. Untuk mendapat komen dari penulus sila sertakan nama penuh dan alamat. Pastikan anda meletakkan nama penulis dan penerbit asal artikel bersama URL berkaitan. Sebarang penerbitan bertujuan kommersial hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis.Sila email sebarang kemusyikilan anda:alhayy@yahoo.com - Jika hendak mendapatkan maklum balas dari punulis setiap soalan hendaklah mengandungi sekrang kurangnya nama penuh. TERKINI: Pendidikan Sex dan Surah Annur - Ayat 1 Klik sini Pengenalan Annur - Ayat 1 Klik siniSambungan atau dalam google hanya taip Dr Hayei

Saturday, July 17, 2010

TAFSIR SURAH AL-DUHA AYAT 1-5 (1)

Keputusan Wahyu Menimbulkan Kesengsaraan Jiwa Kepada Rasulullah

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

وَالضُّحَى * وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى * مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى * وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْأُولَى * وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَى*
Terjemahan
[93: 1] Demi waktu Duha.
[93: 2] Dan demi waktu malam ketika sunyi-sepi.
[93: 3] Tuhanmu (Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci kepadamu.
[93: 4] Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagimu daripada dunia.
[93: 5] Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberi kepadamu (kejayaan) sehingga engkau reda.
Demi Duha Dan Malam yang Sunyi Sepi

Tafsiran secara logik mengapa Allah bersumpah dengan waktu duha dan malam tatkala ia sunyi sepi telah diperkatakan dalam surah al-Shams terdahulu. Antaranya ialah waktu ini bermula dari naiknya fajar hingga gelincirnya matahari. Waktu ini sangat istimewa dengan cuacanya yang dingin dan membawa pengharapan.

(93: 1-2) Wahyu bagaikan matahari pada waktu duha, yang membawa sinaran dan pengharapan. Wahyu bagaikan malam yang sunyi sepi setelah bergelora dengan kekejaman. Allah bersumpah dengan dua waktu ini: “Demi waktu duha dan demi waktu malam”

وَالضُّحَى * وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى *
[93: 1] Demi waktu Duha.
[93: 2] Dan demi waktu malam ketika sunyi-sepi.

Allah swt bersumpah dengan waktu pagi, iaitu waktu siang yang paling indah dan paling nyaman. Anda dijemput ke desa untuk menikmati sepenuhnya cuaca pagi, terutama di kawasan-kawasan semula jadi yang dihiasi pemandangan indah, pokok-pokok, bukit bukau dan ladang-ladang yang kaya dengan penghidupan semula jadi. Waktu pagi di bandar memangnya tidak seindah di desa kerana keindahan semula jadinya tercalar akibat sentuhan tangan-tangan ganas yang tidak mengerti nilai-nilai semula jadi.

Fajar yang kelihatan menyinsing waktu pagi pasti meneruskan perjalanannya hingga waktu petang dan akan terbenam setelah selesai menyempurnakan fungsi perjanannya pada hari itu. Sumpah “Demi waktu duha” satu isyarat yang jelas kepada detik-detik awal penurunan wahyu yang akan meneruskan pernalanannya hingga waktu petang dan terbenam.

Tiada siapa yang diizin Allah mengehentikan perjalanan matahari sebelum tiba ke penghujungnya, waktu duha juga merupakan isyarat yang jelas kepada kebangkitan Islam yang bermula dengan gharib kemudian sinarannya memancar ke seluruh alam dan akhirnya kembali gharib bagaikan matahari waktu senja. Isyarat ini juga terbayang dalam sabda Nabi saw:


إِنَّ الْإِسْلَامَ بَدَأَ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ غَرِيبًا كَمَا بَدَأَ وَهُوَ ‏ ‏يَأْرِِزُ ‏ ‏بََيْنَ الْمَسْجِدَيْنِ كَمَا تَأْرِزُ الْحََيَّةُ فِِي جُحْرِهَا [610]

Terjemahan: Sesungguhnya Islam pada mulanya dagang dan akan kembali dagang sebagaimaimana ia bermula. Ia akan bersarang di antara dua masjid (Makkah dan Madinah) sebagaimana ular bersarang di dalam lubangnya.

Berkata al-Qadi `Iyad: Hadith ini dengan keterangan umumnya menunjukkan Islam bermula dengan beberapa kerat manusia, kemudian tersebar luas dan mencapai kemenangan, kemudian mengfuncup dan berkurangan, sehingga tinggal hanya pada beberapa orang sahaja sebagaimana keadaan pada mula ia dilahirkan[611].

Sumpah kedua ialah “Demi waktu malam apabila ia sunyi sepi”.

وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى *
[93: 2] Dan demi waktu malam ketika sunyi-sepi.
Perkataan سَجَى dalam bahasa Arab membawa erti senyi sepi. Dikatakan: لَيلَةٌ سَاجِيَةٌ ertinya wakatu malam yang menutupkan (pandangan) atau dikatakan lagi: تَسَجَّى فلانٌ بِثَوبِهِ ertinya orang itu berselimut dengan kainnya.

Detik-detik indah pada siang hari ialah waktu pagi. Detik-detik indah pada waktu malam pula ialah detik-detik kesunyiannya. Siang dan malam merupakan dua waktu yang bertentangan dan sama-sama memberi kefahaman antarta satu dengan lain. Nilai waktu malam tidak difahami tanpa siang dan nilai siang tidak difahami tanpa malam. Seluruh alam ini hidup berpasangan dan saling memahami tabiat hidup antara satru dengan lain. Maha Suci Allah dari hidup berpasangan.

Sumpah di sini merupakan isyarat yang lain pula, iaitu kepada tempoh terhentinya penurunan wahyu untuk seketika. Tempoh ini bagaikan waktu rehat bagi seorang pekerja untuk mengumpulkan tenaga dan persediaan baru bagi meneruskan semula kerja-kerjanya yang belum selesai.

Terhentinya wahyu hanya seketika bagaikan kedatangan waktu malam yang membawa ketenangan sementara menjelang hari esok yang lebih mencabar. Hal ini berlaku dengan takdir Allah, bukan sahaja pada penurunan wahyu, malah pada seluruh perjalanan alam yang tunduk kepada pemntadbiran Ilahi.

(93:3) Badan manusia bagaikan mesin bermotor, ia tidak wajar digunakan berterusan tanpa henti. Semakin besar tugas seorang manusia, semakin tinggi keperluannya kepada rehat. Penerimaan wahyu adalah sesuatu yang berat dan memerlukan tenaga yang mempunyai keupayaan yang cukup.

مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى *
[93: 3] Tuhanmu (Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci kepadamu.

Allah sekali-kali tidak meninggal dan membiarkanmu sebagaimana dikatakan kaum musyrikin yang mahu menyakiti hati dan mengganggu fikiranmu. Limpah kurnia Allah kepadamu berterusan dan tidak putus-putus.

Hubungan baik kadang-kadang perlu diputuskan untuk seketika supaya kemanisan nikmat bersama dirasai sepenuhnya dikala berpisah. Inilah antara hikmat wahyu dihentikan selama beberapa hari supaya Nabi merasai betapa peritnya hidup berjauhan dengan Allah. Tiada lagi penawar yang boleh memberi kelegaan kepeda penderitaan jiwa yang malang ini selain menemukannya dengan kekasih yang dipaksa takdir untuk berepisah buat sekeika.

Seorang kanak-kanak yang kehilangan ibu dalam perjalanan, alat-alat permainan yang canggih tidak mampu menarik perhatiannya, dia akan menangis dan terus menangis kerana ditinggal ibu, dia tidak mahu kecuali ibunya.

Surah ini sebagaimana dinyatakan dalam pendahuluan surah, diturunkan khusus kepada Nabi saw tatkala terhentinya wahyu. Namun kejadian seumpama itu pada hakikatnya boleh berlaku kepada siapa jua yang mempunyai hubungan istimewa dengan Allah.

Maklum balas yang diterima dengan ungkapanTuhanmu (Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci kepadamu” adalah satu maklum balas yang ditunggu-tinggu dan sangat positif, dengannya terubatlah duka nestapa yang ditanggung selama ini. Pengalaman ini terungkap dalam syair Rabi`ah al-`Adawiyyah:

فَلَيْتَكَ تَحْلُو، وَالحَيَاة ُ مَرِيرَة ً** وَلَيْتَكَ تَرْضَى وَالأَنَامُ غِضَابُ
وَلَيْتَ الّذِي بَيْنِي وَبَيْنَكَ عَامِرٌ ** وَبَينِي وَبَينَ العَالَمِينَ خرَابُ
إِذَا صَحَّ مِنْكَ الوُدُّ فَالْكُلُّ هَيِّنٌ ** فُكًلُ الذِي فَوقَ التُرَابِ تُرَابُ
Terjemahan:

Semoga dengan kemanisan rahmat-Mu dapatku rentas kepahitan hidup,

Semoga keredaan-Mu cukup untukku, dikala aku tidak disenangi orang,

Semoga hubunganku dengan-Mu terus erat, dikala seluruh alam memutuskan hubungan denganku,

Semua urusan menjadi mudah apabila jatinya cinta,
Bumi tetap bumi, makhuluk di permukaannya juga semuanya bumi.

Latar Belakang Ayat

Bagi membantu memahami ayat-ayat surah al-Duha secara lebih mantap dan mendalam, dikemukakan di sini beberapa riwayat yang menjadi latar belakang surah ini, antaranya:

1: Al-Bukhari meriwayatkan daripada Jundab Ibn Abdullah ra katanya:


احْتَبَسَ ‏ ‏جِبْرِيلُ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏عَلَى النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فَقَالَتْ ‏ ‏امْرَأَةٌ ‏ ‏مِنْ ‏ ‏قُرَيْشٍ ‏ ‏أَبْطَأَ عَلَيْهِ شَيْطَانُهُ فَنَزَلَتْ وَالضُّحَى “ .. [612]

Terjemahan: “Malaikat Jibril kelambatan membawa wahyu kepada Nabi saw, lalu seorang wanita Quraysy berkata: Nabi saw dilambatkan oleh syaitannya, lalu surah wa al-Duha ini diturunkan”

2: Riwayat Jundab Ibn Sufyan katanya:


اشْتَكَى رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فَلَمْ يَقُمْ لَيْلَتَيْنِ ‏ ‏أَوْ ‏ ‏ثَلَاثًا فَجَاءَتْ ‏ ‏امْرَأَةٌ ‏ ‏فَقَالَتْ يَا ‏ ‏مُحَمَّدُ ‏ ‏إِنِّي لَأَرْجُو أَنْ يَكُونَ شَيْطَانُكَ قَدْ تَرَكَكَ لَمْ أَرَهُ قَرِبَكَ مُنْذُ لَيْلَتَيْنِ ‏ ‏أَوْ ثَلَاثَةٍ ‏ ‏فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَالضُّحَى “ .. [613]

Terjemahan: “Rasulullah saw mengadu sakit, baginda tidak bangun (beribadat malam) dua atau tiga malam, lalu datang seorang wanita dan berkata: Wahai Muhammad! Aku harapkan syaitanmu telah meninggalkanmu, aku tidak nampak dia mendekatimu sejak dua atau tiga malam yang lalu, lalu Allah menurunkan surah wa al-Duha”.

3: Riwayat Jundab al-Bajali ra katanya:


كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فِي غَارٍ فَدَمِيَتْ أُصْبُعُهُ فَقَالَ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

هَلْ أَنْتِ إِلَّا إِصْبَعٌ دَمِيتِ** وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا لَقِيتِ

قَالَ: وَأَبْطَأَ عَلَيْهِ ‏ ‏جِبْرِيلُ ‏ ‏عَلَيْهِ السَّلَام ‏ ‏فَقَالَ الْمُشْرِكُونَ قَدْ وُدِّعَ ‏ ‏مُحَمَّدٌ ‏ ‏فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: َوالضُّحَى “ .. [614]

Terjemahan: Aku bersama Nabi saw di dalam gua, tiba-tiba jari-jari tangannya luka dan berdarah, lalu Nabi bersabda:

Ujian yang kamu lalui itu pastinya di jalan Allah”.

Berkata rawi hadith: Jibril kelambatan menurunkan wahyu, lalu kaum musyrikin berkata: Muhammad telah dibiarTuhannya, lalu surah wa al-Duha diturunkan”.

Berkata Ibn Hajar: Wanita Quraisy yang berkata kepada Nabi: “.. syaitan mu telah meninggalkan kamu” itu ialah Ummu Jamil bint Harb isteri Abu Lahab. Ini disahkan dalam riwayat al-Hakim dan al-Tabarani yang menyatakan syaitanmu sebagai ganti kepada perkataan Rabbuka dalam riwayat Khadujah ra. Perbezaan ini katanya berpunca daripada kelainan akidah. Khadijah mengungkap rabbuka kerana kepercayaannya kepada Allah, sedangkan Ummu Jamil mengungkap malaikat Jibril itu dengan nama syaitan. Ungkapan Ummu Jamilah membayangkan perasaan benci dan dendam, sedangkan ungkapan Khadijah membayangkan iman, suci hati dan kasih sayang[615].

Semua pihak harus sedar bahawa kelewatan turunnya wahyu bukan disebabkan berlakunya sebarang krisis atau salah jadual, tetapi kerana penurunannya adalah tertakluk kepada kehendak Allah, bila dan bagaimana ia harus diturunkan.

Kaum musyrikin tidak harus membuat spikulasi terhadap kejadian ini, mereka harus sedar bahawa Allah mahukan Rasulnya berehat seketika dan kemudian bangun menyempurnakan tugas sebagaimana yang diamanahkan

Imam Muhammad Abduh menolak riwayat yang menjadi latar belakang surah yang melibatkan kaum musyrikin mencemuh Nabi saw dengan tuduhan Nabi telah ditinggal Tuhannya. Ini kerana kaum musyrikin pada zaman ini tidak tahu menahupun tentang wahyu dan kelambatan turunnya dalam temph ini. Sebaliknya surah ini membayangkan kecintaan Nabi saw kepada Allah dan kebimbangan baginda dimurkai Allah sehingga wahyu dihentikan. Katanya lagi: riwayat tersebut tidak perlu diberi perhatian kepadanya[616].

Tafsir ini berpandangan, hadith-hadith yang menghubungkan Nabi saw dengan cemuhan Ummu Jamil dan dijadikan latar belakang surah ini adalah sahih dan diriwayat oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, tidak memungkinkan kita menolaknya dengan mudah, malah Jumhur Mufassirin dengan sepakat menjadikan hadis-hadis itu sebagai latar belakang surah dalam tafsiran mereka bagi surah ini. Lagipun tidak sebarang masalah untuk diserasikan di antara keterangan hadith dan ayat-ayat dalam surah ini.

(93: 4) Kita tidak perlu gopoh mengejar sesuatu. Adakalanya yang terkemudian itu lebih baik dari yang pertama. Waktu duha bersinar selepas berlalunya kesepian waktu malam. Demikian juga wahyu yang diturunkan semula setelah menguncup seketika, termasuk hari-hari di Akhirat berbanding hari-hari di dunia.

وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْأُولَى *

[93: 4] Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagimu daripada dunia.
Para muttaqin tidak gopoh sehingga apa yang dikandung tercicir dan yang dikejar tidak dapat. Pada mereka dunia, Akhirat dan diri mereka milik Allah belaka, mereka inginkan akhirat, tetapi tidaklah sampai kerugiaqn pada kedua-duanya, mereka berpandu kepada sabda Nabi.


مَنْ كَانَتْ الدُّنْيَا هَمَّهُ فَرَّقَ اللَّهُ عَلَيْهِ أَمْرَهُ وَجَعَلَ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ وَلَمْ يَأْتِهِ مِنْ الدُّنْيَا إِلَّا مَا كُتِبَ لَهُ وَمَنْ كَانَتْ الْآخِرَةُ نِيَّتَهُ جَمَعَ اللَّهُ لَهُ أَمْرَهُ وَجَعَلَ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ ‏ ‏رَاغِمَةٌ[617]

Terjemahan: “Sesiapa yang menjadikan dunia sebagai cita-citanmya, nescaya Allah hancurkan usahanya dan menjadikan kemiskinan berada di hadapannya. Dia gagal memperolehi dunia, dia tidak diperolehinya kecuali setakat yang ditentukan baginya. Sesiapa menjadikan akhirat sebagai wawasannya, Allah akan kumpulkan harta padanya, kekayaan pada hatinya dan dunia dipaksa datang kepadanya”

Para muttaqin ialah mereka faham, jika di dunia ini mereka beroleh rahmat dan kasih sayang Allah, di akhirat mereka akan mendapat rahmat dan kasih saying yang lebih tinggi lagi. Jika di dunia mereka beroleh keamanan, tetapi diburu kebimbangan, diancam, diceroboh dan diserang, di akhirat mereka akan beroleh keamanan yang lebih terjamin, dan tidak takutkan apa-apa lagi.

Sesetengan mufassirin menafsirkan maksud dunia dan akhirat di sini ialah permulaan usia Nabi saw dan penghujungnya. Maksudnya engkau akan beroleh kejayaan yang lebih besar pada masa-masa hadapan, berbanding masa-masa lalu. Tafsiran ini membayangkan bahawa penyebaran Islam bertambah luas pada masa-masa akan datang dan kemenaqngan yang besar terhadap musuh-musuh Islam serta banyak negara yang akan dibuka.

Dua tafsiran di atas tiada halangan untuk digabungkan serentak.

(93: 5) Menghadapi sesuatu yang majhul amat mendebarkan. Kemenangan kaum musyrikin dan tipu daya serta penghinaan kaum Quraisy adalah antara perkara yang merunsingkan baginda. Allah menjanjikan apa yang dibimbangi itu akan dikurniakan kemenangan, kejayaan dan kelepasan.

* وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَى

[93: 5] Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberi kepadamu (kejayaan) sehingga engkau reda.

Mengapa tidak reda jika dahulu dia seorang kanak-kanan yatim yang niskin tetapi gigih berusaha, bekerja dan beribadfat, kini usahanya dinilai Allah dan diletaknya pada tempat yang terpuji, dibangkit untuk menjadi Nabi dan seterusnya diturunkan al-Qur`an sebagai nur yang tidak kunjung padam.

Mengapa tidak reda jika dahulu dia seorang mu`min yang taatkan Allah, dia menjauhi maksiat, dia beribadat malam hingga pecah tapak kakinya, dia membantu fakir miskiun, sehingga tiada pihak yang datang meminta, nescaya dilayani hajatnya..

Mengapa dia tidak reda, sedanagkan dia beroleh taufik yang berterusan dalam menjalani tugas-tugas dakwah serta kemenangan dalam peperangan-peperangan Badr, Uhud dan lain-lain seterusnya membawa kepada pembukaan Makkah dan kemenangan Islam pada zaman Khulafa al-Rashidin dan pemerintah-pemerintah Islam pada zaman-zaman seterusnya.

Sebahagian Mufassiri meriwayatkan sebuah hadis menerusi jalan riwayat Ahl al-Bayt, iaitu setelah ayat 5 al-Duha ini diturunkan, Nabi bersabda:

إِذَنْ لاَ أَرْضَي وَوَاحِدٌ مِنْ أُمَّتِى فِي النَّارِ

Terjemahan: kalau begitu, aku tidak reda umatku dimasukkan ke Neraka, biar pun seorang dari mereka [618].

Riwata ini tidak dapat diukesan dalam kitab-kitab sunan yang mashur, namun ada tanda da`if padanya, iaitu Nabi tidak akan meredai umatnya dimasukkan ke neraka. U&mat Islam tidak harus keliru dengan pandangan ini kerana Nabi tidak akan meredai sesuatu pembalasan yang tidak diredai Allah. Umat ini akan dimasukkan ke neraka dari kalangan orang kafir dan penderhaka dan Nabi akan merestui segala hukum yang diputus Allah.

Pengajaran dan Saranan

1: Allah bersumpah dengan waktu pagi bagi menegakkan satu hakikat bahawa Allah tidak membiarkan Nabi Muhammad saw tanpa diberi pertolongan dan tidak memarahinya.

2: Menyampaikan berita gembira kepada Nabi Muhammad saw, iaitu menerusi surah ini iaitu Nabi mempunyai masa depan yang lebih cemerlang dari masa-masa silam.

3: Nabi diberi janji kemenangan dalam peperangan yang akan berlaku seperti dalam peperangan Uhud, Badar dan lain-lain.

4: Allah akan menganugrahkan kepada Nabi Muhammad saw kemenangan yang dicita-citakannya dan meluaskan sebaran dakwah Islam pada masa hayat baginda dan selepasnya.




[610] Muslim, al-Iman: Bayan anna al-Islam bada` Ghariba, hadis (209) al-Tirmidhi, al-Iman an Rasulillah, hadith (2553) daripadsa Ibn Umar.
[611] Ikmal al-Mu`lim, ed. Yahya Isma`il, 1/456
[612] Al-Bukhari, al-Jumu`ah: Tark al-Qiyam li al-Marid, hadith (1057) daripada Jundab Ibn Abdullah ra.
[613]Al-Bukhari, Tafsir al-Qur`an: Ma wadd`aka .., hadith (4950) daripada Jundab Ibn Sufyan.
[614] Al-Tirmidh, Tafsir al-Qur`an: Surat al-Duha, hadith (3268) daripada Jundab al-Bajali. Tafsir Ibn Kathir, 4/522
[615] Fath al-Bari, 8/711
[616] Tafsir Jun` `Amma, ms 109.
[617] Ibn Majah, al-Zuhd, al-Hamm bi al-Dunia, hadith (4095) daripada Uthman Ibn `Affan ra. Isnadnya Thiqat.
[618] Tafsir al-Tabari, 12/ 624, bil. 37516. Tafsir al-Qurtubi, 10/96. Tafsir al-Jalalyn, ms. 812. Fath al-Bayan, 15/278.

No comments: