Tuesday, November 2, 2010


Surah al-Falaq (Memecahkan Cuaca Pagi)
Bilangan (113) Madaniyyah (5) Ayat

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang


Pentafsiran Ayat (1-5)

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ * مِن شَرِّ مَا خَلَقَ * وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ * وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ  * وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ *

[113: 1] Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang memecahkan cuaca pagi.

[113: 2] Dari kejahatan makhluk  yang Dia ciptakan.

[113: 3] Dan daripada  bahaya malam apabila ia masuk.

[113: 4] Dan dari kejahatan tukang-tukang sihir yang menghembus pada tali-tali yang disimpul.

[113: 5] Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia berdengki.
Beberapa patah perkataan adakalanya bagaikan senjata yang sangat berkesan untuk membunuh musuh. Manusia sangat perlukan senjata ini untuk mempertahan kedudukan mereka dari ancaman musuh yang terdiri dari pelbagai jenis, ada musuh yang berupa haiwan manusia dan bukan manusia, ada yang berupa syaitan manusia dan syaitan jin, ada yang kelihatan dan ada yang tidak kelihatan.  Senjata untuk melawan mereka juga harus dipelbagaikan.

Sesungguhnya musuh-musuh yang tidak kelihatan ini tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan sesuatu terhadap manusia. Tetapi manusia yang berjiwa lemah sering kali diusik hantu dan jembalang yang konuonya ada kuasa, pada hal dia tiada kuasa, malah dia sedang bersiap sedia untuk mengelak diri  kerana beberapa patah perkataan yang dibaca manusia.

Manusia dan Makhluk Jahat

(113: 1)  Allah swt menyuruh Nabi-Nya agar menolak sebarang sekutu bagi Allah kerana sekutu-sekutu yang pernah dipuja manusia pada hakikatnya tidak memberi sebarang manfaat dan mudarat.  Oleh itu, al-Quran dengan jelas dan tegas  menyuruh agar Nabi saw memohon perlindungan kepada Allah daripada segala kejahatan.

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ *

[113: 1] Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang memecahkan cuaca pagi.

Wahai Muhammad! Isytiharkan kepada orang kafir, jika mereka berlindung dengan kekuatan jin dan manusia, maka aku berlindung dengan Allah Yang Maha Kuasa yang memecahkan cuaca pagi.

Perkataan الْفَلَقْ  ertinya pecah dan pisah.  Sesuatu yang pecah dan berpisah daripada induknya dikatakan  فَلَقَ   seperti matair yang memecahkan bukit, hujan yang memecahkan awan, tumbuh-tumbuhan yang memecahkan perut bumi, bayi yang memecahkan rahim ibu, cuaca pagi yang memecahkan gelap malam.  Dengan erti  ini al-Quran mengungkapkan perktaan  فَالِقْ  sepert dalam firman-Nya:

إِنَّ اللّهَ فَالِقُ الْحَبِّ وَالنَّوَى يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَمُخْرِجُ الْمَيِّتِ مِنَ الْحَيِّ ذَلِكُمُ اللّهُ فَأَنَّى تُؤْفَكُونَ  فَالِقُ الإِصْبَاحِ وَجَعَلَ اللَّيْلَ سَكَنًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ حُسْبَانًا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ[960]

Terjemahan: Sesungguhnya Allahlah yang memecahkan butir tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan.  Dialah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup.  Itulah Allah Tuhan kamu.  Oleh itu bagaimana mungkin kamu dipesongkan (dari kebenaran?)  Dialah yang memecahkan Cahaya pagi dan menjadikan malam untuk beristirehat dan menciptakan matahari dan bulan dengan kiraan yang amat rapi.  Itulah perencanaan Allah Yang Maha Perkasa dan Maha Mengetahui.                                                

(113: 2)           Adakah semua makhluk ciptaan Allah ini semuanya baik atau semuanya buruk, atau ada yang baik dan ada yang buruk?.  Ada pendapat menyatakan ciptaan Allah ini tiada yang buruk kerana Allah mempunyai rahmat yang amat luas, mengapa Dia harus jadikan makhluk yang buruk sedangkan rahmat Allah mengatasi kemurkaan-Nya. Ada pula pendapat menyatakan ciptaan Allah itu buruk ketika Dia murka dan buruk ketika Dia dalam keadaan tenang.  Kedua-dua pendapat ini bertentangan fitrah dan naluri manusia.  Kalau begitu apa tafsiran yang sebenarnya bagi ayat berikut?

مِن شَرِّ مَا خَلَقَ *

[113: 2] Dari kejahatan makhluk  yang Dia ciptakan.

Perkara yang dipohon agar dilindungi daripada keburukannya ialah kejahatan makhluk yang Allah ciptakan iaitu kejahatan semua makhluk-Nya secara mutlak.

Kita mempercaya semua makhluk ini ciptaan Allah belaka.  Allah jua yang berkuasa menolak keburukan, kejahatan dan bencananya, sama ada yang datang daripada alam tabi`i yang tidak kelihatan atau yang kelihatan seperti haiwan dan manusia. 

Makhluk ciptaan Allah ini bukan semuanya buruk sebagaimana ia bukan semuanya baik, tetapi baik pada zatnya dan pada sistem wujud keseluruhannya ketika masing-masing berada pada tempatnya.  Andainya sesuatu yang wujud ini tidak wujud pada tempat yang disediakan untuknya, nescaya berlaku kecacatan dan pastinya alam ini akan berlaku kacau bilau dan huru hara yang amat besar.

Dari aspek pandangan manusia kepada makhluk-makhluk yang ada ini, bukan semua makhluk itu buruk baginya, bahkan kebanyakannya baik, ada faedah wujudnya kepada manusia, bahkan sesuatu yang dianggap membawa keburukan mutlak kepadanya, masih menyumbang sedikit sebanyak kebaikan kepada manusia.  Jadi makhluk Allah ini kebaikannya sangat banyak, keburukannya ada jika dibandingkan dengan manusia sahaja.  Itupun sedikit bilangannya.  

Kejahatan makhluk yang diminta agar dilindungi itu ialah kejahatan yang sedikit yang ada di samping kebaikan yang banyak.  Maksud perlindungan yang dipohon itu ialah daripada kejahatannya yang ada padanya supaya manusia beroleh kebaikannya sahaja tanpa keburukannya.  Dengan kata lain, jika ada pada makhluk itu penawar dan racun, maka biarlah penawar sahaja yang di perolehi sementara racunnya di jauhi.

Kejahatan yang dipohon supaya dilindungi itu pun pada hakikatnya bukanlah buruk secara mutlak kerana Allah saw  tidak menciptakan keburukan, tetapi keburukan itu adalah nisbi, maksudnya buruk dari satu pihak tetapi baik dari satu pihak yang lain. Penderitaan mengandung bagi seorang ibu adalah satu keburukan, tetapi penderitaan itu bakal melahirkan generasi penggantinya yang akan meneruskan kesinambungan hayat di dunia ini adalah satu kebaikan.

Justeru Nabi saw dalam salatnya berdoa kepada Allah agar dilindunginya dari berbagai-bagai perkara.  `A`isyah meriwayatkan Nabi saw berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْر،ِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّال،ِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ: مَا أَكْثَرَ مَا تَسْتَعِيذُ مِنْ الْمَغْرَمِ! فَقَال:"َ إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ " [961]

Terjemahan: “Ya Allah aku berlindung pada-Mu dari azab kubur dan aku bberlindung pada-Mu daru fitnah Dajjal dan aku berlindung pada-Mu dari fitnah hidup dan mati.  Ya Allah aku berlindung pada-Mu dari dosa dan hutang.  Seorang bartanya: (Mengapa engkau) banyak sekali mohon berlindung daripada hutang?  Sabdanya: Seorang manusia apabila berhutang dia bercakap lalu berdusta, dia berjanji lalu menyalahi janji”.

Umar al-Awdi meriwayatkan:  Sa`d selalu mengajar anak-anaknya membaca doa berikut, sebagaimana guru-guru mengajar mereka menulis, katanya Nabi saw selalu membaca setiap kali selesai salat:


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْن،ِ وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُر،ِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ [962]

Terjemahan: “ Ya Allah aku mohom berlindung pada-Mu dari pengecut, aku mohon berlindung pada-Mu dari usia yang sangat tua dan aku mohon berlindung padamu dari fitnah dunia dan aku mohon berlindung padamu dari azab kubur”.

Berkata Ka`b:  Aku beritahu hadith ini kepada Mus`ab, lalu beliau memperakukannya.

(113: 3)           Apabila tirai malam dilabuhkan, aktiflah pergerakan nyamuk dan syaitan yang mencari mangsa dalam gelap gelita, pencuri dan kaki pecah rumah juga giat menggeladah pada waktyu malam.  Justeru, ramai orang takut apabila bersedirian pada waktu malam.  Jalan keluarnya ialah memohon perlindungan pada Allah daripada kejahatan yang berlaku padanya

وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ *

[113: 3] Dan daripada  bahaya malam apabila ia masuk.

Perkataan غَسَــق  ertinya gelap. Makasud غَاسِق   ertinya malam yang gelap atau makhluk yang aktif pada waktu malam kerana mencari mangsa.

Dalam hadis menyatakan, pada waktu malam syaitan berkeliaran untuk mengenakan bahayanya kepada manusia.  Misalnya hadis riwayat Jabir Ibn  Abdullah ra katabnya, sabda Nabi saw:

" ‏إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ أَوْ أَمْسَيْتُمْ فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنْ اللَّيْلِ فَحُلُّوهُمْ فَأَغْلِقُوا الْأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا ‏ ‏وَأَوْكُوا ‏ ‏قِرَبَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ" [963]

Terjemahan:  Apabila tiba malam, tahankan anak-anak kecil kamu di dalam rumah kerana syaitan bertibaran pada waktu itu.  Apabila berlalu seketika waktu malam, maka bebaskan mereka,  tutupkan pintu, dan sebutkan nama Allah kerana syaitan tidak membuka pintu yang berkunci,  ikatkan mulut bekas air kamu, sebutkan nama Allah dan tutupkan peralatan-peralatan kamu dan sebutkan nama Allah, sekalipun dengan meletakkan sesuatu di atas peralatan itu serta padamkan lampu-lampu kamu.

(113: 4)           Sesetengah pemikir menolak adanya hakikat sihir dan kesannya. Tetapi kebanyakan ulama mengakui ada hakikat sihir dan kesannya.   Ayat berikut mendukung pendapat adanya hakikat sihir dan bukannya kepercayaan khurafat.

وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ  *

[113: 4] Dan dari kejahatan tukang-tukang sihir yang menghembus pada tali-tali yang disimpul.

Perkataan al-Naffathat  ertinya tukang-tukang sihir yang giat melakukan perbuatan keji melalui silap mata dan penghantaran maklumat yang salah kepada pencaendera dan perasaan m,angsa.  Mereka lakukan dengan menyimpul benang, kain dan dihembuskan mengikut tradisi pengamal-pengamal sihir. Sihir tidak boleh mengubahkan sesuatu hakikat, tetapi meninggalkan kesan pada jiwa dan perasaan pihak yang terkena sihir mengikut kehendak tukang-tukang sihir.

Ayat menunjukkan adanya hakikat sihir dan kesannya, tetapi tidak diketahui sepenuhnya unsur-unsur yang meninggalkan kesan itu.  Mungkin kedatangannya daripada pelbagai unsur  seperti ketentuan-ketentuan bahan tabi`i yang belum ditemui manusia setakat ini, atau dengan menggunakan bahan atau alat-alat tertentu sepereti raksa, minyak dagu orang yang mati dibunuh atau dengan menggunakan kekuatan roh jahat.  Apapun jalan dan bahan yang digunakannya, sihir tetap haram dan dilarang mmengamalkannya.

Bagi mereka yang menjadi mangsa sihir tidak harus menyerah diri sebagai mangsa amalan ini, malah hendaklah mencabarnya dengan memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatannya.

Nabi Disihir Yahudi

Terdapat riwayat menunjukkan Nabi saw menjadi mangsa sihir seorang Yahudi bernama Labid ibn al-A`sam. Menurut sebahagian Mufassirin, peristiwa itu merupakan sebab nuzulnya surah ini dan surah al-Nas[964].  Kisah Nabi disihir al-A`sam didapati beberapa riwayat, antaranya riwayat Aisyah ra, katanya:

سَحَرَ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏رَجُلٌ مِنْ ‏ ‏بَنِي زُرَيْقٍ ‏ ‏يُقَالُ لَهُ ‏ ‏لَبِيدُ بْنُ الْأَعْصَمِ ‏ ‏حَتَّى كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهُ كَانَ يَفْعَلُ الشَّيْءَ وَمَا فَعَلَهُ حَتَّى إِذَا كَانَ ذَاتَ يَوْمٍ أَوْ ذَاتَ لَيْلَةٍ وَهُوَ عِنْدِي لَكِنَّهُ دَعَا وَدَعَا ثُمَّ قَالَ يَا ‏ ‏عَائِشَةُ ‏ ‏أَشَعَرْتِ ‏ ‏أَنَّ اللَّهَ أَفْتَانِي فِيمَا اسْتَفْتَيْتُهُ فِيهِ أَتَانِي ‏ ‏رَجُلَانِ ‏ ‏فَقَعَدَ أَحَدُهُمَا عِنْدَ رَأْسِي وَالْآخَرُ عِنْدَ رِجْلَيَّ فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ مَا وَجَعُ الرَّجُلِ فَقَالَ ‏ ‏مَطْبُوبٌ ‏ ‏قَالَ مَنْ طَبَّهُ قَالَ ‏ ‏لَبِيدُ بْنُ الْأَعْصَمِ ‏ ‏قَالَ فِي أَيِّ شَيْءٍ قَالَ فِي مُشْطٍ ‏ ‏وَمُشَاطَةٍ ‏ ‏وَجُفِّ ‏ ‏طَلْعِ نَخْلَةٍ ذَكَرٍ قَالَ وَأَيْنَ هُوَ قَالَ فِي ‏ ‏بِئْرِ ذَرْوَانَ ‏ ‏فَأَتَاهَا رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فِي ‏ ‏نَاسٍ مِنْ أَصْحَابِهِ ‏ ‏فَجَاءَ فَقَالَ يَا ‏ ‏عَائِشَةُ ‏ ‏كَأَنَّ مَاءَهَا نُقَاعَةُ الْحِنَّاءِ أَوْ كَأَنَّ رُءُوسَ نَخْلِهَا رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا اسْتَخْرَجْتَهُ قَالَ قَدْ عَافَانِي اللَّهُ فَكَرِهْتُ أَنْ أُثَوِّرَ عَلَى النَّاسِ فِيهِ شَرًّا فَأَمَرَ بِهَا فَدُفِنَتْ[965]

Terjemahan: Rasulullah saw disihir oleh seorang lelaki dari Yahudi suku Bani Zuraiq bernama Labid Ibn al-A`sam. Baginda merasakan seakan-akan berbuat sesuatu, padahal tidak pernah diperbuatnya.  Pada suatu hari atau malam, baginda menyeru aku (Aisyah)  padahal baginda berada di sisiku: Wahai Aisyah!  Aku perasan bahawa Allah memberi fatwa kepadaku pada perkara yang aku minta fatwa daripada-Nya, maka datanglah kepadakku dua lelaki (Malaikat),  salah seorangnya duduk di kepalaku dan seorang lagi di kakiku, lalu salah seorang mereka bertanya kepada kawannya:  Apa penyakit orang ini?  Jawabnya:  Orang ini terkena sihir.  Tanya kawannya:  Siapa yang menyihirkannya.  Jawabnya: Labid Ibn al-A`sam.  Kawannya bertanya lagi:  Dengan apa disihirnya?  Jawabnya:  Dia disihir pada sisir rambut dan pada rambut yang jatuh dari sisir dan pada mayang tamar jantan yang kering.  Bertanya kawannya lagi: Di mana bahan itu?  Jawabnya:  Dalam telaga Zarwan.  Lalu Rasulullah saw datang ke telaga itu bersama-sama beberapa orang sahabatnya, kemudian balik memberitahu Aisyah ra,  airnya bagaikan air jeruk  inai (kuning merah kemerahan), atau pokok kurma di situ bagaikan kepala-kepala syaitan.  Aku (Aisyah) bertanya:  Mengapa engkau tidak buangkannya?  Sabda Nabiu saw:  Aku tidak buang kerana Allah mengafiyatkan aku daripada sihir itu dan aku tidak suka menghibuh-hibukannya kepada orang ramai pada perkara yang buruk itu, lalu Nabi saw menyuruh supaya bahan itu ditanam dalam bumi, lalu ditanam.    

Sebahagian ulama seperti, Muhammad Abduh, Rashid Rida, Sayyid Qutb dan lain-lain menolak hadis ini kerana menyentuh عِصْمَه(keterpeliharaan) Nabi daripada gangguan penyakit yang mencacatkan tugasnya sebagai penyampai perutusan Allah dan kerana hadith-hadith berkenaan berada pada tahap Ahad yang tidak layak menjadi hujah dalam perkara-perkara akidah[966].

 Syed Qutb Sayyid Qutb berpandangan, riwayat itu setetengahnya sahih tetapi tidak mutawatir, ia mengisahkan bahawa Labid ibn al-A`sam dari bangsa Yahudi telah menyihirkan Nabi saw di Madinah selama beberapa hari menurut satu sumber dan selama beberapa bulan menurut sumber yang lain, sehingga beliau terperasan telah mendatangi isterinya, sedangkan beliau tidak mendatangi mereka.  Sumber-sumber yang lain pula menyatakan beliau terperasan melakukan sesuatu, sedangkan beliau tidak melakukannya dan kedua-dua surah ini diturunkan sebagai jampi kepada Rasulullah saw.

Riwayat-riwayat itu kata Sayyid  bercanggah dengan d asar al-`Ismah al-Nabawiyyah, iaitu dasar setiap Nabitu ma`sum dalam segala tindakan dan kerja-kerja tablighnya.  Riwayat- riwayat itu tidak sejajar dengan akidah Islam yang memutuskan bahawa setiap perbuatan Rasulullah dan setiap sabdanya merupakan suatu sunnah dan syariat. Oleh itu, riwayat ini diketepikan kerana hadith-hadith Aahad tidak boleh dijadikan pegangan dalam perkara-perkara akidah[967].

            Jumhur Muhaddithin berpendapat Nabi memang disihir sebagaimana dinyatakan dalam hadis-hadis sahih yang diriwayat sejumlah besar Muhaddithin.

            Sehubungan ini Ibn Hajar berpendapat hadith riwayat `A`isyah itu diriwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, mereka menerima hadith ini dengan reda dan berpuashati dengan kajian isnad dan riwayat[968]. 

Ibn al-Qayyim memetik pandangan al-Qadi `Iyad, katanya:  Sihir memang merupakan satu penyakit seperti juga pemyakit penyakit biasa, ada penyakit yang berada pada tahap yang lebih tinggi dan mencacatkan Nubuwwah dan ada yang rendah dan tidak membawa kesan negatif.  Apa yang berlaku kepada Nabi saw masih pada tahap rendah dan tidak mencacatkan kenabiannya.

Riwayat yang menyatakan Nabi terperasan mendatangi Isterinya, padahal dia tidak mendatanginya juga tidak berbangikt kerana perkara ini berupa dunia dan tiada kena mengena dengan kenabian. Oleh itu tidak timbul soal `Ismah (keterpeliharaan) dari berlaku kecacatan pada nubuwwahnya[969].  


Sebagai kesimpulan, kasahihan hadis dari segi isnadnya jelas diperakui pakar-pakar dalam ilmu Isnad, matan hadith juga boleh difahami dengan erti yang lebih selesa dan tidak menjejaskan kedudukannya sebagai Nabi yang maksum dan terpelihara dari kelemahan dalam menjalani tugasnya sebagai Rasul. Kelemahan ingatannya pada mendatangi isterinya tiada kaitan dengan nubuwwah dan kerasulannya.

Kesan sihir yang mengena Nabi saw bukan atas sifatnya sebagai Nabi, tetapi atas sifatnya sebagai insan, sebagaimana manusia manusia biasa mengalami ke4adaan-keadaan seperti mengantuk, lapar, sakit, dan sebagainya memberi kesan kepada kemanusiaan seseorang, tetapi tidak memberi kesan kepada kenabian dan tidak menjejaskan pangkat dfan kedudukannya.

Terdapat juga dalam hadis riwayat Abu Sa`id al-Khudri ra bahawa Jibril datang menemui Nabi saw ketika baginda sedang sakit, lalu bertanya:  Adakah engkau sakit?  Nabi Menjawab:  Ya, aku sakit, lalu Jibril mendoakannya:

بِاسْمِ اللَّهِ ‏ ‏أَرْقِيكَ ‏ ‏مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ ‏ ‏حَاسِدٍ ‏ ‏اللَّهُ ‏ ‏يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ ‏ ‏أَرْقِيكَ[970]

Terjemahan: Dengan nama Allah aku jampimu daripada segala perkara yang mengganggu kesihatanmu dan daripada kejahatan setiap jiwa atau mata orang yang dengki, semoga Allah menyembuhkan penyakitmu.  Dengan nama Allah aku jampimu.

Berpandukan hadis ini para ulama berpendapat, harus berubat dengan menggunakan jampi dan doa, tetapi hendaklah dengan doa-doa yang ma`thur dan doa-doa yang bersih daripada unsur-unsur syirik dan khurafat.

(113: 4)           Bencana yang berlaku kadang-kadang telah diduga sebelumnya lagi, tetapi disebabkan lengah dan sikap tidak ambil kisah, berlakulah bencana yang ditakuti.  Bagaimanapun ada bencana yang tidak diduga dan berlaku tanapa disangka seperti hasad. Gejala ini sangat sukar untuk dihindari.  Jika ada orang yang hidupnya selalu dalam hasad yang sukar dikawal, hendaklah dia memohon kepada Allah daripada pendengki terutama ketika hasadnya sedang memuncak.


وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ *

[113: 5] Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia berdengki.

Hasad biasanya menjadi pendorong kepada segala tindakan keji dan mungkar, hasad membangkitkan api fitnah dan permusuhan, menimbulkan huru hara dan pecah belah.  Orang yang menanggung perasaan hasad ini selalunya tidak senang dengan nikmat yang ada pada orang lain, fikirannya tidak tenang, lalu mencari apa sahaja jalan yang boleh melenyapkan musuh yang dia dengki kepadanya.

Sesetengah mufassirin membahagiakan hasad kepada tiga bahagian:

Pertama:           Berhasrat supaya nikmat yang ada pada orang lain dihapuskan, kecuali nikmat yang ada pada orang kafir yang diguna untuk memusuhi Islam.  Hasad ini paling buruk antara jenis-jenis hasad.

Kedua:            Berhasrat supaya orang lain tidak beroleh nikmat.  Hasad ini juga keji semata-mata kerana tidak suka orang lain beroleh kejayaan, sekalipun tidak membawa sebarang risiko terhadapnya.

Ketiga:  Bercita-cita supaya dirinya beroleh nikmat seperti orang lain, tanpa mengurangkan nikmat yang ada padanya.  Hasad yang ketiga ini harus dan tidak berdosa.

Hasad dari bahagian ketiga ini disebut juga ghibtah atau iri hatiAntara makna gibtah ialah seperti yang disebut dalam hadith:

لَا ‏ ‏حَسَدَ ‏ ‏إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا[971] 

Terjemahan: Tidak diharuskan hasad kecuali pada dua perkara:  Lelaki yang dikurnia Allah a baginyahart lalu dipergunakannya pada jalan kebenaran dan lelaki yang diberi Allah ilmu hikmah kepadanya, lalu dia menghukum dan mengajar dengannya.
 
Memohon perlindungan kepada Allah dari orang yang dengki apabila dia berdengi selepas memohon perlindungan daripada kejahatan tukang-tukang sihir yang membuat tiupan pada simpulan, membayangkan bahawa hasad adalah yang terburuk antara kejahatan-kejahatan yang disenaraikan dalam surah ini, malah hasad inilah juga dosa yang pertama dilakukan oleh Iblis terhadap Adam apabila dia enggan menurut perintah Allah supaya sujud kepada Adam as

Surah ini mengandungi beberapa pengajaran dan kaedah-kaedah yang amat berfaedah bagi seseorang manusia untuk menjaga diri dan agamanya.  Ini kerana jiwa manusia yang menyimpan dengki mempunyai kesan yang sangat negatif terhadap mangsanya.

Menurut ulama, hasad mendatangkan mudarat kepada badan pendengki sendiri apabila hasad itu diikuti dengan perkataan dan perbuatan, lalu dia sentiasa memerhatikan gerak gerinya, mencari-cari kelemahannya. Hasad yang sampai ke tahap ini dibimbangi mendatangkan kesan yang lebih buruk dan boleh membawa maut jika diizin  Allah.   

Pengajaran dan Saranan

1:         Surah ini mengajar kita cara memohon kepada Allah agar dilindungi daripada bencana yang diakibatkan daripada kejahatan manusia, jin, haiwan dan binatang-binatang liar.

2:         Allah menyaran agar kita memohon perlindungan daripada tiga perkara iaitu:  Gelap malam,  tukang-tukang sihir yang menghembus pada tali-tali simpulan dan daripada pendengki yang tidak boleh menerima jika nikmat berada pada orang lain.

3.         Tiada halangan bagi Nabi saw membaca surah ini untuk melindungi dirinya daripada bahaya-bahaya sihir kerana dipercayai sihir yang berlaku kepada Nabi saw itu ringan dan tidak menjejaskan perjalanan tabligh.

4:         Harus berubat dengan jampi-jampi yang disahkan oleh Rasulullah saw iaitu dengan doa, ucapan dan kata-kata yang boleh difahami makna dan tidak mengandungi kata-kata yang membawa syirik.

5:  Hasad dan buruk hati terhadap seseorang boleh membawa at buruk yang lebih serius jika tidak dirawat dengan cara yang betul, iaitu dengan menyucikan hati pendengki dan memohon doa kepada Allah agar diselamatkan dari saranan pendengki.


[960] al-An`am: 95-96.
[961] Musnad Ahmad, hadith (24019) daripada Aisyah ra.  Hadith ini isnadnya muttasil mengikut syarat-syarat al-Bukhari dan Muslim.
[962] al-Bukhari, Kitab al-Jihad wa al-Siayr; Babma Yuta`awwaz min al-Jubn, hadith (2610) daripada Sa`d Ibn Abu Waqqas.
[963] al-Bukhari,  al-Asyribah,  Taghtiyat al-Ina`, hadith (5192) daripada Jabir.
[964] Ibn Kathir meriwayatkan hadith berkenaan tanpa Isnad daripada al-Tha`labi, dalam riwayat itu katanya terlalu gharabah dan nakarah yang sangat ketara, Tafsir Ibn Kathir, 4/575.
[965] Bukhari, al-Tib:  al-Sihr, hadith (5321). Muslim, al-Salam: al-Sihr, hadith (2189) daripada `A`isyah ra..
[966] Tafsir al-Qur`an al-Karim (juz Amma), ms 182
[967] Fi Zilal al-Qur`an, 17/599
[968] Fath al-Bari, 10/226-227.
[969] Zad al-Ma`ad, 4/124.
[970] Muslim, al-Salam: al-Tib wa al-Marad wa al-Ruqa, hadith  (4056) daripada Abu Sa`id al-Khudri.
[971] Al-Bukhari, al-Zakah: Infaq al-Mal fi Haqqih, hadith (1326) daripada Abdullah ibn Mas`ud. Isnadnya thiqat, sanadnya muttasil, menurut syarat al-Buklhari.

No comments: