Sunday, September 5, 2010



Surah al-`Asr (103)
 (Masa)
PENDAHULUAN
Nama Surah

Nama surah ke 103 ini ialah al-`Asr, ertinya masa kerana Allah bersumpah dengan masa pada permulaan surah ini.  Masa memberi banyak pengajaran dan meninggalkan berbagai-bagai kesan yang aneh dan ajaib, mungkin kerana hikmat ini Allah bersumpah dengannya.
  
Surah yang mengandungi 3 ayat ini antara 3 surah pendek, iaitu surah ini, al-Kawthar (108) dan al-Nasr (110).

Zaman Nuzul

Surah ini diturunkan di Makkah selepas surah al-Insyirah.  Sesetengah mufassirin seperti Qatadah, Mujahid dan Muqatil berpendapat ia diturunkan di Madinah, tetapi Jumhur mufassirin sepakat menyatakan turunnya di Makkah. Al-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan menyenaraikan surah ini dalam surah-surah yang diturunkan di Makkah tanpa menyebut pandangan kedua.

Tanda-tanda Makkiyyah jelas dalam surah ini, bahkan al-Mawdudi tanpa keraguan menyatakan ia dituruunkan pada zaman awal perkembangan Islam di Makkah.

Munasabat Surah

Munasabat surah al-`Asr ini dengan surah al-Takathur terdahulu sangat kukuh kerana surah terdahulu mengingatkan manusia dari berlumba-lumba mengejar kekayaan harta, pengkat dan kedudukan sehingga ke pintu kubur.

Menerusi surah al-`Asr ini pula manusia disaran agar beriman dan beramal salih serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan supaya kesabaran.

Tema dan Ikhtisar Surah

Tema surah ini ialah “masa itu usia”.  Di dalamnya membicarakan prinsip-prinsip  utama dalam Islam dan sistem hidup yang menjaminkan keuntungan dan kebahagian di dunia dan Akhirat.

Allah bersumpah dengan masa yang mengandungi peristiwa dan kejadian, suka dan duka untuk diambil pengajaran. Di sebalik masa yang berjalan banyak pula hikmat yang menunjukkan kebesaran Allah.  Insan yang gagal mengambil pengajaran daripada masa tetap rugi.  Oleh itu bersedialah untuk menghadapi cabaran masa dengan iman dan amal salih serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.  

Orang yang gagal atau cuai mengikuti manhaj ini dalam  mengurus perjalanan hidupnya, dia akan mengalami kerugian besar dan menyimpang dari jalan hidup yang digariskan oleh al-Qur`an.

Erti yang terkandung dalam surah ini itulah juga yang terkandung dalam suluruh surah al-Qur`an, hanya dibezakan oleh penjelasan dan pendekatan. Ini kerana setiap surah mempunyai kaedah dan uslubnya sendiri, bergantung kepada keadaan dan suasana semasa ia diturunkan.

Fadilat Surah

Sahabat-saahabat Nabi saw menjadikan surah ini sebagai lambang nasihat antara satu dengan lain, merekatkan kandungan surah ini kepada rakan-rakan mereka, terutama ketika berakhirnya sesuatu majlis.

 Di dalam hadith riwayat Abdullah Ibn Hisn al-Darimi, katanya: 

كَانَ الرَّجُلَانِ مِنْ أَصْحَاب رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اِلْتَقَيَا لَمْ يَفْتَرِقَا إِلَّا عَلَى أَنْ يَقْرَأ أَحَدُهمَا عَلَى الْآخَر سُورَة الْعَصْر إِلَى آخِرهَا ثُمَّ يُسَلِّم أَحَدهمَا عَلَى الْآخَر[830]

Terjemahan: Apabila dua orang  daripada sahabat Nabi saw bertemu kemudian ingin berpisah,  mereka terlebih dahulu membaca surah ini kemudian memberi salam antara satu sama lain.

 Sebahagian ulama menolak amalan membaca surah al-`Asr ketika berakhirnya majlis atau berpisah sebagaimana dinyatakan di dalam hadis ini kerana hadis ini tidak marfu` kepada Nabi saw.  Sebahagian yang lain mengamalkannya kerana berpegang kepada athar yang sahih.

Jalan yang sederhana ialah mengamalkannya dengan sengaja meninggalkannya dekali sekala, tasnpa membanta terhadap orang yang mengamalkannya secara berteusan. Ini kerana masing-masing memp[unyai hujah dan dalil.

Berkata Imam Syafi`i:

لَوْ تَدَبَّرَ النَّاسُ هَذِهِ السُّورَة لَوَسِعَتْهُمْ [831]


Terjemahan:  “Jika manusia berfikir dengan mendalam terhadap surah ini nescaya cukup untuk mereka”

Katanya lagi:

إنَّ النَّاسَ أو أكْثَرَهُمْ فِي غَفْلَةٍ عَنْ تَدَبُّرِ هَذِهِ السُّورَةٍِ[832]

Terjemahan:  “Orang ramai atau kebanyakan mereka leka dari berfikir tentang surah ini”.




[830] Al-Tabarani, Mu`jam al-Awsat, 2/562. Tafsir Ibn Kathir,  4/547. Al-Albani, al-Silsilat al-Sahihah. Hadith (2684) 6/307 daripada Abdullah ibn Hisn al-Darimi.
[831] Ibn al-Qayyim, Ighathat al-Lahfan, 1/52.
[832] Al-Nawawi, Riyad al-Salihin, bab al-Ta`awun ala al-Birr wa al-Taqwa, di Hamish Nuzhat al-Muttaqin, 1/202,

No comments: