dua jawapan:


Pertama: Menerusi hidayat kepada jalan yang lurus, sehingga padam kerisauannya memikir hal kaumnya. Ini diisyaratkan juga dalam firman Allah:


وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَى

Terjemahan: Dan bukankah Dia mendapati kamu dahulu tiada pedoman, lalu Dia memberi hidayat kepadamu?

Kedua: Menerusi jaminan sara hidupnya yang mengganggu perjalanan dakwah kerana memikirkan hal-hal peribadi. Ini diisyaratkan juga menerusi firman Allah:

َوَوجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَى

Terjemahan: Dan bukankah Dia mendapati engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan?


(94: 4) Apabila hati seseorang itu suci kepada Tuhannya, dirinya bebas daripada ikatan nafsu dan dunia, maka dia seolah-olah telah melepasi sekatan dan dengan sendiri namanya disebut-sebut dalam majlis ysng dihadiri para malaikat, di bumi pula namanya disertakan dengan nama Allah iaitu dalam syahadah yang merupakan pintu masuk agama Islam, ketaatan kepadanya menjadi lanjutan kepada ketaatan kepada Allah, sabdanya, sunnahnya, sirahnya dan akhlaknya menjadi sebahagian daripada hukum-hukum yang wajib dipatuhi.
َورَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ

[94: 4] Dan Kami telah angkatkan namamu?

Namanya disebut ketika azan dikomandang pada setiap kali masuknya waktu salat, nama Muhammad sangat kerap disebut bukan sahaja di kalangan umat Islam yang beriman kepada Nabi dan Rasul, bahkan di kalangan kaum bukan Islam juga terkenal dan selalu disebutnya, sama ada sebelum dan selepas baginda dibangkitkan. Ketinggian mertabat baginda dimadahkan oleh Hassan Ibn Thabit:

أَغَرَّ عَلَيْهِ لِلنُّبُوَّةِ خَاتَمٌ
مِنَ اللَّهِ مَشْهُودٌ يَلوُحُ وَيَشْهَدُ
وَضَمَّ الإلَهُ اسْمَ النَّبِيِّ مَعَ اسْمِهِ
إِذَا قَالَ فِي الْخَمْسِ الْمُؤَذِّنُ أَشْهَدُ

Terjemahan:

Tanda penutup enutup kelihatan jelas pada Nabi,
Dari Allah dia bersaksi dan dia disaksi .
Nama Muhammad disebut Allah berganding naman-Nya
Ketika mu`azzin lima waktui bangun bersaksi .
Sebutan nama Nabi bergandingan dengan nama Allah dalam kalimah syahadah ketika berkumandangnya azan merupakan satu kedudukan yang paling tinggi dan tidak mungkin ditandingi mana-mana Nabi sebelumnya. Sebutan yang mengandungi erti cinta dan kasih saying ini bukan sahaja meniti di bibir umat Islam pada masa hayatnya, tetapi bersambung hingga selepas waftanya, melalui generasi demi generasi, abad demi abad yang berpanjangan.

Pengajaran dan Saranan

1: Jiwa Nabi saw mengalami kesulitan dalam usaha menyebarkan dak`wah yang dituhaskan kepadanya.
dipikul Nabi saw diringankan dengan melapangkan dada Nabi dan dengan taufik dari Allah.

4: Nama Nabi diangkat ke langit untuk disebut dalam majlis bersama para malaikat. Sebutan ini bukti tingginya kedudukan Nabi.

2: Dada Nabi saw sebak kerana besarnya halangan yang menyekat perjalanan dakwah yang disampaikannya.


3: Bebanan dakwah yang dipikul Nabi saw diringankan dengan melapangkan dada Nabi dan dengan taufik dari Allah.

4: Nama Nabi diangkat ke langit untuk disebut dalam majlis bersama para malaikat. Sebutan ini bukti tingginya kedudukan Nabi.