Friday, July 2, 2010

TAK SALAH ISTERIKAN JANDA

SOALAN:

Saya seorang siswa tahun akhir di sebuah universiti tempatan yang berusia 21 tahun. Saya berkenalan dengan seorang janda melalui telefon. Beliau merupakan seorang pegawai berusia awal 20-an. Kami saling mencintai dan merancang untuk mendirikan rumah tangga.

Saya amat tertarik pada janda ini kerana budi bahasa dan sopan santunnya yang tinggi. Tahap pendidikannya juga setaraf pendidikan saya.

Soalan saya, apa pandangan agama dan masyarakat terhadap keputusan saya menerima janda ini sebagai isteri. Patutkah saya teruskan hasrat mengahwininya sekalipun masyarakat memandang serong kepada saya. Andainya hubungan saya perlu dihentikan setakat ini, apakah jalan terbaik bagi saya untuk mendapatkan pasangan hidup. - ZULKIFLI, Telaga Bina.

JAWAPAN:

Setujukah anda jika saya katakan, cinta dalam ikatan sesuatu perkahwinan meskipun penting, namun ia bukan segala-galanya. Kebahagiaan rumah tangga adalah hasil gabungan antara cinta dan beberapa unsur sampingan yang lain seperti persefahaman, tahap sosial yang tinggi, kewangan yang kukuh, rupa paras yang menawan hati dan keluarga yang dihormati.

Kelazatan sesuatu hidangan pada dasarnya banyak bergantung pada resipinya yang diadun seimbang antara bahan masakan dan rempah kari yang disebatikan.

Meneruskan perkahwinan dengan seseorang wanita, bagaikan jual beli yang dibuat cara borong. Pembeli bersetuju dengan harga yang ditawar dan dengan satu dua perkara yang diminatinya. Kadang-kadang barang yang dibeli dengan cara ini terpaksa menerima realiti yang ada baik dan buruknya. Memang benar, membeli sebakul buah pasti ada yang manis dan ada yang masam.

Perkahwinan tidak boleh dibina semata-mata atas dasar cinta sama cinta. Pengalaman menunjukkan cinta mudah kering sebaik sahaja ditiup angin dan udara. Bertanyalah pengalaman orang tua yang lebih dahulu merasa asam garam perkahwinan.

Anda dikira tidak bijak jika tidak mengambil kira pandangan orang lain yang pernah merasai pahit maungnya hidup berumah tangga. Jika ada orang menasihati anda, supaya tidak membeli sesuatu barang kerana dibimbangi bahayanya, anda sepatutnya tidak menjawab ``biar saya cuba''.

Merujuk masalah anda yang kini mencintai seorang janda, kerana budi bahasa dan sopan santunnya yang tinggi, saya ingin mengajukan beberapa soalan sekadar membuka minda anda untuk berfikir dan seterusnya membuat keputusan.

Pertama: Adakah perkahwinan seorang lelaki dengan janda yang sudah kahwin itu suatu keaiban? Jawabnya tidak aib dari pandangan agama, kerana Nabi s.a.w dan ramai para sahabatnya mengahwini janda. Jika perkahwinan seumpama itu merupakan suatu keaiban dari segi agama, tentu sekali baginda tidak mengahwini Khatijah yang pada ketika itu seorang janda berusia lewat 40-an.

Sirah Rasulullah s.a.w itu menjadi teladan yang sangat baik dicontohi terutama apabila perkahwinan itu mendatangkan faedah bagi merapatkan hubungan keluarga, membela nasib anak-anak yatim atau berfaedah bagi perkembangan Islam dan dakwah.

Bagaimanapun masyarakat tidak mudah menerima alasan seorang belia beristerikan janda, sedangkan gadis-gadis yang belum terusik masih ramai. Justeru masyarakat memandang ganjil perkahwinan itu. Maka sebelum membuat sebarang keputusan, anda perlu menjawab beberapa soalan berikut:

Mampukah anda menulikan telinga, jika masyarakat memandang serong terhadap anda yang beristerikan janda. Sanggupkah anda menghadapi tekanan masyarakat yang sentiasa bertanya mengapa anda memilih janda. Mungkinkah pada suatu hari nanti fikiran anda berubah, lalu mengambil keputusan untuk meninggalkan janda itu, kerana alasan lain yang sengaja anda rekakan seperti tidak mempunyai masa secukupnya untuk melayani kehendak anda, kerana kesibukannya dengan kerjaya sebagai seorang pegawai atau kerana faktor usianya yang semakin layu.

Kedua: Keputusan anda mengahwini janda itu, adakah kerana anda juga mempunyai kelemahan sendiri dan berminat berkongsi kelemahan itu dengannya. Jika benar andaian ini, maka kini penyakit anda telah bertemu ubatnya.

Saya cadangkan, teruskan perkahwinan itu sesegera yang mungkin. Abaikan sahaja cakap-cakap orang, kerana mereka senang berbicara, padahal tidak mengetahui apa yang anda rasa. Sebaliknya, jika hasrat itu tidak bertujuan menutup sebarang kelemahan, maka mungkinkah saudara sanggup mengabaikan tohmah-tohmah liar jika ditakdirkan ada.

Ketiga: Adakah anda benar-benar berpuas hati dengan janda itu, atau hanya kerana terpukau dengan sopan santun dan budi bahasanya yang mencuit hati dan perasaan anda, atau kerana ada sesuatu menjadikan anda simpati terhadapnya, misalnya kerana dia ditinggal suami atau kerana dia tinggal bersendirian jauh dari keluarga dan sebagainya.

Pernahkah anda timbangkan kekuatan dan kelemahannya, kebaikan dan kekurangannya secara adil? Sudahkah anda mengambil kira suasananya dengan fikiran yang tenang dan waras atau hanya dengan hati yang termakan budi.

Anda memuji-muji janda itu kerana budi bahasa dan kesopanannya yang tinggi. Adakah anda akan terus berpegang dengan prinsip ini atau pada suatu hari nanti idealisme anda terhadap seseorang wanita akan berubah. Saya tanyakan lagi, mengapa anda tidak beranggapan kesudian janda itu bercakap di telefon dengan seorang siswa seperti anda, menjatuhkan budi bahasa dan kehormatannya. Sudahkah anda menyelidiki sebab-sebab mengapa dia dicerai suaminya terdahulu. Mengapa anda tidak katakan, perceraian itu disebabkan kelemahan-kelemahannya yang tersendiri.

Saya majukan lagi soalan terakhir yang perlu dijawab. Adakah pandangan serong masyarakat dan keluarga, menjejaskan terus kebahagiaan anda apabila berkongsi hidup dengan janda itu. Jika jawapannya tidak, saya kira anda boleh membuat keputusan meneruskan perkahwinan itu, sambil memohon hidayat kepada Allah dan banyakkan doa, semoga anda diberi petunjuk kepada jalan yang betul. Pesanan saya, jangan tergesa-gesa membuat keputusan dalam urusan yang memerlukan pertimbangan yang lebih cermat dan teliti.

Jika maklum balas yang diperoleh daripada soalan-soalan tadi negatif, maka anda perlu mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mendapatkan calon isteri daripada gadis-gadis yang rasa saya tidak susah bagi seorang siswa seperti anda.

Anda perlu terlebih dahulu mempastikan kemampuan untuk mendirikan sebuah rumahtangga, tanpa banyak bergantung kepada orang lain, terutama dalam hal-hal kewangan. Setelah anda yakin dengan kemampuan itu, pilihlah wanita yang sesuai dan banyak persamaannya dengan anda, sama ada dari segi kebendaan, pendidikan dan sosial. Persamaan dari aspek-aspek ini lebih banyak membantu kebahagiaan sesebuah rumah tangga, bahkan antara dua keluarga kedua-dua pihak yang bakal dipertemukan.

Sejarah Islam menyatakan, faktor utama membawa perpisahan antara Zaid bin Harithah dan isterinya Zainab binti Jahsy ialah kerana jauhnya jarak perbezaan antara Zaid dan isterinya. Zainab merupakan seorang berketurunan bangsawan yang dihormati dalam keluarganya, sedangkan Zaid pula seorang hamba.

Sehubungan ini juga Saidina Umar Ibn al-Khattab pernah mengeluarkan arahan supaya kaum bangsawan tidak dibenar kahwin kecuali dengan golongan yang sama taraf dengannya.

Setelah didapati calon yang sesuai, pastikan anda meminati dan mencintainya. Jangan pilih wanita yang ada sifat-sifat yang istimewa, tetapi tidak dicintai, atau dengan kata lain, fikiran menerima tetapi hati membisu. Jangan sekali-kali anda mencari bakal isteri yang terlalu ideal dan semua terbaik, kerana anda sendiri pun banyak kelemahannya.

Saya tertarik kepada soal selidik yang dilancar melalui laman web Islam On Line kepada 4,308 responden, untuk mendapatkan maklum balas pada pemilihan teman hidup yang istimewa. Ciri-ciri yang diketengahkan dalam pemilihan yang berupa undi ialah cinta, persefahaman, pendidikan tinggi, kecantikan rupa paras dan tahap sosial yang istimewa.

Undian itu menunjukkan cinta mendapat 850 undi, persefahaman 2,505 undi, pendidikan mendapat 98 undi, kecantikan mendapat 184 undi, manakala tahap sosial mendapat 671 undi.

Soal selidik ini membuktikan bahawa persefahaman mendapat undi yang terbesar daripada para responden. Ini pula sesuai dengan punca perceraian yang banyak berlaku adalah disebabkan tiada persefahaman antara suami isteri.

Faktor pendidikan mendapat undi paling rendah, kerana ramai lelaki tidak berminat dengan isteri yang tahap pendidikannya lebih tinggi daripada suami. Kerana dibimbangi kuasa pentadbiran rumah tangga bertukar tangan. Lelaki lebih suka memegang kuasa, biarpun pada masa yang sama dia bertanggungjawab pula dengan nafkah isteri dan keluarganya.

Faktor kecantikan mendapat 184 undi, iaitu yang kedua paling kecil selepas pendidikan tinggi. Faktor ini bukan tidak penting, tetapi jangan sekali-kali mengorbankan faktor-faktor lain, semata-mata kerana kecantikan rupa paras.

Fuqaha Islam memutuskan, adalah menjadi hak seseorang lelaki melihat wanita yang bakal dipinangnya terlebih dahulu, kerana kecintaan bermula dari mata sebelum turun ke hati.

Sehubungan ini, seorang sahabat Nabi memberitahu baginda, bahawa dia ingin meminang seorang wanita. Nabi s.a.w bersabda: Sudahkah kamu lihat wanita itu? Jawabnya: Belum. Sabda Nabi: Lihat dahulu, kerana pandangan mata membantu keserasian kamu berdua.

Aisyah r.a pernah meramalkan bahawa perkahwinan Rasulullah s.a.w dengan Juwairiyah pada suatu hari nanti akan menjadi kenyataan, apabila mendapat maklum bahawa Juwairiyah seorang yang cantik rupawan. Ini kerana Aisyah r.a. tahu bahawa Rasulullah s.a.w cintakan sesuatu yang cantik.

Memang benar Rasulullah s.a.w sukakan wanita yang cantik, kerana seorang wanita pernah menawarkan diri kepada beliau untuk menjadi isterinya. Setelah baginda melihat keseluruhan gerak-geri wanita itu, baginda menyatakan tidak berminat dengan wanita itu, sambil menarik diri daripada tawarannya.

Sebagai kesimpulan, pemilihan bakal isteri tidak salah untuk dilihat pada banyak ciri, tetapi ciri yang paling mustahak ialah wujudnya persefahaman atau kesediaan bertolak ansur antara suami isteri.

Akhir sekali, jangan lupa sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: ``Biasa dikahwini seseorang itu kerana harta benda, keturunan, kecantikan rupa paras dan agama. Ingat! Pilihlah wanita yang kuat agama, nanti kamu sesal jika pilih yang lain. Agama yang dimaksudkan di sini ialah kekuatan iman dan takwa yang dengannya mampu menyahut segala cabaran dalam rumah tangga.

No comments: