Sunday, October 10, 2010



سُورَة الماعون
 Surah al-Ma`un (107)
 (Pertolongan)

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
TAFSIRAN AYAT (1-7)


Siapakah Pendusta Akhirat?

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ  (1) فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ  (2) وَلَا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ  (3) فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ  (4) الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ  (5) الَّذِينَ هُمْ يُرَاؤُونَ(6) وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ(7)

Terjemahan

 [107: 1] Adakah engkau lihat orang yang mendustakan  agama?.

[107: 2] Itulah yang menindas anak-anak yatim,

[107: 3] Dan dia tidak menggalakkan memberi makanan kepada orang miskin.

[107: 4] Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang melakukan sembahyang;

[107: 5] (Iaitu) mereka yang lalai dari sembahyangnya;

[107: 6] (Juga) orang-orang yang riak dengan sembahyang mereka,

[107: 7] Dan orang-orang yang enggan memberi pertolongan

Siapakah Pendusta Akhirat?

Ciri-ciri yang dipaparkan dalam surah al-Ma`un itulah sebenarnya pendusta Akhirat. Adakah maksudnya salah satu daripada ciri-ciri itu atau semua ciri yang disebutkan dalam surah?.  Kedua-duanya merupakan pendapat ulama dan masing-masing ada hujahnya.

(107: 1) Iman yang sebenar ialah iman yang dihasilkan daripada tasdiq dengan hati, iqrar dengan lidah dan amal dengan anggota.  Pengakuan beriman hanya dengan lidah tidak cukup bagi maksud menyelamatkan diri daripada balasan Allah pada hari Akhirat.  Pengakuan dengan lidah tanpa bukti adalah dusta.

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ  (1)

[107: 1] Adakah engkau lihat orang yang mendustakan  agama?.

Perkataan “al-Din” menurut bahasa diguna bagi menunjukkan beberapa makna berikut:

            1: Kuasa dan pemerintah, sebagaimana dalam firman Allah:

مَا كَانَ لِيَأْخُذَ أَخَاهُ فِي دِينِ الْمَلِكِ [880]

Terjemahan: “Sebenarnya dia tidak boleh menahan mengambil adiknya menurut kuasa raja”.

2: Jalan atau cara hidup yang kukuh sehingga menjadi budaya.  Ini dipakai dalam firman Allah:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ [881]

Terjemahan“ .. untuk kamu cara hidup kamu dan untukku cara hidupku”

3:  Agama atau hukuman,  firman Allah:

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ [882]

Terjemahan: “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata”

4:  Undang-undang atau peraturan yang diredai Allah kepada para hambna-Nya, sebagaimana dalam firman-Nya:

شَرَعَ لَكُمْ مِنَ الدِّينِ مَا وَصَّى بِهِ نُوحًا [883]

Terjemahan“Allah telah mensyariatkan kepada kamu peraturan-peraturan yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh,”

5: Tunduk dan patuh, diungkapkan dalam bahasa Arab  دَانَ لِفُلانٍ ertinya dia tunduk atau patuh kepada seseorang.

6:  Pembalasan dan hisab, disebutkan dalam firman Allah: 

[884]مالك يوم الدين


Terjemahan: Tuhan yang memuiliki hari pembalasan dan hisab.

Ayat di atlas ditafsirkasn dengan erti ketiga atau ke enam.  

Pendustaan kepada agama ertinya pendustaan kepada Allah dan Rasul-Nya termasuklah seluruh ajaran Islam yang disampaikan melalui wahyu al-Qur`an dan Sunnah Nabi.  Pendustaan kepada jaza dan hisab pula meliputi kebangkitan semula di Akhirat, syurga, neraka dan seluruh alam Akhirat.  Krdua-dua tafsiran itu pada hakikatnya sama sahaja.

Kembali kepada ayat di atlas yang membawa terjemahan: “Adakah engkau lihat orang yang mendustakan  agama?”. Maksudnya, adakah engkau lihat peribadinya dan mengenali sifat-sifatnya. Pertanyaan dalam ayat ini menurut Sayyid Qutb  dikhitabkan kepada sesiapa yang boleh melihat supaya melihat.  Dan kepada sesiapa yang mendengar akan tertunggu-tunggu untuk melihat siapakah yang dikhitabkan dengan ayat itu.  Tiba-tiba jawapannya cukup memeranjatkan, iaitu “.. itulah orang yang menindas anak yatim dan tidak memberangsangkan orang lain memberi makanan kepada orang miskin”. 

“Mungkin jawapan ini lebih memeranjatkan lagi apabila dibandingkan dengan ta`rif keimanan yang biasa, tetapi jawapan itu sebenarnya merupakan intisari hakikat keimanan, iaitu orang yang mendustakan agama ialah orang yang menindas anak-anak yatim dan tidak menggalakkan orang lain memberi makanan kepada orang miskin.  Jika benar dia mempunyai agama dan juga hakikat keimananitu telah menetap di hatinya, tentulah dia tidak akan menindas anak-anak yatim dan tentulah dia tidak akan cuai menggalakkan orang lain memberimakanan kepada orang miskin.

“Hakikat mempercayai agama, bukannya kata-kata yang dituturkan lisan, tetapi ialah satu perubahan dalam hati yang mendorong seseorang membuat kebaikand dan berbakti kepada saudara sesame manusia yang memerlukan pemeliharaan dan naungan .  Allah tidak menghendaki kata-kata dari manusia, tetapi Allah mahukan dari mereka tindakan-tindakan yang mengotakan kata-kata mereka. Tanpa tindakan, kata-kata itu kosong sahaja, tidak mempunyai sebarang nilai di sisi Allah[885].

Ayat ini menurut Ibn Abbas diturunkan mengenai al-`As Ibn Wa`il al-Sahmi.  Kata al-Suddi:  Diturunkan mengenai al-Walid Ibn al-Mughirah.  Ada pendapat mengatakan ia diturunkan mengenai Abu Jahl, beliau adalah penjaga anak-anak yatim.  Pada suatu hari, anak-anak yatim datang kepadanya dalam keadaan bogel kerana meminta pakaian daripadanya, lalu dihalaunya anak-anak yatim itu.  Menurut Ibn Juraij:  Ayat ini diturunkan mengenai Abu Sufyan.  Beliau pada setiap minggu menyembelih unta, lalu dagingnya diminta oleh anak yatim.  Abu Sufyan sangat marah lalu memukul mereka  dengan tongkatnya.[886]

Sama ada sahih atau tidak sahih sebab nuzul ini, namun ia tidak khusus kepada penama-penama yang disebutkan, malah kenyataan ayat ini umum kepada siapa sahaja yang ada padanya sifat-sifat kaji yang dinyatakan dalam surah ini dan sekaligus dilabelkan sebagai pendusta agama.

 (107:2)  Beriman kepada adanya hisab dab jaza` di Akhirat, bakal menyucikan hati seseorang insan dari kotoran bakhil dan kedekut,  kekosongan yang ditinggal  sifat bakhil bakal melahirkan perasaan cinta, bukan sahaja terhadap anak yatim, tetapi kepada selutuh makhluk Allah yang bernyawa dan tidak bernyawa.

فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ  (2)

[107: 2] Itulah yang menindas anak-anak yatim,

Beriman kepada adanya hari Akhirat dan hidup beragama yang meliputi syariat dan akhlak berfungsi menyucikan hati, membebaskan seseorang daripada bakhil dan kepentingan diri, pada masa yang sama pula akan segar dalam hatinya rasa simpati dan kasih sayang, suka berbuat kebajikan, menolong orang yang lemah dan kurang upaya.

Orang yang mendustakan agama biasanya tidak mempedulikan nasib anak-anak yatim yang tidak sempat hidup bersama ibu bapa mereka dan dengan sendirinya  tidak sempat pula untuk mendapat didikan dengan sempurna.

Perkataan الدَعّ diambil daripada asal kata دعّ  يَدَعُّ ertinya nyah, usir atau tolak ke tepi dengan kasar dan kuat.  Perbuatan ini membayangkan keras hati dan tiada rasa belas kasihan, padahal anak yatim mungkin tidak meminta apa-apa darinya, selain simpati dan kasih sayang untuk mendapatkan sedikit gantian daripada apa yang kehilangan akibat kematian ibu bapa mereka, tetapi hati yang sombong selalu meletakkan kepentingan diri mengatasi segala-galanya, dia tidak bersedia menyambut kedatangan anak yatim dengan baik, mungkin kerana pada pandangannya anak-anak yatim tidak menjejaskan kepentingannya jika dinyah dan tidak menambahkan apa-apa kalau pun dibantu.

Islam merangsang agar mencurahkan kasih sayang kepada anak yatim.  Dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda:

أَنَا وَكَافِلُ الْيَتِيْمِ فِي الْجَنَّة كَهَاتَينِ[887]ِ

Terjemhan: Aku dan penjaga anak yatim dalam syurga bagaikan dua jari ini (telunjuk dan jari hantu).

Al-Qur`an al-Karim dalam banyak ayatnya menggesa pihak-pihak yang bertanggungjawab supaya menjaga harta anak-anak yatim dengan jujur dan beramanah supaya tiada pihak yang menyalahgunakannya.

Bapa kemudian datuk diserahkan tanggungjawab menjaga harta anak-anak yatim.  Dalam keadaan ketiadaan mereka, wasiyy yang dipercayai bapa kemudian datuk hendaklah mengamil alih tanggungjawab yang ditinggal mereka.  Jika tiada wasiyy, pihak pemerintah yang bertanggungjawab dengan pentadbiran Islam hendaklah mengambil tanggungjawab ini. Menurut Mazhab Syafi`i tanggungjawab menjaga harta anak yatim selepas kematian bapanya ialah datuknya, kemudian wasiyy bapa kemudian datuk, bergantung kepada siapa yang terkemudian meninggalnya, kemudian pihak pihak pentadbiran Islam yang memerintah.  Tiada hak penjagaan dari pihak-pihak yang menerima asabah seperti adik beradik dan saudara dan juga ibu[888].

            (107: 3)  Antara sikap yang terburuk pada orang yang mendustakan hari al-Din ialah hilang personalti dan marwahnya; ia kelihatan tidak terasa apa-apa apabila melihat orang miskin yang kebuluran dan tidak pula merangsang orang lain supaya memberi kepadanya makanan untuk mengalas perutnya yang kebuluran, apa lagi untuk mencintai mereka.

وَلَا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ  (3)

         [107: 3] Dan dia tidak menggalakkan memberi makanan kepada orang miskin.

Perkataan الْحضّ ertinya merangsang dan  menggalak. Perkataan الطّعَام dalam ayat ini membawa erti الاِطْعَامْ, ertinya memberi makan.  Sesetengah ahli tafsir memberi erti طَعَام dalam ayat di atas dengan erti makanan yang menjadi hak orang-orang miskin yang ada pada orang yang berada. Tafsiran ini pula menunjukkan orang-orang miskin mempunyai hak daripada harta kepunyaan orang kaya, sebagaimana dalam firman Allah:

وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَعْلُومٌ  لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ [889]

Terjemahan:    Dan mereka yang menentukan bahagian pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri dari meminta.

Islam melihat pemberian makan kepada orang miskin bukan suatu ihsan yang bergantung pada pilihan suka atau tidak suka, tetapi suatu hak yang wajib dipulang kepada ampunya hak itu. Masyarakat hendaklah peka kepada kewajipan ini, sebagaimana penguatkuasa berhak membuat pemeriksaan mengejut ke tempat-tempat yang dicurigai adanya barang-barang yang duseludup dan menyalahi peraturan.  Sesiapa yang tidak melaksanakan kewajipan ini dan membiarkan orang miskin lapar kebuluran, maka orang ini sepatutnya dihukum kerana seolah-olah dia menyubang kepada kehancuran masyarakat dan meningkatnya paras kemiskinan dalam negara, bagaikan orang yang membiar penyakit taun merebak dalam kampung, sedangkan dia mampu mecegahnya, atau bagaikan seorang yang melihat kanak-kanak dibaham harimau, sedangkan dia hanya melihatnya sahaja, tanpa berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya.

Di sini jelas saranan al-Qur`an supaya merangsang atau membantu untuk memberi makan fakir miskin adalah wajib, kerajaan, orang perseorangan dan masyarakat hendaklah sama-sama memikul tanggungjawab ini.

Tiga ayat pertama surah ini sangat tegas dalam menegakkan hakikat takaful Islam yang dikaitkan dengan roh dan tabiat akidah Islam.


           (107: 4) Fakir miskin merupakan golongan yang didahulukan dalam senarai penerima zakat. Salat pula didahulukan tatkala amalan di hisab. Al-Qur`an kerap menyebutkan dua kewajipan ini secara bergandingan kerana pengabaian kepada zakat dan salat membawa kecelakaan dan kerugian yang besar.

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ (4)

[107: 4] Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang melakukan sembahyang;

Kecelakaan besar kerana menjadikan sembahyang untuk mencapai kepentingan dunia dan bermudah-mudah pada melakukannya.

(107: 5) Anda dengan mudah sahaja mendapati orang yang meringankan sembahyang, mereka hanya bersolat tetapi tidak menghayati isinya, dia menunaikannya dengan perasaan malas dan berat.

الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ(5)

[107: 5] (Iaitu) mereka yang lalai dari sembahyangnya;

Antara kelalaian mereka ialah melewatkan sembahyang dari waktunya tanpa sebarang keuzuran. Dalam sebuah hadis riwayat Anas ra katanya Aku dengar Rasulullah saw bersabda :

‏تِلْكَ صَلَاةُ الْمُنَافِقِ يَجْلِسُ ‏‏ يَرْقُبُ ‏‏ الشَّمْسَ حَتَّى إِذَا كَانَتْ بَيْنَ قَرْنَيْ الشَّيْطَانِ قَامَ فَنَقَرَهَا أَرْبَعًا لَا يَذْكُرُ اللَّهَ فِيهَا إِلَّا قَلِيلًا[890]

Terjemahan : Itulah sembahyang munafik, dia duduk dan menungu-nunggu matahari hingga apabila matahari berada di antara dua tanduk syaitan (hampir terbenam) diapun bangun sembahyang dengan seberapa cepat, dia sebenarnya tidak ingtakan Allah kecuali sedikit sahaja.

             (107 :6)           Sembahyang merupakan bekalan tenaga yang sangat mustahak bagi meneruskan hidup. Sesiapa yang melakukannya secara main-main atau hanya kerana memperlihatkan orang, maka seolah-olah dia membinasakan hidupnya.

الَّذِينَ هُمْ يُرَاؤُونَ(6)

         [  [107: 6] (Juga) orang-orang yang riak dengan sembahyang mereka,

            Sembahyang yang sebenarnya ialah suatu gerakan pembebasan diri dari rasa bakhil, dengan sembahyang seseorang menjadi pemurah, suka membantu orang yang susah, tetapi orang riyak dalam sembahyangnya tidak akan membebaskan dirinya daripada kekangan bakhil, kerana sembahyangnya dilakukan dengan cara yang tidak sempurna, maka kerana itu pula dia tetap bakhil buat selama-lamanya, sekalipun dengan barag yang sedikit dan tiada harga lagi baginya.

Bersalat Tetapi Rugi

Keterangan zahir beberapa ayat terakhir surah ini menunjukkan kecelakaan  terhadap orang yang menunaikan salat tetapi dia leka dan riya` di dalam salatnya. Perkataan wayl  ertinya kecelakaan atau kebinasaan.  Pmggunaan uslub ini adalah satu isyarat kepada janji buruk Allah terhadap mereka yang menunaikan salat dengan sifat-sifat yang disebutkan ini. 

            Perkataan    سَهَا يَسْهُو سَهْوًا  ertinya tak cakna, leka, meringan-ringan pada melaksanakan sesuatu tugas. Maksud meringan-ringankan salat dalam ayat ini tidak bermakna meninggalkannya kerana meninggalkan salat adalah kufur  jika diingkari kewajipannya,  Sebahagian ulama berpendapat sekalipun tidak diingkari kewajipannya. Sehubungan ini Nabi saw bersabda:

الْعَهْدُ الَّذِي بيْنَنَا وَبيْنَهُمْ الصَّلَاةُ ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ[891]
           
 Terjemahan: “Ikatan perjanjian di antara kami dan mereka (Islam dan bukan Islam) ialah salat, sesiapa meninggalkannya nescaya kufur”

            Sabda Nabi lagi:

بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ , أَوْ الْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلَاةِ[892]

Terjemahan:  “Sempada di antara seorang muslim dengan syirik atau kufur ialah meninggalkan salat”.

Berpandukan dua hadith ini ulama berpendapat orang yang meninggalkan salat dengan sengaja terkeluar dari Islam sekalipun dia tidak mengingkasri kewajipannya.  Jika diingkari kewajipannyanya, ulama dengan ijma` berpendapat kafir, sekalipun dia bersalat

Perkataan  سَاهُونَ di dalam ayat tidak membawa makna lupa kerana lupa adalah suatu keadaan di luar keupayaan manusia. Nabi saw juga terlupa beberapoa kali dalam salatnya.  Jika Nabi saw terlupa, maka lebih utama lagi dengan manusia bukan Nabi.  Leka yang duimaksudkan di dalam ayat ini ialah tidak melakukan salat dengan sempurna atau tidak mendirikannya dengan betul. 

Dalam banyak ayat al-Qur`an menuntut supaya manusia mendirikan salat dengan menggunakan perkataan  أَقَامُوا الصَّلاةَ  atau  يُقِيمُون الصَّلاة   dengan erti menegak atau mendirikan salat.  Seseorang yang melakukan salat mungkin dia tidak mendirikannya sekalipun membaca segala bacaannya. Ini kerana mereka melakukan gerak geri salat dan membaca segala bacaan salat, tetapi mereka tidak menghayati bacaan-bacaan itu dan tidak hidup dengannya, jiwa mereka tidak menghadirkan hakikat salat dan hakikat isinya dari bacaan-bacaan, doa-doa dan tasbih, mereka bersembahyang kerana menunjukkan kepada orang lain bukan kerana Allah,  mereka menunaikan salat tetapi tidak mendirikannya. Mendirikan salat ertrinya menghadirkan hakikatnya dan menunaikannya dengan ikhlas kerana Allah Yang Maha Esa.

           (107: 7)  Hakikat salat ialah membebaskan jiwa manusia yang bakhil dari sifat bakhil.  Kebakhilan akan bertukar dengan murah hati dan kesediaan membantu.  Orang riya` dalam salatnya masih dikekang oleh perasaan bakhil sekalipun dengan barang-barang yang tidak diperlukannya lagi.

وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونًٍَ(7)

           [107: 7] Dan orang-orang yang enggan memberi pertolongan

Perkataan الْمَاعُونَ diertikan dengan sesuatu yang sedikit, tetapi masih ada nilainya. Ada yang mentafsirkannya dengan sesuatu yang tidak sepatutnya dihalang jika diminta seperti air , api dan garam.

Meskipun banyak tafsiran diberi kepada perkataan ini, namun hakikatnya satu sahaja, iaitu orang yang bakhil dengan barang-barang yang tidak merugikannya jika diberi untuk dipinjam seperti parang, pisau, penyapu dan sebaganya.  Dalam hadis riwayat Abdullah Ibn Mas`ud ra. katanya:

‏كُنَّا نَعُدُّ الْمَاعُونَ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏عَوَرَ ‏ ‏الدَّلْوِ وَالْقِدْرِ[893]

Terjemahan: Sesungguhnya kami pada zaman Nabi saw. menamakan al-Ma`un kepada orang yang tidak sudi memberi pinjam timba da periuk.

Surah ini pada umumnya menyatakan akhlak yang mulia itu adalah hasil daripada kepercayaan kepada hari al-Din (hisab dan jaza`).  Sebaliknya pula segala akhlak yang buruk dan ditolak adat dan masyarakat adalah berpunca daripada pendustaan adanya hari pembalasan itu.

Sebahagian mufassirin mentafsirkan al-Ma`un dengan zakat.  Maksudnya, antara sifat orang yang menunaikan salat, tetapi dijanji kebinasaan terhadapnya ialah enggan membayar zakat kerana zakat adalah gandingan salat, sebagai contoh firman Allah:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ [894]

Terjemahan: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ibadat kepada-Nya serta berpegang teguh dengan tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat

Firman Allah lagi:

وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ[895]

Terjemahan: Dan dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu bersama-sama orang-orang yang rukuk.

            Tafsiran al-Ma`un dengan keenganan membayar zakat lebih baik dari tafsiran enggan memberi pinjam barang-barang seperti periok, pisau dan timba kerana enggan membayar zakat lebih besar dan lebih buruk akibatnya berbanding keengganan meminjamkan barang-barang yang remeh dan murah harganya.

Pengajaran & Saranan

1:         Ayat-ayat ini mencela orang-orang yang mendustakan balasan dan hisab di akhirat.  Ayat ini juga tidak khusus kepada kisah yang dikatakan sebab nuzul sahaja tetapi meliputi semua pendustaan terhadap agama.

2:         Antara pendustaan terhadap agama ialah mengenyahkan anak yatim, tidak memberi makanan kepada fakir miskin semata-mata kerabna bakhil.

3:         Tiga sifat yang dijanji dengan kebinasaan kepada mereka yang mengamalkannya iaitu cuai mengerjakan sembahyang, riyak dengan ibadat dan bakhil dengan pemberian walau pun barangan itu kecil dan rendah mutunya.

4:  Riya` ertinya mencari dunia melalui ibadat atau kebajikan yang ditayangkan kepada umum dan mencari tempat pada hati orang ramai dengan keistimewaan yang dilihat pada ibadatnya. 

5: Riya` mempunyai berbagai-bagai jenis seperti menampilkan diri dihadapan umum supaya dikatakan hebat dan keterampilan, memakai pakaian yang lusuh dan rendah mutunya supaya dikata orang sebagai zahid dan wara` dan menunujukkan gaya orang yang insaf ketika beribadat seperti menangis dan membaca dengan memanjang-manjangkan bacaan ayat kununnya dia berada pada maqam yang tinggi bersama Allah.

6:  Hakikat mempercayai agama bukannya kata-kata yang dituturkan lisan, tetapi ialah satu pewrubahan dalam hati yang mendorong seseorang membuat kebaikan dan berbakti kepada saudara sesama manusia yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

7:   Allah tidak memerlukan sesuatu apa pun dari manusia untuk kepentingan zat-Nya kerana Dia Maha Kaya, malah Dia mahukan mereka mendapat kebaikan dan kebajikan untuk diri mereka sendiri.  Dia mahukan hati mereka menjadi bersih dan hidup mereka mencapai kebahagiaan.





[880] Yusuf: 76.
[881] al-Kafirun: 6
[882] al-Anfal: 39.
[883] al-Syura: 13.
[884] Al-Fatihah: 3
[885] Fi Zilal al-Qur`an, 17/555
[886] Tafsir al-Munir, 30/422
[887] Al-Bukhari, Kitab al-Talaq, bab al-Li`an. 9/389.  Muslim, al-Raqa`iq, bab al-Ihsan ila al-Armalah wa al-Miskin, bil. 2983
[888] al-Zuhayli, Wahbah (Dr), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 5/426-427
[889] al-Ma`arij: 25
[890] Muslim, Kitab al-Salat, Istihbab al-tabkir bi al-`Asr, hadith (987) daripada Anas ibn Malik.
[891] Musnad Ahmad, hadith (22335) Buraydah al-Aslami. Isnadnya hasan, rijalnya thiqat kecuali al-Husain ibn Waqid yang disifatkan saduq yukhti`.
[892] Musnad Ahmad, hadith (14887) Jabir ibn Abdullah. Isnadnya hasan, rijalnya rijal al-Bukhari, kecuali Muhammad ibn Muslim al-Qurashi.
[893] Riwayat Abu Dawud, al-Zakat, Fi Huquq al-Mal, bilangan 1413 .
[894] al-Bayyinah:5
[895] al-Baqarah: 43 

No comments: