Wednesday, September 15, 2010


سورة الفيل
Surah al-Fil (Gajah) 105


MUKADIMAH

Nama Surah 
Nama surah (105)  ini ialah al-Fil (Gajah) kerana pada awal surah ini mengingatkan kisah tentera bergajah yang dipimpin oleh Gabenor Habasyah  dari Yaman yang ingin meruntuhkan Kaabah.
 
Zaman Nuzul 
Surah ini termasuk antara surah-surah yang diturunkan di Makkah.  Mufassirin sepakat berpendapat turunnya di Makkah iaitu pada zaman permulaan Islam. 

 Munasabat Surah 
Munasabat antara surah ini dengan surah al-Humazah terdahulu begitu kuat kerana ayat-ayat dalam surah  al-Humazah terdahulu membicarakan keadaan orang yang bermegah-megah dengan harta kekayaannya yang banyak dan menjadikannya sebagai alasan untuk  mencela dan mengaibkan orang yang tidak berharta.  


Surah al-Fil ini pula menyatakan sekumpulan manusia yang mempunyai kekuatan, lalu megah dengan kekuatannya, tetapi kekuatan itu pada hakikatnya kecil sahaja kerana ia boleh ditewasskan oleh burung-burung kecil yang mengalahkan mereka dengan luntaran batu-batu kecil seperti yang dikisahkan dalam surah ini.
 
Tema dan Ikhitisar Surah 
Tema surah ini ialah “Tentera Bergajah Tewas di Kaki Burung”. Keseluruhan surah al-Fil yang mengandungi 5 ayat ini adalah mengenai peristiwa Raja Abrahah menyerang Kaabah, tetapi akhirnya tewas kerana ditimpa batu yang diluntar burung yang membawa batu dengan paruh dan kakinya.   Secara ringkas kisah ini seperti 
yang dipetik daripada sumber-sumber sejarah:

 1:  Latar belakang peristiwa 
Peristiwa ini bermula dengan kemuculan seorang pemimpin bersenjata  keturunan bangsa Semit bernama Abrahah. Nama itu lebih dikenal dengan sebutan Abrames[856]. Abrahah atau Abrames dengan kekuatan ketenteraan sekitar 12,000 ribu pasukan tentera dan 13 ekor gajah, Abrahah bergerak dari Yaman menuju 
Makkah untuk menyerang Kaabah. 

Abrahah nama seorang Gabenor Habasyah bagi negeri Yaman semasa negeri ini tunduk kepada pemerintahan Habasyah. Beliau telah membina gereja di negeri Yaman atas nama kerajaan yang memerintah Habasyah bagi menyebarkan agama Nasrani.  

Gereja itu dilengkapkan dengan segala peralatan moden dan menarik dengan tujuan mengalihkan tumpuan orang-orang Arab ke gereja itu setelah saban tahun berkunjung ke Baitullah di Makkah. Beliau melihat penduduk di negeri Yaman sendiri turut tertarik kepada Baitullah sama seperti orang Arab lain yang tinggal di kawasan tengah dan Utara Semenanjung Arab, lalu beliau menulis surat kepada raja Habasyah dan menyatakan hasratnya itu.
 
2: Motif serangan 
Menurut Muhammad bin Ishaq, salah seorang sejarawan Arab, tujuan Abrahah ke Makkah adalah untuk menghancurkan Kaabah dan menyebarkan agama Kristian.Tahun Gajah merupakan tahun di mana Abrahah telah datang menyerbu kota Makkah untuk meroboh dan menghancurkan Kaabah, sebuah rumah suci yang pertama dibina di bumi ini. Abrahah adalah seorang penganut agama yang kuat berpegang kepada agama Nasrani. Dia pernah menghantar tenteranya ke Yaman untuk menghancurkan kerajaan Dzu Nuwas yang beragama Yahudi. Perkhabaran yang diperolehi tentang orang-orang Nasara di Yaman yang dipaksa meninggalkan agama Nasara dan memeluk agama Yahudi dengan keras dan kejam menyebabkan memuncaknya kemarahan Abrahah terhadap 
pemimpin Yahudi yang kejam dan  anti Nasrani itu. 

Tujuan jangka panjang serangan terhadap Kaabah adalah untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari Kaabah di Makkah kepada qiblat baru yang dibinanya di San`a iaitu al-Qulays.   Bagi maksud ini, Abrahah menulis surat kepada raja Najasyi pemimpin kerajaan Rom, beliau menyatakan hasratnya membina sebuah gereja yang tidak pernah dibina seumpamanya kepada mana-mana raja sebelum ini. Beliau menyatakan rasa tidak akan tenang sehinggalah orang Arab berkunjung ke Yaman untuk beribadat dan mengerjakan Haji.
 
3: Reaksi orang Arab
Apabila orang-orang Arab mengetahui berita tentang kandungan surat Abrahah kepada raja Najasyi, timbullah kemarahan seorang lelaki dari kaum Kinanah lalu dia pergi ke gereja al-Qulays dan membuang najis di dalamnya secara sembunyi, kemudian kembali kepada kaumnya. Perkara itu telah disampaikan kepada Abrahah dan telah menimbulkan kemarahannya lalu bersumpah untuk menghancurkan Kaabah. 

 Abrahah sangat berang dan berhasrat untuk membalas dendam terhadap pelakunya yang disangkanya salah seorang daripada mereka yang memuja-muja Kaabah. Namun yang terjadi adalah sebaliknya, gereja yang megah dan mewah itu tidak mendapat perhatian dan kunjungan orang seperti yang diharapkan sama ada orang luar mahupun orang Yaman sendiri. Mereka masih tetap berkiblatkan Kaabah di Mekkah. Hancurlah sudah cita-cita dan angan-angan Abrahah untuk menjadikan gerejanya sebagai pesaing dan pengganti Kaabah.

4: Abrahah dan tenteranya mengganas 
Abrahah mempunyai semangat yang tinggi untuk menghancurkan Kaabah. Beliau hendak merobohkannya sehingga menjadi tanah rata. Bagi tujuan ini berangkatlah Abrahah dengan bala tenteranya berkenderaankan gajah menuju ke kota Makkah. Abrahah lengkap berpakaian kebesaran disertai seorang yang bernama Abu Rughal yang menjadi penasihat dan penunjuk jalan. 

Sepanjang perjalanan dari San`a ke Makkah, tiap suku bangsa Arab yang dilalui bala tenteranya akan dipaksa mengaku taat setia dan tunduk kepada kerajaannya. Semasa tiba di suatu tempat bernama Almughammas yang terletak di persimpangan jalan antara Tha’if dan Makkah, Abrahah memerintahkan tenteranya merampas harta 
dan barang-barang milik penduduk Tihamah dari suku kaum Quraisy. 

 Antara barang yang dirampas adalah 200 ekor unta milik Abdul Muthalib bin Hasyim, datuk Nabi Muhammad saw yang pada ketika itu merupakan seorang berpangkat dan ketua kaum Quraisy.  Abdul Muttalib bertanggungjawab 
mengagih-agihkan air zam-zam kepada jemaah haji dan pengunjung Kaabah.
 
5: Cadangan adakan rundingan
Semasa para pemimpin suku Quraisy dan suku-suku Arab lainnya sedang berbincang tentang tindakan yang harus diambil terhadap ancaman dan serangan Abrahah serta bala tenteranya, tiba-tiba datang seorang utusan Abrahah mengajak para pemimpin Quraisy termasuk  pemimpin agungnya Abdul Muttalib untuk berunding dengan Abrahah di tempat perkhemahannya di luar Kota Makkah. Bertemulah wakil penduduk kota Makkah dengan Abrahah yang menyambutnya dengan hormat dan ramah tamah. Abdul Muttalib, seorang pemimpin yang tampan dan berwibawa penampilannya itu telah diberi penghormatan untuk duduk bersebelahan dengan Abrahah.
             
Bermulalah perbualan mereka. Berkata Abrahah: “Kami datang ke mari tidak bertujuan memerangi kamu semua, tetapi kami bertujuan merobohkan Kaabah, sebagai pembalasan terhadap perbuatan menghina dan kurang ajar yang telah dilakukan oleh salah seorang pemuja Kaabah yang telah menodai kesucian gereja yang kami bangunkan di San`a dengan membuang najis di atas lantainya. Jika kamu tidak menghalang kami melaksanakan maksud dan tujuan kami ini, kami sekali-kali tidak akan mengganggu kese;amatan kamu dan tidak setitis darah pun akan mengalir. 

Abdul Muttalib menjawab bagi pihak perwakilannya: “Kami pun tidak bermaksud berperang atau mengadakan perlawanan terhadap pasukan kamu kerana sememangnya kami tidak bersiap untuk itu dan kami pun sedar  kami tidak mempunya kekuatan ketenteraan yang cukup untuk menghadapi pasukan dan bala tentera kamu yang besar dan lengkap itu”. Abrahah membalas: “Baiklah, jika memang begitu sikap dan pendirian kamu menyambut kedatangan kami ke sini. Selain itu, adakah hal-hal lain yang kamu ingin ajukan kepada kami?”
Abdul Muttalib lantas menjawab: “Kami hanya mengharap kamu dapat mengembalikan harta milik dan haiwan ternakan kami yang telah dirampas oleh askar kamu. Abrahah berkata: “Wahai bapa suku Quraisy!  sesungguhnya aku melihat begitu hebat rupa parasmu dan aku menaruh rasa simpati dan hormat kepada dirimu. 
Akan tetapi setelah mendengar tuntutan dan permintaan yang kamu ajukan kepadaku itu, hilanglah seketika rasa hormat dan simpatiku terhadap kamu”

“Sungguh menghairankan sikap kamu ini. Aku kira pada mulanya kamu akan membincangkan isu Kaabah, rumah suci pujaan kamu dan pujaan nenek moyang kamu, yang aku datang untuk merobohkannya dan bukan isu 200 ekor unta yang telah dirampas oleh pasukan tenteraku. Ternyata kamu menganggap remeh isu Kaabah sebagai rumah suci yang dipuja oleh bangsa kamu sejak Nabi Ibrahim hingga kini dan kerananya kamu bersikap acuh tak acuh menghadapi nasibnya. Bagi kamu rupanya isu dua ratus ekor unta yang dirampas oleh tenteraku lebih utama dan lebih penting untuk diselamatkan berbanding Kaabah yang sebentar lagi akan aku hancurkan. Aku berasa sangat kecewa melihat pendirian kamu yang aneh ini.”
 
6: Abrahah sombong 
 Abdul Muttalib menjawab: “Dua ratus ekor unta itu adalah milik peribadiku dan sudah sepatutnya aku berusaha  menyelamatkannya. Adapun rumah suci Kaabah ada Pemiliknya sendiri dan Dialah yang Maha Kuasa akan 
melindunginya”. Berkata Abrahah dengan sombongnya: “Kaabah kamu tidak akan terlindung dan terlepas dari seranganku,” Jawab Abdul Muttalib dengan sikap dinginnya. “Terserahlah kepada kamu dan kepada Tuhan Pemiliknya yang akan melindunginya” 
 Kemudian Abrahah telah memerintahkan tenteranya agar harta milik  termasuk dua ratus ekor unta milik Abdul Muttalib yang telah dirampas itu dikembalikan kepada  pemiliknya. Seruan dan arahan Abrahah itu disambut baik 
oleh Abdul Muttalib dan rakan-rakan dengan cadangan agar Abrahah membatalkan rancangannya untuk menghancurkan Kaabah dengan tukaran nilai sepertiga dari harta penduduk Makkah diserah kepadanya. Namun, cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh Abrahah. Maka para anggota perwakilan tersebut telah kembali ke rumah masing-masing di Makkah dengan rasa kecewa dan cemas menanti apa akan terjadi seterusnya kepada Kaabah yang mereka sayangi.

7: Cari perlindungan
 Menyedari kenyataan bahawa hati Abrahah tidak dapat lagi dilembutkan agar tidak meneruskan niat jahatnya. Abd al-Muttalib pulang    mendapatkan  kaum   Quraisy dan   mencerita  kepada  mereka apa  yang  berlaku.  Dia 
menyuruh mereka keluar meninggalkan kota Makkah dan berlindung di celah-celah bukit, kemudian beliau menuju ke Kaabah dan memegang gelang pintunya, sambil berdiri bersama sekumpulan orang Quraisy berdoa kepada Allah dan memohon pertolongan-Nya.

يَارَبِّ لاَ أَرْجُو لَهُمْ سِوَاكَا   **  يا َرَبِّ فامْنَعْ مِنْهُم حِمَاكَا
إنّ عَدُوَّ الْبَيْتِ مَنْ عَادَاكَا   ** اِنَّهُمْ لَــنْ يَقْهَرُوا قُوَاكَا
 
Terjemahan: 
 
Wahai Tuhanku!  
Aku tidak mengharapkan selain-Mu, 
Wahai Tuhanku!  
Peliharalah rumah-Mu ini, 
Musuh rumah ini musuh-Mu,
Mereka tidak mungkin mengatasi kekuasaan-Mu.
 
            Abdul Muttalib berdoa lagi sambil bertawaf:
 
لا هُمَّ إنَّ العَبْدَ يَمْنَعُ رَحْلَهُ فامنع حِلالَكْ
لا يَغْلِبَنَّ صَلِيبُهُم وَمِحَالُهُم أبَدًا مِحَالَكْ
[857]إنْ كُنْتَ تَارِكَهُمْ وَقِبْلَتَنَا فَأمْرٌ مَّا بَدا لَكْ

Terjemahan:
 
Wahai Tuhanku!
Hamba-Mu mempertahankan rumahnya, pertahankanlah rumah-Mu,
Wahai Tuhanku!
Jangan dibiarkan salib menghancurkan pentadbiran-Mu
Wahai Tuhanku!
Andainya Engkau biarkan qiblat ini kepada mereka,
Kebebasan Engkau tiada halangannya.
 
8: Serangan dilancarkan 
Tatkala menjelang waktu pagi, Abrahah mula bersedia dengan gajah dan tenteranya untuk memasuki Makkah dengan gajahnya bernama Mahmud, mereka mengarahkan gajah menuju ke Makkah, mereka telah bertemu dengan Nufail bin Habib. Beliau berdiri di sebelah gajah kemudian memegang telinganya lalu berkata: Duduklah Mahmud dan kembalilah semula ke tempat kamu datang, sesungguhnya kamu berada di negeri yang diharamkan oleh Allah. Kemudian beliau melepaskan telinga gajah tersebut, lalu gajah itu terus duduk. Mereka memukul gajah tersebut supaya bangun tetapi ia enggan berbuat demikian.

Kemudian mereka mengarahkan gajah tersebut kembali ke Yaman, lalu ia terus bangun dan berjalan ke arah tersebut.
 
Peristiwa ini disahkan oleh Nabi saw menerusi sabdanya pada hari peperangan Hudaybiah, tatkala untanya “al-Qaswa” duduk dan enggan berjalan memasuki Makkah, sabdanya:
 
مَا خَلأَتِ الْقَصْوَاءُ ، وَمَا ذَلِكَ لَهَا بِخُلُقٍ وَلَكِنْ حَبَسَهَا 
[858]حَابِسُ الْفِيلِ

Terjemahan: “Unta al-Qaswa` tidak malas, itu bukan tabiatnya, tetapi ia ditahan oleh penahan gajah”
 
Diriwayatkan lagi:
 
إِنَّ اللَّهَ حَبَسَ عَنْ مَكَّةَ الْفِيلَ ، وَسَلَّطَ عَلَيْهَا رَسُولَهُ 
[859]وَالْمُؤْمِنِينَ

 Terjemahan:  “Sesungguhnya Allah swt menahan gajah itu dari memasuki Makkah, sedangkan rasulullah dan orang mu`min menguasainya”
 
Dua hadith ini menjadi dalil bahawa peristiwa tentera gajah menyerang Kaabah adalah benar bukan dongeng atau rekaan dan tiada perbezaan pada asas-asas utamanya, kecuali  pada furu` kisah. 

 
9:  Kesombongan berakhir kekalahan  
Setelah beberapa kali mencuba, mereka mengarahkannya ke Syam, gajah tersebut juga berjalan sebagaimana diarahkan. Mereka mengarahkan pula menuju ke arah Timur, lalu gajah itu berjalan sebagaimana diarahkan. Setelah itu mereka mengarahkan semula menuju  Makkah tetapi gajah tersebut terus duduk. Lalu Allah mengutuskan kepada mereka sekumpulan burung seumpama burung layang-layang di mana setiap seekor membawa tiga biji batu, sebiji di paruh dan dua biji lagi di kakinya. Batu tersebut seperti kacang kuda atau kacang dal, sesiapa sahaja yang terkena akan hancur dan binasa. Tidak semua yang binasa di tempat tersebut, 
antara mereka telah keluar dari kawasan tersebut tetapi jatuh bergelimpangan di setiap jalan lalu mati dalam keadaan yang penuh dahsyat. 

 Abrahah juga tidak terkecuali, beliau terkena luntaran batu  tersebut di badannya, lalu dibawanya  pulang dalam keadaan  jari-jarinya terputus.  Setibanya  di  San’a, dia pun  meninggal  dunia  dalam keadaan yang cukup  ngeri. 
Sementara itu, para penduduk Makkah yang berlindung di celah-celah bukit dengan cemas menanti letupan Abrahah ke atas Kaabah seperti yang digemparkan. Mereka kemudiannya berasa lega apabila mendengar Abrahah dengan tiba-tiba meninggalkan tempat perkhemahannya menuju ke San`a bersama sisa pasukan tenteranya yang tidak sempat melancarkan serangan yang diperintahkan Abrahah, akibat serangan mendadak dari sekawan burung yang berterbangan meluntari mereka dengan batu-batu dari tanah yang dibakar.Pasukan burung yang dikirim oleh Allah swt dengan batu-batu yang bakar itu menjadikan tubuh-tubuh musuh hancur berkecai dan jatuh berselerak di atas tanah. Sehinggalah sisa anggota tenteranya yang tinggal menjadi bilangan yang kecil. Mereka itu pulang bersama Abrahah dengan luka-luka parah akibat luntaran batu-batu tersebut ke atas kepala dan tubuh mereka.
 
 9: Petanda awal kelahiran Nabi Muhammad saw 
Peristiwa tentera bergajah adalah suatu irhas dari Allah sebagai petanda awal mendahului kelahiran Nabi Muhammad saw, Rasul penutup dan sebagai isyarat pertama bagi perlindungan Allah terhadap agama terakhir yang akan dibawa oleh Rasul terakhirnya itu.

Tahun berlakunya peristiwa ini dikenali sebagai “Tahun Gajah”, bersamaan tahun kelahiran Nabi Muhammad saw, iaitu pada hari Isnin, 12 Rabiul Awal (bersamaan 20 April 571 Masihi). Baginda dipilih oleh Allah swt menjadi rasul yang terakhir diutuskan oleh Allah swt sebagai pelengkap bagi sekalian rasPul. 

Fadilat Surah 
Tiada sumber-sumber yang sahih menerangkan kelebihan khusus surah ini.
 
 
 

________________________________

[856]Nama ini dalam bahasa Habasyi disebut Abrahah, dalam bahasa Arab disebut 
Ibrahim dan dalam bahasa Suryani ditulis Abraham. Al-Mawdudi, Tafhim al-Qur`an, 
8/463. 
[857]Sirah ibn Hisyam, 1/33. al-Dur al-Manthur, 6/394. Tafhim al-Qur`an, 6/466. 
[858]al-Bukhari, al-Shurut, al-Shurut fi al-Jihad, hadith (2543) daripada 
al-Miswar ibn Makhramah.
[859]Al-Bukhari, Kitab fi al-Luqatah, hadith (2267) daripada Abu Hurairah. 

No comments: