Thursday, July 1, 2010


Tafsir Surah al-Qadr
Mukadimah Surah

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُالْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3)تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5)

Nama Surah


Nama surah ini ialah al-Qadr, ertinya kebesaran dan keagungan. Keagungan surah ini kerana membicarakan malam al-Qadr yang sangat agung dan mulia. Ibn `Atiyyah dan Abu Bakr al-Jassas menamakan surah ini dengan nama Laylat al-Qadr[1].

Munasabat Surah

Dalam surah al-`Alaq terdahulu ayat-ayatnya menyuruh Nabi saw supaya mebaca al-Qur`an dengan menyebut nama Allah yang mencipta dan nama Allah yang mengajar manusia dengan perantaraan pena.

Pada permulaan surah al-Qadr yang menyusulnya in menyatakan, Allah swt menurunkan al-Qur`an pada malam al-Qadr, malam yang sangat mulia dan agung kerana al-Qur`an diturunkan pada malam itu. Oleh yang demikian, wajarlah kitab suci ini dibaca, dijadikan pedoman dan dimuliakan.

Zaman Nuzul
Mufassirin tidak sependapat pada menentukan zaman nuzulnya surah al-Qadr, sama ada di Makkah atau di Madinah. Sebahagian ulama berpendapat ia diturunkan di Madinah, mereka itu terdiri daripada tokoh-tokoh seperti Abu Hayyan, al-Wahidi, Ibn Atiyyah dan lain-lain.
Al-Mawardi pula berpendapat ia diturunkan di Makkah. Siddiq Hasan menyatakan itulah pendapat kebanyakan mufassirin. Al-Tha`labi berpendapat surah ini ditunkan di Madinah dan itulah pendapat kebanyan Mufassirin. Alwaqidi menyatakan surah ini merupakan yang pertama turun di Madinah[2].
Tema dan Ikhtisar Surah
Tema surah ini ialah Lailat al-Qadr malam Nuzul al-Qur`an. Kagungan malam ini tidak dapat ditandingi mana-mana malam sekalipun dengan seluruh peristiwa yang berlaku sepanjang usia dunia ini.

Malam al-Qadr ialam malam al-Qur`an kerana ia dinuzulkan pada malam ini, iaitu malam yang agung dan bersejarah, malam yang tidak mampu difikir dengan logik akal, kerana nilainya libih baik dari seribu bulan.

Malam al-Qadr menjadi malam teragung, kerana padanya berlaku janji temu antara manusia yang beramal salih dengan Malaikat dan yang paling agung antara malaikat ialah Jibril as yang turun ke dunia kerana membawa perintah Allah.

Surah al-Qadr yang membawa banyak keberkatan ini antara surah yang menyentuh sebahagian daripada perutusan yang diutus melaluai Nabi Muhammad saw. Di dalamnya menyatakan masa (malam) nuzul sebuah kitab yang menjadi pedoman bagi menyelamatkan manusia dari kesesatan syirik dan kufur.

Surah ini juga memperkatakan tentang suasana pada masa turunnya al-Qur`an, iaitu para Malaikat turut memeriahkan malam itu dengan suasana aman, tenteram, selamat dn sentosa. Dengan kata lain lain planet bumi pada malam itu sangat beruntung kerana kesejahteraan berterusan hingga waktu pagi.

Surah ini juga memaparkan satu anugrah yang sangat besar dalam sejarah bumi, iaitu peristiwa penganugrahan malam yang lebih baik dari ribuan malam yang bukan lailat al-Qadr kerana pada mala mini keberkatan diturun, limpah kurnia disebar luas dan rahmat Allah dilipat gandakan.

Surah ini meskipun pendek, namun bicaraannya khusus kepada ayat yang umum di dalam surah al-Baqarah dan juga ayat di dalam surah al-Dukhan, iaitu firman Allah:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ[3]

Terjemahan: (Hari yang ditentukan puasa itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya mula diturunkan al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan mengenalkan perbezaan antara yang hak dan yang batil.

Firman-Nya lagi di dalam surah al-Dukhan:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ[4]

Terjemahan: Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada suatu malam yang amat berkat. Sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan.

Surah al-Qadr membicarakan salah satu daripada dua keadaan al-Qur`an dinuzulkan, iaitu inzal. Adapun tanzil dijelaskan di dalam surah al-Isra`, iaitu firman Allah:

وَقُرْآَنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَى مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنْزِيلًا[5]
Terjemahan: Dan Kami turunkan al-Quran dengan berdikit-dikit, supaya engkau membacakannyan kepada manusia dengan perlahan-lahan, dan Kami telah turunkannya secara beransur-ansur.

Mufassirin menjelaskan, al-Qur`an diturunkan dua kali. Pertama, diturunkan dengan inzaal, iaitu penurunan sekali gus pada kali pertama. Kedua, penurunan berdikit-dikit sebagaimana dijelaskan dalam surah al-Isra`.

Kelebihan Surah

Pada malam ini melimpah-limpah rahmat dan anugrah Allah serta pengampunannya kepada manusia. Keadaan itu berkekalan sepanjang malam hingga menyinsing fajar pagi. Di dalam hadis riwayat Abu Hurairah ra katanya: sabda Nabi saw bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيماَنًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقًَدَّمَ مِنْ ذَنبِهِ[6]
Terjemahan: Sesiapa beribadat pada malam al-Qadr dengan iman dan mengharapkan pahala, nescaya diampuni dosanya yang terdahulu.



[1]Tafsir Ibn `Asyur, 30/455.
[2] Fath al-Bayan, 15/319.
[3] Al-Baqarah: 185.
[4] al-Dukhan: 3.
[5] al-Isra`: 106.
[6] al-Bukhari, al-Iman, Tatawwu` Qiyam Ramadan, hadis (36). Muslim, Salat al-Musafirin, al-Targhib fi Qiyam Ramadan, hadis (1266) daripada Abu Hurairah.

No comments: