Monday, October 18, 2010

سُورَة الكوثر

Surah al-Kawthar   (108)
(Nikmat Yang Melimpah)

MUKADIMAH

Nama Surah


Nama surah yang ke 108 ini ialah al-Kawthar, ertinya nikmat yang melimpah.  Nama ini diambil daripada perkataan al-Kawthar dalam ayat pertama. Selain al-Kawthar, namanya juga surah  إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ sebagaimana yang dipeturunkan oleh al-Tirmidhi dan al-Bukhari dalam tarjamah al-bab dalam kitab Jami` masing-masing.

Al-Sa`di, pengulas tepai Tafsir al-Baydawi, yang memetik keterangan  daripada Tafsir al-Biqa`i menurunkan satu lagi namanya iaitu surah al-Nahr (sembelihan korban), namun al-Suyuti tetap menyebutkan satu nama sahaja, iaitu al-Kawthar[896]. 

Zaman Nuzul

Ulama tidak sepakat pada menentukan zaman dan tempat nuzul surah ini sama ada di Makkah atau di Madinah. Perbezaan pandangan mengenainya dianggap kuat dan hebat kerana masing-masing mempunyai hujah dan dalil.  Jumhur Mufassirin berpendapat nuzulnya di Makkah. Pandangan kedua menyatakan turunnya di Madinah. Al-Suyuti mentarjihkan pendapat kedua ini[897].

Jumhur berhujah dengan beberapa sebab Nuzul yang menyatakan Nabi saw ditempelak oleh al-`Asi ibn Wa`il dangan menyebut Nabi saw sebagai abtar (terputus keturunan) kerana tiada anak lelaki.   Menurut adat Jahiliah, seseorang yang tidak mempunyai anak lelaki, keturunannya terputus, lalu ditolak oleh surah ini dengan firman:
إِنَّ ‏ ‏شَانِئَكَ ‏ ‏هُوَ ‏ ‏الْأَبْتَرُ 
Terjemahan: “Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus”

Pendapat kedua berhujah dengan hadis riwayat Muslim daripada Anas ibn Malik ra katanya:

بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏ذَاتَ يَوْمٍ بَيْنَ أَظْهُرِنَا إِذْ أَغْفَى إِغْفَاءَةً ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ مُتَبَسِّمًا فَقُلْنَا مَا أَضْحَكَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏ ‏أُنْزِلَتْ عَلَيَّ ‏ ‏آنِفًا ‏ ‏سُورَةٌ فَقَرَأَ  (سورة الكوثر) [898]

Terjemahan: Ketika Nabi saw bersama-sama kami, tiba-tiba baginda terlelap seketika, kemudian mengangkat kepalanya sambil tersenyum.  Kami bertanya:  Mengapa engkau tersenyum?  Sabdanya:  Sebentar tadi diturunkan kepadaku satu surah, lalu baginda membacanya (surah al-Kawthar).

Hujah mereka ialah: Pertama, Anas ibn Malik periwayat hadis ini dilahirkan di Madinah. Kedua, Ayat kedua surah ini membicarakan penyembelihan korban. Penyembelihan ini juga disyariatkan di Madinah.   Pendapat ini ditarjihkan oleh Ibn Kathir[899].

Munasabah Surah

Ayat-ayat dalam surah al-Ma`un terdahulu menyifatkan orang kafir dan munafiqin dengan empat sifat yang negatif iaitu bakhil, mengabaikan  sebahyang, bermuka-muka dan menghalang orang berbuat kebajikan.  Ayat-ayat dalam surah ini pula menyatakan empat sifat yang positif sebagai lawan kepada empat sifat terdahulu iaitu Allah memberi kepada Nabi Muhammad saw nikmat yang melimpah-limpah sebagai lawan kepada bakhil.  Sifat-sifat itu ialah bersembahyang, ikhlas,  mernyembelih korban dan mengagikan dagingnya kepada fakir miskin, Sifat-sifat ini adalah lawan kepada sifat negatif orang kafir dan Munaafiqin.

Tema dan Ikhtisar Surah


Tema surah ini ialah “Allah Memberi Kita Bersyukur”.

Nabi Muhammad saw adalah seorang hamba Allah yang paling berbahagia dengan anugrah Allah yang melimpah kepadanya.  Tidak hairan jika anugrah yang diberi kepadanya besar kerana baginda panghulu anak Adam dan penghulu bagi makhluk Allah yang terdahulu dan yang terkemudin.

Allah kurniakan kepada baginda pemberian yang banyak. Oleh itu, baginda diperintah supaya  sembahyang kerana mengingati Allah dan menyembelih korban selepas menunaikan sembahyang dan membahagi-bahagikan dagingnya kepada pakir miskin.

Pada akhir surah ini Allah swt menyebutkan ayat yang membawa makna: “Sesungguhnya orang yang bencikan Nabi dialah yang terputus”. Maksudnya, terputus dari sebutan dan tidak dikenang lagi selepas kematiannya. Inilah terputus yang sebenarnya, bukan terputus keturunan

Menurut adat kaum Jahiliyyah, seseorang yang tidak mempunyai anak lelaki dianggap satu kekurangan berlaku kepada sesebuah keluarga kerana namanya tidak akan dikenang lagi.  Orang yang mereka maksudkan ialah Nabi saw kerana anak lelakinya meninggal dunia sebelum usia balihg. Baginda mempunyai keturunan hanya daripada anak-anak perempuan. 

Surah ini diturunkan bagi menolak adat jahiliyyah dengan alasan baginda dimulia Allah dengan anugerahnya yang sangat besar iaitu al-Kawthar.

            Bagi kumpulan yang berpandangan surah ini diturunkan di Makkah, mereka dapati nama-nama orang yang mencaci Nabi  termasuk al-`As ibn Wa`il, Abu Lahab dan lain-lain sperti yang akan disebutkan dalam sebab nuzul ayat selepas ini, sementara kumpulan yang berpandangan surah ini diturunkan di Madinah, ayat itu dikira umum, tanpa menentukan nama, zaman dan tempat, sama ada sebelum atau selepas hijrah.

Fadilat Surah

Tiada riwayat yang sahih menyatakan kelebihan surah ini.




[896] Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/571
[897] al-Itqan fi `Ulum al-Qur`an, 1/42.
[898] Muslim, al-Salat: Hujjat man qal inn al-Basmalah .., Hadith (400) daripada Anas ibn Malik. Isnadnya Muttasil, rijalnya Thiqat mengiukut syarat Muslim.
[899] Tafsir Ibn Kathir, 4/556.

No comments: