Wednesday, August 25, 2010

Menderma Darah Ketika Berpuasa
Soalan
Apa hukum seseorang menderma darah pada bulan puasa, adakah batal puasanya kerana mengeluarkan darah itu. Bolehkah jika dia mengambil keputusan untuk berbuka pada hari itu?.
- Ramli.


Jawapan
Derma darah pada siang hari di bulan Ramadan ada dua pihak yang berkaitan hukum puasa, iaitu penderma dan pihak yang didermakan.  Penderma boleh disamakan hukumnya dengan orang yang mengambil darah dengan cara berbekam, samada  daripada kepala atau  bukan kepala, yang disebut al-Fasd (berbekam pada bahagian bukan kepala) dan al-hijamah (berbekam pada kepala).  Jumhur ulama berpendapat, berbekam tidak membatalkan puasa.  Jadi, hukum menderma darah pada bulan puasa tidak membatalkan puasa.

Pihak yang didermakan darah pula,  hukumnya sama dengan hukum menyunti ubat pada badan pesakit.  Jika suntikan dilakukan kerana mengubat dan merawat sakit serta dilakukannya  melalui urat, maka ia juga tidak membatalkan puasa, tetapi jika suntikan itu berupa makanan, maka ia membatalkan puasa.  Namun, saya lebih cenderung untuk menyatakan pendapat, bahawa pendrma darah, perlu berbuka untuk mengambil makanan yang menambahkan tenaganya, selepas darahnya diambil.  Jika penderma ini mengambil keputusan untuk berbuka, hendaklah menggantikan puasanya apabila sembuh sakitnya nanti.  Perselisihan pendapat ulama sekitar hukum, sama ada batal atau tidak batal puasa penderma darah, adalah antara masalah furu` dan suatu rahmat yang memungkinkan kita memilih mana yang lebih mudah dan terbaik bagi kita.  

Seringkali masalah-masalah khilafiah dan berupa furu` menjadi kecuh apabila dibincang, kadang-kadang ulama dan cendikiawan juga tidak terkecuali.  Sebagai contoh:  Beberapa hari yang lalu, akhbar (bukan Utusan) melaporkan perbezaan pendapat sekitar imsak, sama ada ia merupakan suatu amalan bid`ah atau tidak.  Dua pihak yang bertentangan membicarakan perkara ini, masing-masing mengutarakan hujah dan alasan.  Soalnya, sudahkah tiba masanya kita berbicara tentang imsak, sedangkan banyak lagi perkara yang lebih penting masih belum diperkatakan.     .  Wallah A`lam  

No comments: