Sunday, September 5, 2010


PENTAFSIRAN AYAT 1-3

Islam Sebagai Manhaj Hidup

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2)  إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ(3)


Terjemahan:

[103: 1] Demi Masa!
[103: 2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian;
[103: 3] Kecuali orang yang beriman dan beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran


Islam Sebagai Manhaj Hidup

(103:1) Untuk mencapai kehidupan yang maju dan makmur, manusia perlu peka kepada masa, perlu sedar betapa ruginya mereka yang mensia-siakannya.  Mereka harus tahu bagaimana mengurus masa supaya sentiasa membawa keberkatan. Bagi maksud inilah Allah bersumpah dengan masa.

وَالْعَصْرِ(1)
[103: 1] Demi Masa!

Masa mengandungi banyak kejadian dan peristiwa yang aneh-aneh berlaku padanya, di dalamnya malam dan siang berlalu silih berganti, laluannya meninggalkan kesan yang mendalam sama ada untung atau rugai, suka atau duka, berbahagia atau menderita, hidup atau mati. Detik-detik pemergian masa bererti pemergian usia dan membawa kita bersamanya sama ada ke syurga atau neraka. Kata penya`ir:

انَّا لََنَفْرَحُ بِالْأَيَّامِ نَقْطَعُُهَا
وَ كُلُّ يَوْمٍ مَضَى يُدْنِي مِنَ الْأَجَلِ
فَاعْمَلْ لِنَفْسِكَ قَبْلَ الْمَوْتِ مُجْتَهِدًا
فَإِنَّمَا الرِّبْحُ وَ الْخُسْرَانُ فِي الْعَمَلِ
      Terjemahan:

Kami bergembira dengan hari yang kami lalui.
Hari-hari itu  menjadi petanda ajal kami berada di sisi.
Giatkan usaha mencari bekalan sebelum pergi.
      Untung dan rugi pasti dikira pada amalan kita sendiri.

    Masa ertinya zaman.  Zaman mempunyai sejarah dan ciri-ciri perbezaan antara zaman dengan zaman seperti zaman purba, zaman atom, zaman moden, zaman penjajah dan sebagainya.  Orang yang hidup se zaman pun ada kelainan di antara satu dengan lain, mereka mungkin serupa pada bentuk badan dan gaya hidup, tetapi berbeza pada arah tuju dan gaya berfikir. Tidak hairan jika dua orang sezaman, serumpun dan sekeluarga, salah seorang daripadanya menuju ke arah syurga sedang seorang lagi ke arah neraka.

         (103:2) Manusia seringkali memberi jawapan dengan menyatakan bilangan tahun yang telah dilalui sejak kelahirannya apabila ditanya berapa usianya. Jawapan ini kurang tepat kerana kerugian yang telah lalu tidak mungkin diselamatkan lagi. Manusia dengan masa bagaikan penjual air batu pada musim panas, setiap detik modalnya terhakis. Mungkin faktor ini antara sebab Allah bersumpah dengan masa, firman-Nya:

 (2) إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ

  
  Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian 

Manusia dikepong kerugian dari segenap penjuru, kerugiannya besar malah tiada kerugian lebih besar daripada kerugian umur yang merupakan kepala modal bagi kehidupan di dunia ini.  Bukankah hidup itu sentiasa menunggang kenderaan masa. Pemergian seseorang bersama masa bermakna pemergiannya membawa usia yang tidak akan pulang lagi. Kata penya`ir:

وَأرَى الزَّمَانَ سَفِينَةً تَجْرِي بِنَا** نَحْوَ المْنَونِ وَلا نَرَى حَرَكَاتِهِ


Terjemahan: “Aku dapati zaman bagaikan kapal membawa belayar ke pengkalan maut, sedang pergerakannya tiada kelihatan”.

Zaman dengan pergerakan malam dan siangnya  menjadi pengan kepada mereka yang sedia mendapatkan padanya dan nasihat kepada mereka yang sedia menerima, firman Allah:

[833]وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ خِلْفَةً لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يَذَّكَّرَ أَوْ أَرَادَ شُكُورًا 



Terjemahan: “ .. Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi mereka yang ingin mengambil pengajaran, atau ingin bersyukur”.


Ulama dan guru-guru pada zaman silam sangat mengambil berat tentang pendidikan masa supaya murid-murid dan generasi muda tidak membuang masa dengan sewenang-wenangnya. Umar Ibn Hubairah salah seorang menteri kanan dalam kerajaan Umar ibn Abdul Aziz menyatakan rasa kesalnya yang amat sangat terhadap murid-murid yang suka membuang masa. Sehubungan ini beliau bermadah:

وَالْوَقْتُ أَنْفَسُ مَا عُنِيتُ بِحِفْظِهِ ** وَأَرَاهُ أسْهَلُ مَا عَلَيْكَ يَضْيعُ

Terjemahan:
 Masa sesuatu yang paling berharga ingin ku pelihara,
Aku lihat kamu pula sangat mudah mensia-siakannya.

Usia merupakan asset paling penting bagi seorang manusia.  Pembaziran masa dengan percuma hanya boleh diterima pada orang bodoh yang tidak mempunyai kelayakan untuk menjaga sendiri harta kekayaannya. Masa kosong yang terbuang terutama pada kaum belia merupakan pemusnahan keupayaan tenaga dan racun pembunuh akal dan beban terhadap umat dan negara. Disahkan daripada Nabi saw sabdanya:

"نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ"[834]


Terjemahan: Dua nikmat orang ramai sering mengalami kerugian padanya: Kesihatan tubuh badan dan masa lapang.


Banyak perkara sebahagian manusia tidak mempunyai maklumat tentangnya, sekalipun hubungannya sangat dekat dengan kita, kita mungkin tidak mengetahui pada setiap hari sel-sel dalam badan kita mati dan tidak berganti lagi.  Alam tabi`i di sekitar kita juga musnah pada setiap hari,  malah tiada yang semakin hari semakin muda, semakin tegak dan kuat. Jika manusia cuba membandingkan umurnya dengan umur bumi tempat dia menginap, nescaya didapati umurnya bagaikan sekelip mata, masa ini hanya cukup untuk maju selangkah ke hadapan sama ada ke syurga atau ke neraka. Jika manusia peka kepada masa sesingkat ini, nescaya dimanfaat sepenuhnya masa yang ada kerana menyedari kerugiannya adalah kerugian umur yang hanya sekelip mata.

(103: 3)Insan yang peka kepada hakikat masa itu usia, akan mengisi masa  sepenuh-penuhnya dengan amal salih supaya tiada masa yang terbuang dengan percuma. Jika masa tidak mampu diisi dengan kerja-kerja berat, kerja-kerja ringan sedang menunggu untuk mendapatka sedikit masa daripada kita. Surah ini mengemukakan empat prinsip bagi menyelamatkan masa dari berlaku kerugian teruk pada masa:



إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ(3)
         

          [103: 3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran 

Kita perlu memberi sedikit perhatian kepada ayat yang mengemukakan manhaj untuk menyelamatkan masa yang terdedah kepada kerugian itu iaitu:

Pertama, iman.   Iman merupakan asas yang terdiri di atasnya binaan.  Kerja-kerja yang dilakukan manusia adalah terjemahan sebenar kepada iman dan akidah yang tersemat di dada. Jika baiknya iman, nescaya baiklah keseluruhan amalan dan kegitannya.

Iman dalam ayat di atas mutlak, meliputui iman kepada Allah, Rasul, Malaikat, kitab, hari akhirat dan penentuan baik dan buruk dari Allah.

Kedua, amal salih.  Amal salih merupakan dahan, daun dan ranting.  Amal salih bukan hanya terbatas pada rukun-rukun Islam, tetapi meliputi fardu ain dan kifayah, bahkan seluruh kegiatan yang membawa kepada kemajuan masyarakat dan negara.

Iman dan amal salih perlu digabung menjadi satu kerana jaminan terselamat dari kerugian tertakluk kepada dua syarat, iaitu iman dan amal salih.

Ketiga, berpesan-pesan dengan kebenaran.  Maksudnya menyeru orang ramai menuruti jalan yang benar supaya setiap individu dalam masyarakat berjalan mengikut pedoman yang lurus.  Kebenaran dalam al-Qur`an disebut al-Haq.  Perkataan ini meliputi erti-erti amr ma`ruf dan nahi munkar, keadilan, kebenaran, memikul tanggungjawab, berkerja dengan penuh minat dan sebagainya. Berpesan-pesan dengan kebenaran ertinya mengajar dan membimbing orang jahil, mengingatkan orang yang lalai, menyeru mereka kepada iman dan melakukan amal salih.

Keempat, berpesan-pesan supaya bersabadr.   Sabar di sini juga mengandungi pengertian yang lebih luas, ia meliputi bersabar di atas ujian, bersabar di atas ketaatan, bersabar menentang kemungkaran dan bersabar atas kekurangan kemudahan hidup.

Inilah empat prinsip hidup yang digariskan melalui surah al-`Asr ini. Segala kacau bilau yang berlaku dalam dunia hari ini adalah disebabkan kelemahan menghayati empat prinsip ini.  Benar sekali kata Imam Syafie:

لَو لَمْ يَنزِلْ عَلَى النَّاسِ إلاّ هَذِهِ السُّورَةُ لَكَفَتْهُمْ

Terjemahan:  Jika tidak turun kepada manusia selain surah ini, nescaya memadai kepada mereka.

Ada dua sebab utama menjadikan masa terbuang dengan percuma:


Pertama:  Ghaflah (lalai).  Lalai adalah satu sinderum yang sangat berbahaya kepada manusia.  Penghidapnya hilang rasa sayang kepada masa.  Al-Qur` an memberi ingat bahawa penyakit ini boleh membawa seseorang ke neraka, firman-Nya:

وَلَقَد ذَرَأنَا لِجَهَنمَ كَثِيرًا منَ الجِن وَالإِنسِ لَهُم قُلُوبٌ لا يَفقَهُونَ بِهَا وَلَهُم أَعيُنٌ لا يُبصِرُونَ بِهَا وَلَهُم ءاذَانٌ لا يَسمَعُونَ بِهَا أُولَـئِكَ كَالأنعام بَل هُم أَضَل أُولَـئِكَ هُمُ الغاَفِلُونَ [835]  .

Terjemahan: Dan sesungguhnya Kami telah ciptakan untuk neraka Jahannam sebilangan besar dari umat jin dan manusia, iaitu mereka mempunyai hati tetapi mereka tidak menggunakannya untuk berfikir, mereka mempunyai mata tetap tidak menggunakannya untuk melihat dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak menggunakannya untuk mendengar.  Mereka itu sama seperti binatang ternakan, malah mereka lebih sesat lagi, mereka orang-orang yang lalai.


Kedua:  Taswif (menangguh-nangguh).  Sikap ini juga merupakan pengancam masa dan pembunuh usia, namun tidak ramai orang pekakan unsur-unsur pembunuh ini, bahkan tidak kurang orang yang suka menangguh-nangguh kerja hingga ke saat-saat akhir, sekalipun berbagai-bagai kerugin di luar jangka boleh berlaku pada saat-saat yang ditangguhkan itu.  Kata penyair:

تَزَوَّدْ منَ التقْوَى فَإنكَ لا تَدْري
                           إن جَنَّ لَيْلٌ هَلْ تَعيْشُ إلَى الْفَجْرِ
فَكَمْ من سَليمٍ مَاتَ من غَيْر عِلَّةٍ
                                وَكَمْ من سَقيمٍ عَاشَ حِيْناً مـنَ الدهرِ
وَكَمْ منْ فَتىً يُمْسي وَيُصْبحُ آمًناً
                            وَقَد نُسجَتْ أَكْفَانُهُ وَهُوَ لا يَدْري

Terjemahan:

Sediakanlah bekalan taqwa kini malam sudah menjelang,
Mungkinkah anda masih hidup hingga waktu pagi,
 Ramainya orang mati tanpa amaran,
Ramai juga orang sakit terus hidup sampai tua.
Ramainya belia pagi dan petang dilihat ceria,
Dia tak sedar kain kapannya telah disiap sedia.


Pengajaran dan Saranan

 Surah ini menggariskan empat tonggak bagi menjayakan pengurusan masa:

1: Beriman keapada kebenaran Islam dengan menegakkan perinsip keimanan di atas enam rukun, iaitu iman kepada Allah, Malaikat, Rasul, Kitab-kitab, hari Akhira dan qada serta kadar.
2:  Bramal salih dengan menunaikan kewajipan terhadap Allah, sama ada yang berupa kewajipan `aini atau kifa`i.
3:Berpesan-pesan dengan dengan kebenaran, sebarkan kebenaran di mana-mana jua anda berada.  Bimbinglah orang jahil dan tunjuklah jalan keapada orang yang mencarinya.
4: Berpesan-pesan dengan bersabar kerana dunia tempat menguji, tiada perkara yang diberi dengan selamat dan percuma, semuanya ada risiko sekalipun berbeza.  Hanya kesabaran jua yang menjadi penawar hidup diu dunia yang penuh dengan bala dan ujian.



[833] al-Furqan: 62
[834] Lihat nota kaki terdalu no 828.
[835] al-A`raf: 179.

No comments: