Saturday, July 17, 2010

Mukadimah Surah al-Insyirah 94 (1)





سورة الإنشِرَاح - 94

Surah Kelapangan - 94

MUKADIMAH


Nama:

Nama surah ini ialah al-Syarh ertinya lapang atau surah al-Insyirah ertinya kelapangan kerana pada ayat pertama surah ini menyebut Allah telah melapangkan dada Nabi saw setelah kusut dan tertekan dengan beberapa perubahan yang berlaku di sekitarnya, seperti pendustaan kaum Quraisy terhadap dakwah dan penindasan yang dilakukan terhadapnya. Sesetengah ulama menamakannya surah Alam Nasyrah dengan mengambil pangkal ayat pertama ini..

Munasabat Surah

Surah ini merupakan pelengkap surah al-Duha sebelumnya kerana kedua-duanya menyentuh nikmat anugrah Allah saw kepadanya serta membimbing Rasulullah kepada amalan yang terbaik untuk dilakukannya. Setiap nikmat yang diterima tidak menjadi sempurna tanpa besyukur kepada pihak yang memberi nikmat dan berderma di jalan-Nya dengan suci hati kepada pihak-pihak yang memerlukan derma, bantuan dan pertolongan.

Sesetengah ulama beranggapan dua surah ini bagaikan satu. Ini kerana antara dua kelumpuk ayat berikut bagaikan satu isu dan lengkap melengkapkan, iaitu ayat 6-8 surah al-Duha:

أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَى وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَى وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَى

Terjemahan: Bukankah dahulunya engkau seorang anak yatim paitu, lalu Allah memberi perlindungan kepadamu? Dan bukankah Dia mendapati kamu dahulu tiada pedoman, lalu Dia memberi hidayat kepadamu? Dan bukankah Dia mendapati engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan?

Ayat-ayat ini dilengkapkan dengan ayat 1-3 surah al-Insyoirtah:

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ الَّذِي أَنقَضَ ظَهْرَكَ

Terjemahan: (Wahai Muhammad) Bukankah Kamitelah lapangkan dadamu? Dan Kami ringankan bebananmu, yang telah memberatkan belakangmu”

Kelumpuk pertama surah al-Insirah bagaikan `atf kepada ayat keenam surah al-Duha kerana konteks bicaranya sama dan kedua-dua surah menyentuh isu yang sama.

Zaman Nuzul

Surah ini diturunkan pada awal zaman Makkah dalam suasana Nabi saw bimbang terhadap kemurkaan Allah kepadanya. Jumhur ulama berpendapat surah ini dan surah al-Duha sebelumnya diturunkan beiringan tanpa dipisahkan dengan basmalah.

Tema dan Ikhtisar Surah

Tema surah Makkiyah ini ialah “Anugrah dan Pembrian Allah Kepada Nabi”. Fokus utama surah ini adalah kepada kedudukan Nabi dan maqamnya yang istimewa di sisi Allah. Banyak ni`mat dikurniakan kepadanya meliputi kelapangan dada, pengurangan bebanan dalam hidup dan mengangkatkan kedudukannya hingga ke pertingkat yang lebih tinggi.

Nikmat-nikmat itu disebut supaya Nabi saw terhibur tetkala dihina kaum Quraisy dengan mengenang peristiwa-peristiwa manis yang dan melegakan perasaan Nabi saw tatkala berhadapan dengan saat-saat genting ketika berhadapan dengan cabaran.

Selanjutnya surah ini diakhiri dengan mengingatkan Nabi saw supaya menumpukan masanya kepada beribadat setelah menunaikan tanggungjawab menyampaikan risalah Allah kepada manusia sebagai tanda kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah.

Anugrah ini tidak syak lagi sebagai bukti bahawa Allah telah menyempurnakan janji-Nya di dalam surah al-Duha terdahulu.

Fadilat Surah

Berkata al-Hasan al-Basri: Setelah ayat berikut diturunkan:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا * إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Terjemahan: Sesungguhnya bersama kesukaran itu ialah kemudahan. Sesungguhnya bersama kesukaran itu kemudahan.

Rasulullah saw bersabda:

أَبْشٍرُوا أتَاكُمُ اليُسْرُ لَن يًغْلِبَ عُسْرٌ يُسْرَينِ

Terjemahan: “Bergembiralah kamu, kemudahan telah datang kepada kamu, tidak akan menang satu kesukaran melawan dua dua kemudahan”

Berkata Ibn al-Qayyim: Perkataan al-`Usr sekalipun diulangi sebanyak dua kali, namun ia dikira satu kerana diulangi dengan ism ma`rifah. Perkataan Yusr diulangi daua kali dengan ism nakirah dikira dua. Ini bermakna, satu kesusahan tidak akan menang menghadapi dua kemudahan .

No comments: