. Untuk mendapat komen dari penulus sila sertakan nama penuh dan alamat. Pastikan anda meletakkan nama penulis dan penerbit asal artikel bersama URL berkaitan. Sebarang penerbitan bertujuan kommersial hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis.Sila email sebarang kemusyikilan anda:alhayy@yahoo.com - Jika hendak mendapatkan maklum balas dari punulis setiap soalan hendaklah mengandungi sekrang kurangnya nama penuh. TERKINI: Pendidikan Sex dan Surah Annur - Ayat 1 Klik sini Pengenalan Annur - Ayat 1 Klik siniSambungan atau dalam google hanya taip Dr Hayei

Saturday, July 31, 2010

Tafsir Surah al-Qadr Ayat 1-5

Lailat al-Qadr Malam Keagungan

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

إنّا أَنْزَلْنَاهُ فٍي لَيلَةِ الْقَدْرِ * وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ* لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ * تَنَزّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيْهَا بٍِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْـرٍ* سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ *
Terjemahan
[97: 1] Sesungguhnya Kami turunkan al-Qur`an itu pada malam al-Qadr

[97: 2] Tahukah engkau apakah malam al-Qadr itu?

[97 : 3] Malam al-Qadr itu lebih baik dari seribu bulan

[97 : 4] Pada malam itu para malaikat dan Roh (Jibril) turun dengan perintah Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang telah diputus oleh Allah)

[97: 5] sejahteralah malam itu hingga fajar menyinsing.

Lailat al-Qadr Malam Keagungan

Setiap penganut agama di dunia mempunyai hari kebesaran masing-masing, sama ada sempena hari kemenangan bangsa, puak dan qabilah atau kerana peristiwa dan kejadian-kejadian yang tertentu dalam sejarah agama atau negara mereka atau kerana menyambut hari kelahiran tokoh-tokoh yang berjasa kepada agama, politik atau negara dan sebagainya. Pada hari-hari seumpama ini mereka mengadakan program keagamaan mengikut adat, budaya dan tradisi dalam agama masing-masing.

Islam sebagai agama yang berpandukan wahyu dan syariat, mempunyai hari-hari kebesarannya sendiri ditentukan oleh al-Qur`an dan dihayati oleh Nabi saw dan dituntut supaya umatnya mengikuti sunnah yang ditinggal oleh Nabi tanpa menokok tambah dan mengurang dari amalan yang disahkan oleh firman dan sabda.

Antara hari dan malam kebesaran dan penuh keberkatan dalam Islam ialah malam al-Qadr atau disebut juga dengan malam nuzul al-Qur`an. Allah menjadikan malam ini penuh keberkatan, ketinggian, kemuliaan dan keagungan, sesiapa menghayatinya kerana mengharapkan keredaan Allah nescaya diampuni dosa-dosanya yang silam.

(97: 1) Detk-detik wahyu diturunkan melimapah-limpah ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw pada malam al-Qadr dalam bulan Ramadan. Ketika itu juga para malaikat dan Jibril membawa turun al-Qur`an, rahmat, keamanan dan kesejahtraan dan sekali gus mengistiharkan keagungannya sebagai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Itulah “Malam al-Qadr”.

إنّا أَنْزَلْنَاهُ فٍي لَيلَةِ الْقَدْر

[97: 1] Sesungguhnya Kami turunkan al-Qur`an itu pada malam al-Qadr.

Ganti nama atau damir di dalam ayat ini diruju kepada al-Qur`an, sekalipun perkataan itu tidak disebut sebelumnya, namun disebabkan cahayanya yang menyinari seluruh al-wujud, maka ganti nama dirujuk kepadanya kerana al-Qur`an sumber segala cahaya.

Dimaksudkan dengan malam al-Qadr ialah malam yang membawa berkat dan yang disebutkan secara isyarat menerusi firtman Allah :

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ * فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ * أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ * رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ *[1]
Terjemahan: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang banyak berkat; dan sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala perintah yang bijaksana, iaitu perintah dari sisi Kami. Sesungguhnya Kamila yang mengutuskan para Rasul. Sebagai rahmat dari Tuhanmu rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.
Malam yang penuh berkat itu ialah satu daripada malam-malam dalam bulan Ramadan sebagaimana diisyaratkan di dalam firman Allah:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ[2]
Terjemahan: Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya mula diturunkan al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan mengenalkan perbezaan antara yang hak dan yang batil.
Di dalam mukadimah tafsir surah ini telah dinyatakan perbezaan di antara inzal dan tanzil. Ini kerana penurunan kitab-kitab suci berlaku dengan dua kayfiyat ini, firman Allah :

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقاً لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنزَلَ التَّوْرَاةَ وَالإِنجِيلَ[3]

Terjemahan : Dia telah menurunkan kepadamu Kitab Suci (al-Qur`an) dengan kebenaran, yang mengesahkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan Dialah juga yang telah menurunkan Taurat dan Injil.

Ayat ini membezakan di antara penurunan al-Qur`an yang diungkapkan dengan tanzil, sedangakan Taurat dan Injil diungkap dengan inzal. Perbezaan ini disebabkan al-Qur`an diturunkan berdikit-dikit sepanjang zaman dakwah Nabi saw selama 23 tahun, sedangkan Taurat dan Injil diturunkan sekali gus kepada Nabi-nabi Musa dan Isa as.

Bagaimanapun penurunan al-Qur`an juga kadang-kadang diungkap dengan inzal dalam beberapa ayat seperti :
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ[4]

Terjemahan: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada suatu malam yang amat berkat”.

Riwayat menyatakan, al-Qur`an diturunkan dalam dua kayfiyat, iaitu diturunkan sekaligus pada malam al-Qadr dan diturunkan juga secara berdikit dikit dalam tempoh dakwah Nabi saw selama 23 tahun mengikut asbab al-nuzul[5]. Satu lagi ungkapan bagi penurunan al-Qur`an, iaitu tanazzul yang membawa erti yang sama dengan inzal, iaitu turun berdikit-dikit.

Penentuan Malam al-Qadr

Tiada nas yang menentukan malam al-Qadr berlaku pada malam-malam tertentu secara yakin dan qat`i, seperti malam 27 Ramadan atau pada malam Jumaat terakhir Ramadan, malah mengkhususkan beribadat pada malam-malam tertentu atau di tempat-tempat tertentu juga tiada nas yang jelas dan putus. Oleh itu, menetapkan sesuatu amalan tanpa nas syar`i yang sahih adalah bid`ah dan bertentangan Sunnah Rasulullah saw[6].

Malam al-Qadr sebagaimana dijelaskan di dalam al-Sunnah berlaku mengikut 4 pedoman berikut :

· Di dalam bulan Ramadan dan tiada malam al-Qadr dalam bulan-bulan selain Ramadan.

· Berlaku dalam 10 akhir Ramadan, tidak berlaku malam al-Qadr dalam 10 pertama dan 10 pertengahan Ramadan.

· Berlaku pada malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir Ramadan ;

· Malam al-Qadr tidak boleh ditetapkan berlaku pada malam-malam tertentu seperti malam 27 Ramadan atau malam-malam selainnya.

Ulama mempunyai beberapa pandangan tentang hari dan waktu yang diharap-harapkan berlakunya malam al-Qadr. Pendapat yang paling kuat dan mewakili Jumhur ialah malam 27 Ramadan[7] dan malam-malam ganjil pada 10 Ramadan yang akhir iaitu pada 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan, namun seperti yang disebutkan tiada nas menentukan malam al-Qadr pasti berlaku pada malam-malam ini, malah al-Hasan al-Basri berpendapat malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadan[8].

Antara dalil yang menunjukkan malam al-Qadr tidak boleh ditentukan dengan putus dan yakin ialah hadith riwayat al-Bukhari daripada Ubadah ibn al-Samit ra, katanya :

خَرَجَ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏لِيُخْبِرَنَا بِلَيْلَةِ الْقَدْرِ ‏ ‏فَتَلَاحَى ‏ ‏رَجُلَانِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ فَقَالَ ‏ ‏خَرَجْتُ لِأُخْبِرَكُمْ بِلَيْلَةِ الْقَدْرِ فَتَلَاحَى فُلَانٌ وَفُلَانٌ فَرُفِعَتْ وَعَسَى أَنْ يَكُونَ خَيْرًا لَكُمْ فَالْتَمِسُوهَا فِي التَّاسِعَةِ وَالسَّابِعَةِ وَالْخَامِسَةِ [9]

Terjemahan : Nabi saw keluar untuk memberitahu kami tentang malam al-Qadr, kebetulan dua orang lelaki dari kalangan Muslimin sedang bertelagah. Lalu Nabi saw bersabd : Aku keluar untuk memberitahu kamu malam al-Qadr, ketika fulan dan fulan sedang bertelagah, lalu ia pun diangkat (dari ingatanku), semoga pengangkatan itu menjadi kebaikan bagi kamu. Oleh itu, tuntutlah malam itu pada 9, 7 dan 5 Ramadan.

Berkata Ibn Hajar : Maksudnya ialah 9, 7 dan 5 daripada 10 malam Ramadan yang terakhir, ertinya malam-malam 29, 27 dan 25 Pada akhir Ramadan[10].

Imam al-Bukhari menjudulkan hadith ini dengan judul :
بَابُ رَفْعِ مَعْرِفَةِ لَيلَةِ الْقَدْرِ لِتَلاحٍِي النَّاسٍ

Terjemahan: Bab angkat pengetahuan tentang malam al-Qadr kerana pertelagahan orang ramai mengenainya.

Judul hadith oleh imam al-Bukhari ini menarik dua perhatian :

Pertama : Judul diungkap dengan jumalah Ismiyyah yang membawa erti ithbat. Ini menunjukkan pengangkatan pengetahuan tentang malam al-Qadr dari Nabi saw secara putus dan selama-alama. Ertinya tiada perubahan lagi selepas diangkat. Para pengulas hadis al-Bukhari rata-rata berpendapat :
فِقْهُ الْبُخَارِي فِي تَرَاجِمِه

Terjemahan: (Kefahaman) Fiqh al-Bukhari terkandung di dalam judul kitabnya.

Kedua : Judul bab ini dibawa dengan menyatakan sebab pengangkatan pengetahuan iaitu pertelagahan orang ramai[11]

Pendapat yang paling sahih antara pelbagai pendapat tentang malam al-Qadr ialah malam 27 Ramadan, sebagaimana yang diriwayat daripada Ibn Abbas ra. Katanya :

قَالَ اِبْن عَبَّاس دَعَا عُمَر بْن الْخَطَّاب أَصْحَاب مُحَمَّد صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَهُمْ عَنْ لَيْلَة الْقَدْر فَأَجْمَعُوا أَنَّهَا فِي الْعَشْر الْأَوَاخِر قَالَ اِبْن عَبَّاس فَقُلْت لِعُمَر إِنِّي لَأَعْلَم - أَوْ إِنِّي لَأَظُنّ - أَيّ لَيْلَة الْقَدْر هِيَ فَقَالَ عُمَر : وَأَيّ لَيْلَة هِيَ ؟ فَقُلْت سَابِعَة تَمْضِي - أَوْ سَابِعَة - تَبْقَى - مِنْ الْعَشْر الْأَوَاخِر فَقَالَ عُمَر مِنْ أَيْنَ عَلِمْت ذَلِكَ قَالَ اِبْن عَبَّاس فَقُلْت خَلَقَ اللَّه سَبْع سَمَوَات وَسَبْع أَرَضِينَ وَسَبْعَة أَيَّام وَإِنَّ الشَّهْر يَدُور عَلَى سَبْع وَخَلَقَ الْإِنْسَان مِنْ سَبْع وَيَأْكُل مِنْ سَبْع وَيَسْجُد عَلَى سَبْع وَالطَّوَاف بِالْبَيْتِ سَبْع وَرَمْي الْجِمَار سَبْع لِأَشْيَاء ذَكَرَهَا فَقَالَ عُمَر لَقَدْ فَطِنْت لِأَمْرٍ مَا فَطِنَّا لَهُ[12].

Terjemahan: “Berkata Ibn Abbas ra, katanya: Umar ibn al-Khattab menyeru para sahabat lalu bertanya mereka tentang malam al-Qadr. Mereka dengan sepakat menjawab: “Malam itu ialah pada sepulum yang akhir pada bulan Ramadan. Berkata Ibn Abbas: “Sesungguhnya aku mengetahui atau mengagak malam al-Qadr malam tujuh yang berlalu (27 Ramadan), atau malam tujuh yang tinggal (23 Ramadan) daripada sepuluh pada akhir Ramadan.
Umar bertanya: Dari mana engkau mengetahui Malam malam al-Qadr berlaku pada malam itu? Jawb Ibn `Abbas: Aku mengetahinya dari ciptaan pada tujuh langit, tujuh bumi dan tujuh hari dan tujuh bulan (yang halal berperang padanya) beredar pada tujuh. Dia menciptakan manusia daripada tujuh peringkat ciptaan[13], dia makan tujuh jenis buah-buahan[14],, dia sujud di atas tujuh anggota, dia tawaf tujuh keliling dan dia dia meluntar tujuh luntaran dengan tujuh biji batu. Berkata Umar: “Sesungguhnya aku sekarang sedar apa yang aku belum sedar sebelum ini”.

Malam al-Qadr yang diisyaratkan menerusi hadis ini berkisar pada malam-malam 23 dan 27. Kebanyakan ulama dari Syafi`yyah mentarjihkan malam 27 sebagai malam al-Qadr[15]. Sebahagian ulama menyatakan, jika kalimah dalam surah al-Qadr ini dibilang dari awal hingga akirnya maka bilangan ke dua puluh tujuh pada parkataan "هي" yang membawa erti “itulah”[16] (malam ke dua puluh tujuh?)

Sebenarnya penentuan malam al-Qadr dengan perkiraan tidak bersifat ilmiah. Oleh itu, peminat dan ahli ibadat tidak perlu mencarinya dengan mengambil kira pabndangan ini. Tafsir ini bersetuju dengan pendapat yang menyatakan, jika Allah swt ingin menjelaskan malam ini, nescaya dijelaskan tanpa membiarkan menusia mencarinya dengan teka teki seperti pengadu nasib yang kehilangan arah. Sesungguhnya Allah swt sengaja menyembunyikan malam ini kerana merangsang manusia melakukan ibadat sepanjang malam dan bulan, sehingga tiada malam yang kosong tanpa sebarang doa dan ibadat.

Al-Qadr Mengapa Malam

Penghayatan malam al-Qadr, terutama pada 10 malam yang akhir di bulan Ramadan sangat digalakkan kerana pada malam-malam ini banyak keistimewaan dikurnia Allah kepada para hambanya. Kita dapati sejumlah hadis sahih menyatakan sunnah Nabi saw yang patut dicontohi, antaranya:

Nabi beri`tikaf, terutama pada 10 malam yang terakhir Ramadan :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏كَانَ يَعْتَكِفُ فِي الْعَشْرِ الْأَوْسَطِ مِنْ رَمَضَانَ فَاعْتَكَفَ عَامًا حَتَّى إِذَا كَانَ لَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِينَ وَهِيَ اللَّيْلَةُ الَّتِي يَخْرُجُ مِنْ صَبِيحَتِهَا مِنْ اعْتِكَافِهِ قَالَ ‏ ‏مَنْ كَانَ اعْتَكَفَ مَعِي فَلْيَعْتَكِفْ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ وَقَدْ أُرِيتُ هَذِهِ اللَّيْلَةَ ثُمَّ أُنْسِيتُهَا وَقَدْ رَأَيْتُنِي أَسْجُدُ فِي مَاءٍ وَطِينٍ مِنْ صَبِيحَتِهَا فَالْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وَالْتَمِسُوهَا فِي كُلِّ وِتْرٍ[17] .

Terjemahan: Nabi saw selalu beri`tikaf pada sepuluh malam pertama Ramadan Apabila masuk malam 21 Ramadan, Nabi mengisytiharkan, iaitu pada waktu pagi dia memulakan i`tikaf, sisiapa ingin i`tikaf bersama-samaku, hendaklah dia i`tifak pada 10 yang akhir. Sesungguhnya aku diperlihatkan pada malam sesuatu, kemudian aku lupa, aku bermimpi sujud di atas air dan tanah pada waktu paginya. Oleh itu hendaklah kamuberusaha mencarinya (malam al-Qadr) pada sepuluh malam yang akhir Ramadan dan carilah pada malam-malam ganjil.

Nabi bersabda lagi:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ أَحْيَا اللَّيْلَ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ ‏ ‏وَجَدَّ ‏ ‏ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ[18]

Terjemahan: Nabi saw apabila masuk 10 malam yang terakhir Ramadan, dia berjaga malam, mengejutkan keluarganya dari tidur dan mengemaskan tali penggangnya”.

Diriwayatkan lagi:

كَانَ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏أَجْوَدَ النَّاسِ وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ ‏ ‏جِبْرِيلُ ‏ ‏وَكَانَ ‏ ‏جِبْرِيلُ ‏ ‏عَلَيْهِ السَّلَام ‏ ‏يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ[19]
Terjemahan: Nabi saw adalah seorang yang sangat pemurah, paling murah sekali ialah apaabila masuk bulan Ramadan tatkala bertemu Jibril. Malaikat Jibril as pada tipa-tiap malam di bulan Ramadan bertemu dengannya, lalu bertadarus al-Qur`an. Sesungguhnya Nabi saw adalah seorang yang sangat pemurah, lebih murah dari angin bertiup.

Dalam riwayat A`isyah, Nabi saw mengajar kepadanya doa supaya selu dibaca pada malam sepuluh yangakhir, iaitu:

[20] ‏اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Terjemahan: “Waha Tuhanku, Engkau Maha Pemaaf, Maha Mulia, sukakan emaafan. Maafkan dosaku”

Al-Qur`an mula diturunkan pada waktu malam atau pada malam al-Qadr kerana waktu melam mempunyai kelebihannya sendiri berbanding siang. Waktu malam Allah memilih hamba-Nya untuk dibawa berjalan dari Makkah ke Masjid al-Aqsa dan kseteusnya dinaikkan nke langit, kemudian dibawa pulang juga pada waktu malam, firman Allah :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى[21]

Terjemahan : Maha Suci Allah yang telah membawa hamba-Nya berjalan pada malam hari dari Masjid Al-Haraam ke Masjid Al-Aqsa.

Waktu malam merupakan waktu yang paling tenang untuk beribadat dan bermunajat, justeru perintah supaya menyempurnakan salat thjjud pada waktu malam, firman Allah :

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَى أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا[22]

Terjemahan : Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga engkau dibangkitklan Tuhanmu (pada hari Akhirt kelak) ke maqam yang terpuji.
Tatkala Allah swt memuji para hamba-Nya yang salihin disebutnya adat mereka ialah kurang tidur pada waktu malam, mereka berhaga kerana beribadat, firman-Nya :
كَانُوا قَلِيلًا مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ[23]

Terjemahan : Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.

Di dalam hadis juga menyatakan bahawa Allah swt turun pada satu petiga akhir mala ke langit dunia untuk memperkenankan doa para hamba-Nya yang berdoa dan memohon ampun kepada-Nya.

Ayat-ayat ini menunjukkan waktu malam mempunyai keistimewaan khusu unntuk menimati detik-detik erohanian bersama Allah kerana waktuini hati lebih tenang dan membantu untuk menerima pancaran iman.

(97 : 2) Siapa mampu mengetahui dengan mendalam kelebihan malam al-Qadr ini ? Siapa tahupara malaikat dan Jibril turun ke dunia membawa rahmat, pengampunan, keamanan dan kesejahteraan ?

وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ*

[97: 2] Tahukah engkau apakah malam al-Qadr itu?

Di dalam al-Qur`an kerap menggunakan uslub ini, sama ada fi`l madi atau fi`l mudari`. Kedua-duanya membawa makna istifham inkari. Jika uslub istifham ini digunakan fi`i madi, istifham itu diikuti dengan penjelasan, seperti ayat di atas, iaitu istifham tentang malam al-Qadar. Soalan nini dijelaskan dalam ayat-ayat beriktnya. Jika uslub ini menggunakan fi`l mudari`, istifham itu tidak dijelaskan jawapan dalam ayat berikutnya, seperti :

وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّى[24]

Terjemahan : (wahai Muhammad!) Tahukah engkau barangkali dia datang mahu membersihkan hatinya.

Uslub dengan fi`l mudari` ini tidak diberi jawapan baginya. Sila kembali kepada pertanyaan Tahukah engkau apakah malam al-Qadr itu?” Jawapannya akan disusuli selepas ayat ini.

Manusia mungkin tahu kelebihan malam al-Qadr ini, tetapi tidak mampu memahami sesuatu yang melebihi keupayaan akalnya. Dia perlu mendapatkan sumber wahyu bagi mengetahui lebih banyak ilmu dan maklumat tentang kelebihan dan keistimewaan yang disediakan padanya.

(97: 3) Orang yang tahu peluang perniagaan yang membawa keuntungan besar, akan membuka firma perniagaannya dan tidak akan meninggalkannya tanpa membuat perhitungan untung dan rugi, padahal keuntungannya tidak lebih dari seratus peratus. Perniagaan akhirat pada malam al-Qadr ini dijanjikan keuntungannya seribu peratus. Sungguh memeranjatkan.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ*

[97 : 3] Malam al-Qadr itu lebih baik dari seribu bulan

Seribu bulan bersamaan 83 tahun 4 bulan, tetapi tidak disebutkan dengan bilangan tahun, sebaliknya disebutkan dengan ungkapan yang lebih mudah iaitu seribu bulan. Maksudnya beribdat dalam satu malam al-Qadr ini lebih baik dari beribadat seumur hidup kerana umur 83 tahun bagi seorang manusia dikira panjang bagi umat ini.

Umur seorang manusia telah ditentukan oleh Allah; ada yang pendek ada yang panjang, tetapi tidak ramai yang menjangkau lebih 83 tahun atau seribu bulan. Bolehkah manusia panjangkan umurnya ? Memang boleh, tetapi tidak dengan cara biasa yang difikir-fikirkan oleh manusia seperti dengan menjaga kesihatan, banyakkan riyadah dan senaman serta mengambil ubat-ubat yang mujarab. Namun cara ini pun tidak mempastikan, kerana faktor-faktor kematian sangat banyak, hampir semuanya di luar keupayaan manusia mengawalnya.

Cara memanjanagkan umur yang pendek sebagaaimana diisyaratkan di dalam ayat adalah dengan beribadat pada malam al-Qadr kerana pahala yang disediakan kepada mereka menyamai lebih 83 tahun.

Kita dapati ramai orang sebelum kita yang hidup di dunia hanya beberapa tahun, tetapi mereka telah berjaya menghasilakan sumbangan menyamai hasil yang dicapai oleh usia generasi yang hidup beratus-ratus tahun lamanya. Penulis tertarik dengan kata penya`ir:

رُبَّ عُمْرٍ طَالَ بِالرِّفْعَةِ لاَ بِالسَّنَوَاتِ
وَقُطَيرَاتُ زَمَانٍ مَلأَتْ كَأَْسَ حَيَاةِ

Terjemahan:

Lanjutnya usia kerana kemuliaan bukan kerana masa,
Gelas kehidupan hanya mampu menadah air titisan usia

(97 : 4) keistimewaan malam al-Qadr hingga lebih baik dari seribu bulan kerana pada malam itu berlaku pertemuan antara manusia sebagai warga bumi dengan malaikat sebagai warga langit, mereka mengadakan perayaan malam ulangtahun turunnya wahyu, mereka mempemerkan takdir Allah pada semua urusan manusia.

تَنَزّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيْهَا بٍِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْـرٍ*

[97 : 4] Pada malam itu para malaikat dan Roh (Jibril) turun dengan perintah Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang telah diputus oleh Allah)

Perkataan asal Tanazzalu, ialah tatanazzalu, lafaznya mudari` yang menunjukkan erti turun secara berkala, ia diturunkan bukan hanya sekali sahaja, tetapi berulang-ulang sekali pada setiap tahun, kerana itu nabi saw menyuruh agar kita berusaha mencarinya pada sepuluh malam yang akhir pada bulan Ramadan, sebagaiman diriwayatkan bahawa apabila masuk sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan, baginda bersungguh-sungguh lalu mengikat tali pinggang, mengejutkan keluarganya dari tidur dan menghidupkan malam-malam itu sepenuhnya.

Ayat menyatakan malaikat dan roh turun pada malam itu. Apakah yang dimaksudkan dengan Roh? Adakah maksudnya Jibril atau malaikat-malaikat yang tinggi pangkatnya, atau makhluk yang lebih tinggi antara mereka yang tinggi.

Sesetengah ulama menyatakan, Roh yang dimaksudkan ialah Jibril, kerana Allah berfirman:

نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الأَمِيْنُ [25]

Terjemahan: “al-Qur`an dibawa turun oleh malaikat Jibril yang beramanah”

Sesetengah ulama menyatakan al-Ruh yang dimaksudkan ialah wahyu itu sendiri. Kerana para malaikat semuanya turun membawa wahyu pada malam al-Qadr itu.

Sungguh agung malam al-Qadar kerana turun para malaikat, bertambah agung lagi kerana al-Ruh yang tertinggi pangkatnya juga turun menyertai makhluk manusia dii bumi pada malam itu. Malaikat biarpun besar, mereka adalah hamba Allah yang dicipta, dimulia dan diperintah dan menerima perintah. Mereka turun bukan atas pilihan mereka tetapi kerana perintah Tuhan mareka.
Persoalan berbangkit di sini, iaitu bukankah keputusan telah diselesaikan di lauh mahfiz dan semuanya telah selesai ditulis? Kalau begitu apa lagi yang dibawa turun oleh malaikat dan hendak diselesaikan? . Agaknya keputusan yang telah selesai adalah tentang urusan makhluk yang masih belum diputuskan dan menunggu malam al-Qadr untuk keputusan bagi tempoh setahun.

(97: 5) Pada malam al-Qadr itu al-Quran diturunkan, beribadat padanya menyamai beribadat dalam seribu bulan, malaikat dan al-Ruh (Jibril) pada malam itu turun membawa keberkatan dan rahmat. Dengan itu malam ini sungguh besar kesejahteraannya dari awal hiungga akhir malam.

سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ *
[97: 5] Sejahteralah malam itu hingga fajar menyinsing

Perkataan al-salam (sejahtera) ertinya sejahtera didengar, ceria, manis dan membawa ketenangan kepada semua dan pada semua perkara. Manusia tidak sejahtera jika anggotanya sakit-sakit, sendi-sendi tangan dan lututnya tidak berfungsi dengan baik, atau keperluan hidupnya masih belum cukup atau jiwanya masih ada sesuatu yang belum ditunaikan. Orang sakit memang tidak sejahtera, orang miskin tidak sejahtera dan orang yang menyimpan dendam juga tidak sejahtera.

Perkataan al-salam terbukti apabila semua nikmat Allah ada pada yang berhajt kepadanya. Bukankah kerana nikmat yang tidak terhingga ada pada kita, maka kita sihat, kita dapat bergerak dan kita hidup senang. Malam al-Qadr adalah malam kesejahteraan yang meliputi semua aspek kehidupan.

Kesejahteraan atau al-salam pada malam al-Qadr adalah disebabkan Allah mengampuni dosa-dosa orang yang berdosa, kerana mereka memohon keampunan kepada Allah agar diri mereka diselamatkan dari neraka. Kesejahteraan yang sebenar dalam hidup seorang muslim ialah kesejahteraan daripada akibat dosa-dosa yang dilakukan sama ada di dunia mahupun akhirat.


Pengajaran Dan Saranan

1: Al-Quran mula diturunkan pada malam al-Qadr dalam bulan Ramadan

2: Malam al-Qadr adalah malam yang mulia, malam penentuan hukum dan taqdir

3: Beramal pada malam al-Qadr lebih baik dari beramal dalam seribu bulan.

4: Malaikat turun ke langit dunia untuk merastui doa orang mukmin yang berdoa.

5: Malam al-Qadr yang mulia ini adalah malam yang segala-galanya aman, selamat dan banyak membawa barakah sama ada pada rezeki, kebajikan amalan sama ada untuk dunia atau akhirat.







[1] al-Dukhan: 3-6
[2] al-Baqarah: 185.
[3] Aal `Imran: 3.
[4] al-Dukhan: 1
[5] al-Zarkashi, al-Burhan fi `Ulum al-Qur`an, 1/288.
[6] Ibn Taymiyyah, Majmu` al-Fatawa, 20/196-197. al-Shatibi, al-I`tisam, 1/485-486.
[7] Tafsir al-Qurtubi, 20/134.
[8] Tafsir al-Qurtubi, 20/137.
[9] al-Bukhari, Salat al-Tartawih, Raf` Ma`rifat al-Qadr li talahi al-Nas, hadith (1883) daripada Ubadfah ibn al-Samit.
[10] Fath al-Bari, 4/268.
[11] Fath al-Bari, 4/267.
[12] Tafsir Ibn Kathir 4/4533. Katanya, isnad hadith ini qawyy, tetapi matannya Gharib Jiddan. Fath al-Bari, 4/262.
[13] Tujuh peringkat ciptaan adalah merujuk kepada ayat al-Mu`minum: ayat 12-14.
[14] Sila rujuk surah `Abasa: ayat 27-32.
[15] Fath al-Bari, 4/264-285.
[16] Ibid.
[17] al-Bukhari, al-I`tikaf: al-I`tikaf fi ai-`Ashr al-Awakhir, hatdith (1887) daripada Abu Sa`id al-Khudri.
[18] Muslim, al-I`tikaf: al-I`tikaf fi al-`Ashr al-Awakhir, hadith (2008) daripada `A`ishah ra.
[19] al-Bukhari, al-Manaqib, sifat al-Nabi (3290) daripada Ibn Abbas ra.
[20] al-Tirmidhi, al-Da`awat an Rasulillah saw, hadith (3436) daripada `A`ishah ra.
[21] al-Isra`:1
[22] al-Isra`:79
[23] al-Dhariyat: 17
[24] `Abasa:3
[25] al-Sy`ra’: 193

No comments: