. Untuk mendapat komen dari penulus sila sertakan nama penuh dan alamat. Pastikan anda meletakkan nama penulis dan penerbit asal artikel bersama URL berkaitan. Sebarang penerbitan bertujuan kommersial hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis.Sila email sebarang kemusyikilan anda:alhayy@yahoo.com - Jika hendak mendapatkan maklum balas dari punulis setiap soalan hendaklah mengandungi sekrang kurangnya nama penuh. TERKINI: Pendidikan Sex dan Surah Annur - Ayat 1 Klik sini Pengenalan Annur - Ayat 1 Klik siniSambungan atau dalam google hanya taip Dr Hayei

Wednesday, August 18, 2010

PENTAFSIRAN SURAH
AL-ZALZALAH (99) AYAT 1-8

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Gempa Seluruh Bumi Tanda Qiamat Bermula

PENTAFSIRAN AYAT 1-8

إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ زِلْزَالَهَا (1) وَأَخْرَجَتِ الْأَرْضُ أَثْقَالَهَا(2) وَقَالَ الْإِنسَانُ مَا لَهَا(3) يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا (4) بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَى لَهَا(5) يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِّيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ (6) فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ (7) وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ (8)
Terjemahan

[99: 1] Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,

[99: 2] Dan bumi telah mengeluarkan segala isinya,

[99: 3] Dan manusia berkata (dalam ketakutan): Apa yang sudah terjadi kepada bumi?

[99: 4] Pada hari itu bumi menceritakan berita-beritanya:

[99: 5] Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berbuat demikian).

[99: 6] Pada hari itu manusia akan keluar dari kubur masing-masing dalam keadaan berselerak untuk diperlihatkan (balasan) amal-amal mereka.

[99: 7] Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan melihat (pahalanya)

[99: 8] Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan melihat balasannya!



Keseluruhan surah ini berkisar pada satu nuktah, iaitu persaksian manusia pada hari Akhirat. Ayat-ayat menyatakan pada hari ini manusia akan menyaksikan sendiri segala amalan yang mereka kerjakan di dunia dahulu dengan mata kepala mereka. Jika di dunia kitab suci al-Qur`an merupakan dalil dan hujah yang tidak mungkin dipertikaikan, pada hari Akhirat pula kitab-kitab suratan amal yang dicatatkan padanya seluruh amalan manusia akan menjadi saksi, sama ada amalan mereka itu kecil mahu pun basar, semuanya akan dilihat dengan mata kepala mereka sendiri.

Gempa Seluruh Bumi Tanda Qiamat Bermula

Gempa bumi ialah gegaran bumi yang disebabkan oleh rekahan dan penganjakan sebahagian besar lapisan luar batuan bumi secara tiba-tiba. Gempa bumi yang kuat mampu membebaskan tenaga 10,000 kali ganda lebih besar daripada tenaga yang dibebaskan oleh ledakan bom atom yang menghancurkan Hiroshima pada 6 Ogos 1945 dan Nagasaki pada 9 Ogos 1945 di Jepun.
Gempa bumi boleh mencetuskan tanah runtuh, kebakaran, keruntuhan bangunan, kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa yang sangat besar. Sekiranya gempa bumi terjadi di dasar lautan ia boleh mencipta siri ombak besar pemusnah yang dikenali sebagai tsunami seperti yang melanda Acheh pada 26 Disember 2004. Gempa bumi diukur dengan menggunakan alat yang dipanggil Skala Richter. Gempa bumi boleh digredkan satu hingga sembilan berdasarkan saiznya mengikut skala Richter[737].

Kejadian gempa bumi yang mengorbankan ratusan nyawa lebih kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. Dalam tahun 2010 ini, sekurang-kurangnya dua kejadian gempa bumi besar menggegarkan Chile dan Turki. Manakala beberapa negara seperti Taiwan, Filipina malah Malaysia juga terkena tempias gempa bumi namun tidaklah sampai mengancam nyawa.


Berikut kronologi gempa bumi dan tsunami besar seluruh dunia sejak tahun 2001:

30 September 2009: Satu gempa bumi 7.6 pada skala Richter menggegar Padang di pulau Sumatera, Indonesia. Seramai 704 mangsa mati dan sehingga 4,000 terperangkap di bawah runtuhan. Gegaran sekuat 7.0 pada skala Richter menggegar bahagian selatan Sumatera beberapa jam kemudian.

29 September 2009: Tsunami besar tercetus ekoran gempa 8.0 skala Richter di Samoa dan American Samoa, membunuh sekurang-kurangnya 177 orang di wilayah itu, sementara beratus-ratus yang lain dilaporkan hilang. Tsunami turut melanda Tonga.

2 September 2009: Gempa 7.0 skala Richter menggegar Tasikmalaya, pulau Jawa, mengorbankan 123 orang dan mencetuskan tanah runtuh.

6 April 2009: Hampir 300 maut di bandar L'Aquila, Itali apabila gempa 5.8 pada skala Richter melanda.

29 Oktober 2008: Barat daya Pakistan digegar gempa 6.4 skala Richter, menyebabkan sehingga 300 penduduk meninggal dunia dan berpuluh ribu yang lain hilang tempat tinggal.

12 Mei 2008: Gempa 8.0 skala Richter menggegar Sichuan, barat daya China. Lebih 87,000 maut atau hilang.

3 Februari 2008: Satu gempa dengan magnitud 6.1 pada skala Richter menggegar timurCongodan barat Rwanda, membunuh 45 orang dan menyebabkan ribuan yang lain hilang tempat tinggal

2 April 2007: Lebih 50 nyawa maut, sementara ribuan yang lain hilang tempat tinggal selepas gempa bermagnitud 8.0 skala Richter melanda Kepulauan Solomon dan menyebabkan tsunami.

6 Mac 2007: Gempa berukuran 6.3 pada skala Richter menggegar pulau Sumatera, merobohkan bangunan dan mengorbankan sekurang-kurangnya 70 orang.

17 Julai 2006: Sekurang-kurangnya 596 maut, lebih 9,500 cedera dan 74,000 yang lain hilang tempat tinggal setelah gempa dasar laut sekuat 7.7 skala Richter melanda pulau Jawa dan mencetuskan tsunami.

27 Mei 2006: Wilayah Yogyakarta dilanda gempa 6.3 skala Richter, mengorbankan 6,000 mangsa dan menyebabkan 1.5 juta penduduk hilang tempat tinggal.

8 Oktober 2005: Satu gempa 7.6 pada skala Richter membunuh lebih 75,000 orang, kebanyakannya di bahagian sempadan di Pakistan Utara dan wilayah Kashmir. Seramai 3.5 juta hilang terpaksa dipindahkan.

28 Mac 2005: Sekurang-kurangnya 900 maut apabila gempa dengan magnitud 8.6 pada skala Richter menggegar pulau Nias, Sumatera.

26 Disember 2004: Gempa dasar laut sekuat 9.1 skala Richter dari pantai pulau Sumatera mencetuskan tsunami yang membunuh 220,000 mangsa di sekitar Lautan Hindi termasuk 168,000 nyawa di Acheh, Indonesia.
26 Disember 2003: Gempa kuat 6.7 pada skala Richter menggegar bandar Bam, Iran, mengakibatkan sekurang-kurangnya 31,884 maut dan mencederakan 18,000 yang lain.

26 Januari 2001: Gujarat di barat India digegar gempa kuat, mengorbankan 25,000 orang dan 166,000 mangsa cedera. – Sumber AFP

(99: 1) Seringkali kita dengar dan kita saksikan huru hara yang besar berlaku dalam hidup kita. Kemalangan di udara yang mengorbankan beratus-ratus nyawa, gempa bumi yang memusnahkan Bandar dan kampong yang dibina sejak beberapa abad yang lalu. Itupun kawasan yang terlibat amat sempit dan terbatas. Bagaimana jika seluruh bumi dilanda gempa?

إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ زِلْزَالَهَا (1)

[99: 1] Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,

Perkataan Idha dalam bahasa Arab diperkenalkan dengan idha syartiyyah yang membawa terjemahan “apabila”. Jaza` bagi syart ini sama ada:

يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا [738]
Terjemahan: Pada hari itu bumi menceritakan berita- beritanya:

Atau:
يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتاً لِّيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ[739]

Terjemahan: Pada hari itu manusia ke luar dari kubur masing-masing dalam pelbagai keadaan untuk diperlihatkan balasan amalan mereka

Atau mahdhuf, selengkapnya:

إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ زِلْزَالَهَا .. تَقُومُ السَّاعَةُ

Terjemahan: Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya .. waktu itu berlakunya Qiamt”

Idha syartiyah membawa ma`na syart itu patsi berlaku. Maksudnya di sini, kedatang suatu hari berlakunya gempa di seluruh bumi adalah sesuatu yang pasti dan tidak mungkin diragui. Ini kerana gempa bumi dan kesan buruk daripanya merupakan kejadian biasa kepada mereka yang tinggal di bumi. Ungkapan زلزالها yang menjadi maf`ul mutlaq itu menunjukkan gempa bumi ini luar biasa kerana gegarannya melibatkan seluruh bumi. Gempa ini adalah yang terakhir dan menunjukkan alam ini berada di penghujungnya dan merupakan antara alamat kiamat yang besar.

Gempa bumi adalah satu peristiwa yang menggerunkan. Peristiwa ini cepat dan pantas sekali kejadiannya. Sebaik sahaja manusia ditimpa gegaran yang besar itu, mereka terus dibawa kepada Allah untuk dihisabkan amalan, ditentukan balasan masing-masing yang baik dan yang buruknya. Kejadian ini mungkin berlaku di dunia ketika tiupan sangkakala pertama dan mungkin juga di akhirat ketika tiupan sangkakala yang kedua. Dua tiupan ini dinyatakan di dalam firman Allah:

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْض إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَى فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنْظُرُون [740]
Terjemahan: ”.. dan sangkakala pun ditiup lalu matilah sakalian yang ada di langit dan sakalian yang ada di bumi melainkan mereka yang dikhendaki Allah. Kemudian sangkakala itu ditiup sekali lagi, maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu (keputusan masing-masing).”

Tafsir ini lebih cenderung kepada tiupan pertema kerana tiupan ini menandakan Qiamat besar bermula, semua makhluk di muka bumi ini dimatikan kecuali makhluk yang diizin Allah hidup hingga ke suatu masa yang ditentukan. Ini diperkuatkan dengan sebuah hadith yang menyatakan Qiamat tidak berlaku sebelum meletusnya gegaran bumi yang begitu kerap. Sabda Nabi:

"لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ، وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ، وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ "، قَالَ : الْهَرْجُ أَيُّمَا هُوَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ: " الْقَتْلُ الْقَتْلُ"[741].

Terjemahan: “Tidak berlaku Qiamat sehingga ilmu ditarik imu, masa menjadi singkat, kerap berlaku gegaran bumi, lahir pelbagai fitnah dan banyak berlaku al-harj. Sahabat bertanya: Apakah maksu al-harj wahai Rasulullah. Sabdanya: kematian, kematian”


Kejadian gempa bumi memang menakut dan membawa banyak kerugian pada nyawa dan harta benda kerana selain gegaran bumi, kejadian-kejadian sampingan juga tidak kurang ancamannya kepada nyawa dan harta benda seperti kebakaran, keruntuhan bangunan, kekurangan bekalan ubat dan makanan, tsunami, wabak penyakit dan lain-lain. Semuanya ini sangat menyumbang kepada kematian yang lebih ramai.

(99: 2) Peristiwa itu dahsyat sekali, gegarannya yang kuat itu menjadikan bumi memuntahkan kandungan yang selama ini terpendam di dalamnya.

وَأَخْرَجَتِ الْأَرْضُ أَثْقَالَهَا(2)

[99: 2] Dan bumi telah mengeluarkan segala isinya,

Bumi selama ini sangat berat menanggung kandungannya. Pada hari itu dengan tiba-tiba sampailah masanya bumi bertindak melahirkan kandungannya yang selama ini berat dipikul. Ini adalah pemandangan yang menunjukkan segala sesuatu yang tegak di bumi telah bergoyang, tapak kaki tidak dapat lagi mengimbangi perjalanan, lalu badan menjadi huyung hayang disebabkan gegaran berlaku pada bumi.

Sesetengah mufassirin berpendapat isi bumi yang dimaksudkan ialah perbendaharaan bumi dengan segala macan logam yang tersimpan dalam perutnya. Sesetengah yang lain pula menyatakan maksud isi bumi ialah mayat-mayat yang dikeluarkan dari bumi selepas tiupan sangkakala yang kedua. Pengeluaran mayat-mayat dari perut bumi bagaikan kelahiran kedua selepas kelahiran pertama dari perut ibu. Gegaran yang berlaku itu adalah disebabkan bahan-bahan yang tersembunyi dalam perut bumi itu pecah dan meledak seperti gas, gunung berapi dan lain-lain atau bumi mengelurkan isi pertunya untuk dikemukakan dalam sesi pengadilan Ilahi. Sehubungan ini dalam hadis Rasulullah saw bersabda:

تَقِيءُ الْأَرْضُ ‏ ‏أَفْلَاذَ كَبِدِهَا ‏ ‏أَمْثَالَ ‏ ‏الْأُسْطُوَانِ مِنْ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ فَيَجِيءُ الْقَاتِلُ فَيَقُولُ فِي هَذَا قَتَلْتُ وَيَجِيءُ الْقَاطِعُ فَيَقُولُ فِي هَذَا قَطَعْتُ ‏ ‏رَحِمِي ‏ ‏وَيَجِيءُ السَّارِقُ فَيَقُولُ فِي هَذَا قُطِعَتْ يَدِي ثُمَّ يَدَعُونَهُ فَلَا يَأْخُذُونَ مِنْهُ شَيْئًا[742]

Terjemahan: “Bumi mengeluarkan bahan kandungannya (pada hari Qiamat) bagaikan tiang-tiang besar daripada emas dan perak, lalu datang pembunuh maka dia berkata: Mengenai (emsa perak) inilah aku membunuh, kemudian datang pula orang yang memutuskan hubungan rahim, lalu berkata: Mengenai inilah aku putuskan rahimku, kemudian datang pula pencuri, lalu berkata: Mengenai inilah juga tanganku dipotong, kemudian mereka tinggalkan barang-barang itu, tanpa mengambilnya sedikit pun.

(99: 3) Manusia tercengang apabila melihat gegaran bumi yang begitu dahsyat sehingga mengeluarkan segala isi kandungannya, lalu mereka bertanya, mengapa berlaku begitu dan apa akan jadi seterusnya?

وَقَالَ الْإِنسَانُ مَا لَهَا(3)

[99: 3] Dan manusia berkata (dalam ketakutan): Apa yang sudah terjadi kepada bumi?

Siapakah orang yang bertanya ini? Mungkin orang kafir kerana mereka tidak beriman kepada hari akhirat. Mungkin juga semua orang bertanya apabila melihat kejadian yang begini aneh. Mengapa bumi menjadi lintang pukang? Mengapa ia bergegar dan bergoncang begitu dahsyat?

Dalam keadaan ini kebengungan, setiap orang cuba mencari alasan yang boleh diterima untuk sementara bagi menahan diri masing-masing dari terjatuh akibat melihat sesuatu yang ada di sekelililng mereka semuanya goyang dan bergegar di luar kawalan.

Umat manusia sebelum ini memang pernah melihat atau menyaksikan kejadian-kejadian gempa bumi, tetapi gegaran bumi pada hari kiamat ini tidak boleh diukur sama sekali dengan gegaran yang pernah mereka alami sebelum ini.

(99: 4) Kehairanan terhadap kejadian itu tidak berpanjangan kerana bumi sendiri menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh manusia.

يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا (4)

[99: 4] Pada hari itu bumi menceritakan berita-beritanya.

Berita pertama yang disampaikan oleh bumi ialah memberitahu manusia sama ada melalui peristiwa atau lisan bahawa dunia telah berakhir, kini manusia dalam perjalanan menuju alam lain yang belum pernah mereka saksikan.

Ungkapan bumi menceritakan berita-beritanya, mengisyaratkan kepada kejadian gegaran yang berlaku itu disaksi semua orang. Pemberitahuan ini sangat jelas dan terang kerana gegaran bumi itu dapat disaksikan dengan mata kepala, bukan hanya telinga.

(99: 5) Bumi memberitahu manusia apa yang terjadi pada hari itu melalui perisitiwa yang ngeri dan dahsyat. Mungkin juga dengan cara lain seperti rakaman suara dan rupa, semuanya berkemungkinan dan tidak penting ditentukan cara dan kaedah bumi beroperasi pada hari itu, yang penting ialah Allah telah mewahyukan kepadanya.

بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَى لَهَا(5)

[99: 5] Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berbuat demikian).

Ayat ini mengisyaratkan kepada ketelusan perintah Allah kepada bumi supaya memberitahu kejadian yang berlaku. Bumi tidak perlu mengambil masa untuk menyesuaikan dirinya dengan tugas-tugas yang diberi. Ungkapan ayat ini juga menunjukkan bumi cukup setia dengan perintah Allah.


(99: 6) Bumi adalah makhluk Allah yang setia dan taat kepada-Nya. Apakah tidak mungkin bumi ini menayang semula kegiatan yang pernah dilakukan oleh manusia dalam tempoh mereka tinggal dipermukaannya? Sebagaimana klip video ditayang semula bagi mengulangi sesuatu peristiwa yang lalu.

يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِّيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ (6)

[99: 6] Pada hari itu manusia akan keluar dari kubur masing-masing dalam keadaan berselerak untuk diperlihatkan (balasan) amal-amal mereka.

Kita hidup pada zaman ini, banyak perkara yang aneh-aneh kita saksikan seperti peralatan-peralatan moden yang berupa telefon, kaset, radio, television dan sebagainya. Apakah tidak ada kemungkinan pada suatu hari nanti, manusia dapat mengutip suara nenek moyang mereka yang telah meninggal dunia beratus-ratus tahun terdahulu. Apakah tidak mungkin, pada suatu hari nanti akan lahir peralatan lebih canggih sehingga boleh dipakai untuk membaca isi hati yang masih terpendam dalam dada manusia. Jika semuanya berkemungkinan, maka apakah tiada kemungkinan akan berlaku pada hari Qiamat, di mana semua perkara terpampang jelas pada hari itu.

يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَّا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُّحْضَرًا وَمَا عَمِلَتْ مِن سُوَءٍ تَوَدُّ لَوْ أَنَّ بَيْنَهَا وَبَيْنَهُ أَمَدًا بَعِيدًا [743]

Terjemahan: Pada hari setiap orang dapati segala kebajikan yang telah dilakukannya dibawa di hadapannya begitu juga segala kejahatan yang telah dilakukannya. Dia berangan-angan andainya wujud di antara dia dan hari hari ini satu masa yang jauh.

Ayat يَصْدُرُ النّاسُ ertinya manusia keluar dari kubur masing-masing menuju pengadilan Ilahi. Pada ketika ini mereka berselerak mengambil jalan masing-masing kerana prinsip mereka dibezakan oleh iman dan kufur. Orang mukmin ada jalannya orang kafir pula ada jalannya. Sesetengah mufassirin mentafsirkan ayat berkenaan dengan bangkit dari kubur dan berselerak dengan perkuburan yang berada di merata tempat, mengikut agama dan kepercayaan. Pada hari itu ada yang keluar dari dalam laut, ada dari bumi bahakan ada juga di udara mengikut tempat pengkebumian masing-masing.

(99: 7) Pada hari itu bukan sahaja amalan yang besar-besar muncul, malah amalan yang kecil juga muncul, hinggakan yang sebesar debupun tidak terkecuali.

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ (7)

[99: 7] Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan melihat (pahalanya)
Mufassirin menghubungkan sebab nuzul ayat ini dengan kisah dua orang lelaki; salah seorang daripada merka apabila didatangi peminta sedekah, dia berasa keberatan untuk memberi barang-barang seperti sebiji tamar, secebis ruti atau sebiji buah pala, dia memandang kecil pemberian seumpama itu kerana menganggapnya tidak mendatangkan apa-apa balasan. Pahala hanya diberi kepada pemberi sedekah dengan barang-barang yang disayanginya sahaja.
Seorang lagi memandang ringan kepada dosa-dosa yang dianggapnya kecil seperti dusta, mengumpat dan memandang kepada perkara yang dilrang, dia berkata: Dosa-dosa kecil ini tidak dicatatkan dosa ke atas saya, hanya dicatat kerana mengerjakan dosa-dosa besar, lalu Allah menurunkan ayat ini untuk merangsang mereka supaya melakukan melakukan amal kebajika sekalipun sedikit kerana akan menjadi banyak juga akhirnya dan memberi amaran kepada mereka dari melakukan dosa-dosa kecil kerana dosa-dosa itu hampir-hampir menjadi besar juga akhirnya[744].

Zarah sebelum ini ditafsirkan dengan semut, biji sawi atau debu-debu yang boleh dilihat melalui cahaya matahari menerusi lubang-lubang pintu, tetapi pada hari ini zarah diterjemahkan dengan atom.

Atom sebenarnya lebih kecil dari debu yang dilihat pada cahaya matahari, ia hanya dapat dil;ihat dengan mikrokop yang paling besar di makmal sains. Atom merupakan impian ahli sains kerana kuasanya besar sedangkan bahannya terlalu kecil.

(99: 8) Jika sebesar zarah pun turut muncul dan membawa kesan kepada kehidupan, maka sewajarnya kita segera berkerja amal-amal kebajikan dan mengawasi daripada amal-amal kejahatan.

وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ (8)

[99: 8] Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan melihat balasannya!.

Ayat ini mengisyaratkan betapa telitinya hisab dilakukan dan meliputi segala amalan. Keterangan seumpama ini juga di dapati dalam firman-Nya:

وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا[745]

Terjemahan: Mereka berkata; Amboi malangnya nasib kami! Mengapakah buku ini tidak meninggalkan (sesuatu apa pun) baik kecil mahu pun besar melainkan semuanya dihitung satu persatu dan mereka dapati segala apa yang telah dilakukan mereka ada tercatat belaka. Dan Allah tidak menganiayai sesiapa pun.

Orang mukmin pula melihat pada buku catatannya ada amal kebajikan dan ada kejahatan, tetapi amal kejahatan itu diampuni, manakala amal kebaikan pula diberi pahala padanya. Firman Allah:

إِن تَجْتَنِبُواْ كَبَآئِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلاً كَرِيمًا[746]
Terjemahan: Jika kamu menjauhkan dosa-dosa yang besar yang dilarang kamu melakukannya nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan kami masukkan kamu di tempat yang mulia.

Orang kafir pula akan melihat catatan amalnya yang meliputi kebajikan dan kejahatan, tetapi ditolak kebajikannya kerana tiada asas iman yang menjadi syarat penerimaan amlan, kemudian diseksa kerana amal kejahatannya. Firman Allah:

وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاء مَّنثُورًا[747]

Terjemahan: Dan Kami menuju kepada amalan yang dikerjakan mereka lalu Kami jadikannya sia-sia sahaja laksana debu yang berterbangan.
Seorang insan akan menyesal apabila tiba hari yang zarah-zarah kecil ini mampu menyelamat atau membinasakan seseorang, padahal dahulu semuanya diabaikan.

Ayat ini sesungguhnya memberi pangajaran yang cukup tinggi bagi seseorang manusia yang berminat untuk membina dirinya bagi kemajuan di akhirat. Jika di dunia wang satu sen tidak dihargai oleh orang-orang yang mewah dengan harta, tetapi jangan lupa pada suatu hari nanti dia akan mencari wang senilai ini yang digunakan pada jalan kebajikan. Ayat ini merangsang agar manusia berbuat kebajikan biar pun kecil. Dalam sebuah hadis riwayat `Adiyy Ibn Hatim, Rasulullah saw bersabda:

‏مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ ‏ ‏يَسْتَتِرَ ‏ ‏مِنْ النَّارِ وَلَوْ ‏ ‏بِشِقِّ ‏ ‏تَمْرَةٍ فَلْيَفْعَلْ[748]

Terjemahan: Sesiapa di antara kamu mampu bersedekah untuk melindungi diri daripada api neraka maka bersedekahlah sekalipun dengan sebelah tamar.

Pengajaran dan Saranan

1: Antara tanda-tanda Qiamat ialah berlakunya gempa bumi yang dahsyat sehingga mengeluarkan segala isi perut yang dikandungnya.

2: Manusia selalunya bertanya-tanya apabila berlaku sesuatu yang ganjil seperti gunung berapi atau gempa bumi yang luar biasa.

3: Apabila bumi digoncang pada hari Qiamat, ia segera melaporkan kepada manusia apa yang berlaku dan dilakukan di atasnya, sama ada amalan baik atau buruk.

4: Bumi meberitahu sesuatu kepada manusia pada hari Qiamat, mungkin tentang amalan dan kegiatan yang dilakukan dipermukaannya semasa manusia menumpang hidup padanya.

5: Pada hari berlaku gempa bumi, manusia bermai-ramai keluar dari kubur masing-masing untuk mendapatkan pengadilan Allah dan seterusnya menerima pembalasan sama ada syurga atau neraka.

6: Setiap amlan sama ada kecil atau besar akan dapat disaksikan dengan mata kepala dan dibalas mengikut jenis amalan. Amal baik dibalas baik, amal buruk di balas buruk.






[737]Berita Harian 16 Ogos 2006 (Rabu)
[738] al-Zalzalah: 4
[739] al-Zalzalah: 6
[740] al-Zumar: 68
[741] Musnad Ahmad, hadith (10642). al-Albani, Sahih al-Jami`, hadith (7428) daripada Abu Hurairah. Al-Fayruzabadi memberi erti al-harj ialah: هَْرجُ النَّاسِ: وَقَعُوا فِي فِتْنَةٍ وَاخْتِلاطٍ وَقَتْلٍ al-Qamus al-Muhit, ms. 210.
[742] Muslim, al-Zakat, al-Targhib fi al-Sadaqah, hadith (1689) daripada Abu Hrayrah ra. Hadith ini Hasan, Rijalnya thiqat kecuali Muhammad ibn al-Fudayl yang dituduh tasyayyu`.
[743] Ala Imran: 30
[744] Tafsir al-Qurtubi, 10/151. Tafsir Fath al-Bayan, 15/345.
[745] al-Kahf: 49.
[746] al-Nisa`: 31
[747] Al-Furqan: 23
[748] Muslim, Al-Zakat, al-Hath ala al-Sadaqah, hadith (1016) daripada ASdiyy Ibn Hatim.

No comments: