. Untuk mendapat komen dari penulus sila sertakan nama penuh dan alamat. Pastikan anda meletakkan nama penulis dan penerbit asal artikel bersama URL berkaitan. Sebarang penerbitan bertujuan kommersial hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis.Sila email sebarang kemusyikilan anda:alhayy@yahoo.com - Jika hendak mendapatkan maklum balas dari punulis setiap soalan hendaklah mengandungi sekrang kurangnya nama penuh. TERKINI: Pendidikan Sex dan Surah Annur - Ayat 1 Klik sini Pengenalan Annur - Ayat 1 Klik siniSambungan atau dalam google hanya taip Dr Hayei

Friday, July 16, 2010

Pentafsiran Surah al-Tin Ayat 1 Hingga Ayat 3

بسم الله الرحمن الرحيم
PENTAFSIRAN  AYAT (1-3)


وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ* وَطُورِ سِينِينَ * وَهَذَا الْبَلَدِ الْأَمِينِ *
Terjemahan:

[95: 1] Demi buah tin dan zaitun,

[95: 2] Dan demi gunung Tur Sina,

[95: 3] Dan demi negeri (Makkah) yang aman ini;

Uslub Sumpah Dalam al-Qur`an

Sumpah merupakan salah satu daripada uslub al-Qur`an bagi menyampai atau mengukuhkan sesuatu konsep supaya sebati dengan naluri, akal dan jiwa pihak kedua yang ingin diberi kefahaman dengan jelas, terang dan meyakinkan.

Uslub sumpah merupakan uslub yang diguna pakai secara meluas dan menyeluruh sejak zaman jahiliah apabila mereka ingin memperkukuhkan sesuatu ucapan yang berupa pengakuan atau tatkala membuat sesuatu kenyataan. Bagaimanapun al-Qur`an mempunyai uslubnya sendiri apabila bersumpah, sesuai dengan pendekatannya yang tinggi dan objektifnya yang agung.

Allah swt bersumpah di dalam al-Qur`an dengan berbagai-bagai bahan, termasuk zat Allah swt sendiri, dengan al-Qur`an dan pelbagai makhluk ciptaan-Nya. Dikemukakan di sini contoh-contoh sumpah dan bahan-bahan yang dipilih untuk bersumpah dengannya.

1: Bersumpah dengan zat Allah, firman-Nya:

تَاللَّهِ لَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَى أُمَمٍ مِنْ قَبْلِكَ [626]
Terjemahan:Demi Allah! Sesungguhnya kami telah pun mengutuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang sebelummmu”
2: Sumpah dengan al-Qur`an dan al-Kitab al-Mubin. firman Allah:
يس * وَالْقُرْآَنِ الْحَكِيمِ [627]
Terjemahan: Yaa Siin, Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat
3: Bersumpah dengan masa, seperti firman Allah:
وَالْعَصْرِ * إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ
Terjemahan: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
Dan firman-Nya:
وَالْفَجْرِ * وَلَيَالٍ عَشْرٍ[628]
Terjemahan: Demi waktu fajar Dan malam yang sepuluh
4: Bersumpah dengan tempat, seperti firman Allah:

وَطُورِ سِينِينَ * وَهَذَا الْبَلَدِ الْأَمِينِ [629]
Terjemahan: Dan Gunung Tursina dan demi negeri (Makkah) yang
aman ini,


5: Bersumpah dengan para Malaikat, seperti:
وَالنَّازِعَاتِ غَرْقًا * وَالنَّاشِطَاتِ نَشْطًا * وَالسَّابِحَاتِ سَبْحًا * فَالسَّابِقَاتِ سَبْقًا * فَالْمُدَبِّرَاتِ أَمْرًا *[630]
Terjemahan: “Dan demi Malaikat yang bergerak pantas. Dan demi Malaikat-malaikat
yang bergerak laju. Lalu masing-masing berlumba-lumba dahulu-mendahului.Setta
menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya
6: Bersumpah dengan makhluk dan alam cakrawala, seperti:

وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا * وَالْقَمَرِ إِذَا تَلَاهَا[631]
Terjemahan: Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang;
Dan bulan apabila ia mengiringinya;

7: Bersumpah dengan makhluk-makhluk Allah di bumi seperti buah dan pokok-pokok. Sebagai contoh:
وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ[632]
Terjemahan: “Demi buah tin dan buah zaitun”.
Dan firman-Nya:
وَوَالِدٍ وَمَا وَلَدَ[633]
Terjemahan: “Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang dilahirkannya”

8: Bertsumpah dengan Nabi seperti firman-Nya:
لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِي سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ.[634]

Terjemahan: Demi umurmu (Muhammad), sesungguhnya mereka membuta
tuli dalam kemabukan maksiat mereka.

9: Bersumpah dengan hari Kiamat, seperti:
وَالْيَوْمِ الْمَوْعُودِ[635]
Terjemahan: Dan demi hari (Kiamat) yang dijanjikan;

Sumpah dengan bahan-bahan yang pelbagai ini membantu bagi mengindahkan pengungkapan dan mempunyai keistimewaannya sendiri jika digunakan mengikut kesesuaian masa dan tempat.

Satu perkara sering dibangkitkan dalam konteks sumpah iaitu apa hukumnya bersumpah dengan selain Allah seperti dengan bukit, pokok-pokok dan buah-buahan serti tin, zaitun dan sebagainya, tidakkah sumpah ini satu bentuk pemujaan kepada sesuatu selain Allah?

Ulama memandang serius sumpah ini kerana termasuk dalam amalan mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tidak memberi sebarang manfaat dan mudarat. Atas dasar ini mereka menolak sumpah dengan makhluk. Ada pendapat menyatakan, sumpah dengan makhluk diharuskan, tetapi hendaklah dita`wilkan dengan Tuhan pencipta makhluk berkenaan. Bagi pihak Allah pula tiada halangan bersumpah dengan apa-apa dan sesiapa jua makhluk yang dikehendaki-Nya. Bagi manusia, bersumpah hanya dibolehkan dengan menggunakan nama Allah sahaja. Adapun bersumpah dengan selain-Nya adalah haram. Mereka berhujah dengan sabdaNabi:
مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ كَفَرَ أَوْ أَشْرَكَ [636]
Terjemahan: “Sesiapa bersumpah dengan sessuatu selain Allah,
maka sesungguhnya dia telah kufur atau syirik”.

Keindahan Uslub Sumpah


Dijelaskan terdahulu sumpah dalam al-Qur`an membawa maksud memperkukuhkan kenyataan supaya pihak kedua dapat menerima dengan lebih mudah, serasi dengan kehendak akal dan naluri mereka. Dari aspek ke dua pula uslub sumpah menambahkan lagi nilai keindahan dalam pengungkapan jika bersesuaian dengan tempat dan keadaan.

(95: 1-3) Bersama kita ayat 1-3 surah al-Tin sebagai contoh sumpah yang menambahkan nilai keindahan uslub. Di sini Allah swt bersumpah dengan buah tin dan zaitun, bukit Tursina dan negeri Makkah. Bahan-bahan ini mempunyai mesej, keutamaan dan nilai keindahannya sendiri dalam sejarah manusia, terutama para Rasul bersama umat masing-masing.

Bahan-bahan sumpah di sini ialah buah tin, buah zaitun, bukit Tur Sina dan negeri Makkah.
وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ* وَطُورِ سِينِينَ * وَهَذَا الْبَلَدِ الْأَمِينِ *

[95: 1] Demi buah tin dan zaitun,

[95: 2] Dan demi gunung Tursina,

[95: 3] Dan demi negeri (Makkah) yang aman ini;
Surah al-Tin merupakan satu-satunya surah yang diberi nama sejenis buah. Buah ini disebut sekali, bukan sahaja di dalam surah ini, malah di dalam al-Qur`an seluruhnya. Ini berbeza dengan buah zaitun dan minyaknya yang disebut 7 kali di dalam al-Qur`an. Kalangan mufassirin berasa aneh dengan sumpah ini kerana Allah swt tidak bersumpah, kecuali dengan sesuatu yang ada kepentingan, keistimewaan, banyak berkat dan menyeluruh faedahnya. Oleh itu, apa istimewanya dua jenis buah ini?

Tiada jawapan yang putus sama ada daripada al-Qur`an atau Hadis Sahih menyatakan keistimewaannya, sama ada dari segi kesihatan, mahu pun perubatan. Bagaimanapun kita tidak lupa, malah selalu mengikuti hasil kajian dan penemuan oleh ulama dan pakar-pakar dalam bidang pemakanan dan tumbuh-tumbuhan, mereka telah menemui banyak khasiat dan faedah terkandung dalam dua jenis buah ini seperti tin menjadi ubat luka, sukar membuang air besar dan banyak lagi. Buah zaitun dan minyaknya pula sangat baik diguna pesakit-pesakit jantung, kenser, kolestrol kerana kaya dengan unsur-perubatan. Insya Allah kita akan menyentuhnya selepas ini sebahagian daripada hasil kajian dan penemuan daripada dua jenis buah ini.

Meskipun penemuan khasiat tin dan zaitun cukup membanggakan para pengamal perubatan al-Qur`an, namun penemuan ini belum cukup untuk dijadikan alasan kepada pemilihannya sebagai bahan sumpah yang layak disebariskan dengan bukit Tur Sina, tempat Nabi Musa as bermunajat dengan Tuhannya dan negeri Makkah bumi kelahiran Nabi Muhammad saw dan tempat wahyu diturunkan kepadannya.

Kalangan mufassirin mempunyai pelbagai tafsiran tentang dua jenis buah ini dan sukar untuk dicari titik persamaan antara satu dengan lain. Bagaimanapun masing-masing mempunyai hujah untuk mempertahankan pendapat mereka. Pada hemat penulis, percanggahan pendapat itu boleh dibahagikan kepada dua pemikiran:

Pertama: Pemikiran yang memahaminya dengan erti zahir dan harfiyah al-Qur`an. Kedua: Pemikiran yang memahaminya dengan erti isyari (simbolik). Setiap pemikiran ini pula mempunyai pendangan yang berbeza pada menentukan maksud dari simbol tin dan zaitun dalam sumpah surah ini.
Pemikiran pertama yang mendukung pendapat maksud tin dan zaitun adalah mengikut harfiyah nas yang membawa makna sejenis buah seperti yang diketahui umum. Pendukung pemikiran ini terdiri daripada sebahagian ulama salaf seperti Ibn Abbas, al-Hasan, Mujahid, `Ikrimah, Ibrahim al-Nakha`i, `Ata’ ibn Abu Rabah, Jabir ibn Zayd, Muqatil dan al-Kalibi. Mereka berhujah dengan riwayat Ibn Abbas ra katanya:
هُوَ تِينُكُمُ الَّذِي تَأْكُلُونَ، وَزَيْتُونُكُمُ الَّذِي تَعْصِرُونَ مِنْهُ الزَّيْتَ[637]
Terjemahan: “.. itulah buah tin yang kamu makan dan zaitun yang kamu
suling untuk mendapatkan minyak daripadanya”.

Tafsiran zaitun dengan erti buah ada hubungannya dengan ayat yang menyatakan faedah minyak zaitun sebagai lauk yang menyelerakan pemakannya, firman Allah:


وَشَجَرَةً تَخْرُجُ مِنْ طُورِ سَيْنَاءَ تَنْبُتُ بِالدُّهْنِ وَصِبْغٍ لِلْآَكِلِينَ[638]

Terjemahan: Dan sejenis pokok yang asal tumbuhnya di kawasan Gunung
Tursina yang mengeluarkan minyak dan lauk kepada para pemakan”.

Diriwayat daripada Abu Dharr al-Ghifari ra, beliau menghadiahkan sebakul buah tin kepada Nabi saw dan berkata kepadanya: “Sila makan”. Lalu Nabi makan dan bersabda:
لَو قُلْتُ إنَّ فَاكِهَةً نَزَلَتْ مِنَ الْجَنَّةِ لَقُلْتُ هَذِهِ هِيَ، لأنَّ فَاكِهَةَ الْجنَّةِ بِلاَ عَجَمٍ، فَكُلُوهَا فَإنّهَا تَقْطَعُ الْبَوَاسِيرَ، وَتَنْفَعُ مِنَ النَّقْرَسِ[639]
Terjemahan: “Jika aku katakan ada buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakana inilah buahnya, kerana buah-buah dalam syurga tiada bijinya, makanlah buah tin kerana memutus (menyembuh)kan bawasir dan berfaedah kepada sakit sengal-sengal tulang”.

Mu`adh Ibn Jabal selalu bersugi dengan ranting zaitun. Beliau menyatakan, Aku dengar Rasulullah saw bersabda:

نِعْمَ السِّوَاكُ الزَّيْتُونُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ ، يُطَيِّبُ الْفَمَ، وَيُذْهِبُ بِالْحَفَرِ هُوَ سِوَاكِي، وَسِوَاكُ الأَنْبِيَاءِ قَبْلِي [640]
Terjemahan: Sebaik-baik batang sugi ialah ranting Zaitun daripada pokok yang
membawa barakah, ia berfaedah bagi mewangikan mulut, menghilangkan kuning
pada gigi. (Ranting Zaitun) ialah kayu sugiku dan kayu sugi nabi-nabi sebelumku”

Pemikiran kedua pula didukung oleh al-Dahhak, Ka`b al-Ahbar dan lain-lain, tetapi mereka berbeza pandangan pula pada menentukan maksud simbol tin dan zaitun. Sebahagian mereka menyatakan tin dan zaitun ialah simbol dua bukit di Palestin. Bukit ini disebut Tur Tina dan sebuah lagi disebut Tur Zita dalam bahasa Suryani. Allah bersumpah dengan tin dan dan zaitun, tetapi hakikatnya dua bukit di Palestin. Ada pendapat menyatakan tin dan zaitun simbol simbol masjid, kemudian mereka berbeza pula tentang masjid yang dimaksudkan. Ada lagi pendapat menyatakan tin dan zaitun adalah simbol kepada dua bumi kelahiran para Nabi iaitu Syam dan Palestin[641].

Al-Tabari dan al-Qurtubi mentarjihkan pandangan pertama, iaitu buah tin dan zaitun yang dimaksudkan ialah buah dengan erti harfiahnya tanpa takwilan kepada sesuatu yang bukan tin dan zaitun kerana makna secara hakiki tidak boleh ditukar kepada majazi kecuali ada dalilnya[642].

Ibn Taimiah dan Syeikh Jamal al-Din al-Qasimi yang terkenal dengan pelopor mazhab salaf lebih cenderung kepada pandangan kedua, iaitu tin dan zaitun merupakan simbol kepada bumi atau negeri tempat kelahiran para Nabi terdahul. al-Qasimi tatkala mentafsirkan ayat ini memetik pendapat Ibn Taimiah sebagai berkata:

Allah swt bersumpah dengan tin dan zaitun, iaitu bumi Palestin yang tumbuh subur padanya dua jenis buah ini. Di bumi ini al-Masih `Isa dibangkit dan diturunkan kitab suci Injil dan Allah bersumpah dengan zaitun, iaitu bukit Tur Sina yang menjadi tempat Nabi Musa bermunajat dan dengan negeri Makkah yang aman [643]. Tafsiran tin dan zaitun dengan bumi Palestin, diikuti dengan sumpah dengan bukit Tur Sina dan kemudiannya disusuli dengan negeri Makkah membawa erti yang cukup jelas dan indah dalam ungkapan sumpah dengan tiga tempat yang sangat bersejarah dalam riwayat hidup para Nabi terdahulu.

Tafsir Pedoman pada dasarnya cenderung kepada pemikiran Ibn Taimiah dan al-Qasimi yang memilih tafsiran buah tin dan zaitun dengan erti isyari. Bagaimanapun tafsiran yang dirujuk kepada Ibn Taimiah ini kehilangan satu sumpah, kerana beliau menggabungkan tin dan zaitun sebagai satu sumpah yang membawa isyarat kepada bumi Palestin.

Andainya dua bahan sumpah yang pertama dan kedua ini dikekalkan sebagai dua sumpah yang berasingan, lalu menjadi empat sumpah semuanya. Tafsir ini berpendapat empat sumpah lebih indah dan menarik lagi, iaitu mengekalkan tin dan zaitun sebagai dua isyarat yang berasingan, di samping dua lagi, iaitu bukit Tur Sina dan negeri Makkah yang aman.

Empat sumpah ini adalah isyarat kepada empat era kebangkitan Nabi:

1: Tin adalah simbol bumi Palestin yang mempunyai hubungan sejarah dengan Nabi Adam dan Nuh as. Adam as. sebagaimana dinyatakan dalam Taurat, pernah berteduh di bawah bayang pokok tin dan menjahit pakaian dia dan isterinya daripada daun tin, tatkala mula mengambil tempatnya di bumi[644]. Sumpah dengan tin merupakan simbol kepada Adam sebagai bapa pertama makhluk manusia. Sesetengah Tafsir pula menyatakan tin adalah simbol Masjid Nabi Nuh as yang dibina di daratan al-Judi selepas taufan besar yang mengorbankan seluruh umatnya kecuali orang yang menyelamatkan dirinya di atas perahu besar Nabi Nuh[645]. Dua Nabi yang mempunyai hubungan tradesi dengan bumi Palestin ini merupakan pengasas atau pembina fasa pertama bagi kehidupan manusia di bumi.

2: Buah zaitun dalam sumpah ini adalah isyarat kepada Nabi Allah Ibrahim as sebagai pembina manusia pada fasa kedua [646]. Nabi Ibrahim as merupakan bapa tauhid dan menurut sesetengah riwayat beliau adalah pembina pertama masjid al-Aqsa[647].

3: Bukit Tur Sina adalah isyarat kepada Nabi Musa as, di sini beliau menerima wahyu Taurat dan bermunajat dengan Tuhannya. Nabi Musa as adalah Pembina umat Yahudi bagi fasa ketiga.

4: Negeri Makkah merupakan tempat lahir Nabi penutup semuan Nabi dan tempat turun wahyu al-Qur`an. Sumpah dengan negeri Makkah yang aman adalah merupakan fasa ke empat dalam sejarah perjalanan umat ini.

Sebagai kesimpulan, surah al-Tin ini dimulakan dengan empat sumpah yang mengisyarakan kepada empat era kebangkitan para Nabi dilakukan untuk mengukuhkan suatu hakikat bahawa manusia diciptakan dalam bentuk kejadian yang seindah-indahnya, kemudian mereka jatuh pada tahap yang paling rendah kerana amal dan perbuatan mereka yang salah. Sumpah ini merupakan salah satu uslub yang membawa nilai keindahan yang tinggi. Bagaimapun ia bergantung pada tafsiran secara Isyari, keindahan seumpama ini tidak ketara jika makna tin dan zaitun terbatas kepada buah yang biasa dimakan.

Keindahan empat sumpah ini ketara sekali apabila isyatnya merujuk kepada para Nabi yang bermula dengan Adam yang diikuti dengan ribuan Nabi dan Rasul hingga berakhir dengan Nabi Muhammad saw. Sumpah ini bagaikan gabubngan suara para Nabi, mereka bergabung dengan satu suara untuk menyatakan dakwah mereka satu, agama mereka juga satu. Tafsiran ini secara terus terang menyatakana kepada dunia luar bahawa negara-negara tidak dapat dipisahkan antara satu dengan lain.

Buah Tin dan Zaitun
Dalam Sejarah dan Prubatan Klasik

Dua jenis buah, tin dan zaitun mendapat kedudukan Istimewa dalam surah ini, tetapi tin lebih istimewa kerana dipilih untuk dijadikan nama surah ke 95 ini. Apa pun tafsiran tin dan zaitun di dalam surah ini, keistimewaannya tidak dapat dinafikan sama ada nama buah-buahan atau simbol sesuatu konsep seperti yang di perkatakan terdahulu.

Buah Tin

Buah tin atau buah ara dalam bahasa Melayu dan buah fig dalam bahasa Inggeris merupakan nama yang terkenal sebelum kedatangan Islam lagi, ia digunakan sebagai ubat-ubatan dan makanan berkhasiat sama ada yang sudah dikering atau yang masih segar. Bumi asli bagi pokok yang digemari ramai ini ialah kawasan-kawasan di Parsi, Asia, Sirya dan Lubnan. Bangsa Fenisia menggunakan buah ini sebagai bekalan dalam perjalanan mereka sama ada di laut atau di darat. Pokok tin kini ditanam secara meluas di pinggir tasik di pesisiran Laut Mediterranean dan di kebanyakan negara-negara bercuaca panas dan sederhana.

Buah tin merupakan makanan utama dan harian di kalangan bangsa Yunani Purba. Ahli sukan menjadikan buan tin sebagai pilihan mereka kerana dipercayai buah ini menambahkan kekuatan fizikal. Kerajaan Yunani Purba pada ketika itu melarang dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang mengekspot buah-buah bermutu tinggi termasuk buah tin yang diberi julukan raja buah-buahan.

Menurut hasil kajian sebuah Pusat Perubatan yang disiarkan oleh harian al-Raya, Qatar, buah tin selain kaya dengan kalsium dan potasium juga mengandungi zat benzaldehyde yang sangat berfaedah melawan sel-sel kanser.

Di dalam buah tin yang rasanya manis itu juga mengandungi zat yang sangat penting bagi tubuh manusia karena dapat mengurangi kolesterol jahat, menguatkan jantung dan menormalkan pernafasan bagi penghidap penyakit asma atau sesak nafas.
Buah ini mudah dicerna oleh alat pencernaan, bermanfaat untuk mengobati kesulitan mebuang air besar, bermanfaat juga kepada hati dan limpa. Penelitian tentang kandungan benzaldehyde dalam buah tin sebenarnya telah disebutkan dalam jurnal yang dimuat dalam website Cancer Cure Foundation. Website ini menyebutkan bahwa kajian yang dilakukan para ahli dari Institute of Physical and Chemical Research di Tokyo menunjukkan benzaldehyde terbukti efektif dalam mengurangkan tumor.
Selain itu, Departemen Pertanian Amerika Serikat menyebutkan buah tin mengandungi berbagai-bagai nutrisi mulai dari vitamin A, C, kalsium, magnesium hingga potasium. Buah ini juga baik dimakan bagi menambahkan selera makan dan membantu usaha penurunan berat badan. Jus buah tin juga merupakan minuman yang sangat baik untuk membunuh bakteria yang membahayakan.
Buah Zaitun

Sebagaimana keistiumewaan buah tin, buah zaitun juga istimewa dengan sebutan sebanyak tujuh kali di dalam al-Qur`an[648]. Kekerapan ini menunjukkan pentingannya buah zaitun kepada manusia, terutama para pengamal perubatan al-Qur`an, sama ada sebagai makanan, ubat-ubatan atau iktibar dari bentuk pokoknya yang indah, usianya panjang, berbuah sepanjang tahun, sekalipun hidupnya terbiar.

Pokok zaitun atau nama botaninya dikenali sebagai Oleaeurofea ditanam di kawasan Meditranean tetapi tempat penanaman yang paling utama ialah Sepanyol, Turki, Itali, Tunisia dan Morocco. Di dalam surah al-Nur ayat 35 Allah membuat liputan istimewa tentang zaitun, firmannya:


اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ نُورٌ عَلَى نُورٍ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ[649]

Terjemahan: “Allah adalah cahaya langit dan bumi. Perbandingan cahayanya laksana “misykaat” yang berisi sebuah lampu yang amat terang di dalam geluk kaca, geluk kaca itu pula jernih terang laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak berkatnya, iaitu pokok zaitun yang tumbuh tidak di sebelah Timur dan tidak pula di sebelah Barat. Minyaknya sahaja hampir mrmancarkan cahaya yang terang walau pun belum disentuh api. iaitu cahaya yang berlapis cahaya. Allah menunjukkan cahayanya kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dan Allah membuat perbandingan- perbandingan kepada umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”

Nabi saw juga menyebut dalam sabdanya:

كُلُوا الزَّيْتَ وَادَّهِنُوا بِهِ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ[650]
Terjemahan: Makanlah kamu minyak zaitun dan gunakanlah minyak zaitun
untuk kosok badan kerana buanya daripada pokok yang banyak berkat.

Buah dan minyak zaitun dalam kajian semasa mempunyai nilai-nilai pemakanan dan perubatan yang cukup tinggi. Dari segi pemakanan ia bertindak sebagai penambah zat makanan, pencuci dan pembaik pulih perut dan menjadi penawar racun. Ia juga membantu pesakit gastrik dan pesakit yang menghadapi masalah buah pinggang yang tidak berfungsi. Minyak zaitun juga boleh disapu di bahagian luar, ia bertindak sebagai pelicin dan pelembut kulit yang mengalami ekzema dan seterusnya dapat meremajakan kulit.

Pakar-pakar sains pemakanan berpendapat, minyak zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelasifikasikan sebagai monounansaturated yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah. Satu kajian dijalankan oleh pakar- pakar kesihatan di Institut Sains Kesihatan, Universiti Oxford mendapati hubungan antara kanser dan akibat pemakanan seseorang sangat kukuh. Negara yang mengamalkan pengambilan daging yang begitu kerap di samping rendah pengambilan sayur-sayuran mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi tetapi pengambilan minyak zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut.

Menurut pakar-pakar perubatan klasik, mutu minyak zaitun adalah bergantung kepada pokok yang menghasilkannya. Sebagai contoh, jenis yang terbaik adalah minyak zaitun yang dikeluarkan daripada buah yang masak ranum, manakala minyak daripada buah zaitun yang muda, tabiatnya sejuk dan kering. Buah zaitun yang telah masak ranum lebih mujarab. Oleh itu, jika ia diproses menggunakan air akan menjadikannya kurang panas, bertindak dengan lembut dan lebih berkhasiat. Bagaimanapun, semua jenis minyak zaitun berkhasiat bagi melembutkan kulit serta melambatkan proses penuaan. Di samping itu, minyak zaitun dapat melawan racun di dalam badan dengan bertindak sebagai julap dan mengenyahkan cacing di dalam perut.

Minyak zaitun mempunyai unsur antioksida yang tinggi di samping mampu mencegah proses radang dan pembekuan darah. Oleh itu, pengambilan minyak zaitun amat bermanfaat untuk mencegah daripada serangan jantung. Kajian juga menunjukkan manfaat bagi kecantikan, ia seringkali dihebahkan di dada akhbar mahupun media elektronik. Ini kerana, banyak syarikat kosmetik menggunakan minyak zaitun sebagai bahan asas ramuan dalam pembuatan barangan kecantikan.

Para pengamal minyak zaitun mengingatkan supaya berwaspada dengan minyak zaitun tiruan yang banyak dijual dengan tawaran harga yang murah. Untuk membezakan di antara asli dan tiruan, letakkan beberapa titik minyak itu di atas tapak tangan anda, kemudian gosokkan dua tapak tangan selama satu minit, jika minyak dirasai panas dan mengeluarkan baunya yang agak kuat, maka itu antara tanda keaslian minyak zaitun. Selain itu warnanya hijau tua seperti warna daun.

Minyak ini juga dinasihatkan supaya disimpan di tempat-tempat yang suhunya tidak terlalu sejuk dan panas kerana ia boleh menjejaskan keaslian minyak dan kekesanannya, malah ada kemungkinan mendatangkan mudarat kepada pengambilnya.

(95: 2) Indahnya hidup di kaki gunung yang dilitupi pokok-pokok besar kerana gunung dan pokok-pokok melambangkan kekuatan dan kenyamanan udara. Justeru, selepas bersumpah dengan buah tin dan zaitun yang lazat dan berkhasiat, diikuti pula dengan sumpah dengan bukit yang ada pokok-pokok itu padanya.
وَطُورِ سِينِينَ*
[95: 2] Dan demi gunung Tur Sina,


Turi Sinin ertinya bukit Tur Sina yang terletak di Semenanjung Sina. Di sini banyak pokok-pokok zaitun dan di sini juga Nabi Musa as bermunajat dengan Tuhannya. Sinin atau Saina` ertinya bukit yang membawa barakah, atau bukit yang banyak pokok atau bukit yang indah[651]. Berkata Muqatil dan al-Kalibi: Sinin ialah bukit yang ada padanya pokok yang berbuah[652].

(95: 3) Sumpah dengan Tin, Zaitun dan Gunung Tur Sina begitu serasi antara satu dengan lain dan juga serasi dengan negeri Makkah yang aman sentosa:
وَهَذَا الْبَلَدِ الْأَمِينِ*

[95: 3] Dan demi negeri (Makkah) yang aman ini;

Mufassirin sepakat berpendapat maksud al-balad al-amin ialah negeri Makkah, bumi kelahiran Nabi Muhammad saw. Sebahagian Mufassirin seperti yang disebutkan terdahulu berpendapat sumpah ini dan tiga sumpah terdahulun isyarat kepada empat negeri yang disebar padanya syariat para Nabi bermula dengan Nabi Adam as hingga Nabi Muhammad saw melalui ribuan para Nabi.

Makkah Rantau Aman Selama-lamanya

Mufassirin telah mencapai kata sepakat pada mentafsirkan maksud al-balad al-amin, iaitu negeri Makkah yang aman, sekalipun mereka tidak sepakat pada mentafsirkan maksud tin, zaitun dan Tur Sinin.

Negeri Makkah adalah negeri aman, negeri orang mu`min dan beramal salih, negeri Nabi Ibrahim as yang telah berdoa khas supaya penduduk di negeri ini dilindungi keamanan dan dicintai. Allah merakamkan doa Nabi Ibrahim dalam firman-Nya:

رَبِّ اجْعَلْ هََذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُم بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ[653]

Terjemahan: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri Makkah ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya iaitu kepada golongan yang beriman kepada Allah dan hari akhirat”
Dirakamkan lagi:
رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آَمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَنْ نَعْبُدَ الْأَصْنَامَ[654]
Terjemahan: “Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman dan jauhkan daku dan anak cucuku dari menyembah berhala.
Dipanjangkan lagi doanya:
رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ[655]
Terjemahan: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari keturunanku di sebuah lembah yang tidak mempunyai tanaman, di sisi rumahMu yang dihormati, wahai Tuhan kami, supaya mereka mendirikan sembahyang. Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik kepada mereka dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur”.
Doa Nabi Ibrahim Diperkenan Allah
Doa Nabi Ibrahim as ini telah mendapat perkenan Allah swt. Ini boleh disaksikan dari maspek-aspek berikut:
Pertama: Allah swt menukarkan bumi Makkah yang penduduknya terdiri daripada kaum yang suka berperang dan membunuh antara satu dengan lain. Buminya kering kuntang, tiada kemudahan dan jauh dari manusia. Persekitarannya tidak aman dari serigala yang berkeliaran menunggu waktu untuk membaham mangsa kepada sebuah penempatan yang aman, dimakmurkan dengan manusia yang beriman dan taqwa serta mengerti nilai-nilai kemanusiaan. Nabi saw bersabda:

".. ‏لَقَدْ كَانَ مَنْ قَبْلَكُمْ .. يُوضَعُ الْمِنْشَارُ عَلَى مَفْرِقِ رَأْسِهِ فَيُشَقُّ بِاثْنَيْنِ مَا يَصْرِفُهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَلَيُتِمَّنَّ اللَّهُ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ ‏ ‏ صَنْعَاءَ ‏إِلَى ‏ ‏حَضْرَمَوْتَ ‏ ‏مَا يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ ‏وَالذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ"[656]
Terjemahan: “ .. Sesungguhnya orang sebelum kamu diletakkan gergaji di atas ubun-ubunnya, lalu dibelah kepada dua bahagian, namun dia tidak berganjak dari prinsip agamanya. Demi Allah! Islam ini akan disempurnakan (dengan membawa rahmat kepada manusia), hinggakan andaiunya seorang berjalan dari San`a` ke Hadramaut, tiada perkara yang ditakutinya kecuali Allah atau takutkan kambingnya dibaham serigala”
Jaminan keselamatan yang dilindungi Islam telah disampaikan oleh Nabi saw dalam perhimpunan nal-Wada`. Bagainda bersabda:

إِنَّ دِمَاءَكُمْ، وَأَمْوَالَكُمْ، وَأَعْرَاضَكُمْ، وَأَبْشَارَكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا[657]
Terjemahan: “Sesunggunya darah kamu,harta benda kamu, kehormatan kamu, barang-brang-brang yang kamu syanginya haram di atas kamu mencerobohinya, seperti haramnya kamu pada hari (raya) ini, dalam bulan kamu dan di dalam (Makkah) negeri kamu ini”
Kedua: Rizeki juga datang melimpah ruah kerana doa Nabi Ibrahim agar dimurahkan rezeki kepada anak cucunya yang tinggal di bumi bertuah itu. Mungnkinkah terlintas di dalam tasawur Nabi Ibrahim as bahawa bumi itu akan menjadi sebuah kawasan yang terkaya di dunia dengan hasil minyak petrolnya?. Mungkin tasawur seumpama itu di luar jangka, namun anaugrah Allah tidak pernah terhingga.
Allah pernah menempelak kaum musyrikin yang risaukan keamanan di negeri ini jika mereka menerima dakwah Nabi saw dengan firman-Nya:
أَوَلَمْ نُمَكِّنْ لَهُمْ حَرَمًا آَمِنًا يُجْبَى إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِزْقًا مِنْ لَدُنَّا وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ[658]
Terjemahan: “.. Bukankah kami telah melindungi mereka dan memberikan mereka kedudukan yang teguh di tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami. tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya”
Hari ini kita saksikan bumi Makkah dikunjungi manusia dari seluruh pelusuk dunia pada setiap hari kerana mengerjakan haji dan umrah atau kerana cintakan Ka`bah dan ingin menunaikan salat, sedangkan Ka`bah di hadapan matranya. Makanan yang dibawa masuk ke negeri itu juga tidak pernah putus, malah tidak pernah kedengaran negeri itu kehabisamn bekalan.
Teringat kita kepada sebuah hadis yang diriwayat al-Bukhari:
فَبَيْنَا أَنَا نَائِمٌ أُتِيتُ بِمَفَاتِيحِ خَزَائِنِ الْأَرْضِ فَوُضِعَتْ فِي يَدِي[659]
Terjemahan: “Ketika aku sedang tidur, dibawa kepadaku kunci-kunci khazanah bumi, lalu diletakkan di tanganku”.
Mungkin pada masa-masa hadapan nasib penduduk negeri Makkah lebih baik lagi jika mereka meningkatkan iman dan taqwa ke tahap yang lebih tinggi? Semuanya tidak mustahil.

إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ[660]
Terjemahan: Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab.
Pengajaran dan Saranan
1: Surah ini memulakan dengan empat sumpah sebagai isyarat kepada empat fasa bagi perjalanan syariat dan agama yang diturunkan kepada manusia; bermula dengan Nabi Adam dan Nuh bagi fasa pertama, Nabi Ibrahim bagi fasa kedua, Nabi `Isa bagi fasa ketiga dan Nabi Muhammad bagi fasa keempat.
2: Syariat Islam yang disampaikan melalui Nabi Muhammad saw adalah syariat yang jelas, suci, bersih dan pelengkap syariat terdahulu. Hakikat ini begitu jelas setelah dipilih Allah untuk menjadi penutup agama-agama langit.
3: Bumi asal bagi kelahiran agama ini mempunyai keistimewaannya sendiri dan tidak wujud pada bumi-bumi sdelainnya.
4: Bumi yang dipilih bagi kelahiran Nabi Muhammad saw sebagai khatam al-Nabiyyin diistimeawakan dengan tiga rukun utama, iaitu iman, keamanan dan rezeki melimpah ruah padanya.
5: Bumi yang memenuhi tiga rukun ini sangat berfungsi untuk disuburkan padanya hukum Allah san ditagakkan padanya syariat Islam.


[626] al-Nahl: 63
[627] Yasin: 1
[628] Al-Fajr: 1-2
[629] al-Tin: 2-3
[630] al-Nazi`at: 1-5
[631] al-Shams: 1-2
[632] al-Tin: 1
[633] al-Balad:3
[634] al-Hijr:72
[635] al-Buruj: 3
[636] Al-Tirmidhi, al-Nudhur wa al-Ayman: Ma Ja`a fi karahiyat al-half billah,, hadith (1455) Al-Albani, Sahih,, Irwa` al-Ghalil, hadith (2561) daripada Ibn Umar.
[637] Tafsir al-Qurtubi, 20/110
[638] al-Mu`minun: 20.
[639] Tafsir al-Qurtubi, 20/110. Fath al-Bayan, 15/299. Tafsir Ibn Kathir, 4/526, Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/420.
[640] al-Tabarani, Mu`jam al-Awsat, hadith bil. (964) daripada Mu`adh bin Jabal. Da`if kerana rawinya Muhammad Ibn Ishaq al-Asadi terkenal dengan “Kadhdhab”.
[641] Ibid. Fath al-Bayan fi Maqasid al-Qur`an, 15/300, Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/421.
[642] Ibid. Tafsir al-Tabari, /633
[643] Ibn Taimiah, al-Jawab al-Sahih li man baddal Din al-Masih, Kaherah, 3/302.
[644] Tafsir al-Qurtubi, 20/111.
[645] Tafsir al-Tabari, 30/421. Tafsir al-Qurtubi, 20/632.
[646] Tafsir al-Qurtubi, 20/111
[647] Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/422.
[648] al-An`am: 41 dan 99, al-Nur (dua kali): 35, al-Tin: 1-3, al-Nahl:11, `Abasa: 29.
[649] al-Nur: 35
[650] al-Tirmidhi, al-At`imah: .. Fi Akl al-Zayt, hadis (1775). Musnad Ahmad, hadith (15474) daripada Abu Usayd dan Umar Ibn al-Khattab.
[651] Keterangan tentang bukit Tur Sina sila lihat Tafsir Peredoman Muttaqin, 1/230.
[652] Tafsir al-Qurtubi, 20/112
[653] al-Baqarah: 126.
[654] Ibrahim: 35.
[655] Ibrahim: 37
[656] Al-Bukhari, al-Manaqib: Ma laqiya al-Nabi ..., hadith (3563) daripada Khabbab Ibn al-Aratt.
[657] al-Bukhari, al-Maghazi, Hajjat al-Wada`, hadith (4054) daripada Abu Bakrah ra.
[658] al-Qasas: 57.
[659] al-Bukhari, al-Jihad wa al-Siyar, hadith (2755) daripada Abu Hurairah ra.
[660] Aal `Imran: 37.

1 comment:

cayangdqte said...

Penerangan yang baik.. Terima kasih.