Monday, September 13, 2010



PENTAFSIRAN AYAT (1-5)

 أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ(1)أَلَمْ يَجْعَلْ 
(3) كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ(2) وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ
(5)تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيلٍ(4) فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ

Terjemahan
 
[105: 1] Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentara bergajah?  
[105: 2] Tidakkah Dia telah menjadikan rancangan jahat mereka berada dalam kesesatan?)  
[105: 3] Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka burung-burung yang terbang berpasuk-pasukan?  
[105: 4] Sambil melontar mereka dengan batu-batu yang pejal  
[105: 5]  Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.

 Kaabah Diserang Tentera Bergajah 

(105:1) Semenanjung Arab kerap dilanda peperangan, tetapi negeri Makkah tetap aman dan tenang.  Gabenor Yaman pernah melancarkan serangan meroboh Kaabah, namun ushanya digagalkan oleh sekawan burung yang meluntarkan batu-batu kecil ke atlas kepala tentera ketika mereka cuba membuat serangan sehingga mereka 
 terpaksa berpatah balik.  Ini adalah tanda penghormatan Allah kepada penduduk Makkah yang sewajarnya disyukuri. Lupakah kaum Quraisy kepada peristiwa bersejarah ini?

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ(1

 [105: 1] Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentara bergajah? 

Bicara ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad saw tetapi baginda belum sempat menyaksikan peristiwa ini kerana dilahirkan lima puluh hari selepas kejadian serangan itu berlaku dan dibangkit menjadi rasul selepas empat puluh tahun dari kejadian.  Justeru pertanyaan dalam ayat di atas membawa erti:  “Tidakkah engkau mengetahui dengan yakin apa yang terjadi kepada tentera bergajah”.Kisah tentera bergajah ini merupakan antara tanda-tanda kebenaran Nabi saw  tentang dakwaannya sebagai Rasul.  Ini kerana setelah surah ini diturunkan, baginda membaca ayat-ayatnya kepada kaum Musyrikin.  Antara mereka ramai dikatakan masih ada orang yang masih hidup dan menyaksikan sendiri peristiwa serangan tentera bergajah itu.  

(105: 2) Abrahah telah mengumpulkan tenaga dan kekuatannya yang terdiri daripada 12,000 tentera yang lengkap dengan senjata dan 13 ekor gajah untuk menyerang Kaabah.  Satu persediaan ketenteraan yang tidak pernah wujud sebesar itu dalam sejarah umat Arab, tetapi usaha itu digagalkan oleh Allah, mereka tidak berjaya mencapai cita-cita mereka untuk meroboh dan menghancurkan rumah suci itu. 
(2) أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ

[105: 2] Tidakkah Dia telah menjadikan rancangan jahat mereka berada dalam kesesatan?) 

Menurut mufassirin, mereka gagal dan sia-sia dalam usaha mereka meruntuhkan Kaabah dan menyapu bersih tinggalan-tinggalan Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as dari bumi Makkah dan seterusnya menarik tumpuan orang Arab ke sebuah rumah ibadat yang baru dibina di negeri Yaman. 
(105: 3) Kejadian yang paling bahaya menimpa tentera bergajah itu ialah burung-burung yang terbang dari arah laut yang tidak pernah diketahui sebelum ini, lalu meluntar anak-anak batu  ke atas kepala mereka.

(3)وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ

[105: 3] Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka burung-burung yang terbang berpasuk-pasukan? 
Perkataan tayr secra mutlaknya digunakan kepada haiwan yang terbang menggunakan dua sayap, termasuklah burung, lalat, nyamok, unggas dan helang. Perkataan Ababil dikatakan tidak terkenal dalam bahasa Arab sebagai nama sejenis burung, tetapi ia merupakan kata sifat kepada sesuatu.  Ada pendapat menyatakan maknanya 
“berpasuk-pasukan”, ertinya burung-burung ini datang berpasuk-pasukan.  Ada pandangan mengatakan  أبابيل  ialah kata jama` kepada perkataan  أبابلة   iaitu kumpulan burung, kuda atau unta. Dalam konteks ayat ini Ababil bererti 
“Pasukan-pasukan burung” .
 
 Tafsiran “Tayran Ababil”  
 
Kalangan Mufassirin mempunya berbagai-bagai pandangan tentang Tayran Ababil .  Dikemukakan di sini pandangan-pandangan yang berkecamuk dan sukar disatukan kerana masing-masing tidak mempunyai dalil yang kukuh dan putus:

1: Al-Kalbi dan lain-lain menjelaskan erti Tayran Ababil” ialahpasukan burung yang membawa batu-batu yang akan  diluntarkan ke atas tentera bergajah. Batu itu bertulis nama manganya dan kata-kata “Sesiapa taatkan Allah nescaya selamat dan sesiapa derhaka nescaya menyeleweng”.[856].
 
2:   `Atiyyah al-`Ufi meriwayatkan daripada Abu Sa`id al-Khudri ra, menjelaskan burung merpati  di negeri Makkah antara erti Tayran Ababil[857].
 
3:  Al-Alusi memetik daripada sumber al-Haiwan karya al-Damiri: Burung yang dimaksudkan ialah sejenis burung yang bersarang dan bertelur di antara langit dan bumi[858].


4:  Riwayat Ibn `Abbas: Burung itu paruhnya seperti belalai gajah, jari-jari kakinya seperti kuku anjing, kepalanya seperti kepala singa[859].
 
5:  Berkata `Ikrimah, burung itu warnanya hijau, keluar dari laut, kepalanya seperti kepala harimau[860].
 
6: Burung ini seperti burung `Anqa’[861], iaitu sejenis berung legenda yang hanya wujud pada nama tetapi tiada pada kenyataan. Mungkin juga burung-burung ini muncul pada kali itu sahaja kemudian pergi dan tidak kunjung-kunjung lagi.
 
7: Berkata `A’isyah, burung itu seperti burung layang-layang atau kelawar berwarna merah dan kuning[862].
 
8:  Ibn Abbas dalam riwayat lain menjelaskan Tayran Ababil itu dikatakan kepada benda terbang yang membawa bahan berbisa. Badan seseorang yang ditimpa batu itu akan melecur dan menjadi kudis cacar[863].

9:  Ikrimah berpandangan, bahan-bahan berbisa ini dibawa melalui anak-anak batu yang mengeluarkan bahan-bahan berbisa mengakibatkan penyakit cacar untuk diluntarkan ke atas kepala tentera Abrahah[864].  Dinyatakan juga batu-batu ini menimbulkan gatal-gatal pada badan.  Ada yang menyatakan batu-batu itu membawa kuman kudis cacar dan demam campak.  Sesetengah riwayat mengulas: Inilah jangkitan yang pertama berlaku di bumi Arab.

10:  Sebahagian ulama lebih cenderung kepada menyempitkan ruang peristiwa-peristiwa yang mencarikkan adapt atau cenderung melihat undang-undang alam itu berlaku dalam bentuk yang biasa sahaja, mereka berpendapat bahawa pentafsiran peristiwa  burung itu dengan kejadian wabak cacar adalah lebih dekat dan lebih baik[865]

Tafsiran-tafsiran ini boleh dibahagikan kepada dua.  Pertama, iaitu dari tafsiran 1 hingga 7 mentafsirkan tayr dengan erti burung, tetapi brbeza kemudiannya tentang burung dari segi rupa dan ukurannya. Kedua, iaitu dari 
bilangan  8 hingga 10 mengekalkan tair dengan ertinya yang umum, iaitu bahan yang terbang meliputui nyamuk dan unggas. Batu-batu kecil yang menimpa mangsa pula mengeluarkan bahan yang mengakibatkan penyakit cacar.

Sayyid Qutb setelah membayangkan banyak pendapat dan tafsiran tentang Tayran Ababil, pada akhirnya menyatakan pendiriannya: Kami lebih cenderung kepada tafsiran bahawa kekalahan tentera bergajah adalah berlaku menurut undang-undang Allah yang luar biasa, iaitu Allah menghantar pasukan-pasukan burung yang luar 
biasa membawa batu-batu yang luar biasa dan mengakibatkan penyakit-penyakit yang luar biasa, walaupun kita tidak semestinya menerima riwayat-riwayat yang menerangkan rupa bentuk dan besar kecilnya burung-burung dan batu-batu dengan sifat-sifat yang mengharukan itu kerana kejadian-kejadian yang seumpama itu ada sahaja ditokok tambah dengan unsur-unsur keterlaluan[866].

Pandangan Sayyid Qutub merupakan jalan tengah, iaitu mengekalakn tair dengan erti burung dan batu dengan erti batu yang biasa difahami tanpa sebarang rakwilan. Namun beliau menolak keterangan-keterangan yang melampau tentang rupa bentuk burung seperti yang diriwayatkan.
 
 Munaqasyah Pemikiran Imam Muhammad Abduh[867]

Antara pendapat peribadi Imam Muhammad Abduh  yang dianggap menimbulkan kontroversi di kalangan sesetengah ulama adalah mengenai tafsiran Tayran Ababil.  Terdahulu telah dinyatakan pandangan mufassirin tentang Tayran Ababil, iaitu burung yang  diutus Allah  untuk membinasakan   tentera  Abrahah yang  menyerang 
Kaabah.  Burung itu menurut riwayat `A’ishah lebih menyerupai burung layang-layang atau kelawar.  Batu itu pula merupakan ketulan-ketulan tanah kcil tetapi keras bagaikan tanah yang dibakar.

Pandangan kedua pula mentafsirkannya dengan tafsiran secara logik yang mudah difahami.  Menurut tafsiran ini Tayran Ababil mungkin lalat atau nyamuk yang membawa kuman cacar atau campak.  Tafsiran ini akar umbinya merujuk kepada tafsiran Ibn Abbas dan Ikrimah seperti yang dinyatakan terdahulu.

Mentafsirkan Tayran Ababil, Imam Muhammad Abduh menulis:  “Pada hari kedua serangan tentera bergajah, wabak cacar mula merebak ke khemah-khemah tentera  Abrahah. Menurut `Ikrimah, itulah kejadian wabak cacar yang pertama di  negeri Arab pada tahun itu.  Kata Yaaqub ibn `Utbah mengenai peristiwa itu:  Kejadian wabak cacar adalah dilihat pertama kali pada tahun itu.  Wabak itu memamah tubuh mereka dengan begitu dahsyat dan jarang berlaku seperti itu.  Daging-daging mereka merelai dan gugur menyebabkan Abrahah dan tenteranya takut dan terpaksa lari.  Abrahah sendiri telah dituimpa wabak itu dan daging tubuhnya terus gugur secebis demi secebis, manakala jari-jarinya jatuh sebatang demi sebatang sehingga dadanya berlubang dan akhirnya meninggal dunia di San`aa.

“Inilah cerita yang mencapai kata sepakat dari berbagai-bagai riwayat itu dan sah kita berpegang dengannya.  Menurut keterangan surah yang mulia ini,  wabak   cacar   telah   berlaku dengan   sebab    anak-anak batu yang 
digugurkan ke atlas tentera Abrahah oleh pasukan-pasukan burung yang dihantar oleh Allah bersama angin[868].

  Sayyid Qutb yang menyatakan pendiriannya dalam tafsiran ayat ini menghargai motif pemikiran aqliyah yang dikepali Muhammad Abduh pada masa itu. Beliau memilih jalan membataskan peritiwa-peristiwa ghaib dalam mentafsirkan al-Qur`an kepada peraturan alam yang biasa sahaja, katanya: “ Sekolah pemikiran aqliyah telah menghadapi kecenderungan kepada perkara-perkara khurafat yang mempengaruhi pemikiran orang ramai pada masa itu, di samping menghadapi ledakan cerita-cerita dongeng dan Isra`iliyyat yang sarat dalam kitab-kitab Tafsir dan riwayat, sedangkan pada masa yang sama kemajuan sains yang mengkagumkan manusia telah sampai ke kemuncaknya.  Keadaan yang tidak seimbang ini menyumbang ke arah menyuburnya keraguan terhadap agama disebabkan pentafsirannya yang memilih laluan sehala.

Justeru, sekolah pemikiran aqliyah ini tampil ke hadapan untuk mengembalikan kehormatan agama dengan berlandaskan segala yang diterrangkan oleh agama adalah serasi dengan akal semuanya.  Dari sinilah sekolah pemikiran aqliyah berusaha membersihkan agama dari khurafat dan dongeng-dongeng, di samping mewujudkan pemikiran aqliyah agama dalam memahami undangt-undang alam yang tetap dan tersusun rapi”[869]. Di sini tafsir ini ingin menarik dua perhatian:

Pertama:  Keistimewaan tafsiran isu-isu agama dan al-Qur`an yang mewarnai kitab Tafsir al-Manar pada hakikatnya adalah hasil pengalaman pengarangnya dalam dakwah ke arah pembebasan pemikiran dari taklid buta dan seterusnya memperkasakan pentadbiran mahkamah syarak seperti yang menjasdi tugas utama dalam kerjayanya.

Kedua: Muhammad Abduh dalam pentafsirannya kepada ayat Tayran Ababil, tidak membebaskan sepenuh fikirannya untuk disesuaikan dengan kemajuan sains pada zamannya, Sebaliknya beliau memilih tafsiran Ibn Abbas dan Ikrimah melalui jalan sanad Ya`qub bin `Utbah yang menyatakan inilah peristiwa penyakit cacar yang 
mula berlaku di bumi Arab pasda tahun itu.
 
 Kembali kepada tafsiran ayat selantunya:

(105: 4)  Pasukan burung-burung itu terbang di udara dengan membawa beberapa biji batu yang dipagngnya dengan kaki dan paruh, lalu dilepaskan di atas kepala tentera-tentera yang sedang membuat serangan ke atas Kaabah.

(4)تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيل


[105: 4] Sambil melontar mereka dengan batu-batu yang pejal 
 
Batu yang disebutkan di sini tidak diketahui hakikat sebenarnya, sekalipun sebahagian mufassirin dan  muhaddithin memberi sifat-sifatnya dengan lebih terperinci. Tiada jalan bagi kita mencari sesuatu yang tidak diberitahu oleh al-Qur`an, malah jika ada faedahnya nescaya diberitahunya sama ada secara terperinci atau sekadar mencukupi.Kata-kata sijjil berasal dari kata-kasta parsi yang tersusun dari dua perkataan batu dan tanah, iaitu batu yang berpalit dengan tanah yang dibakar sehingga menjadi keras seperti batu. Tanah seumpama ini pernah menimpa kaum Lut sebagaimana dalam firmanNya:

فلَمَّاجَاءأَمْرُنَاجَعَلْنَاعَالِيَهَاسَافِلَهَاوَأَمْطَرْنَاعَلَيْهَا 
[870]حِجَارَةًمِّنسِجِّيلٍمَّنضُودٍ

Terjemahan:  Apabila tiba waktu azab Kami, Kami jadikan bandar itu terbalik atas ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu yang berlumuran tanah dan diatur tersusun.

(105: 5) Kejadian penyakit cacar memamah sel-sel dalam tubuh mereka sehingga menjadi kurus kering bagaikan daun-daun kering kerana pokok-pokoknya diserang serangga.  
 (5)فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ

[105: 5] Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.

Daun-daun kayu yang dimakan ulat itu kelihatan berketul-ketul, ia bukan lagi berupa daun kayu.  Beginilah agaknya badan tentera-tentera Abrahah yang ditimpa batu-batu itu, daging-daging badannya gugur secebis demi secebis, jari jemarinya jatuh sebatang demi sebatang sebagaimana keterangan dalam sesetengah riwayat. 
 Daun yang dimakan ulat satu gambaran pecah belah tubuh badan akibat terkena batu-batu yang diluntar pasukan burung.  Menurut Sayyid Qutb:  ia tidak perlu ditakwil lagi dengan gambaran bahawa mereka dibinasakan dengan penyakit cacar.

Demikianlah Allah perlakukan ke atas Abrahah dan tenteranya yang sombong dan berusaha meruntuhkan Kaabah yang dibina Allah sebaghai rumah pertama dibinanya di muka bumi.  Rumah in I akan kekal di bumi ini dan tidak akan hilang selagi ada makhluk yang masih hidup.
             
Kelahiran baginda Rasulullah saw pada tahun berlakunya berlakunya kekalahan Abrahah dan tenteranya memberi isyarat kepada seluruh dunia tentang kedudukan Nabi saw di sisi Tuhan.  Negeri Makkah dan rumah Allah ini tidak akan berlaku sesuatu yang tidak diingini, ia dipelihara Allah pada masa-masa yang lalu, demikian juga pada masa kini dan akan datang.

 Pengajaran dan Saranan
 1: Ayat dalam surah ini meskipun ditujukan kepada Nabi saw tetap meliputi umatnya. Ini kerana kisah ini masyhur dan diketahui umum pada zaman awal Islam.
 
2: Kejadian yang berlaku terhadap tentera bergajah itu menunjukkan besarnya kekuasaan Allah dan sebagai bukti bahawa Nabi saw bakal menjadi Nabi kerana pada tahun itu baginda rasulullah saw dilahirkan.

3: Kisah ini juga menunjukkan Allah memelihara kehormatan Kaabah sebagai qibalat suci umat Islam.  Sepatutnya kisah ini mendorong kaum Quraisy untuk beriman kepada nabi saw dan mensyukuri nikmat-nikmat keamanan yang dikurnia kepada mereka.

4:Bandingan tentera-tentera bergajah selepas mereka gagal menceroboh Kaabah bagaikan daun-daun yang dimakan ulat. Inimenunjukkan betapa hinanya mereka kerana daun yang dimakan ulat itu ialah najisnya yang keluar bukan lagi berbentuk daun, tetapi merupakan ketulan-ketulan najis. 

5:Umat Arab tidak mempunyai kedudujkan yang dihormati sebelum Islam,.  Sebelum Islam mereka menjadi hamba kepada Parsi, Rum dan Habasyah.  Setelah mereka memeluk Islam keadaan segera bertukar dari hamba kepada pemimpin-pemimpin yang disegani dalam tempoh tidak sampai setengah abad. 


6: Kehormatan negeri Makkah sentiasa terpelihara sejak ia mula dibina, sekalipun kekuasaan berada pada tangan musyrikin dan pelaksanaan ibadat Haji yang dilakukan dengan cara yang menyeleweng.

 
 
 
________________________________

[856]Terjemahan kepada  مَنْ أطَاعَ اللهَ نَجَا وَمَنْ عَصَاهُ غَوَى . Tafsir 
al-Qurtubi, 10/193.
[857]Ibid. Riwayat pertama dan kedua ini da`if  kerana jalan isnad melalui 
Muhammad ibn al-Sa`ib al-Kalbi dan `Atiyyah bin Sa`d bin Junadah al-`Awfi 
diperti0kaikan kesahihan riwayatnya. Lihat  Taqrib al-Tahdhib, 2/163 dan 2/24.
[858]Tafsir Ruh al-Ma`ani, 30/237.
[859]Tafsir al-Razi, 30/191.
[860]Tafsir Ibn Kathir, 4/551.
[861]Ibid.
[862]Tafsir al-Tabari, 10/197. 
[863]Tafsir al-Qurtubi, 10/198.
[864]Tafsir al-Qurtubi, 10/198. Sirat Ibn Hisyam, 1/88, Tafsir Ibn Kathir, 
4/551. Pada akhirnya Ibn Kathir mengulas jalan iusnad melalui `Ikrimah ini 
disifatkan Jayyid.
[865]Tafsir Fi Zilal al-Qur`an, 17/538.
[866]Ibid, 17/540.
[867]Muhammad Abduh dilahirkan pada tahun 1849 M/ 1266 H. dari bapanya yang 
berasal dari keturunan Turkumanistan dan ibunya dari keturunan Arab 

No comments: