Tuesday, November 2, 2010


Surah al-Falaq (Memecahkan Cuaca Pagi)
Bilangan (113) Madaniyyah (5) Ayat

Mukadimah

Nama Surah


Nama surah ini ialah al-Falaq (Memecahkan) kerana mengambil nama ini daripada perkataan al-Falaq dalam ayat pertama surah.

Dua surah ini juga dikenal bersama surah al-Nas dengan  al-mu`wwizatain, tetapi ia hanya ada di dalam mushaf Uthmani yang diterima secara rasminya oleh dunia Islam hari ini, meliputi sunni dan syi`ah. Di dalam mushaf Ibn Mas`ud dua surah ini tidak dimasukkan. Kekeliruan timbul iaitu sama ada dua surah ini termasuk sebahagian al-Qur`an atau tidak.  Difahamkan daripada riwayat Ibn Mas`ud dua surah ini tidak termasuk sebagai dua surah yang merupakan sebahagian daripada al-Qur`an.

Menurut Imam Nawawi: Ulama dan umat Islam sepakat menyatakan al-Qur`an meliputui dua surah itu.  Sesiapa mempertikaikan dua surah itu, boleh membawa kepada kufur.  Riwayat daripada Ibn mas`ud itu tidak benar sama sekali. Bahkan menurut Ibn Hazm karut dan rekaan semata-mata.[953] 

Menurut Abu Bakr al-Baqillani:  Catatan daripada Ibn Mas`ud bahawa dua surah itu tidak termasuk sebahagian al-Qur`an adalah tidak sah dan jauh daripada kebenaran.[954]

Bagaimanapun Ibn Hajar menolak dengan keras penafian ini, beliau berpendapat riwayat daripada Ibn Abbas itu sahih, tetapi masih boleh ditakwil.  Selanjutnya beliau mengemukakan berbagai-bagai takwilan termasuk takwil Abu Bakr al-Baqillani yang berpendapat Ibn Mas`ud hanya menolak dua surah dari ditulis dalam mushaf tetapi tidak menolaknya sebagai Qur`an.
Ibn Hajar Selanjutnya berpendapat takwil itu baik, tetapi riwayat yang menyatakan penolakan Ibn Mas`ud itu jelas dan tidak dipertikaikan lagi kerana beliau berkata kedua-dua surah itu tidak termasuk dalam kitab Allah (al-Qur`an). Lalu beliau berpendapat bahawa dua surah itu termasuk sebahagian al-Quran secra mutawatir, tetapi belum lagi sabit secara  mutawatir di sisi Ibn Mas`ud.[955] Jawapan terhadap kekeliruan itu boleh disimpulkan seperti berikut:  
Pertama:  Ibn Mas`ud tidak menafikan dua surah ini daripada al-Qur`an, tetapi menolak kemasukannya dalam mushaf kerana beliau berpendapat, dalam Mushaf hanya boleh dimasukkan surah-surah yang diizin oleh Nabi saw jua.  Setakat yang beliau ketahui keizinan belum diperolehi.

Kedua: Ibn Mas`ud menolak dua surah ini sebelum ianya mutawatir kerana pada anggapannya riwayat yang menyatakan dua surah ini menjadi sebahagian al-Qur`an belum mutaweatir pada ketika itu.

Ketiga: Ibn Mas`ud menolak dua surah ini dari al-Qur`an sebelum dia mengetahui kedua-duanya termasuk dalam al-Qur`an.  Setelah diketahuinya, maka tidak berbangkit lagi pendapatnya yang terdahulu.

Ini berpandukan al-Qur`an yang diterima umum umat Islam hari ini adalah dari riwayat empat sahabat iaitu Uthman, Ali, Ubayy Ibn Kaab dan Abdullah Ibn Mas`ud.  Di dalamnya mengandungi al-mu`awwizatayn.

Keempat:         Ibn Mas`ud pada mulanya menyangka bahawa mu`awwizatayn ini hanya ruqyah pelindung yang dibaca Nabi saw kepada dua cucunya al-Hasan dan al-Husain.  Setelah beliau mengetahui kedudukan sebenarnya maka beliau pun menerima bahawa dua surah ini termasuk dalam al-Quran.

Zaman Nuzul

Mufassirin tidak sependapat pada menentukan kelompok surah ini sama ada Makkiyyah atau Madaniyyah. Ibn Abbas, Qatadah dan lain-lain berpendapat turunnya di Madinah.  Jumhur termasuk al-Hasan, Ikrimah dan Jabir berpendapat turunnya di Makkah. Keterangan-keterangan hadis yang menunjukkan turunnya di Madinah. Antaranya:

`Uqbah Ibn `Amir yang menyatakan kebelihan surah Mu`awwazatain yang juga diriwayat Muslim, Ahmad, Tirmidhi dan lain-lain.  Riwayat turun di Madinah kerana `Uqbah Ibn `Amir memeluk Islam selepas Hijrah.

Munasabah Surah

Ayat-ayat dalam surah al-Ikhlas terdahulu menyatakan akidah yang wajib dipercayai terhadap Allah ialah uluhiyyah dan kesucian-Nya daripada sebarang tandingan kesamaan dengan makhluk.

Ayat-ayat dalam surah al-Falaq dan  al-Nas berikutnya pula menyatakan  hakikat ini dari sudut amali dan kenyataan. Allah swt menyuruh agar Nabi saw memohon perlindungan kepada Allah supaya dilindunginya daripada gangguan jin dan manusia.

Tema dan Ikhtisar Surah


Tema surah ini “Isti`adhah dan Kejahatan”

Tatkala manusia diserang bisikan jin dan waswas syaitan, mereka memerlukan keazaman dan semangat yang kuat untuk melawan unsur yang memelemahkan azam dan semangat.   Manusia perlukan ketenangan, kekuatan dan keberanian mengambil tempatnya di dalam jiwa di amping  makhluk halus serta juga jin dan manusia itu keluar mencari tempatnya di lain-lain kawasan untuk menyebarkan waswas dan membisikkan kejahatan.

Fadilat Surah

Beberapa riwayat menyatakan kelebihan surah ini, antaranya:
Dua surah al-Falaq dan al-Nas dinamakan mu`awwizaiyn Banyak riwayat yang menyatakan fadilatnya.  Antaranya riwayat `Uqbah ibn `Amir ra katanya, Sabda Rasulullah saw:
 ‏
‏ ‏لَقَدْ أُنْزِلَ عَلَيَّ آيَاتٌ لَمْ أَرَ ‏ ‏أَوْ لَمْ يُرَ ‏‏ مِثْلَهُنَّ ‏ يَعْنِي الْمُعَوِّذَتَيْنِ ‏[956]

Terjemahan: Sesungguhnya diturunkan kepadaku beberapa ayat, aku tidak pernah melihat atau diperlihatkan ayat-ayat seumpama itu.  Maksudnya mu`awwizatayn.

Dalam riwayat lain, `Uqbah ibn `Amir berkata:

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏أَنْ أَقْرَأَ ‏ ‏بِالْمُعَوِّذَتَيْنِ ‏ ‏فِي ‏ ‏دُبُرِ ‏ ‏كُلِّ صَلَاةٍ.[957]
Terjemahan:  Rasulullah saw. menyuruh aku membaca mu`awwizatayn setiap kali aku selesai menunaikan sembahyang

           `A`isyah ra juga meriwayatka:

أَنَّ النَّبِيَّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏كَانَ ‏ ‏إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ ‏ ‏نَفَثَ ‏ ‏فِيهِمَا وَقَرَأَ فِيهِمَا ‏ ‏قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ‏ ‏وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ‏ ‏وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ‏ ‏ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ  [958]
Terjemahan:  Nabi saw apabila kembali ke tempat tidurnya pada setiap malam, baginda menghimpunkan dua tapak tangannya, lalu ditiup dan dibaca pada kedua-duanya surah-surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas, kemudian menyapu ke seluruh badannya setakat yang sampai, dengan memulakan kepala dan muka dan sebelah hadapan badannya.

Riwayat `A`isyah ra lagi:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏كَانَ ‏ ‏إِذَا اشْتَكَى نَفَثَ عَلَى نَفْسِهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ وَمَسَحَ عَنْهُ بِيَدِهِ فَلَمَّا اشْتَكَى وَجَعَهُ الَّذِي تُوُفِّيَ فِيهِ طَفِقْتُ أَنْفِثُ عَلَى نَفْسِهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ الَّتِي كَانَ يَنْفِثُ وَأَمْسَحُ بِيَدِ النَّبِيِّ ‏‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ ‏ وَسَلَّمَ ‏ ‏عَنْهُ.[959]

Terjemahan: Apabila baginda mengadu sakit, dia meniupkan pada dirinya dengan membaca mu`awwizat pada tapak tangann dan menyapu badan dengan tangannya.  Manakala pada sakit yang membawa wafat, aku meniup pada badan Nabi swa dengan membaca mu`awwizat yang baginda pernah tiup dan sapu dengan tangannya sendiri.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                      



[953] Jalal al-Din al-Suyuti, al-Itqan fi Ulum al-Quran, 1/79-80.
[954] Hsyiah Ta`wil Musykil al-Qur`an li Ibn Qutaybah , ms 43.
[955] Fath al-Bari, (Kitab al-Tafsir)  8/743.
[956] al-Darimi, Fada`il al-Qur`an, Fadl al-Mu`awwazatain, hadith (3306).al-Tirimidhi, Fada`il al-Qur`anMa jaa fi Fadl al-Mu`awwizatayn,  hjadith (2902).
[957] al-Tirmidhi, Fada`il al-Qur`an, Ma Jaa fi al-Mu`awwazataun, hadith (2903) daripada  `Uqbah ibn `Amir.
[958] Abu Dawud, al-Adab: Ma Yuqal `Ind al-Nawm, hadith (4397) al-Tirmidhi, al-Da`awat: Ma Jaa Fi Man Yaqra` `Ind al-Nawm, hadith (3324). daripada `A`isyah ra..
[959]al-Bukhari, Fad`il al-Qur`an, Fadl al-Mu`awwidhat, hadith (4656) daripada `A’isyah. Isnad hadith ini muttasil, rijalnya thiqat menurut syarat al-Bukhari.

No comments: