Monday, August 22, 2011

Mengagih Zakat Harta dan Fitrah

           Rakyat miskin dalam sebuah negara ditakrifkan dengan rakyat yang tidak mempunyai keperluan-keperluan asas yang minimum, seperti makan, minum dan kediaman yang sempurna  untuk hidup sebagai insan yang dicipta Allah sebagai khalifah-Nya di bumi.  Rakyat ini dikesani kadar peratusnya begitu tinggi dalam negara-negara ketiga atau negara-negara membangun yang juga sebahagian besarnya terdiri daripada negara-negara Islam seperti Bengladesh, Afghanistan, Pakistan, Indonesia dan termasuk juga Malaysia

          Insan tanpa mengira warna kulit, iklim tempat tinggal dan keturunan adalah makhluk yang paling istimewa,  kedudukannya di dunia begitu tinggi sebagaimana dijelas Allah dalam firman-Nya:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آَدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

          Terejemahan: Dan sesunggunya Kami telah muliakan keturunan Adam dan Kami mengangkutkan mereka dengan anrka kenderaan di darat dan di laut, dan Kami berikan rezeki kepada mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptkan [al-Isra`: ayat 70]

          Insan muslim yang menjalani tugas-tugasnya sebagai khalifah Allah, sepatutnya paling bahagia hidup di dunia ini, bukan kerana ketaqwaannya dan ketaatannya sahaja, tetapi kerana merekalah sepatutnya yang paling bijak mengurus cara hidup di dunia yang dimudahkan Allah baginya sebagai jalan menuju Akhirat, tetapi kenyataan memperlihatkan nasib mereka masih jauh dengan sempurna, jika dibandingkan dengan keturunan Adam yang bukan Muslim. 
  
          Menikmati kemudahan asas merupakan hak yang perlu dinikmati semua manusia, seperti bekalan air bersih, makanan yang berzat, kediaman yang selesa dan sebagainya.  Kemudahan-kemudahan ini jika tidak mampu diperolehi melalui hasil usaha dan titik peluh sendiri, pihak kerajaan atau pemerintah bertangungjawab menyempurnakannya. Membiarkan mereka hidup terus dibelenggu kemiskinan adalah suatu dosa yang nanti akan dipersoalkan.  Justeru itu Nabi saw kerap berdoa agar dirinya dilindungi dari kufur nikmat dan hidup miskin.  Malah Ali Ibn Abu Talib pernah menegaskan:

لَو كَان الفَقْرُ رَجُلاً لَقَتَلْتُهُ

            Terjemahan: Andainya kemiskinan itu berupa seorang manusia, nescaya aku bunuhnya. 

Atas konsep dan pemikiran yang serupa juga, sesetengah pemikir Islam menyatakan: "hampir-hampir kemiskinan membawa kekufuran. 

          Islam sebagai agama yang mengajar manusia mati dengan cara yang baik, ia juga mengajar mereka hidup dengan cara yang juga baik.  Islam mempunyai banyak cara bagi menangani masalah kemiskinan yang sering mengganggu ketenteraman hidup manusia.

          Antaranya, mewajibkan zakat ke atas setiap individu yang ditakdir hidup pada malam hari raya fitrah, serta dia mempunyai makanan yang lebih dari keperluannya pada malam hari raya dan esoknya.  Zakat fitrah lebih menyerupai cukai kepala itu dikutip daripada setiap orang, sama ada kecil atau besar, lelaki atau perempuan, tuan atau hamba, sebanyak segantang makanan bagi setiap orang atau dengan harga yang bersamaannya mengikut mazhab Imam Abu Hanifah.

          Langkah Islam menangani masalah kemiskinan melaui zakat, sama ada harta atau fitrah begitu serius apabila al-Qur`an al-Karim menjadikan fakir miskin sebagai golongan sasar pertama antara lapan golongan yang layak menerima sumbangan ini.  Kedudukan mereka yang mendahului tujuh golongan yang lain itu disebut Allah dalam firman-Nya:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

          Terjemahan: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang Mu`allaf yang dijinakkan hatinya [al-Tawnah:  ayat 60]

        Ada beberapa perkara yang menarik perhatian kita dari ayat ini, iaitu:

         * Allah senaraikan lapan golongan atau asnaf yang berhak menerima zakat, ini kerana memungut  zakat dari orang ramai tidak lebih susah dari mengagihnya kepada fakir miskin dan pihak-pihak yang berhak sebagai penerima.

        *  Allah tidak menyerah bulat-bulat kepada hati dan kecenderungan orang-orang tertentu menentukan sasaran yang layak menerima sumbangan zakat, kerana bimbang nati ada orang kaya yang berhati miskin ikut serta dalam barisan penerima sumbangan zakat,  padahal ia tidak layak menduduki senarai itu.

         *  Menolak tuduhan munafiqin yang menyimpan perasaan untuk menerima sumbangan zakat, kononnya pembahgian harta zakat itu tidak adil, sepatutnya mereka juga mendapat sumbangan itu.

           Perihal kaum munafiqin ini dibicara Allah dalam firman-Nya:

وَمِنْهُمْ مَنْ يَلْمِزُكَ فِي الصَّدَقَاتِ فَإِنْ أُعْطُوا مِنْهَا رَضُوا وَإِنْ لَمْ يُعْطَوْا مِنْهَا إِذَا هُمْ يَسْخَطُونَ
         
Terjemahan: Antara mereka ada yang mencelamu mengenai pembahagian sedekah-sedekah zakat, oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya menurut kehendak mereka, mereka suka dan jika tidak       diberi, maka dengan serta merta mereka marah [al-Taubah: ayat 58]

          Dalam riwayat Abu Daud menyebutkan seorang lelaki datang bertemu Nabi saw untuk memohon harta zakat.  Sabda Nabi: Allah tidak merestui hukuman menentukan siapa penerima harta zakat, biarpun dia seorang Nabi atau lain-lain, Allah sendiri menentukan orang-orang yang berhak menerimanya,  lalu Allah membahagikannya kepada lapan golongan, jika anda termasuk dalam salah satu bahagian yang disebut itu, bolehlah anda menerimanya.

          Ulama Islam yang terdiri dari ahli Fiqh dan Tafsir tidak sependapat menentukan apakah perbezaan antara fakir dan miskin, siapakah yang lebih berat keadaannya, miskin atau fakir.  Bagaimanapaun mereka tidak berselisih pendapat tentang berhaknya dua golongan ini menerima zakat. Menurut pandangan Jumhur ulama yang mengulas perbezaan antara fakir dan miskin:  Si fakir ialah orang yang tidak memiliki sebarang harta, pendapatannya tidak memenuhi separuh dari seluruh keperluan hidup diri dan orang di bawa tanggungannya, sedang si miskin pula ialah orang yang memiliki harta, tetapi hasilnya tidak cukup bagi memenuhi seluruh keperluannya.
         
          Perlu diingatkan, apabila disebut fakir miskin, masyarakat segera terpandang kepada penegmis dan penganggur-penggur yang menadah tangan di pintu-pintu masjid.  Golongan ini sering dijadikan sasaran untuk dilambakkan zakat,  ada juga yang memandang sebaik-baik zakat fitrah itu ialah yang diberi kepada bilal, noja, siak dan imam-imam rakyat yang bertugas di masjid.  Seolah-olah inilah golongan yang dikatigorikan sebagai fakir miskin yang sebenarnya  dalam masyarakat Islam hari ini. Kadang-kadang pengemis itu lebih kaya dari orang kaya dalam sesetengah masyarakat, malah ada yang berpura-pura miskin kerana ketagih mengemis. 

          Pada zaman awal Islam golongan seumpama ini pernah tampil ke hadapan menadah tangan memohon sedekah, menyebabkan baginda menjelaskan orang yang sebenarnya miskin dan perlu mendapat bantuan itu, ialah sebagaimana yang dinyatakan dalam sabdanya yang bermaksud:

          Bukan miskin sebenarnya orang yang dicampak kepadanya sebiji  atau dua biji tamar, tetapi orang miskin ialah orang yang rasa berat hati untuk meminta-minta

          Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya  Musykilat al-Faqr Wa Kayfa `Alajaha al-Islam   mengulas, dalam masyarakat Islam ada lagi segolongan manusia yang boleh dikatigorikan sebagai fakir miskin, iaitu orang-orang yang tersembunyi dari pengetahuan orang ramai dan tidak ingin kedudukan mereka diketahui orang. Golongan ini disebut al-Muta`affifun al-Masturun.  Ramai orang  tidak menyedari adanya golongan ini dalam masyarakat Islam, mereka sering terabai, ketika sepatutnya nasib mereka dibela, mereka sering menderita ketika orang lain hidup mewah, padahal taraf hidupnya masih dibelenggu kemiskinan.  Ada kemungkin juga pada suatu ketika dahulu dia seorang pejuang yang ikhlas, lantaran keikhlasannya dalam sesuatu perjuangan menyebabkan pintu-pintu rezekinya tertutup, atau lupakan kepentingan diri dan nasib masa depan anak-anaknya.

          Golongan yang boleh disifatkan miskin tetapi bermarwah ini menurut al-Qaradawi adalah yang paling mustahak mendapat sumbangan zakat, sekalipun ramai orang melupai khidmat dan sumbangan yang pernah mereka beri pada suatu ketika yang lalu.  Golongan ini kadang-kadang berupa seisi keluarga yang baik hati dan berperibadi mulia,   kini sedang menjalani sisa usia tua dan tidak lagi produktif seperti sebelumnya, atau hartanya tidak seberapa, orang-orang di bawah tanggungannya ramai, atau pendapatannya kecil dan tidak mencukupi keperluan hidupnya dengan sempurna, atau dia seorang ahli akademik yang banyak memberi sumbangan secara ikhlas pada suatu ketika dahulu, kini dia sudah tua.  Untuk melihat beberapa pendapat ulama tentang golongan ini, kita kemukakan pandangan-pandangan berikut:

          *  Al-Hasan al-Basri pernah ditanya mengenai Zakat, sama ada boleh diberi kepada orang yang ada padanya rumah dan orang gaji,  beliau menjawab:  Boleh diberi, jika ia memerlukan sumbangan zakat.

          *  Imam Ahmad pernah ditanya tentang seorang yang mempunya harta tetap yang dipungut hasilnya, atau diperolehi hasil sewaan sebanyak lebih kurang sepuluh ribu dirham, tetapi tidak mencukupi keperluannya.  Ia menjawab:  Orang itu boleh menerima zakat.

        *  Menurut  Mazhab Syafi`i:  Jika seorang mempunyai harta tetap, tetapi pendapatan daripada harta tetapnya tidak memenuhi keperluannya, ia masih dikatakan fakir atau miskin, boleh diberi zakat kepadanya bagi menyempurnakan hajatnya, serta tidak perlu baginya menujual barag-barang kepunyaannya yang ada.

          *  Menurut mazhab Malik:  Harus diberi zakat kepada mereka yang memiliki harta yang cukup atau lebih dari nisab zakat, dengan alasan anak-anak dibawah tanggungannya ramai, sekalipun ia memiliki orang gaji atau rumah kediaman sendiri.

          *  Menurut mazhab Abu Hanifah:  Boleh diberi zakat kepada mereka untuk membeli rumah kediaman, perabot rumah, khadam, kuda, pedang, pakaian, kitab-kitab ilmu jika ia seorang ahli akademik.  Ini berpandukan riwayat al-Hasan al-Basri   yang menyatakan:  Ada para sahabat Nabi saw yang mengeluar zakat kepada mereka yang memiliki sepuluh ribu dirham, yang berupa kuda, senjata, orang gaji dan kediaman.

          Apa yang difahami dari pernyataan-pernyataan ulama ini ialah, zakat tidak hanya diberi kepada orang yang langsung tidak berharta, tetapi boleh juga diberi kepada orang yang berharta bagi memenuhi keperluan hidupnya,  mengikut kedudukan dan taraf hidup yang sesuai dengannya.

          Pihak-pihak yang bertanggingjawab dengan pengagihan zakat, harus menyedari, dalam negara kita juga masih ramai golongan penerima zakat yang miskin, tetapi tidak dapat dikesani dengan mudah, padahal mereka boleh dikatigorikan sebagai miskin yang berhak menerima zakat, mereka perlukan sumbangan harta yang cukup bagi memenuhi keperluan seperti mengikuti kursus-kursus tertentu untuk meningkatkan pendapatan dalam keluarga, atau bagi memenuhi kepentingan masa hadapan mereka sebagai seorang warga negara yang sehat dan mempunyai ekonomi yang mapan, kadang-kadang mereka perlukan wang yan lebih bagi menampung perbelanjaan pendidikan tambahan untuk anak-anak mereka, seperti kursus bahasa Inggeris, kemahiran dan sebagainya.

          Ada juga kecenderungan dalam masyarakat, memberi zakat kepada penganggur yang memilih kerja,  walaupun halal dan tiada larangan dari segi syarak,  badannya juga sehat dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkerja, sekurang-kurang untuk nafkah hidupnya sendiri.  Bolehkah zakat diberi kepada mereka.  Saya berpendapat, andainya zakat diberi kepada kumpulan ini, secara tidak langsung boleh merangsang orang lain meneruskan kehidupan yang serupa.  Fenomena ini sangat bahaya kepada masyarakat dan pertumbuhan ekonomi negara.  Rasulullah saw sering mengingatkan umat bahawa Nabi-nabi semuanya mengambil makan dari hasil usahanya sendiri.   Baginda juga bersabda yang bermaksud:  

          Tiada makanan yang lebih baik dimakan seorang kamu daripada  hasil usaha dirinya sendiri.

          Sabda Rasulullah saw  lagi yang bermaksud:

          Tidak harus sedekah diberi kepada orang kaya dan yang mempunyai tenaga yang besar dan sempurna anggota.
         
          Sebagai kesimpulan, tiada ertinya badan yang gagah perkasa, jika hidup hanya bergantung pada hasil titik peluh orang lain.


No comments: