Thursday, September 2, 2010


Surah al-Qari`ah (101)


(Hari yang menggemparkan)


Mukadimah






Nama Surah

Nama surah ke (101) ini ialah al-Qari`ah ertinya hari yang menggemparkan kerana peristiwa Qiamat menggemparkan seluruh makhluk dan menggerunkan orang yang membaca dan mendengarnya. Nama ini diambil daripada suasana kajadian dan huru hara yang berlaku pada hari itu. Beberapa surah memakai nama seumpama ini, antaranya al-Haaqqah (Qiamat yang pasti berlaku), al-Tammah (mala petaka yang besar), al-Ghasyiah (mala petaka yang meliputi seluruh alam) dan lain-lain.


Nama ini diambil daripada perkataan pertama dalam ayat pertama surah ini.
Perkataan ini juga disebut dalam firman Allah:




وَلَا يَزَالُ الَّذِينَ كَفَرُوا تُصِيبُهُمْ بِمَا صَنَعُوا قَارِعَةٌ أَوْ



تَحُلُّ قَرِيبًا مِنْ دَارِهِمْ حَتَّى يَأْتِيَ وَعْدُ اللَّهِ [1


Terjemahan: “Dan orang-orang yang kafir itu sentiasa ditimpa balabencana kerana perbuatan mereka yang kufur itu kemudian aku membinasakan mereka,atau malapetaka itu jatuh berhampiran maka dengan tempat tinggal mereka (lalu menjadikan mereka gempar kecemasan), sehinggalah datang janji Allah”.



Berkata Ibn `Asyur:  Nama surah ini memakai hanya satu perkataan dan satu nama sahaja.  Ini kerana tidak dikesani ada nama-nama lain, sama ada daripada sahabat atau tabi`in[2].


Zaman Nuzul


Ulama sepakat menyatakan surah ini diturunkan di Makkah, malah daripada kandungannya juga jelas menunjukkan turunnya pada permulaan zaman Makkah ketika seruan Islam mula disebarkan.


Munasabat Surah


Mufassirin biasanya meneliti munasabah surah dengan surah sebelumnya melalui beberapa aspek: Antaranya melihat aspek hubungan di antara ayat akhir surah dengan ayat mula surah berikutnya, sebagaimana kesesuaian juga boleh diteliti di antara tajuk surah dengan tajuk surah sebelumnya. Munasabah di antara surah jugabiasa dilihat di antara ayat mula kedua-dua surah dan kesesuaian yang boleh dihubungkan di antara kedua-duanya.




Berpandukan kaedah-kaedah ini, munasabah surah al-Qari`ah dengan surah sebelumnya boleh diteliti seperti berikut:




Pertama: Ayat terakhir, iaitu ayat (11) al-`Adiyat terdahulu menarik perhatian kepada sifat Allah yang Maha Mendalam ilmu-Nya.  Ayat itu antara lain menyeru manusia agar membuat perhitungan bijak terhadap diri sendiri ketika di dunia dan sebelum tibanya hari pembalasan iaitu dengan menyumbang harta benda pada jalan-jalan kebajikan.




Surah al-Qari`ah memulakan bicaranya dengan al-Qari`ah, iaitu hari yang menggemparkan.  Hari ini, bagaikan mengulas hari pembalasan yang diisyaratkan dalam ayat akhir surah terdahulu, malah surah al-Qari`ah pada keseluruhannya membicarakan peristiwa Qiamat yang menggemparkan[3].




Kedua: Ibn al-Zubayr al-Gharnati[4] melihat dari aspek yang hampir sama dengan yang pertama, katanya: Ayat ayat terakhir surah al-`Adiyat membicarakan hari Akhirat sebagai hari pembalasan.  Ayat-ayat itu bagaikan masih belum selesai,lalu ditanya:  Bilakah hari itu?  Soalan dan jawapannya didapati dalam keseluruhan bicara surah al-Qari`ah ini[5].







Ketiga:  Berkata Burhan al-Din al-Biqa`i (885 H.): Setelah selesai bicara Surah al-`Adiyat tentang kebangkitan di Akhirat, Surah al-Qari`ah menyambung bibara tentang tempikan Qiamat[6].




Keempat:  Abu Hayyan al-Andalusi berpendapat munasabah surah ini nyata sekali kerana surah al-`Adiyat menyatakan pembongkaran kubur, kemudian diikuti surah al-Qari`ah yang menyatakaan kejadian itu berlaku pada hari Kiamat[7].




Jika diperhatikan kepada permulaan ke dua-dua surah, kita dapati surah al-Aadiyat menggambarkan kekuatan yang luar biasa pada kuda yang tidak asing pada kita,  lariannya pantas, serangannya tepat dengan sasaran, hentakan kakinyamampu mengeluarkan api tatkala besi pelapik kukunya bergeser dengan batu di medan perang.  Surah al-Qari`ah beritknya pula menggambarkan kekuatan ledakan Qiamat.




Dari aspek tajuk kedua-dua surah ini juga sama-sama menggambarkan kukuatan.Pertama kekuatan mengeledah rahsia, sehingga yang tersimpan di sudut hati pun dibongkar, sedang dalam surag al-Qari`ah kekuatan terbayang pada perkataan dan ayat yang menjadi nama surahnya, iaitu al-Qari`ah dan yang membawa makna ledakan Qiamat yasng dahsyat menimpa manusia.


Tema dan Ikhtisar Surah

Tema surah ini antara lain ialah: Qiamat Hari Pengujian dan Penempatan.



Kandungan surah ini membicarakan satu isu yang sangat pokok iaitu Qiamat serta huru hara dan manusia berkeliaran pada hari itu bagaikan kelkatu yang keluar dari lubang masing-masing.




Mula-mula sekali membicarakan huru hara Qiamat, kemudian tentang tanda-tandanya dan akhirnya tentang neraca timbangan amal manusia.  Barangsiapa berat timbangan amal kebajikannya akan di masukkan ke syurga dan sesiapa yang berat timbangan amal kejahatannya kan dimasukkan ke neraka.




Berkata Ibn `Asyur: Di dalamnya menyebutkan berlakunya kebangiktan semula selepas mati, huru hara kejadian Qiamat agung, pembalasan terhadap amalan dan kenyataan tentang amalan baik dan buruk[8].




Surah al-Qari`ah ini dari awal hingga akhirnya menggemparkan.  Namanya yang memecahkan pendengaran, hakikatnya yang menggemparkan manusia dan gunung ganang, kejadiannya menerbangkan bukit dan mengeringkan sungai dan lautan dan akhirnya semua manusia dikukum pada hari itu.




Pemandangan yang ditayangkan ialah pemandangan huru hara dan kemusnahan yang berlaku kepada manusia dan gunung ganang. Pada hari itu umat manusia yang ramai itu kelihatan kecil seperti kalkatu yang berkeliaran berterbang tanpa arah dan tanpa matlamat, pada hari itu juga gunung ganang yang kelihatan kukuh dan gagah menjadi seperti bulu-bulu yang dibusarkan, berterbangan dipermain-mainkan anginya.




Tayangan ini memberi gambaran yang seimbang  dengan hari Qiamat yang dinamakan al-Qari`ah, iaitu kata-kata yang menyampaikan kata-kata dan saranan yang mengerikan.




Demikianlah intisari seruan Islam yang mula-mula disampaikan kepada manusia,tetapi kepentingan hidup bernafsu tidak dapat menerima keadilan itu.  Inilah juga pada hakikatnya bicara surah ini, malah seluruh bicara al-Qur`an.





Fadilat Surah

Tiada sebarang riwayat sahih dikesan  menyatakan kelebihan surah ini.

________________________________
[3]Tafsir al-Razi, 32/265
[1]al-Ra`d: 31
[2]Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/509.
[4]Beliau ialah Ahmad ibn Ibrahin ibn al-Zubayr al-Gharnati (627- 702 H). Antara karangannya ialah  al-Burhan fi Tanasub Suwar al-Qur`an.
[5]Nazm al-Durar, 8/513. Nama penuh al-Biqa`i ialah Burhan al-Din al-Bi`qa`i, lahir di Sahl al-Biqa` Lubnan. Antara karangan beliau ialah Dalalah al-Burhan al-Qawin ala Tanasub Aayi al-Qur`an al-`Azim   (1406-1480 H).  Kitab ini
diikhtisarkan daripada induknya berjudul Nazm al-Durar fi Tanasub al-Aayi wa al-Suwar.
[6]Nazm al-Durar, 8/513.
[7]Tafsir al-Bahr al-Muhit, 8/503. Abu Hayyan ialah Muhammad bin Yusuf bin
Hjayyan al-Andalusi,wafat  pada tahun 745 H.
[8]Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/509.

No comments: