Saturday, September 4, 2010

SURAH AL-TAKATHUR(102) 


(Berlumba Mendapat Kekayaan)

Mukadimah

Nama Surah

Nama surah ini ialah al-Takathur, ertinya berlumba-lumba untuk mendapat harta kekayaan,anak-pinak pangkat dan pengaruh dengan sebanyak-banyaknya,ia dipetik daripada perkataandalam ayat pertama surah.

Al-Alusi memetik daripada Ibn Abu Hatim daripada Sa`id Ibn Abu Hilal, para sahabat Rasulullah saw menamakan surah ini dengan surah al-Maqbarah (perkuburan)[819]. Sesetengan Mushaf menamakannya dengan surah Alhakum. Imam al-Bukhari dalam tarjamah al-bab cenderung dengan nama ini[820]. Sesetengah riwayat juga memakai ayat pertama sepenuhnya sebagai nama surah seperti:

[821]  كُنَّا نَرَى هَذَا مِنَ القُرْآن حتَّى نَزَلَت ألْهَاكُم التكَاثُر


Terjemahan: Dahulu kami menganggap hadith ini sebahagian daripada al-Qur`an hinggalah surah Alhakum al-Takathur diturunkan”

 Riwayat ini jelas menunjukkan maksud  Alhakum al-Takathur di sini ialah nama surah bukan teks al-Qur`an yang bermaksud makna bukana nama.

Zaman Nuzul

Kebanyakan mufassirin termasuk Abu Hayyan, al-Shawkani berpendapat surah ini diturunkan di Makkah. Berkata Ibn `Atiyyah: Aku tidak mengetahui ada sebarang khilaf padanya[822].

Ibn Abbas, al-Kalbi dan Muqatil menyatakan surah ini diturunkan  mengenai dua  kumpulan di Makkah yang bertmegah-megah antara satu dengan lain.  Mereka   ialah kumpulan Banu Abd Manaf dan Banu Sahm, masing-masing mengaku puak mereka lebih ramai  bilangan berbanding  puak lawan, sehingga  membawa  mereka  ke perkuburan untuk membilang    puak-puak mereka yang telah meninggal dunia[823].  Difahamkan kubur yang dilawati ialah perkuburan  datuk nenek mereka yang telah meninggal  di Makkah.

Sebahagian ulama berpendapat Surah ini diturunkan di Madinah. Hujah mereka ialah riwayat Ibn Abu Hatim daripada Ibn Buraydah menyatakan ia diturunkan mengenai  kisah dua kabilah Ansar iaitu Bani Harithah dan Bani al-Harith yang bermegah-megah antara satu dengan yang  lain.  Berkata Salah seorang daripada mereka:  Pada kamu ada orang seperti itu dan ini?.   Barkata yang satu lagi:  Pada kamu ada orang seperti itu dan ini.  Mereka bermegah-megah pula dengan orang-orang yang hidup, akhirnya mereka sama-sama pergi ke kubur sambil     menunjuk kepada kubur itu dan ini, orang itu dan orang ini. Lalu ayat pertama dan kdua       surah ini diturunkan[824].

Al-Suyuti dengan tegas menyatakan, surah ini diturunkan di Madinah.  Hujah  beliau  ialah    riwayat Ubayy Ibn Ka`b:

كنَّا نَرَى هَذَا مِنَ الْقُرْآنِ حَتَّى نَزَلَتْ ألهَاكُمُ التَّكَاثر[825]
              
Terjemahan“Kami sebelum ini memahami hadith itu sebaahagian al-Qur`an, hinggalah surah Alhakum al-Takathur diururunkan”

Bagaimanapun Ibn `Asyur berpendapat, dalil itu tidak mantap kerana maksud kami dalam     kenyataan Ubayy mungkin membawa maksud umat Islam di Makkah. Selanjutnya  beliau      menyatakan, uslub surah al-Takathur yang keras, serta tajuk surah yang menyelar orang yang bermegah-megah dengan harta dan puak, menunjukkan surah ini diturunkan mengenai kaum Musyrikin[826].  Orang mu`min pada hari itu terutama orang Ansar telah terdidik sekian lama supaya tidak bermegah-megah dengan kelebihan sendiri.

Munasabat Surah

Munasabat antara surah al-Takathur dan surah al-Qari`ah (101) terdahulu sangat dekat dan    erat.  Ini kerana bicara surah  terdahulu tentang Qiamat  yang  menggemparkan manusia dan  menjadikan  mereka  bagaikan  kalkatu yang berkeliaran tanpa mengetahui ke mana mereka akan pergi.

Surah (102) al-Takathur yang mengiringi surah al-Qari`ah pula  menyatakan tabiat  manusia   suka  mengumpulkan harta, bermegah-megah  dengan  kekayaan dan  keluarga, menjadikan  mereka  lupakan   Akhirat, menyebabkan mereka kekurangan amal kebajikan tatkala ditimbang.

Tema dan Ikhtisar Surah

Tema surah ini boleh diberi misalnya Berwaspada Sebelum Ketibaan Qiamat. 

Surah surah ialah mengingatkan manusia supaya berwaspada dengan dunia dan bersedia       untuk pemergian ke akhirat yang pasti tiba. Bagi  menyempurnakan bicara tajuk ini tiga isu diketengahkan iaitu:

Pertama: Manusia dilalaikan oleh berlumba-lumba kerana mengejar harta kekayaan   yang tidak pernah menjemukan, kedudukan yang selesa dan darjah kebesaran yang membuaikan.

Kedua:  Mengingatkan manusia dengan persoalan-persoalan yang bakal dihadapi di    Akhirat tatkala di hisab semua amalan yang pernah dilakukan di dunia.  Mereka akan ditanya   dari mana sumber kekayaan diperolehi, bagaimana harta diuruskan dan ke mana ia dihabiskan.  Manusia akan menghadapi saat-saat sukar jika gagal menjawab soalan-soalan ini dengan betul.

Ketiga: Mengingatkan manusia dengan huru hara Qiamat, iaitu hari yang tidak berguna padanya harta dan klekayaan, kecuali yang diuruskan mengikut kehendak Allah dan Rasul-  Nya.

Fadilat Surah

Riwayat al-Hakim daripada Abdullah Ibn Umar ra katanya:  Sabda Nabi saw:

أَلاَ يَسْتَطِيْعُ اَن يَقْرَاَ اَحَدُكُمْ اَلْفَ اَيَةٍ فِيْ كُلّ لَيْلَةٍ ؟ قَالَ مَنْ يَسْتَطِيْعُ ذَلِكَ : أَمَا يَسْتَطِيْعُ اَحَدُكُمْ اَنْ يَقْرَاَ  أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ[827 ]


Terjemahan: Tidak mampukah seorang kamu membaca seribu ayat pada tiap-tiap malam?  Jawab sahabat:  Siapa  mampu membaca sebanyak itu?.  (Sabda Nabi): Apakah tidak mampu seorang kamu membaca surah al-Takathur.

Memadailah bagi mereka yang ingin membaca surah ini dengan hadith-hadith yang menyatakan kelebihan al-Qur`an secara umum dan surah ini salah satu daripada 114 surah al-Qur`an.












[819] Tafsir Ruh al-Ma`ani, 30/223
[820] Fath al-Bari, 8/729.
[821] Tafsir Ibn Kathir, 4/545.
[822] al-Muharrir al-Wajiz, ms 2001. 
[823] Ma`alim al-Tanzil, 8/511, al-Wahidi, Asbab al-Nuzul, ms 537. Tafsir Ibn Kathir, 4/544
[824] Fath al-Bayan, 15/365.
[825] Al-Bukhari, al-Riqaq, Ma Yuttaqa min fitnat al-Mal,  Hadith (7075) daripada Ubayy ibn Ka`b.
[826] Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/518.
[827] al-Hakim, al-Mustadrak ala al-Sahihayn,Fadaq`il al-Qur`an, 1/755 hadith (2081) Hadith tidak Sahih. Al-Bayhaqi, Shu`ab al-Iman, 6/35 , Al-Albani, Da`if, Da`if al-Targhib wa al-Tarhib, daripada Abdullah ibn `Umar.ra.