Tuesday, July 13, 2010

ULASAN HADIS (2)

Memelihara Diri Daripada Fitnah
Harta Dan Wanita

عن أبي سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إن الدُّنْيِا حُلْوَةٌٌ خَضِرَةٌ، وَإنَّ اللهَ مُسْتَخْلِفَكُمْ فِيْهَا فَيَنْظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ، فَاتَّقُوا الدُّنْيَا واتَّقُوا النِّسَاءَ؛ فَإنَّ أوَّلَ فِتْنَةِ بَنِيْ إسْرَائِيْلَ كَانتْ في النِّسَاءِ [1].

Terjemahan Hadis:

Riwayat Abu Sa`id al-Khudri (r.a.) daripada Nabi (s.`a.w.), ia bersabda: “Sesungguhnya dunia itu manis dan hijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu pengganti sebelum kamu, maka Dia akan memerhatikan apa yang kamu lakukan. Awasilah kamu daripada dunia dan awasilah kamu daripada wanita, kerana sesungguhnya fitnah pertama terhadap Bani Isra`il adalah berpunca daripada wanita.

Ulasan Perkataan

حُلْوَةٌ :Manis, dunia itu easanya manis bagaikan gula-gula atau
buah- buah yang manis. Semua orang sukakan makanan yang manis dan
tidak menyukai yang pahit. Dunia pada keseluruhannya adalah manis.
خَضِرَةٌ : Hijau, Dunia itu pemandangannya hijau, pemandangan
kepada warna ini sangat disukai mata yang melihat. Hijau jika pada
buah-buahan menunjukkan segar dan baru dipetik. Begitulah dunia pada keseluruhannya bagaikan sesuatu yang lazat dan menggembirakan. Dunia yang begini sifatnya tentu sekali menarik, diminati semua orang, tetapi harus diingat, pada yang manis itu ada racunnya dan pada yang hijau juga ada bahayanya
مُسْتَخْلِفَكُمْ : Allah menjadikan kamu pengganti, ertinya kamu dijadikan sebagai pengganti orang-orang sebelum kamu yang telah pergi meninggal dunia yang dahulunya mereka diuji dengan dunia yang manis dan hijau ini. Dunia meskipun manis dan hijau, tiada penghuni yang tinggal di suni menetap buat selamalamanya; dia datang hanya untuk sementara kemudian pergi
اتَّقُوا الدُّنْيَا : Awas, pelihara dan jagalah diri kamu daripada dunia yang manis lagi hijau itu. Dunia di sini juga membawa makna lawan kepada akhirat. Dunia tempat menguji, akhirat tempat membalas.
النسَاءَ : Ertinya wanita. Maksudnya awasilah kamu daripada terpedaya, teruji, terfitnah disebabkan wanita.
فتْنَةِ : Ertinya ujian. Perkataan ini berasal daripada fatana al-zahaba, ia diguna kepada seseorang yang menguji emas, apabila ia membakar emas untuk dinilai ketulinannya. Fitnah dipakai kepada beberapa makna lain secara kiasan seperti kufur, sesat, menyesatkan orang, azab, dosa dan sebagainya.

بَنِي إِسْرَائِيْلَ : Anak-anak Isra`il, maksudnya anak-anak cucu daripada keturunan Nabi Ya`qub a.s.

Periwayat Hadis

Periwayat hadis ini ialah Abu Sa`id al-Khudri, nama penuhnya ialah Sa`d Ibn Malik Ibn Sinan al-Ansari. Kabilahnya dihubungkan dengan Khidrah Ibn Awuf, salah satu daripada ketua kabilah Arab yang terkemuka.

Beliau salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w. dari Madinah, yang pernah menyambut kedatangan ketika baginda berhijrah. Beliau juga antara sahabat yang ikut serta berperang sebanyak 12 kali peperangan menentang kaum musyrikin berasama-sama nabi s.a.w., iaitu selepas kewapatan bapanya dalam peperangan Uhud, tetapi beliau sendiri tidak hadir dalam peperangan itu, kerana usianya masih rendah.

Abu S`id termasuk antara sahabat Rasulullah s.a.w. yang menjadi rujukan dalam masalah dan hukum-hukum Islam. Hafiz al-`Iraqi meletakkan nama beliau dalam senarai al-mukaththirin fi al-riwayah (sahabat yang banyak meriwayat hadis). Sejarah hidup beliau sangat manis, panjang dan terpuji.

Hadis-hadis beliau yang diriwayat dalam kitab-kitab sunan didapati sebanyak 1170 hadis. Bukhari dan Muslim sepakat meriwayatkannya sebanyak 43 hadis. Bukhari bersendirian bersendirian pula sebanyak 26 hadis dan Muslim bersendirian sebanyak 52 hadis dalam pelbagai bidang masalah.

Abu Sa`id meninggal dunia pada tahun 74 Hijrah di Madinah dan dimakamkan di perkuburan al-Baqi`. Didoakan semoga beliau dikurniakan rahmat dan dimasukkan ke syurga atas sumbangan dan jasa baik beliay terhadap Islam dan umatnya.

Tujuan Hadis

Dunia ini adalah tempat yang sarat dengan pelbagai masalah dan ujian. Ujian itu pula berbagai-bagai rupa dan bentuk; ada yang pahit dan ada yang manis, ada yang indah dan menyukakan pandangan dan ada yang ngeri dan mendukakan. Manusia yang ditakdirkan tinggal di bumi ini, harus tahu perkara-perakara yang berbahaya atau berfaedah bagiunya selama ia tinggal di dunia ini.

Pengalaman orang-orang terdahulu hendaklah dijadikan teladan dan pengajaran, supaya keburukan dan kebaikan yang mereka lalui menjadi sebaik-baik pengajaran bagi kita sebagai penghuni dunia yang mengambil tempat-tempat yang ditinggal mereka. Banu Isra`il merupakan bangsa yang besar dan mempunyai rekod dalam sejarah dunia. Rekod mereka kurang baik terutama dalam hubungan dengan wanita. Dalam al-Qur`an terdapat satu surah khas yang memakai nama Bani Isra`il.

Hadis memperingatkan, wanita boleh memperdayakan lelaki. Letakkan mereka pada tempat yang telah ditentukan oleh syariat Islam, jangan melampaui batas-batas yang ditetapkan itu, nanti berlaku apa yang telah berlaku kepada umat terdahulu.

Ulasan Hadis



Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., banyak sekali ujian berlaku terhadap umat Islam, selain kewafatan baginda sendiri merupakan ujian yang sangat berat menimpa para sahabat dan umat Islam. Ujian-ujian berupa nikmat dan kekayaan, harta benda dan anak pinak, pangkat dan kemewahan hidup dan berbagai-bagai ujian lagi, kerap menimpa umat Islam sepanjang sejarah mereka di dunia ini. Semuanya ada yang manis dan ada yang pahit. Al-Qur`an al-Karim menyebutkan bahan-bahan yang pernah menguji hidup mereka, firman-Nya:

زُيِّنَ لِلنًّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِيْنَ وَالْقَنَاطِيْرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ والْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ والأنْعَامِ والْحَرْثِ ذّلِكَ مَتَعُ الْحَيَاةِ الدَُنْيَا واللهُ عِنْدُ حُسْنُ الْمَآبِ [2]

Dihiaskan dengan indahnya kepada manusia kecintaan kepada keinginan-keinginan, iaitu kepada wanita, anak-anak, harta kekayaan yang bertimbun-timbun dari emas, perak, kuda yang dipelihara, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kenikmatan hidup dunia dan di sisi Allah tempat kediaman yang baik (Syurga).

Insan diminta supaya mejadikan harta kekayaan sebagai jalan menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat, sebagai ladang untuk dikerjakan di dunia, kemudian hasilnya dikutip di akhirat. Jika mereka salah guna terhadap nikmat kekayaan yang diberi, mereka tunduk kepada kehendak-kehendak hawa nafsu yang dilarang, maka padah buruknya lambat laun akan menimpa mereka.

Dunia Itu Manis Lagi Hijau.

Baginda Rasulullah s,a.w. mengingatkan, dunia ini manis lagi hijau, sabdanya:

الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ

Dunia itu manis lagi hijau.

Sebagaimana tabiat manusia sukakan makanan yang manis dan lazat, tertarik dengan pemandangan semula jadi yang indah dan hijau, demikianlah dunia sebagai penguji manusia dalam bayangan sabda ini.

Harta kekayaan yang dimiliki adalah dunia yang menguji, kerana harta mereka sedia berlumba-lumba untuk mengumpul sebanyak yang mungkin, kerana harta mereka sering kali lupakan hak-hak orang miskin, kerana harta nafsu seringkali mendesak supaya mendapatkan sebanyak-banyaknya daripada sumber-sumber haram, seperti mencuri, merompak, berjudi, mengambil riba, resuah dan sebagainya.

Dunia yang manis apabila gagal dikawal pengambilannya, kemanisan tidak lagi membawa nikmat, sebaliknya bertukar menjadi racun yang berbahaya, kacau bilau, huru hara dan kesengsaraan kepada umat dan negara.

Di samping dunia sebagai penguji, Wanita juga penguji kaum lelaki, ia mendatangkan fitnah sebagaimana juga dunia. Jika manusia gagal memelihara nafsunya daripada jalan-jalan yang dilarang pada harta benda dan kekayaan, maka kegagalan memelihara nafsu dan keinginan kepada wanita daripada jalan-jalan yang haram juga boleh membawa kemusnahan yang serupa, bahkan lebih buruk lagi.

Sejarah banyak mempersaksikan, kegagalan yang berpunca daripada wanita, seringkali fitnahnya meruntuhkan rumahtangga dan mengancam keselamatan umat dan negara.

Islam Dan Pergaulan Wanita

Justeru wanita banyak mendatangkan ujian dalam pergaulan hidup dengan lelaki, maka Islam menyusun beberapa aturan supaya hidup semua pihak terkawal daripada sesuatu yang tidak diingini dan menudaratkan.

Sebelum membicarakan permasaalahan dalam pergauulan antara lelaki dan wanita dari perspektif Islam, perlu ditegaskan bahawa wanita hari ini dizalimi dua kumpulan yang berpengaruh:

Pertama: Kumpulan yang cenderung kepada Barat. Kumpulan ini sangat berminat menarik masyarakat Islam meniru budaya dan cara hidup Barat yang sudah runtuh; mereka berusaha memisahkan manusia daripada ajaran Islam yang dibawa oleh rasul-rasul yang berpanmdukan wahyu dan kitab suci al-Qur`an.

Mereka mahukan umat Islam ini turut mengikut cara hidup dan budaya Barat tanpa kecuali, sekalipun jika terpaksa dibawa masuk ke lubang biawak, nesacaya mereka turut masuk ke dalamnya, biarpun lubang itu sempit dan menye ksakan. Sabdanya:

لَتَتْبَعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا شِبْرًا، وَذِرَاعًا ذِرَاعًا، حَتَّى لََو دَخَلُوا جُحْرَ ضَبِّ تَبِعْتُمُوهُمْ، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ الْيَهُودَ والنَّصَارَى؟ قَالَ: فَمَنْ؟![3]


ٍSesungguhnya kamu akan mengikuti jalan budaya orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, hasta demi hasta, hinggakan kalau mereka masuk lubang biawak, nesacaya kamu turut masuk ke lubang biawak. Kami bertanya: Adakah mereka itu Yahidi atau Nasara. Sabda baginda: Siapa lagi jika tidak mereka.

Budaya Barat sudah terbukti gagal meyelesaikan masalah manusia, namun masih ada yang keliru dan berusaha mencuba budaya mereka yang ketinggalan itu.

Kedua: Golongan yang tidak menyukai budaya Barat, tetapi belum kembali sepenuhnya kepada Islam, mungkin buada mereka lebih bersifat ketimuran, kerana sekali sekala ada miripnya kepada Islam, tetapi masih juga tidak keluar daripada lingkaran cara hidup yang bukan Islam, kerana peraturannya dicipta oleh manusia yang tidak terpelihara pemikirannya daripada salah dan silap.

Dalam hubungan antara lelaki dan wanita, Islam tidak menolak pertemuan antara lelaki dan wanita, Islam tidak pernah meletakkan sekatan antara wanita dengan lelaki dalam pagar besi sehingga ia tidak boleh dilihat dan ditemui lelaki, sekalipun bagi menjalani urusan-urusan dunia yang mereka banyak berkongsi padanya.

Sejarah awal Islam membuktikan wanita ikut serta menghadiri salat jumaat dan jamaah di Masjid Nabawi. wanita disuruh mengaturkan saf salat mereka di belakang saf salat lelaki, makin jauh saf mereka daripada saf lelaki, dikira makin baik, kerana di kalangan lelaki pada ketika itu ada yang memakai baju tanpa seluar, dibimbangi semasa mereka ruku dan sujud akan kelihatan aurat yang tidak sepatutnya dilihat oleh wanita. Keadaan ini sudah tentu boleh menggugat ketenteraman salat.

Wanita pada zaman Nabi ada yang keluar ke masjid pada hari Jumaat,, mereka mendengar khutbah dan surah yang dibaca Imam. Wanita pada hari raya, atau hari yang merupakan hari jubli Islam, mereka dirangsang supaya turut keluar bersama-sama kaum lelaki untuk menunaikan salat dan mendengar khutbah hari raya.

Tidak benar jika ada suara yang mengatakan bahawa Islam mengurung kaum wanitanya dalam bilik-bilik kebal, mereka tidak boleh keluar rumah, kecuali pada hari mereka di iring ke rumah suaminya sebaik sahaja selesai diakad nikah dan ketika mereka dibawa ke perkuburan selepas kematiannya untuk disemadikan.

Hubungan antara lelaki dan wanita dalam al-Qur`an dinyatakan, misalnya:

a. Hendaklah tidak memperdengarkan suaranya yang lembut dan manja sehingga mencuit hati lelaki yang memang sedia ada padanya persaan keji untuk mencemari kesucian wanita. Firman Allah:

فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْل فَيَطْمَعَ الّذيْ فِيْ قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَعْرُوفًا[4]

Janganlah kamu berkata-kata dengan suara yang lembut manja, kerana yang demikian boleh menimbulakan keinginan porang yang ada penyakit dalam hatinya. Dan berkatalah dengan kata-kata yang baik sesuai dan sopan.

2. Wanita hendaklah tidak menunjukkan gerak gerinya yang boleh menimbulkan keinginan pada lelaki yang bukan suami dan mahramnya, sama ada pada pakaiannya, gerak gerinya dan tingkah lakunya, mereka perlu memiliki sifat-sifat malu, sebagaimana yang ada pada dua puteri Syu`aib sebagaimana dalam firman Allah:

فَجَاءَتْهُ إحْدَاهُمأ تَمْشِي عَلى اسْتِحْيَاء [5]

Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu.

Malu adalah sifat semula jadi yang menunjukkan kescian dan kebersihan wanita itu masih belum dikotori

3. Pergaulan antara lelaki dan wanita henaklah tidak dalam suasana yang khalwat atau dalam kedaan yang mencurigakan, kerana dibimbangi berlakunya kebakaran apabila kayu kering dipertemukan dengan api. Dalam hadis menyebutkan persembunyian berdua-duaan, akan disertai syaitan sebagai makhluk ketika. Dalam hadis mengingatkan:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ [6]


Jangan sekali-kali bersembunyian seorang lelai dengan wanita, kecuali ditemani mahramnya.

Tidak kurang juga kebimbangan itu jika perkhalwatan itu dengan ipar-ipar. Sehubungan ini ada hadis yang melarangnya, iaitu:

إيَّاكُمْ والدُّخُولِ عَلَى النِّسَاءِ، قَالُوا يَا رَسُول اللهِ: أَرَأَيْتَ الْحَمْوَ؟ قالأّ: الْحَمْوُ الْمَوتُ.[7]

Awasilah kamu drai masuk ke majlis wanita. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan ipar? Sabda Nabi: Ipar itu maut. (boleh membawa kebinasaan juga)

4. Hendaklah pertemuan antara lelaki dan wanita dalam setakat yang mustahak sahaja, tanpa melampaui batas-batas yang diperlukan. Jika melampaui batas-batas yang sederhana, mungkin menjejaskan nama baik wanita itu sebagai bakal ibu dan pendidik anak-anak.

5. Hendaklah menjauhi daripada mengambil alat-alat solek secara berlebihan ketika keluar rumah, terutama kita ada membuat temu janji dengan lelaki bagi tujuan yang tidak dapat dielakkan.

Pengajaran Hadis

Pertama: mengingatkan dari terpedaya dengan wanita dan wajib memelihara daripada perkara-perkara yang membawa kepada fitnah, seperti melihat mereka tanpa sesutu hajat dan berkhalwat yang membangkitkan nafsu.

Kedua: Menentang fitnah wanita adalah sesuatu yang susah dilakukan, kerana lelaki memang dicipta Allah sebagai gemar kepada wanita.

Ketiga: Hendaklah belajar baik buruk daripada sejarah silam. Ambillah yang baik-baik, buang yang keruh dan yang memudaratkan.

Keempat: Perlu bermuhasabah terhadap diri sendiuri dengan mengingati bahawa pada suatu hari nanti kita akan ditanya apa yang kita lakukan.


[1] Muslim: al-Riqaq (Bab Akthar Ahl al-Jannah al-Fuqara` wa Akthar Ahl al-Nar al-Nisa`, wa Bayan al-Fitnah bi al-Nisa) H. bil. 2742. Riyad al-Salihin, Bab al-Taqwa, H. bil. 70
[2] Aali `Imran: 14
[3] Bukhari: al-I`tisam (Bab qawl al-Nabi Latatba`unna Sanana) 13/255. Muslim: al-`Ilm (Bab Ittiba` Sabnan al-Yahud wa al-Nasara), H. bil. 2669
[4] al-Ahzab: 32
[5] Al-Qasas: 25.
[6] Bukhari: Kitab al-Nikah (Bab la Yakhl;uwanna ..) 6/100, H. bil. Muslim: al-Haj (Bab Safar al-Ma`ah) H. bil. 1341
[7] Bukhari: al-Nikah (Bab la yakhluwanna Rajulun bi Imra`ati) 9/289. Muslim: al-Salam (Bab Tahrim al-Khalwat bi al-Ajnabiyyah) H. bil. 2172.

No comments: