Sunday, July 25, 2010

TANGGUNGJAWAB TERHADAP ANAK ANAK ISTIMEWA

SOALAN:


Saya seorang suri rumah yang terpaksa berhenti kerja sejak 15 tahun yang lalu, kerana menjaga seorang anak istimewa yang cacat anggota dan penglihatan. Saya tidak berasa terhina sedikit pun dengan kehadiran anak ini. Pengalaman sejak 15 tahun yang lalu menyaksikan saya tidak pernah kesempitan rezeki dan tidak pernah bermasalah dalam keluarga, sama ada dengan anak-anak mahupun suami. Soalan saya ialah:

1. Apakah tanggungjawab saya terhadap anak istimewa ini selain menjaga makan minumnya dan keperluan hidupnya.

2. Bolehkah saya wasiatkan sebahagian harta peninggalan saya kepadanya, selepas saya meninggal dunia, kira-kira peninggalan itu tidak mengikut hukum faraid.

3. Bagaimana pendidikan yang sepatutnya saya beri kepada anak istimewa saya ini, kerana walaupun cacat, tetapi daya ingatannya agak baik dan mampu menghafaz surah-surah tertentu.

Harap tuan berikan ulasan sebagai panduan bagi saya untuk terus menjaga anak saya ini. - MAHANI, Kuala Kubu, Selangor.

JAWAPAN:


Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada puan atas kesabaran menghadapi ujian menjaga anak istimewa yang cacat anggota dan penglihatan itu. Puan sebagai ibu kepada anak istimewa, harus bersyukur kepada Allah, kerana walaupun sejak 15 tahun yang lalu telah berhenti kerja, namun puan tidak pernah menghadapi sebarang masalah dalam hidup rumah tangga. Bukankah bekerja itu sendiri pada prinsipnya untuk menyelesaikan masalah-masalah hidup dan rumah tangga, bersama-sama anak dan keluarga. Jika semuanya tercapai, ucaplah alhamdulillah dan ingatlah masih ramai keluarga yang hidup bermasalah, meskipun anak-anaknya sihat dan sempurna.

Seorang muslim terutama ibu dan bapa, hendaklah melihat kepada anak istimewanya sebagai anugerah Allah, untuk menguji sejauh mana kesabarannya dalam menghadapi ujian itu. Anggaplah anak istimewa itu sebagai manusia yang sempurna, hanya ia dipilih Allah untuk diuji, bagi menentukan kedudukan sebenar diri dan keluarganya pada masa-masa hadapan.

Saya tidak menyimpan sebarang keraguan untuk menerima hakikat bahawa rezeki puan yang bertambah, hidup bahagia bersama anak-anak, suami dan keluarga tanpa sebarang masalah seperti yang puan akui, adalah sebahagian daripada keberkatan yang melimpah daripada keikhlasan puan menjaga anak yang istimewa itu. Memang biasa berlaku dalam takdir Allah, menarik balik sesuatu, kemudian menggantikannya dengan sesuatu yang lain.

Anggaplah kemewahan hidup dan kebahagiaan yang puan rasai itu sebagai balasan pendahuluan di dunia. Balasan sebenarnya, jika diizin Allah akan menyusul pada hari akhirat nanti. Saya berpendapat, selain menjaga kepentingan makan minum dan kebajikan anak istimewa, puan juga perlu mempunyai kefahaman yang lebih tinggi tentang anak-anak istimewa, meliputi hak-hak pendidikan yang patut diberi, tanggungjawab masyarakat dan layanan kekeluargaan yang sepatutnya diambil berat, supaya masa depannya lebih cemerlang dan terjamin.

Kewujudan anak istimewa atau cacat dalam sesebuah keluarga, bukan sesuatu yang luar biasa. Kadang-kadang kecacatannya tidak menghalangnya untuk terus maju dan membina masa depannya yang baik. Cacat penglihatan, anggota kaki tangan dan sebagainya, belum tentu fikirannya juga turut cacat. Apa yang penting ialah berusaha mencari jalan supaya anak itu mampu berdikari dan tabah menghadapi nasib yang menimpa dirinya. Tanamkan keyakinan padanya bahawa ia boleh maju seperti juga orang lain.

Dalam sejarah Islam, kita saksikan ramai orang yang cacat anggota, tetapi tidak menghalang mereka menjadi seorang yang kedudukannya dihormati. Sebagai contoh, `Ata' ibn Rabah seorang ulama tabiin dan ahli fiqh Islam terkemuka di Mekah.

Beliau diberi tempat yang sangat istimewa dalam kerajaan Umawiyah fatwa-fatwa semasa yang keluar daripadanya, dianggap sebagai lebih tepat dan terbaik. Beliau juga seorang yang mempunyai kehormatan diri yang tinggi, kerana ia pernah menyatakan: Aku tidak mempunyai sebarang hajat daripada pemerintah. Segala khidmat dan sumbangan beliau adalah ikhlas kerana Allah subhanahu wa taala.

Penulis-penulis riwayat hidup `Ata' mencatatkan bentuk badan beliau sebagai berkulit hitam, hidungnya kempis, kakinya tempang, tangannya lumpuh dan akhirnya tangan yang lumpuh itu terputus dalam suatu peperangan bersama-sama Abdullah ibn al-Zubair.

Kecacatan demi kecacatan yang menimpa Ata' tidak menghalang Khalifah Abdul Malik ibn Marwan untuk menjemput beliau dan menempatkannya bersama dalam majlis-majlis rasmi pemerintah.

Di kalangan ulama dan periwayat hadis pula, kita dapati ramai perawi yang cacat anggota, tetapi hadis dan riwayatnya tetap menjadi rebutan murid-murid yang cintakan hadis. Antara mereka ada yang dikenali dengan gelaran al-a'raj (capik atau tempang), seperti Abdul Rahman ibn Hurmuz, Yahya bin Zakariyya, Muhammad bin Yusuf, semuanya adalah rawi-rawi hadis yang kakinya tempang. Ada juga yang dikenali dengan gelaran al-a'masy (rabun mata), al-asam (pekak), al-aftas (hidung kempis) sehingga gelaran ini dikekalkan sebutannya pada hujung nama masing-masing dan di dalam karya-karya agung Islam yang mengabadikan nama-nama mereka.

Dalam al-Quran menyebutkan kisah seorang sahabat Nabi yang cacat penglihatan, beliau ialah Abdullah ibn Ummi Maktum. Allah pernah menegur Nabi-Nya, apabila tidak memberi layanan sepenuhnya kepada Abdullah, tatkala beliau datang meraba-raba ke majlis Nabi yang pada ketika itu sedang bersama-sama beberapa pembesar Quraisy. Kisahnya disebutkan dalam beberapa ayat pertama dalam surah bilangan yang ke-80.

Ayat-ayat itu menegur Nabi dengan menyatakan, mungkin si buta ini lebih suci hatinya daripada orang-orang besar Quraisy yang kamu layani mereka. Nabi sangat tersentuh dengan teguran itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Imam al-Zamakhsyari seorang ulama tafsir yang sangat dikagumi ilmu dan kepakarannya dalam pelbagai bidang, adalah seorang yang cacat kakinya, tetapi semuanya itu tidak pernah mengganggu kehidupan ilmiahnya. Dalam sejarah negara kita, pernah menyaksikan seorang ahli Parlimen yang cacat anggota, mampu berpidato berjam-jam dalam Parlimen. Beliau ialah Profesor Zulkifli Muhammad, bekas ahli Parlimen Bachok dan bekas pensyarah Kolej Islam Malaya.

Teringat lagi kepada satu ayat al-Quran dalam surah al-Haj, iaitu ayat 46 yang membawa maksud: Bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada dalam dada. Ayat ini memperkatakan segolongan manusia yang gagal hidup dalam baik, kerana tidak memanfaatkan anggota yang diberi Allah kepadanya. Cacat mata kepala tidak mengapa, tetapi jangan cacat mata hati.

Kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. ada yang cacat mata, kepala, seperti Abdullah ibn Abbas dalam usianya yang akhir. Beliau kerap dipermain- mainkan oleh kawan-kawan kerana penglihatannya itu, tetapi beliau menjawab kepada mereka: Jika Allah telah menarik penglihatanku menjadi gelap, lidah dan hatinya masih terang bercahaya.

Merujuk soalan selanjutnya, bolehkah diwasiatkan sebahagian harta peninggalan kepada anak istimewa, tanpa mengikut hukum faraid. Pada dasarnya pembahagian harta pada masa hidup hendaklah dibahagikan sama rata antara anak-anak, sama ada lelaki atau perempuan. Pembahagian Pembahagian yang tidak sama, boleh menimbulkan prasangka dan buruk hati antara adik-beradik yang bersaudara. Saya berpendapat kecacatan pada anak istimewa tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak disamakan pembahagian, kecuali setelah mendapat persetujuan semua anak.

Adalah lebih baik bagi puan menanamkan pada semua anak rasa tanggungjawab terhadap anak mereka yang cacat, daripada mengambil sebahagian harta untuk diberi khusus kepadanya, tanpa persetujuan adik-beradik yang lain. Imam al-Bukhari menegaskan, pembahagian harta yang dibuat dengan tidak adil sama ada berpilih-pilih adalah zalim dan melampau.

Pembahagian selepas mati hendaklah mengikut hukum faraid (pesaka), kerana hak dan kadar masing-masing telah ditentu oleh Allah dalam al-Quran. Namun jika adik-beradiknya dengan rela hati ingin berkorban bagi kepentingan adik istimewa mereka, maka harus bagi mereka berbuat demikian. Saya lebih cenderung kepada pembahagian itu dikekalkan mengikut hukum, lagipun anak puan hanya cacat penglihatan dan anggota, tidak akal fikiran.

Merujuk soalan bagaimana pendidikan yang harus diberi kepada anak-anak istimewa ini. Saya tidak dapat menentukan secara khusus bentuk pendidikan yang perlu diberi, kerana kecacatan itu sendiri berbeza antara seorang dengan yang lain. Ada orang yang cacat, sedang berkemampuan menuntut ilmu lebih tinggi berbanding orang yang sempurna anggota. Ramai orang yang cacat anggota terutama penglihatan, tetapi kemampuan menghafaz al-Quran lebih baik berbanding orang celik dan sejahtera.

Bagaimanapun, saya tidak setuju dengan sesetengah pihak yang berminat mendidik orang-orang yang cacat penglihatan dengan muzik, nyanyi dan sebagainya. Pada saya, jika mereka mampu menjadi pemuzik dan penyanyi, mereka juga seharusnya boleh dididik dengan pengetahuan-pengetahuan yang lain.

Pengalaman saya di Universiti Al-Azhar, ramai pensyarah dalam pengajian Islam dan lain-lain, terdiri daripada pensyarah-pensyarah yang cacat penglihatan. Mereka menunjukkan keupayaan yang kadang-kadang mengatasi pensyarah-pensyarah yang celik. Mereka mampu membuat rujukan dengan betul kepada buku-buku dalam perpustakaan dan kaya dengan idea yang bernas dan matang.

Saya sekali lagi berasa bangga dengan adanya keluarga yang sedar tentang penjagaan anak-anak istimewa, tetapi pada masa yang sama masih ada keluarga yang kurang peka, mereka berasa terhina dengan anak-anak itu. Pihak-pihak tertentu, terutama Jabatan kebajikan masyarakat, perlu mengambil langkah-langkah sewajarnya.

1 comment:

Anonymous said...

kenapa kita org Islam ini slalu mrujuk kpd kisah lampau tanpa berbuat ssuatu utk mpbaiki keadaan. contonhya pjagaan anak cacat oleh puan tadi. saya pun punyai juga dan telah 18 tahun mjaganya dua org lagi. rasa saya umat Islam tidak dapat melwan umat lain menangani penjagaan kanak2 cacat ini, umat lain lain lebih peka dan bertanggungjwab mabntu org2 cacat tanpa mngira kaum lagi. Kita org Islam tidak punyai sifat2mulia, yg mrk tahu kesian dan simpati dan lebih aprah mecaci dan menghina. Cuba kita lihat msykt barat. mereka tdk mdiskriminasikan golongan ini. walupun kita sibuk mengatkan budaya dan akhlak mereka runtuh tetapi mrk prihatin. pertubuhan Islam di nagra kita pun mmandan sepi akan isu ini. tetapi bcakap pasal agama bukan main lagi. org boleh mnilailah sjauh mana tingginya budi kaum lain berbanding umat Islam spt kita.