Sunday, October 10, 2010



Nama Surah

Nama surah (107) ini ialah al-Ma`un ertinya pertolongan.  Nama ini diambil daripada perkaataan akhir ayat pada akhir surah.   Menerusi surah ini Allah swt mengutuk orang yang bakhil dari memberi bantuan atau pertolongan kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang kurang upaya.

            Kutukan yang sama juga terhadap orang munafiqin yang berpura-pura menunaikan salat supaya dilihat orang dia seorang yang beriman dan orang yang tidak mengambil tahu hal-hal anak yatim, orang miskin dan orang kurang upaya.

Surah ini dimasyhurkan dengan beberapa nama. Selain al-Ma`un, ia juga dikenali dengan nama surah أرَأَيتَ .  Dengan nama ini al-Bukhari menjudulkan dalam kitab al-Tafsir.  Ibn `Atiyyah menyebutkan namanya surah الَّذِي   أَرَأيتَ  .  Al-Suyuti dalam al-Itqan menamakannya dengan surah  الدِّين,  al-Biqa`I menamakannya dengan surah  اليَتِيم  dan ada juga yang menamakannya dengan surah التَّكْذِيب [877].

Zaman Nuzul

Menurut jumhur ulama surah ini diturunkan di Makkah dan termasuk dalam kelumpuk surah-suah Makkiyyah.  Menurut Ibn Abbas dan Qatadah, ia diturunkan di Madinah.  Ibn Abbas dalam riwayat yang lain menyatakan 3 ayat pertama diturunkan di Makkah, 4 ayat selebihnya diturunkan di Madinah[878]. Syeikh Hibatu`llah ibn Nasr ibn Salamah mentarjihkan pendapat ketiga ini[879].

Tanda-tanda Madinah jelas dalam surah ini, antaranya ialah membicarakan sifat-sifat munafik yang menunaikan sembahyang tetapi dengan niat memperlihatkan orang.  Sifat-sifat ini tidak wujud pada zaman sebelum Hijrah. Alasan ini kuat dan jelas.

Munasabah Surah

 

Beberapa wajah munasabah didapati di antara dua surah al-Ma`un in  dan Quraisy, antaranya:

Pertama, di dalam ke dua-dua surah Quraysh dan al-Ma`un Allah swt mencela orang yang mengingkari ni`mat Allah. Di dalam surtah Quraisy Allah membidas kaum Quraisy yang tidak bersyukur kepada Allah, padahal Allah memberi kepada mereka nikmat makanan dan keamanan.

Di dalam surah al-Ma`un pula Allah swt membidas orang yang bakhil, mereka tidak membantu orang miskin, anak-anak yatim dan orang kurang upaya, sepatutnya mereka sedia membantu sebagai tanda syukur mereka kepada Allah.
Kedua, di dalam surah Quraisy Allah swt memerintah kaum Quraisy supaya beribadat kepada Allah serta mentauhidkannya.  Di dalam surah al-Maqun pula Allah swt mencela orang yang leka dari menunaikan salat dan melarang orang menunaikannya.

Ketiga, di dalam surah Quraisy Allah swt membilang nikmat-nikmat anugrahnya kepada kaum Quraisy, namun mereka tetap juga mengingkari adanya kebangkitan semula dan pembalasan pada hari Akhirat.  Di dalam surah al-Ma`un Allah swt mengecam mereka dengan janji buruk yang bakal menimpa orang yang ingkarkan pembalasan di Akhirat.

Tema dan Ikhtisar Surah


Tema surah ini ialah  “Neraca dan Pendusta”.

Al-Qur`an ialah neraca untuk menimbang, tanpa neraca seseorang tidak mengetahui ukuran sebenar dirinya, dia tidak mengetahui siapa dirinya dan bagaimana hubungannya dengan Allah dan masyarakat sekitarnya.

Tidakkah orang yang sombong itu menjadikan nafsunya sebagai ukuran?  Dia selalunya mengaku dirinya betul, orang lain semuanya salah, sedangkan ukuran itu salah dan tidak boleh diterima, ia hanya boleh membawa kehancuran. Manusia adalah makhluk ciptaan Allah, tiada ukuran untuk menimbang baik buruk kecuali dengan ukuran Allah pencipta manusia.

Tidak memadai bagi seseorang dengan hanya mendakwa dia seorang muslim dan beriman kepada hari akhirat,  sedangkan pengakuannya belum dibuktikan dengan amlan.

Surah al-Ma`un mengingatkan manusia dengan dalil-dalil kafir dan munafiq.  Orang kafir ialah orang yang mendustakan hari Akhirat dan agama.

            Dua saifat utama pendusta hari Akhirat, pertama mengabaikan anak yatim dan kedua, tidak menyumbang sesuatu untuk kebaikan miskin sama ada moral atau material.

            Orang munafiq pula ialah orang yang berpura-pura Islam, padahal hakikatnya kufur. Mereka diberi tiga sifat; leka dari menunaikan salat; menunjuk-nunjukkan amal kebajikan dan berat hati dari memberi sumbangan secara ikhlas.

           Inilah neraca yang tepat dan tidak silap untuk membuat ukun siapa benar dan siapa yang dusta terhadap agamanya. Orang yang mendustai “al-Din” itulah sebenarnya pendusta agama kerana mereka menindas anak yatim dan tidak bersimpati terhadap orang miskin, mereka mengabaikan sembahyang dan enggan memberi pertolongan kepada orang yang susah, sekalipun tidak membawa apa-apa kerugian keapada mereka.  Itulah sebenarnya pendusta “al-Din” (agama atau hari pembalasan).

Fadilat Surah

Tiada riwayat yang sahih menjelaskan kelebihan khusus bagi surah ini.






[877] Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/563
[878] al-Itqan fi `Ulum al-Qur`n, 1/32.
[879] Beliau ialah seorang Mufassir yang cacat penglihatan, beliau seorang guru dalam halaqat Tafsir di Jami` al-Mansur, Baghdad. Antara karangan utama beliau ialah al-Nasikh wa al-Mansukh fi al-Qur`an. Meninggal dunia di Baghdad pada tahun 410 H. al-Zerikli, Khair al-Din, al-A`lam, 8/72. 

No comments: