Sunday, July 25, 2010


PESAKIT UZUR INGIN TERUS BERPUASA


SOALAN:

Saya sangat mencintai ibu saya yang sudah tua. Dia sejak kebelakangan ini semakin uzur, tetapi bersemangat untuk terus berpuasa pada tahun ini walaupun doktor menasihatinya supaya berbuka. Saya dan keluarga ibu saya sangat bimbang kesihatannya akan bertambah buruk.

Apa hukum Allah jika saya menyuruh ibu saya berbuka dan berjanji akan menggantikan puasa dan sembahyangnya jika dia meninggal dunia. Harap ustaz dapat jelaskan kedudukan puasa ibu saya dan cara menggantikan puasa, sembahyang dan menunaikan haji bagi pihak ibu saya. Penjelasan ustaz sangat dihargai. - HAMIDAH, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

JAWAPAN:

Islam adalah agama yang mudah dihayati, tidak berat dan tidak menyusahkan pengamalnya. Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri memilih amalan yang lebih mudah jika diberi pilihan kepadanya. Kecuali jika amalan itu membawa dosa dan maksiat, maka baginda segera menjauhinya. Banyak hadis yang menyatakan agama ini mudah antaranya sabda Nabi s.a.w. riwayat al-Baihaqi daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

Agama Islam itu mudah, tiada orang yang menyusahkan amalan dalam agama ini, melainkan pasti kalah untuk meneruskannya. Luruslah kamu pada menghayati Islam dan cubalah berusaha mendekati ajarannya.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, puasa Ramadan termasuk salah satu daripada rukun Islam, penghayatannya mudah dan tidak memberatkan. Jaminan ini dinyatakan dalam al-Quran sendiri, pada akhir ayat yang membicarakan puasa, iaitu firman-Nya yang membawa maksud: Allah mahukan kamu mudah dan tidak mahukan kamu menjadi payah - al-Baqarah: 185.

Dalam ayat lain, Allah berfirman lagi yang bermaksud: Berbelanjalah pada jalan Allah dan jangan kamu campak diri kamu ke dalam kebinasaan serta berbaktilah - al-Baqarah: 195.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Jangan kamu bunuh diri kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengasih kepada kamu - al-Nisa: 29.

Berpuasa sehingga membinasakan diri seperti membawa maut atau cedera dan sebagainya termasuk dalam tindakan membinasakan diri yang dilarang dalam ayat di atas.

Ibu puan nampaknya tidak suka memilih jalan yang mudah ini, sebaliknya memilih jalan yang berat, susah dan menyusahkan dirinya dan mungkin juga orang lain. Ada kemungkinan hukum ini tidak diberitahu dengan betul kepadanya, atau sudah diberitahu tetapi belum meyakinkan kepercayaannya. Ada baiknya juga jika puan membawa kepadanya seorang guru yang mampu menyampaikan hukum ini dan meyakinkannya.

Menghayati Islam ini perlukan panduan yang jelas dan terang, ia tidak boleh diamal berasaskan fikiran dan perasaan semata-mata. Apa jua hukum yang diberi hendaklah berpandukan al-Quran dan hadis-hadis sahih. Sehubungan puasa dan orang sakit, kita dapati al-Quran menyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:

Sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang dibuka itu pada hari-hari yang lain dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa disebabkan sakit tua dan sebagainya, membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada orang miskin - al-Baqarah: 184.

Ulama mengambil faham daripada ayat ini bahawa orang sakit dan orang tua yang tidak mampu berpuasa, harus baginya berbuka. Jika penyakit itu tiada lagi harapan untuk sembuh, hendaklah dia membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada fakir miskin mengikut kadar yang ditentukan oleh ulama.

Ulama mempunyai beberapa pendapat tentang kadar fidyah yang wajib dikeluarkan bagi setiap hari puasa yang dibuka. Sebahagian mereka menyatakan, kadarnya ialah satu cupak makanan atau satu perempat gantang. Ada juga pendapat menyatakan, kadarnya ialah memberi sekali makan kepada fakir miskin, iaitu makanan yang sederhana, cukup dengan lauk dan sayur serta air minum, bagi setiap hari puasa yang dibuka.

Saya berpendapat, cara yang lebih afdal ialah mengeluarkan harga yang cukup bagi membeli makanan seperti yang disebutkan. Cara ini lebih menepati kehendak dan kepentingan fakir miskin. Kadar harganya berbeza-beza mengikut perbezaan orang, tempat tinggal dan masa makan. Saya kira pada masa ini, RM5 mencukupi untuk fidyah bagi sehari puasa. Bagi sebulan puasa yang dibuka, cukuplah jika dikeluarkan sebanyak RM150, sama ada kepada seorang miskin atau beberapa orang.

Ibu puan yang semakin uzur mengikut pengesahan doktor itu sepatutnya berbuka bagi memudahkannya mengambil ubat dan makanan, biarpun seteguk air. Jika dalam usianya yang sudah tua dan uzur ini dia masih menolak kelonggaran hukum Islam yang ditawar kepadanya, katakan kepadanya bila lagi dia akan menerima kemudahan itu.

Bukankah suatu kebaikan jika sebelum mati kita telah menerima semua tawaran yang diberi Allah kepada kita.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada puan kerana mencintai ibu yang sudah tua dan sanggup menggantikan puasa, sembahyang serta mengerjakan haji bagi pihaknya. Saya percaya, ibu puan pada saat ini tidak banyak meminati makanan dan minuman yang dihulurkan, tetapi sangat dahagakan kasih sayang dan simpati anak-anak kepadanya seperti yang puan lakukan.

Sebelum menyatakan sama ada boleh atau tidak menggantikan sembahyang, puasa dan mengerjakan haji bagi pihak ibu puan jika ditakdirkan dia meninggal dunia, saya perlu nyatakan di sini jenis-jenis ibadat yang boleh dan tidak boleh diganti orang.

Ulama membahagikan ibadat kepada tiga bahagian: Pertama, badani (ibadat dengan tenaga) seperti sembahyang dan puasa. Kedua, mali (ibadat dengan harta benda) seperti zakat. Ketiga, badani wa mali (gabungan antara tenaga dan harta benda) seperti haji dan jihad pada jalan Allah.

Ulama memutuskan semua ibadat yang dikerjakan dengan tenaga seperti sembahyang dan puasa tidak boleh digantikan oleh orang lain kerana tanggungjawab itu bergantung pada tenaga. Jika tenaganya sudah tiada, sama ada kerana sakit atau tua, maka dengan sendirinya puasa tidak diwajibkan. Sembahyang boleh dilakukan setakat yang termampu seperti sambil duduk, sambil berbaring atau dengan isyarat mata jika tidak berdaya dengan cara yang lebih sempurna.

Ibu puan sepatutnya tidak meninggalkan sembahyang lima waktu semasa sakitnya selagi akal masih berfungsi. Jika sudah hilang akal, maka kewajipan sembahyang dengan sendirinya gugur. Jadi, tidak berbangkit lagi soal menggantikan sembahyang yang ditinggalkan semasa dia sakit.

Demikian juga puasa, termasuk dalam bahagian ibadat badani yang dikerjakan dengan tenaga. Ibadat ini menurut pendapat kebanyakan ulama, tidak boleh digantikan oleh orang lain. Jika ibu puan berbuka kerana uzur atau sakit tua, kemudian jika dia sihat sesudah berlalu bulan Ramadan pada tahun itu, hendaklah dia qada sebanyak hari puasa yang ditinggalkan.

Jika dia sakit tua dan berlanjutan hingga selepas Ramadan, kira-kira tiada peluang baginya mengqadakan puasanya, hendaklah dia membayar fidyah. Jika sakitnya berterusan hingga membawa mati, maka tiada apa yang wajib ke atasnya lagi. Allah tidak membebankan seseorang, melainkan setakat terdaya dilakukan. (al-Baqarah: 286).

Bagaimanapun, ada ulama seperti al-Laith berpendapat, puasa yang ditinggalkan boleh diganti oleh orang lain. Berpandukan mazhab ini, puan harus menggantikan juga puasa yang ditinggal oleh ibu, tetapi di samping itu sebaik-baiknya dikeluarkan juga fidyah seperti yang dinyatakan di atas. Cara ini lebih sempurna, kerana orang mukmin sepatutnya tidak pernah cukup dengan amal kebajikan yang dikerjakan.

Adapun ibadat haji yang merupakan gabungan antara harta dan tenaga, ulama sepakat menyatakan haji boleh digantikan dengan orang lain. Bagaimanapun, pihak kedua yang menggantikan itu hendaklah terlebih dahulu menyempurnakan haji bagi dirinya sendiri. Tersebut dalam sebuah hadis, seorang lelaki daripada suku Khath'am datang bertanya Nabi s.a.w., bolehkah dia mengerjakan haji bagi bapanya yang tidak mampu duduk di atas kenderaan kerana sakit tua? Baginda bersabda: Memang boleh dikerjakan.

Tentang ibadat berupa harta benda seperti zakat, jika ibu puan meninggal dunia sedangkan kewajipan zakat hartanya masih belum dikeluarkan, puan dikehendaki mengeluarkannya daripada harta peninggalannya sebelum harta itu dibahagi-bahagikan kepada waris dan keluarga. Setelah dikeluarkan zakat, baki harta yang tinggal bolehlah dijadikan pesaka kepada waris dan keluarga.

Saya mencadangkan puan yang mencintai ibu dan ingin melakukan sesuatu kepadanya setelah dia meninggal dunia supaya membanyakkan doa, istighfar, membaca al-Quran dan bersedekah dengan diiringi doa agar disampaikan pahala itu kepadanya.

Ulama memutuskan, pahala membaca al-Quran akan sampai kepada orang mati bahkan juga kepada orang yang masih hidup, bergantung kepada doa pembaca al-Quran agar disampaikan pahala kepada orang yang berkenaan. Misalnya dia mendoakan selepas membaca al-Quran: Ya Allah sampaikan pahala bacaan al-Quranku ini kepada ibuku dan sebagainya. Menurut Ibn Taimiyyah, orang mati boleh menerima faedah amalan yang dilakukan oleh orang yang masih hidup sama ada amalan berupa harta atau bukan harta.

Dalam hadis menyebutkan, seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w.: Wahai Rasulullah! Bolehkah kami mengerjakan haji dan bersedekah bagi keluarga kami yang telah meninggal dunia. Baginda bersabda: Memang boleh dan tiada apa-apa halangan. Orang mati lebih suka menerima pahala amalan yang dihadiah kepadanya, sebagaimana orang hidup sukakan barang-barang yang diberi dengan percuma.

Kini kita berada dalam bulan Ramadan yang mulia, bulan rahmat dan penuh berkat, sangat baik jika kita dapat melakukan amal ibadat sebanyak mungkin. Jangan lupa menghadiahkan pahala kepada ibu bapa dan datuk nenek kita yang telah meninggal dunia. Rebutlah peluang ini untuk melakukan tiga amalan istimewa, iaitu sedekah jariah, ilmu yang berlanjutan faedah dan anak saleh yang mendoakan ibu dan bapa.

No comments: