Thursday, September 2, 2010




PENTAFSIRAN SURAH AL-QARIAH  (101) AYAT 1-5

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang


Gambaran Qiamat yang Menggemparkan



(3)الْقَارِعَةُ (1) مَا الْقَارِعَةُ (2) وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْقَارِعَةُ  
يَوْمَ يَكُونُ النَّاسُ كَالْفَرَاشِ الْمَبْثُوثِ(4)  وَتَكُونُ الْجِبَالُ
(5) كَالْعِهْنِ الْمَنفُوشِ



[101: 1] Hari yang menggemparkan.

[101: 2] Apa dia hari yang menggemparkan itu?

[101:3] Dan tahukah engkau apakah hari yang menggemparkan itu?

[101:4] Pada hari itu manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran.

[101: 5] Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan.


Surah ini membicarakan dua tajuk utama dalam akidah Islam iaitu: Pertama,gambaran Qiamat raksasa. Kedua, mizan penimbang amalan.

Perkara pertama, memperkatakan tentang Qiamat raksasa, surah inimenamakan hari itu dengan al-Qari`ah.  Nama ini cukup ngeri dan menakutkan, ia menunjukkan mala petaka yang membawa berbagai-bagai musibah seperti peperangan,pembunuhan, bencana alam dan sebagainya.

Surah ini menjelaskan sendiri maksud al-Qari`ah, iaitu hari manusia bagaikan kalkatu yang terbang berkeliaran atau berterbangan bagaikan bulu yang dibusarkan.

Perkara kedua, memperkatakan mizan atau neraca timbangan amal. Hasil penimbangan amal ini lahir dua kumpulan manusia, yang berjaya dan yang gagal,masing mendapat pembalasan dan tempat tinggal mereka sama ada disyurga atau neraka.


Gambaran Qiamat yang Menggemparkan

(101: 1-2) Apa namanya hari itu? Namanya al-Qar`iah, ertinya suatu kejadian yang menggemparkan.  Kejadian ini luar biasa dengan huru hara dan peristiwa yang menakutkan semua makhluk yang hidup.


(2)الْقَارِعَةُ (1) مَا الْقَارِعَةُ 

[101: 1] Hari yang menggemparkan,

[101: 2] Apa dia hari yang menggemparkan itu?


Perkataan Qari`ah pada asalnya membawa erti ketukan tubi terhadap sesuatu objek keras dengan objek-objek seperti kayu, batu, tukul dan sebagainya sehingga mengeluarkan bunyi. Orang Arab menamakan  قَارِعَة kepada sesuatu kejadian berupa musibah yang  menakutkan, sekalipun tanpa ketukan.  Hari Qiamat dikatakan hari ketukan kerana hati dan pendengaran terketuk dengan huru hara yang sangat dahsyat, menakut dan menggemparkan.



(101: 3)  Biar pun hari itu ngeri dan dahsyat, manusia harus mengambil tahu hakikat kejadiannya, mengapa dan bagaimana terjadinya hari yang sedemikian rupa kerana dengan memahaminya, mereka mampu menyambut kedatangannya dengan lebih berani, bertanggungjawab dan penuh waspada.

(3)وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْقَارِعَةُ


[101: 3] Dan tahukah engkau apakah hari yang menggemparkan itu?


Manusia selalunya mengambil sikap tidak bertanggungjawab dan abai terhadap sesuatu berita yang disampaikan, akibatnya masa terbuang dengan percuma. Justeru peringatan demi peringatan disampaikan kepada mereka supaya nasihat lebih berkesan setelah berkali-kali diulangi.

Manusia kalau pun mengetahui al-Qari`ah sebagai musibah, namun hakikat sebenarnya lebih hebat dari apa yang mereka gambarkan.  Bagi maksud ini pertanyaan tentang Qiamat diasak lagi dengan firman-Nya:

وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْقَارِعَةُ

Terjemahan: Dan tahukah engkau apakah hari yang menggemparkan itu?

Maksudnya, Apa pun jalan anda gunakan untuk mengetahui hakikat Qiamat, pasti anda tidak berjaya mecapai maklumat yang sebenarnya kerana anda tidak pernah menyaksikan peristiwa seumpama itu dan sememangnya lebih besar dari peristiwa yang pernah di saksikan oleh manusia.

(101: 4) Nama-nama yang berpangkalkan gelaran atau pangkat kebesaran memang suka dan membanggakan penamanya apabila dipanggil kerana ia menunjukkan harga diri dan kedudukan seseorang dalam masyarakat, malah sekali gus membayangkan sumbangan dan khidmat baktinya kepada negara.  Bagaimana dengan gelaran-gelaran ini pada hari Qiamat?

(4)يَوْمَ يَكُونُ النَّاسُ كَالْفَرَاشِ الْمَبْثُوثِ 

[101: 4] Pada hari itu manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran,


Gelaran-gelaran yang dahulunya memberi sedikit pulangan faedah semuanya berkecai, tiada bezanya di antara manusia kecuali mereka yang bekalan akhiratnya mencukupi.  Ayat tidak menjawab hakikat Qiamat kerana hakikat Qiamat di luar tanggapan manusia sama sekali, sebaliknya menyatakan Qiamat itu ialah hari kedaan manusia berkeliaran bagaikan kalkatu keluar dari lubang.

Perkataan الْفِرَاشْ ertinya kelkatu atau rama-rama,  Manusia pada hari itu bagaikan kelkatu kerana mereka tidak menuju ke satu hala beramai-ramai, tetapi masing-masing membawa diri bagaikan kelkatu mengejar cahaya dan akhirnya mati. Manusia kafir diumpamakan dengan kalkatu kerana mereka itu sangat mudah mencampakkan diri mereka ke dalam neraka, bagaikan kalkatu mencampakkan dirinya ke dalam cahaya api.

(101: 5) Kebanyakan barangan di dunia ini bukan hakiki, semuanya menuggu masa untuk musnah dan hancur.  Bukit bukau dan gunung ganang yang disaksikan sebagai makhluk yang kuat dan bertenaga itu pada suatu hari yang dekat akan menjadi bagaikan bulu yang berterbangan di udara.

(5)وَتَكُونُ الْجِبَالُ كَالْعِهْنِ الْمَنفُوشِ

[101: 5] Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan.

Bukit bagaikan bulu yang dibusar atau bagaikan kapas yang digebu, ertinya tiada nilai berat lagi baginya.  Mungkin keadaan ini satu daripada beberapa keadaan Qiamat kerana dalam kedaan lain, bukit bukau disifatkan sebagai timbunan pasir yang bertaburan.[801]

Melalui dua ayat 4 dan 5 ini Allah swt menyatakan satu daripada beberapa keadaan  Qiamat. Sebahagian yang lain dinyatakan dalam surah-surah seperti al-Waqi`ah, al-Haqqah, `Abasa dan lain-lain. Setiap keadaan Qiamat digambarkan mengikut kesesuaian tempat dan rangkaian ayat dan surah.

Qiamat disebutkan dalam surah ini sebagai al-Qari`ah, ertinya peristiwa ledakan yang menggemparkan.  Telah disebutkan terdahulu perkataan ini diambil daripada القرع  ertinya ketukan tubi yang berlaku di antara dua objek sehingga mengeluarkan suara yang kuat. Manusia dalam kejadian ini bagaikan kalkatu yang terbang berkeliaran, tidak tahu ke mana mereka ingin tuju.

Mufassirin menyatakan manusia bagaikan kalkatu dari segi ramainya bilangan dan berkeliaran, masing-masing kebengungan, entah ke mana mereka akan pergi dan apa akan terjadi. Manusia diumpamakan kalkatu dari segi kengungan dan kebuduhan. Ini keranan  kalkatu, rama-rama dan seumpamanya akan keluar beramai-ramai apabila sarangnya dipukul atau diusik, dia akan terbang berkeliaran kerana terkejut,demikian juga dengan manusia di dalam kubur akan keluar serentak dari kubur masing-masing kerana terkejut dengan suara ketukan yang begitu dahsyat.

Menariknya dalam ayat ini ialah perkataan al-Qari`ah itu merupakan suara yang membangkitkan manusia dari kubur masing-masing dan dengan keadaan yang serupa juga kalkatu keluar berterbangan apabila terkejut kepada sesuat gangguan terhadap sarangnya.

Perbandingan kedua dalam ayat 5 berikutnya ialah manusia pada hari itu bagaikan bulu yang dibusar berterbangan.  Bulu yang dibusar bagaikan kekabu yang digebu untuk diisi ke dalam bantal.  Kekabu ini jika dipukul akan berterbanganlah bahagian-bahagiannya.  Demikianlah manusia pada hari Qiamat ketika cetusan suara al-Qari`ah dibunyikan, masing-masing keluar dari kubur atau tempat-tempat mereka bersemadi.

Perkataan al-Qari`ah dalam ayat ini paling sesuai untuk diungkapkan dalam suasana ini, malah jika anda cuba mencari perkataan lain yang membawa erti yang sama nesacaya anda tidak akan dapatinya menyamai perkataan al-Qari`ah dalam konteks ayat ini.  Di sini kita dapat menyaksikan rahsia-rahsia dan mu`jizat yang tersembunyi di sebalik penggunaan bahasa dalam al-Qur`an. Maha Suci Allah yang berfirman:
أَفَلاَ يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِغَيْرِ اللَّهِ
[802]لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلاَفًا كَثِيرًا

Terjemahan:Mengapa mereka tidak memikirkan kandungan al-Quran? Andainya al-Quran itu datang bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati pada kandungannya perselisihan yang banyak.


Pengajaran dan Saranan

1: Kebangkita dari kubur pada hari Qiamat adalah sesuatu yang pasti dan wajib diimani kerana dalilnya sabit dari al-Qur`an dan Hadith-hadith Sahih.
2: Mengingatkan manusia dengan huru hara Qiamat dan menggesa mereka membuat persiapan bagi melindungi mereka dari azab Allah.
3: Keupayaan akal dan pancaindera dibekalkan kepada manusia mengikut had dan kadar yang ditentukan oleh Allah.  Justeru kelemahan mereka segera terbukti apabila dibebankan melebihi had keupayaannya.  Pendengaran sebagai contoh menjadikan mereka terkejut dan lari bertempiaran apabila mendengar suara yang kuat.
4: Orang kafir sesat apabila dibangkitkan dari kubur kerana mereka tidak mempunyai matlamat hidup dalam perjalanan mereka di dunia. Keadaan mereka bagaikan kalkatu yang sesat kebengungan ketika keluar dari lubangnya lalu terbang dan akhirnya terjatuh ke dalam api.



________________________________

[801]Sila rujuk al-Muzzammil: 14
[802]al-Nisa`: 82

No comments: