Monday, October 18, 2010

سورة الكافرون
Surah al Kafirun (109)
(Orang Kafir)

MUKADIMAH

Nama Surah


Nama surah ke 109 ini ialah al-Kafirun ertinya “orang kafir”. Ini kerana Allah menyuruh Nabi Muhammad saw memberitahu orang kafir Nabi tidak akan menyembah berhala yang disembah orang-orang kafir, lalu nama “al-Kafirun” diambil menjadi nama surah ini. Ibn `Atiyyah dan al-Zamakhsyari menyebut surah al-Kafirin sebagai nama surah ini dalam tafsir masing-masing  mengikut mahal i`rab, tetai  kebanyakan mufassiri menulis surah al-Kafirun pada semua keadaan mengikut hikyah al-Lafz.

            Imam al-Bukhari menjudulakan surah ini dengan  nama surah قُلْ يَا أَيُّهَا الْكافِرُونْ .  Al-Suyuti dan al-Zamakhsyari menamakan surah ini dan surah al-Ikhlas dengan nama al-Muqasyqasytayn, ertinya dua surah yang menghapuskan syirik.  Sesetengah ulama menamakannya dengan surah al-Ikhlas sebagai berkongsi nama dengan surah  قُلْ هُوَ اللهُ أحَد dan ada juga yang mencatatkan namanya juga surah al-Din dan surah al-`Ibadah di samping al-Kafirun[907]

Zaman Nuzul

Abdullah Ibn Mas`ud, Hasan al-Basri dan Ikrimah berpendapat surah ini diturunkan di Makkah.  Abdullah Ibn al-Zubair, Qatadah, al-Dahhak berpendapat turunnya di Madinah[908].  Jumhur mufassirin berpendapat surah ini termasuk dalam kelumpuk surah-surah Makkiyyah. Ibn `Atiyyah mencatatkan ulama secara ijma` menyatakan turunnya di Makkah[909].  Tanda-tanda Makkiyyah surah jelas pada uslub dan pendekatannya.

Munasabah Surah

Ayat-ayat dalam surah al-Kawthar terdahulu menyuruh Nabi saw beribadat dengan lkhlas hati kepada Allah.  Ayat-ayat dalam surah al-Kafirun ini pula menekankan pemisahan di antara tauhid dan syirik.  Menerusi surah ini Nabi saw diperintah menyampaikan kepada kaum Musyrikin Nabi tidak akan menyembah apa yang disembah kaum musyrikin dan kaum musyrikin juga tidak akan menyembah Allah yang Maha Esa.  Pada akhir surah ini menekankan masing-masing mempunyai agama dan tiada hubungan persefahaman sama sekali antara satu dengan lain. Sempadan di antara syirik dan tauhid serta adalah jelas.

 

Tema dan Ikhtisar Surah

 

Tema surah ini ialah “Iklan Berpatah Arang”

Penyatuan agama dan akidah adalah mustahil, tetapi mengakui kenyataan adanya agama-agama dan fahaman yang berbeza adalah satu kenyataan yang diterima dengan berhikmah.

Umat Islam tidak diperintah menghapus atau memerangi agama-agama lain di dunia ini.  Jika ada peperangan berlaku dalam Islam, ia bukan kerana memaksa penganut agama-agama lain memeluk Islam, tetapi menentang kezaliman yang dilakukan terhadap Islam.

Surah ini antara surah-surah yang jelas menetapkan sempadan antara agama-agama.  Unsur-unsur yang membencikan agama-agama lain adalah bertolak daripada fahaman yang sempit terhadap tabiat Islam yang mengutamakan konsep tiada paksaan dalam agama.

Surah ini diturunkan sebagai reaksi terhadap kaum Musyrikin yang menawarkan hubungan persefahaman beribadat antara mereka dan umat Islam dengan  membahagi  masa, iaitu setahun menyembah berhala mengikut agama mereka dan setahun lagi  beribadat mengikut cara Islam.  

Fadilat Surah

Beberapa hadis di dapati meriwayatkan kelebihan surah al-Kafirun, antaranya sabda Nabi saw:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ تَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ ، وَ قُلْ يَأَيُّهَا الْكَافِرُونَ تَعْدِلُ رُبُعَ الْقُرْآنِ " ، وَكَانَ يَقْرَأُ بِهِمَا فِي رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ[910]


Terjemahan: “ Surah قُلْ هُوَ اللهُ أحَدْ menyamai satu pertiga al-Qur`an dan قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُون menyamai satu perempat al-Qur`an.  Nabi membaca kedua-duanya dalam dua rakaat salat sunat fajar”.

Sabda Nabi lagi:

أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " كَانَ إِذَا أَخَذَ مَضْجَعَهُ قَرَأَ : قُلْ يَأَيُّهَا الْكَافِرُونَ حَتَّى يَخْتِمَهَا"[911]


Terjemahan: “Nabi saw apabila mengambil tempat tidurnya membaca surah قُلْ يًا أَيُّها الْكَافِرُونَ hingga akhir”.

            Sabda Nabi lagi:

"مَا أُحْصِي مَا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاةِ الْفَجْرِ ، وَفِي الرَّكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ بِ قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ"[912]

     Terjemahan: “Aku tidak dapat menghitungkan bilangan yang aku dengar Rasulullah saw membaca قُل يا أيها الكَافِرُون dan قُلْ هُوَ اللهُ أحَد dalam dua rakaat salat sebelum subuh dan di dalam dua rakaat salat selepas salat fardu Maghrib”.


[907] Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/580
[908] Tafsir al-Qurtubi, 20/224.
[909] Tafsir al-Muharrir al-Wajiz, ms 2008.
[910] Al-Tabarani, Mu`jam al-Awsat, hadith (193) daripada Ibn `Umar. Da`if  kerana al-Layth ibn Abu Sulaym dikatigorikan da`if al-hadith.
[911] Ibn Qani`, Mu`jam al-Sahabah, hadith (1054), daripada Abbad ibn al-Ahmar/al-Akhdar. Da`if kerana Jabir ibn Yazid al-Ju`fi dikatigorikan Matruk al-hadith. Berkata al-Albani: Hasan, Sahih al-Jami`.
[912] Musnad Abu Ya`la al-Mawsili, hadith (4980) daripada Abdullah ibn Mas`ud.  Isnadnya da`if, kerana  Abd al-Malik ibn al-Walid al-Dab`i. Beliau dikatigorikan da`if al-hadith.  Berkata al-Albani: Hasan, Sahih al-Jami`.

No comments: