Saturday, July 17, 2010

Surah Al- Duha (93)



سورة الضحى - 93

Surah Waktu Pagi - 93


PENDAHULUAN

Nama:

Nama surah ini ialah al-Duha (waktu pagi), nama ini diambil daripada perkataan al-Duhayang disebut dalam ayat pertama surah dan yang dipilih Allah untuk bersumpah dengannya.

Munasabat Surah

Sekurang-kurangnya dua aspek munasabah di antara surah ini dan surah al-Layl terdahulu.

Pertama: Surah al-Layl disudahi dengan janji Allah untuk memberi kepuasan hati kepada mereka yang paling tinggi tahap ketaqwaannya. Ini disebutkan dalam surah al-Laylayat 21, firman-Nya:

وَلَسَوْفَ يَرْضَى

Terjemahan: “Dan (pada hari akhirat) dia benar-benar berpuas hati”.

Di dalam surah al-Duha kemudiannya, Allah swt berjanji untuk memberi sesuatu yang memuaskan hati Nabi Muhammad saw, iaitu dalam firman-Nya dalam surah al-Duha, ayat 5 firman-Nya


وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَى 

 Terjemahan: Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberi kepadamu (kejayaan) sehingga engkau reda”


Kedua: Allah swt dalam surah al-Layl ayat 17 berfirman:

وَسَيُجَنَّبُهَا الْأَتْقَى

Terjemahan: “Dan akan dijauhkan orang yang paling takwa dari neraka itu”.

Di dalam surah al-Duha Allah swt membilang banyak nikmat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad saw antaranya Nabi tidak ditinggal, tidak dimurka dan akan diberi kepadanya sehingga dia benar-benar berasa puas hati dengannya.
Zaman Nuzul
Surah ini diturunkan pada awal zaman Makkah dalam suasana Nabi saw bimbang terhadap kemurkaan Allah kepadanya. Ibn Hajar memetik riwayat daripada Baqyy ibn Makhlad, di dalam Musnadnya, beliau menyatakan: Ayat in diturunkan setelah beberapa hari Nabi menunggu kedatangan wahyu setelah terhenti.
Riwayat itu menyatakan, Khdijah ra pernah berkata kepada Nabi saw:

" .. قَالَتْ خَدِيجَة لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِين أَبْطَأَ عَنْهُ الْوَحَى : إِنَّ رَبّك قَدْ قَلاك , فَنَزَلَتْ وَالضُّحَى[608]

Terjemahan: Berkata Khadijah kepada nabi saw tetkala kelewatan turun wahayu ke atasnya: Sesungguhnya Tuhan telah memarahi mu, lalu surah wa al-Duha diturunkan”.

Pembaca mendapati keterangan ayat ini jelas menunjukkan surah ini diturunkan pada zaman Makiyyah yang sangat awal, malah selepas turunnya beberapa ayat pertama surah al-`Alaq dan beberapa ayat dariapad surah al-Muddaththir.

Wahyu, pertemuan dengan Jibril dan berhubung dengan Allah merupakan bekalan Nabi dalam perjalanan baginda, ubat dan penawar penyejuk hati tatkala menghadapi sindiran dan cemuhan kaum Musyrikin. Apabila penawar ini kehabisan, nabi berasa keadaannya begitu tertekan, tanpa bekalan dan ubat yang boileh meredakan pernafasannya tatkala cemas menghadapi suasana kritikal akibat penentangan kaum Musyrikin.

Tema dan Ikhtisar Surah

Tema surah ini ialah “Tidak lupa tetapi membelai kasih”. Fokus utama surah ini ialah kepada peribadi Nabi saw yang tidak ditinggal dan tidak dimurkai Allah sebagaimana dakwaan kaum musyrikin, malah Allah sentiasa melindunginya dengan rahmat dan kasih sayangnya. Allah mengurniakan kepadanya nikmat yang besar-besar, dilindunginya pada waktu baginda masih kecil. Allah mengingati baginda agar berlemah lembut terhadap anak yatim, orang miskin dan selalu bersyukur terhadap nikmat.

Fadilat Surah

Antara kelebihan surah ini ialah disunatkan bertakbir setelah selesai membaca surah al-Duha dan surah-surah seterusnya hingga surah al-Nas dengan membaca:

أللهُ أكْبَر

Terjemahan: Allah Maha Besar

Atau:

لا إلَهَ إلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَر

Terjemahan: Tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah.

Ulama memberi alasan bagi hukum ini kerana surah al-Duha diturunkan setelah berlaku kelewatan turun wahyu, maka turunlah surah al-Duha, Nabi saw sangat bergembira dengan penurunan itu.Kegembiraan ini disambut dengan takbir kesyukuran. Menurut Ibn Kathir, tiada riwayat yang mengesahkan dalil ini sama ada sahih atau da`if.[609]

Ulama hadis biasanya memberi kelonggaran untuk beramal dengan hadis-hadis da`if pada doa dan Fada`il al-A`mal, jika tidak didapati rawinya yang terkenal dengan pemalsu hadis atau pendusta dalam riwayat.



No comments: