Saturday, September 4, 2010




Tafsir Surah al-Takathur Ayat (1-8)



بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ (1) حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ (2) كَلَّا سَوْفَ
تَعْلَمُونَ  (3) ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ (4) كَلَّا لَوْ تَعْلَمُونَ
عِلْمَ الْيَقِينِ (5) لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ (6) ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ
 (8)الْيَقِينِ (7) ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
Terjemahan:
[102: 1] Kamu telah dilekakan oleh pertandingan memperbanyakkan (harta kekayaan,
anak-pinak, pangkat dan pengaruh).
[102: 2] Sehingga kamu mengunjungi kubur-kubur (tanpa rela).
[102: 3] Janganlah begitu,  kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu),
[102: 4] Sekali lagi (diingatkan), Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui
akibatnya!
[102:5] Janganlah begitu! kerana jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang
yakin (nescaya kamu tidak berbuat demikian),
[102: 6] Demi sesungguhnya! Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang.
[102: 7] Kemudian demi sesungguhnya! Kamu akan melihatnya dengan penglihatan
yang yakin.
[102: 8] Kemudian sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala
nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!

Amaran Jangan Lupakan Mati

Jarak begitu jauh di antara keperluan dan kehendak nafsu. Nafsu yang ingin bermegah-megah dengan kekayaan, pangkat dan anak-anak sebenarnya jauh lebih besar dari keperluan sebenar kepada harta benda dan kekayaan. Panyakit ini menyerang manusia dalam keadaan yang tidak disedari hinggalah seseorang berada di bilik menunggu untuk pemergian ke perhimpunan raksasa pada hari Qiamat.

(102: 1) Harta yang sebenarnya ialah makanan yang diambil bagi mengalas kelaparan,  pakaian yang dipakai bagi menutup aurat. Selebihnya adalah kemewahan yang tidak pernah cukup.  Itulah  al-Takathur yang diperkatakan dalam ayat berikut:

(1)أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ
[102: 1] Kamu telah dilekakan oleh pertandingan memperbanyakkan (harta kekayaan, anak-pinak, pangkat dan pengaruh).

Kamu dalam ayat ini ditujukan kepada kaum musyrikin penyembah berhala, termasuk juga orang-orang yang menjadi hamba dunia dan seluruh cita-citanya dikusai harta benda, pangkat dan kekayaan [819].

Perkataan التكَاثُر ertinya berlumba-lumba mendapatkan sebanyak-banyak. Perkataan ini  umum dan meliputi semua perlumbaan, termasuklah berlumba-lumba 
mengmpul harta kekayaan, berlumba-lumba untuk naik pangkat dan berbagai-bagai 
perlumbaan lagi supaya mengatsi saingan yang lain.

Takathur ata berlumba-lumba pada dasarnya tidak salah, malah dalam sesetengah keadaan ia boleh disifatkan mahmudah sama ada pada harta kekayaan, ilmu penetahuan, pangkat kebesaran, kesokanan dan amal kebajikan kerana keinginan mahukan lebih banyak adalah fitrah semula jadi manusia, tetapi apabila ia dicemari unsur-unsur tafakhur, besar diri, berasa orang lain lebih rendah,
berlumba-lumba bertukar menjadi sifat madhmumah, keji dan buruk. Kita perhatikan Al-Qur`an menyarankan:

[820]سَابِقُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ

Terjemahan: “Berlumba-lumbalah kamu pada mendapatkan keampunan dari Tuhan kamu”
Firman Allah lagi:
 [821]وَفِي ذَلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ

Terjemahan: “ .. dan untuk memperolehi nikmat yang sedemikian, maka mereka hendaklah berlumba-lumba melakukan amal yang salih”



Perlumbaan yang disifatkan madhmumah kerana dicemari unsur-unsur keji pula dinyatakan dalam ayat-ayat seperti:

[822]أَنَا أَكْثَرُ مِنْكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا

Terjemahan: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”.

Firman Allah lagi:

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ
بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ
الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا
وَفِي الْآَخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا
[823]الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Terjemahan: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah mainan dan hiburan,  perhiasan, bermegah-megah di antara kamu dan perlumbaan membanyakkan harta benda dan anak pinak, Ia adalah laksana air hujan yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan yang mengkagumkan para penanam, kemudian tumbuh-tumbuhan menjadi kering dan engkau lihat warnanya kuning, kemudian ia menjadi reput. Dan di akhirat kelak disediakan azab yang yang berat.  Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang
terpedaya”.

 (102)   Tiada sempadan atau nuktah penamat bagi perlumbaan ini kerana nafsu tidak pernah jemu dengan dunia yang dipamerkan di hadapan matanya, hinggalah  dia tertiarap dikejar maut.

(2)حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ

[102: 2] Sehingga kamu masuk ke dalam kubur-kubur (tanpa rela).

Islam tidak menolak orang mu`minin mengumpul kekayaan, membina kedudukan dan berlumba-lumba mendapatkannya kerana harta dan kedudukan yang dimiliki orang mukmin akan digunakan untuk berbuat kebajikan dan membina masyarakat dan negara,sebaliknya harta yang dimiliki orang kafir kemungkinan digunakan bagi tujuan yang salah dan memusuhi orang Islam. Ini bermakna jika seseorang mempunyai perhitungan yang jelas dan mengawal dirinya daripada pengaruh harta dan kekayaan, necaya tidak termasuk dalam kumpulan yang diselar akibat  takathur yang salah itu.

Ungkapan زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ  terjemahan harfiayahnya ialah sehingga kamu ziarah kubur-kubur. Mayat yang dikebumikan selepas disempurnakan kewajipan mandi, kafan dan salat diungkapkan dengan menziarahi kubur kerana kubur bukan tempat terakhir, di sini hanya sementara berpindah ke alam lain iaitu sama ada syurga atau neraka.  Kubur lebih tepat jika dikatakan bilik menunggu sementara berlepas ke destinasi yang lain.

Kubur bukan tempat terakhir bagi seorang yang baru meninggal dunia,  Tidak tepat jika diungkapkan, Jadikan Kubur Sebagai Pengajaran. Ziarah kubur hukumnya sunat dengan syarat-syarat yang ditetapkan di dalam syarakiaitu dengan memberi salam kepada penghuni-penghuni kubur tatkala memasuki kawasannya, kemudian mengadap arah kiblat sambil memohon agar Allah mengampuni dosa serta merahmati seluruh muslimin dan muslimat yang telah pergi mendahului kita. Dalam sebuah hadis riwayat Ibn Mas`ud r.a. Nabi saw bersabda:


‏‏كُنْتُنَهَيْتُكُمْعَنْزِيَارَةِالْقُبُورِفَزُورُوهَافَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي
[824]الدُّنْيَا وَتُذَكِّرُالْآخِرَةَ

Terjemahan: Dahulu aku larang kamu menziarahi kubur, kini bolehlah kamu ziarahinya kerana ia melembutkan hati di dunia dan mengingatkan hari akhirat. Hadis ini juga menunjukkan larangan menziarah kubur jika disertai amalan mungkar seperti pergaulan haram antara lelaki dan wanita, membuat fitnah dan sebagainya kerana matlamat ziarah kubur untuk melembutkan hati dan mengingati Akhirat. Sayugia bagi kaum wanita tidak menghadiri majlis pengkebumian  kerana urusan pengkebumian itu hanya urusan kaum lelaki, wanita dianggap tidak berkenaan dengan kerja-kerja ini, apa lagi jika mereka turut berasak bersama lelaki kerana ingin melihat mayat sewaktu diturunkan ke liang lahad.  Tunggulah sehingga kaum lelaki selesai menjalani kerja-kerja mereka dan tidak ada lagi lelaki ajnabi di situ. Islam menggalakkan umatnya agar mengingati mati.  Ziarah kubur adalah di antara amalan yang mendorong seseorang mengingati mati serta mengambil pengajaran daripadanya. Dalam sebuah hadis baginda Rasulullah saw bersabda:

[825]أَكْثِرُوامِنْذِكْرِ‏‏هَاذِمِ‏‏اللَّذَّاتِالْمَوْتِ

Terjemahan:  Banyakkan mengingati pemutus kelazatan, maksudnya mati. Mengingati mati adalah sebaik-baik pendorong kearah merealisasikan beberapa faedah seperti menyegerakan bertaubat, menerima hukum Allah dengan rela hati dan tidak berebut-rebut mengejar dunia. Sebaliknya lupakan mati mengundang perkara-perkara yang negatif seperti keras hati, menangguh-nangguhkan taubat dan cintakan dunia.

Salah seorang ulama salaf al-Rabi` Ibn Khaytham menggali kubur di hadapan rumahnya, beliau setiap hari tidur di dalamnya.  Beliau ditanya mengapa di berbuat demikian, dia menjawab: Aku berbuat demikian bagi mengawal kerosakan hatiku dengan mengingati mati[826].

Seorang penyair bermadah:

صَاحِ شَمِّر وَلاَ تَزَلْ ذَاكِرَ الْمَوتِ **  فَنِسْيَانُهُ ضَلاَلُ مُبِينُ

Terjemahan:

Wahai kawan-kawan! jangan lupa ingatkan mati.  Lupakan mati tanda kesesatan yang nyata.

(102: 3) Orang yang berjaya mencegah dirinya daripada bermegah-megah dengan hartanya ialah orang yang takutkan Allah, da disedari dengan ziarah kubur dan ingatkan mati yang memaksanya pergi dan meninggalkan harta dan kuasa kecuali sepasang kain kapan  yang hanya dibanr untuk dibawa pergi.

 (3)كَلاَّسَوْفَ تَعْلَمُونَ
[102: 3] Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu), Janganlah asyik bermegah-megah dengan harta dan pangkat, nanti tahulah kamu perlumbaan untuk mendapatkan harta dan pangkat sebanyak-banyaknya tidak mendatangkan faedah. Tidak lama lagi kamu akan tahu semua kekayaan dan kesenangan yang menjadi sasaran perlumbaan itu akan ditinggalkan dan seterusnya kamu dipaksa masuk ke dalam kubur.

(102: 4) Nafsu yang inginkan harta benda dengan sebanyak-banyaknya itu tertanam begitu mendalam dan kukuh dalam hati seseorang dan begitu besar pula akibatnya serta sangat buruk padahnya.  Justeru ayat mengulangi sekali lagi peringatan yang serupa.

(4)ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ

[102: 4] Sekali lagi (diingatkan), Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui akibatnya!

Insan hendaklah sentiasa mencari jalan untuk mengingatkan dirinya dengan mati supaya tidak terjebak ke dalam bahaya takathur yang melekakan.  Sebaik-baik jalan ialah meneliti pedoman al-Qur`an yang tidak pernah meleset nasihat dan amarannya. Ayat ini diulangi bagi menekankan lagi amaran dan janji yang membawa akibat buruk terhadap orang yang terjebak dalam bahaya akibat takathur itu.

Dalam sebuah hadis riwayat Zirr Ibn Hubaisy ra katanya:

كُنّا نَشُكّ فِي عَذَابِ الْقَبْرِ حتّى نَزَلَتْ أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ الَى
[827]ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ فِي عَذَابِ الْقَبْرِ
Terjemahan: Kami dahulu ragukan adanya azab kubur hingga turun ayat: Alhakum al-takathur hingga thumma kalla sawfa ta`lamun mengenai azab kubur.

(102: 5) Andainya manusia tahu apa yang akan terjadi kepadanya akibat berlumba-lumba mengaut harta kekayaan serta bermegah-megah dengannya, nescaya mereka tidak akan berlumba-lumba mengumpul kekayaan sebanyak-banyaknya, tetapi kerana mereka tidak mengetahui akibatnya dengan yakin, lalu mereka ditimpa kelekaan dan suka menurut nafsu.

(5)كَلَّا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ

[102: 5] Janganlah begitu! kerana jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin (nescaya kamu tidak berbuat demikian). Jangan terpedaya dengan dunia yang melalaikan itu.  Jika kamu mengetahui nescaya kamu segera berpatah balik ke pangkal jalan lalu segera melakukan amal salih agar dunia tidak menghalang kamu dari menuju akhirat. Jawapan kepada لَو yang membawa erti jika dalam ayat di atas ditakdirkan dengan kata-kata لَمَا أَلْهَاكُمْ ertinya nescaya tidak melekakan kamu.

(102: 6) Orang kafir tidak mempercayai adanya neraka melainkan setelah diperlihat dan dimasukkan ke dalamnya kerana jalan kesesatan menutup mata hati untuk mempercayai sesuatu yang tidak kelihatan pada mata kepala.  Orang mukmin yang mengikuti pedoman, telah sekian lama mengetahui dengan yakin adanya syurga dan neraka, mereka tahu dan lihat dengan mata hatinyaterlebih dahulu sebelum melihatnya dengan mata kepala.

(6)لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ
 [102: 6] Demi sesungguhnya! Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang.

Mempercayai adanya syurga dan neraka merupakan satu peluang yang ada tempoh tamatnya.  Beriman selepas tamat tempoh ini tidak memberi apa-apa maknanya lagi.  Orang kafir beriman kepada adanya pembalasan pada hari akhirat hanya setelah namapak neraka dengan mata kepala dan ketika dibawa masuk ke dalamnya.

(102: 7) Ada baiknya baik jika mereka beriman kepada hari kiamat itu ketika berada di dunia kerana masih ada peluang untuk melakukan amal salih.  Jangan tangguh hingga waktu yang sudah lewat.

(7)ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ
 [102: 7] Kemudian demi sesungguhnya! Kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin. 

Justeru neraka itu sesuatu yang benar dan kamu  akan lihatnya, maka berimanlah sekarang dan jauhilah daripada maksiat dan dosa yang menyebabkan  kamu dipaksa masuk ke dalam neraka.
[102: 8] Supaya kita tidak lekakan hari ini dan terselamat daripada perlumbaan kekayaan yang membawa akibat buruk,  baik juga jika kita menyimpan dalam ingatan kita, pada hari  akhirat nanti akan ditanya satu demi satu tentang nikmat yang kita terima di dunia.  Semakin banyak nikmat diterima, semakin lama pula masa untuk menjawabnya.  Pastikah kita dapat menjawab dengan betul semua soalan yang bakal dikemukakan?

  (8)ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
[102: 8] Kemudian sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! Kamu akan ditanya tentang nikmat-nikmat yang kamu terima, dari mana kamu dapat? Dan ke mana kamu belanjakannya? Adakah kamu perolehinya daripada sumber halal atau haram?  Dan adakah kamu bersyukur terhadap nikmat-nikmat itu atau kamu kufur?.

 Nabi saw bersabda tentang nikmat yang banyak disalah gunakan iaitu sebagaimana diterangkan dalam sabda Nabi:

[828]نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فيْهمَا كَثيرٌ منَ النَّاسِ: الصّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Terjemahan: Dua nikmat orang ramai sering mengalami kerugian padanya: Kesihatan tubuh badan dan masa lapang. Mereka rugi kerana kesehatan tubuh badan digunakan dengan cara yang salah, masa lapang pula disia-siakan. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Barzah ra Sabda Nabi saw:


لاَ تَزُولُ قَدَمَا الْعَبْدِ يَومَ الْقِيَامَة حَتّى يُسْأَلَ عَنْ أَرْبَعٍ:
عَن عُمْرِهِ فِيمَ أَفْنَاهُ،  وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَ أَبْلاَهُ َوَعَنْ مَالِهِ
مِنْ أَينَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنفَقَهُ، وَعَنْ عِلْمِهِ مَا ذَا عَمِلَ
[829]بِهِ

Terjemahan:  Tidak bergerak kaki seorang hamba pada hari Kiamat hingga ditanya empat perkara:  Umurnya pada apa dia habiskan.  Usia mudanya pada apa dia belanjakan. Haetanya dari mana dan untuk apa dia belanjakan dan tentang ilmunya apakah yang dia amalkan dengannya. Hadith ini menggesa manusia supaya mengambil tindakan segera sebelum tiba empat perkara; hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua dan kaya sebelum papa.

 Pengajaran dan Saranan

1: Allah mengingatkan supaya bersedia untuk pemergian ke akhirat dan jangan sekali-kali lalaikan akhirat dengan mengumpul kekayaan dan harta benda yang banyak.

2:  Disunatkan ziarah kubur supaya hati terdidik dengan mengingati mati, 
lalu hati menjadi lembut dengan melihat ramai orang yang telah pergi dan kini 
sedang menunggu dalam kubur masing-masing untuk sama ada ke syurga atau neraka.


3: Janji melihat azab neraka diulangi beberapa kali bagi mengingatkan 
bahawa azab kubur dan akhirat adalah benar.


4: Manusia pada hari akhirat akan ditanya tentang nikmat yang mereka 
terima dan diminta menjawabnya satu demi satu dari mana mereka perolehi dan ke 

mana serta untuk apa mereka gunakan.
________________________________

[819]Al-tahrir wa al-Tanwir, 30/519.
[820]al-Hadid: 21:
[821]al-Mutaffifin: 26.
[822]al-Kahf: 34.
[823]Al-Hadid: 20
[824]Ibn Majah, al-Jana`iz, Ziyarat al-Qubur, hadith (1560) daripada Abdullah
ibn Mas`ud.
[825]al-Tirmidhi, Sifat al-Qiyamah, hadith (2384) daripada Abu Hurairah.
[826]Abu Hamid al-Ghazali, Ihya` Ulum al-Din, Fadl Dhikr al-Maut,
[827]Tafsir al-Munir, 30/384.
[828]al-Bukhari, al-Riqaq; La `Aysha .., hadith (5962) daripada Abdullah ibn
Abbas.
[829]Tirmidhi, Sifat al-Qiyamah,  hadith (2417) daripada Abu Barzah al-Aslami.

No comments: