Monday, October 18, 2010


Tafsir Surah al-Kawthar  (108)

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Tafsiran Ayat (1-3)

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ  فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ  إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ 


Terjemahan

[108:1] Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu nikmat yang banyak.

[108:2] Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban.

[108:3] Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus.

Di dalam mukadimah surah 108 ini, dinyatakan dua pandangan yang bertentangan tentang zaman dan tempat nuzul surah, sama ada di Makkah atau di Madinah, masing-masing mempunyai hujah dan alasan kuat.  Tafsir ini berpandangan nuzulnya di Makkah lebih kuat lagi kerana ayat-ayatnya pendek, iramanya menyentuh jiwa, sebutan perkataannya lembut, tetapi bidasannya tajam sesuai dengan propaganda kaum musyrikin yang melemparkan berbagai-bagai tuduhan terhadap Nabi saw.  Uslub surah sama dengan usulub surah-surah Makkiyah yang lain dan isu propagandanya jelas dikekang adat Jahiliah. Atas dasar nuzulnya di Makkah tafsir ini mengambil pendekatan untuk mentafsirkan tiga ayat seterusnya.

Anugerah dan Kesyukuran

Surah yang mengandungi tiga ayat yang pendek ini membicarakan nikmat anugerah Allah kepada Nabi Muhammad saw.  Antara nikmat yang agung  ialah al-Kawthar, iaitu sebuah kolam yang sangat istimewa di syurga. Persoalan yang dibangkitkan di sini ialah adakah Nabi yang dianugerahkan al-Kawthar itu  boleh disifatkan sebagai abtar terputus keturunan dan tidak dikenang lagi selepas kwafatannya atau mereka yang bencikan Nabi Muhammad itu sebenarnya yang terputus dan tidak dikenang orang.  

Nabi saw bersyukur kepada Allah atas nikmat yang melimpah-limpah ke atasnya, lalu baginda bersolat dan berkorban dan suluruh umatnya juga di kehendaki bersyukur dan sedia berkorban atas penganugerahan nikmat yang besar itu kepada Nabi Kita Muhammad saw.

(108: 1)           Anugerah nikmat al-Kawthar adalah bukti bahawa Nabi saw sebenarnya  penyelamat umat dan pembawa barakah yang tetap dikenang selama-lamanya.

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ

[108: 1] Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu nikmat yang banyak.

Perkataan  كَوثَرْ dari segi bahasa ertinya sangat banyak. Ia diambil daripada perkataan  الْكَثِير ertinya banyak.   Orang Arab sering menggunakan perkataan dalam bentuk ini bagi menunjukkan bilangannya banyak seperti  نَوفَلْ  yang diambil daripda perkataan نَفْل ertinya banyak tambahan.  Perkataan جَوهَر  diambil daripada perkataan   جَهْر ertinya sangat nyaring.

Banyaknya nikmat yang dimaksudkan dengan perkataan al-Kawthar membawa erti banyaknya  nilai yang memenuhi semua tempat dan kawasan, bahkan pada liku-liku hidup baginda dan umatnya dilimpahi nikmat itu.  Baginda serbagai seorang Rasul dianugerahkan zuriayt yang salih dan berpanjangan, kemudian dianugerahkan pula  umat yang besar,  ramai dan membanggakan hingga menjadi  sebutan yang baik di sisi Allah dalam majlis yang dihadiri para malaikat dan seterusnya dianugerahkan syafaat dan kolam air di mana padanya baginda mengalu-alukan kedatangan umatnya sebagai tetamu Allah sebelum mereka dibawa ke syurga.

Sayyid Qutb telah memilih erti yang terbaik dariopada beberapa erti al-Kawthar  apabila menyebutkan ertinya ialah sebuah sungai di dalam syurga yang dikurniakan kepada Rasulullah saw, erti ini juga didukung oleh Abdullah ibn Abbas dalam riwayatnya yang menyatakan al-Kawthar ialah nikmat yang melimpah-limpah, termasuklah sebuah sungai di dalam syurga. Tafsiran ini sangat munasabah dengan keterangan al-Qur`an[900]. Justeru perbezaan Mufassirin tentang al-Kawthar hanya pada sebutan bukan pada mafhum al-Kawthar yang sebenarnya.  Berikut ini disebutkan sebahagian daripada erti al-Kawthar yang begitu banyak:

Al-Kawthar menurut pendapat `Aishah, Ibn Umar, Ibn `Abbas dan Ja`far al-Sadiq ialah sebatang sungai di syurga. Menurut `Ata` dan Anas ibn Malik al-Kawthar ialah sebuah kolam yang dianugrah Allah kepada Nabi Muhammad saw dan juga tempat Nabi saw menyambut kedatangan umatnya sebelum di bawa ke surga. Ibn Abbas, Sa`id ibn Jubayr dan Mujahid berpendapat al-Kawthar ialah kebajikan yang melimpah ruah.  `Ikrimah berpandangan al-Kawthar ialah  nubuwwah.  Al-Hasan al-Basri berpendapat al-Kawthar ialah al-Qur`an. Abu Bakr ibn `Ayyash berpendapat al-Kawthar ialah ramainya sahabat dan pengikut.  Sebahagian besar ulama dan Mufassirin pula berpendapat  al-Kawthar ialah ramainya zuriat dan keturunan[901].  Sebahagian Ulama meneruskan bilangan erti al-Kawthar hingga 26 erti. Bagaiamanapun pendapat yang arjah al-Kawthar ialah sebatang sungai di syurga seperti yang diriwayat Ibn Abbas.

Dalam hadis meriwayatkan daripada Anas ibn Malik, katanya: Sabda Nabi saw.  Tatkala aku diangkat ke langit, lalu aku dibawa ke sebatang sungai,  di tepai sebelah kiri dan kanan sungai itu ada beberapa kubah yang  kosong, lalu aku bertanya Malaikat Jibril:  Apakah itu wahai Jibril?  Jawabnya: Itulah kolam al-Kauthar jawab Jibril.[902]

(108: 2) Nikmat-nikmat tidak dirasai sepenuhnya tanpa mengenali siapa penerima dan siapa pemberi nikmat.  Seseorang yang tidak mengenali Allah bukan sahaja tidak mampu bersyukur, tetapi berusaha memusnahkan nikmat yang diterimanya, lalu rosaklah keamanan yang salama ini melimpah ruah, musnahlah kesihatan yang dipelihara dan hancurlah perpaduan yang selama ini terjalin erat.

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ  

[108: 2] Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban.

Al-Qur`an dan kerasulan Nabi Muhammad saw adalah dua nikmat yang besar kerana menerusi nikmat ini manusia terpimpin ke jalan yang lurus, jalan hidup yang sejahtera di dunia dan akhirat.  Tetapi mungkinkah orang yang tidak mengenali Allah akan mengikuti bimbingan Nabi Muhammad dan pedoman al-Qur`an?   

Jalan yang dipimpin al-Qur`an ialah jalan salat dan zakat.  Jalan ini meluruskan hubungan antara manusia dengan Tuhannya, zakat pula melicinkan hubungan mereka dengan manusia.  Justeru Allah berfirman supaya menunaikan salat dan berkorban.

Semakin bertamabah sembahyang dan pengorbanan yang dilakukan oleh seorang hamba Allah, semakin erat  pula hubungannya dengan Allah dan semakin bertambah pula nikmat yang diperolehi hingga diungkapkan nikmat itu dengan al-Kawthar.

Kebanyakan mufassirin menyatakan maksud sembahyang di sini ialah sembahyang hari raya haji, manakala korban pula maksudnya ialah sembelihan korban. Ada pendapat menyatakan sebahyang itu ialah sembahyang Subuh di Muzdalifah dan ada juga pendapat mengatakan semua sembahyang fardu. Ibn Kathir mentarjihkan sembahyang hari raya dan sembelihan korban[903].  Ini kerana sabda Nabi saw riwayat al-Bara Ibn `Azib ra katanya:

خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ ‏‏ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَوْمَ النَّحْرِ ‏ ‏بَعْدَ الصَّلَاةِ فَقَالَ ‏ ‏مَنْ صَلَّى صَلَاتَنَا ‏‏ وَنَسَكَ ‏‏ نُسُكَنَا ‏ ‏فَقَدْ أَصَابَ ‏‏ النُّسُكَ ‏ ‏وَمَنْ ‏‏ نَسَكَ ‏قَبْلَ الصَّلَاةِ فَتِلْكَ شَاةُ لَحْمٍ فَقَامَ ‏ ‏أَبُو بُرْدَةَ بْنُ نِيَارٍ ‏ ‏فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَاللَّهِ لَقَدْ ‏ ‏نَسَكْتُ ‏ ‏قَبْلَ أَنْ أَخْرُجَ إِلَى الصَّلَاةِ وَعَرَفْتُ أَنَّ الْيَوْمَ يَوْمُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ فَتَعَجَّلْتُ فَأَكَلْتُ وَأَطْعَمْتُ أَهْلِي وَجِيرَانِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏‏ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏تِلْكَ شَاةُ لَحْمٍ فَقَالَ إِنَّ عِنْدِي ‏ ‏عَنَاقًا ‏ ‏جَذَعَةً ‏ ‏وَهِيَ خَيْرٌ مِنْ شَاتَيْ لَحْمٍ فَهَلْ تُجْزِئُ عَنِّي قَالَ نَعَمْ وَلَنْ تُجْزِئَ عَنْ أَحَدٍ بَعْدَكَ[904]

       Terjemahan: Rasulullah saw. menyampaikan khutbah kepada kami pada hari raya korban selepas menunaikan sebahyang hari raya, lalu bersabda:  Sesiapa menunaikan sembahyang seperti sembahyang kita dan menyembelih korban seperti korban kita, maka betul korbannya.  Sesiapa menyembelih korban sebelum sembahyang maka sembelihan itu hanya  untuk di makan dagingnya.  Lalu bangun Abu Burdah Ibn Niyar dan berkata:  wahai Rasulullah!  Demi Allah Sesungguhnya aku menyembelih korban sebelum keluar untuk menunaikan sembahyang, aku tahu bahawa hari ini ialah hari menjamu selera dengan makan daging.  Sabda Nabi:  Kambing kamu itu ialah kambing untuk makan dagingnya sahaja.  Abu Burdah bertanya lagi:  Sesungguhnya aku mempunyai seekor lagi anak kambing yang aku sayanginya, bolehkah aku korbankannya?  Sabdanya:  Boleh untuk kamu sahaja tetapi tidak boleh untuk orang selainmu

            Tafsir Pedoman berpandangan, apa pun yang di maksudkan dengan salat dan korban di sini membawa erti pernyataan syukur atas nikmat al-Kawthar yang disebutkan di dalam ayat pertama dahulu.  Demikian juga dengan korban, sama ada bermaksud korban yang dilakukan pada hari jemaah haji berlumpul di Mina atau lain-lain, fungsinya sama sahaja iaitu menyucikan hati supaya tulus kapada Allah.

(108: 3) Nikmat al-Kawthar yang dianugrahkan kepada Nabi saw itu sungguh banyak dan besar.  Nabi saw pernah dikepong dan menghadapi cubaan untuk dibunuh, sahabat-sahabatnya diseksa, namun hari demi hari menyaksikan musuh-musuh Nabi Muhammad itu sebenarnya yang abtar  atau semakin pupus.

  إ ِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ 

[108: 3] Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus.

Perkataan  شَانئ ertinya musuh yang sangat marah.  Perkataanأبْتَرْ  ertinya terputus keturunan atau terputus kenangan selepas kematiannya. Orang yang memusuhi Nabi ialah mereka yang mendustakan kerasulannya, menolak dakwahnya, tidak beriman kepada Allah, Rasul dan hari Akhirat, Mereka ini jauh dari rahmat Allah, terputus dari nur dan hidayat, hidupnya sia-sia dan menunggu kebinasaan.

Beberapa riwayat menyatakan orang yang dikecam dengan penurunan ayat ini ialah  al-`As ibn Wa`il, atau `Uqbah ibn Abu Mu`ayt, atau Abu Jahl atau Abu Lahab  kerana mereka mengaibkan Nabi saw dengan kematian dua anak lelakinya, iaitu al-Qasim dan Abdullah, baginda tidak mempunyai anak lelaki selain mereka, dengan itu keturunan Nabi daripada anak lelaki terputus atau disebut mereka dengan abtar.  Ini adalah satu keaiban pada mereka meurut tradisi Jahiliah.  Riwayat ini kalau pun sahih, ia menunjukkan surah diturunkan ketika mereka berbincang isu ini.  Riwayat itu tidak bermakna menjadi sebab turunnya ayat berkenaan kerana tujuan turunnya surah ini jauh lebih besar dari tujuan menjawab tuduhan beberapa musyrikin Quraisy yang suka bermain dengan isu yang remeh temeh ini, walapun kaum Quraisy memandang besar kepadanya.


Kolam Nabi di Akhirat

Allah swt memuliakan Nabi saw di Akhirat lalu menganugrah kepadanya al-Hawd (kolam) yang  begitu besar, airnya lebih putih dari susu, lebih manis dari madu, lebih wangi dari kasturi, gayungnya lebih banyak dari bintang di langit. Sumber air ini datangnya dari sungai al-Kawthar yang dianugrah kepada Nabi di syurga. Nabi bersabda: “Sesiapa meminum seteguk airnya, tidak akan dahaga buat selama-lamanya”.

            Ulama berbeza pendapat tentang di mana tempatnya.  Al-Ghazali dan al-Qurtubi menyatakan tempatnya sebelum menyeberangi titian al-Sirat.  Mereka berhujah dengan alasan ada ahli neraka  yang ditangkap ketika sedang menyeberangi sirat untuk dibawa ke neraka. Andainya al-Hawd selepas menyeberangi al-Sirat nescaya tiada tangkapan lagi[905].

            Ibn Hajar menzahirkan mazhab al-Bukhari, al-Hawd berada selepas menyeberangi al-Sirat kerana al-Bukhari menyebut hadis-hadis al-Hawd selepas hadis-hadis al-Shafa`ah. Pendapat al-Ghazali dan al-Qurtubi lebih arjah[906].

Pengajaran dan Saranan.

1:         Allah memberi nikmat yang begitu besar kepada nabi Muhammad s.a.w.  sama ada di dunia dengan nikmat al-Quran atau diakhirat dengan nikmat sungai al-kawthar.

2:         Nabi s.a.w. diperintah menunaikan sembahyang sama ada yang fardu atau yang sunat, semata-mata kerna mengharapkan keredaan Allah.

3:         Pendusta-pendusta terhadap Nabi saw tidak mendapat sebarang keberkatan di dunia dan akhirat.  Kematian mereka memutuskan segala-galanya, nama mereka tidak dikenang dan tiada sebarang tinggalan yang mendatangkan kebaikan kepada mereka.

4:         Kerja-kerja dakwah kepada kebenaran dan kebajikan tidak putus kerana ia sentiasa mempunyai pertalian yang kukuh dengan Allah Yang Maha Hidup dan  Maha Kekal. Hanya kebatilan dan kejahatan sahaja yang terputus, walaupun dalam sesetengah keadaan kelihatan umurnya panjang dan akar-akarnya menunjang jauh.

5:         Keterangan yang berulantg-ulang tentang menyebut nama Allah ketika menyembelih binatang-binatang korban dan pengharaman makan binatang-binatang yang disembelih bukan atas nama Allah menunjukkan betapa besarnya perhatian agama Islam terhadap pembersihan pemikiran  dari kesan-kesan syirik dalam segala bentuk dan rupanya.



[900] Tafsir Fi Zilal al-Qur`an, 17/560.
[901] Tafsir al-Qurtubi, 10/218.  Tasir Ibn Kathir, 4/556. Tafsir al-Razi, 32/120. Ma`alim al-Tanzil, 8/554-559.
[902] Bukhari, Kitab al-Tafsir,hadith (4964) daripada Anas ibn Malik..
[903] Tafsir Ibn Kathir, 4/559.
[904] Bukhari, al-Jumu`ah: Kalam al-imam wa al-nas fi lailat al-`id, bilangan 930. Muslim, al-Adahi: Waqtuha, bilangan 3626. Abu Dawud, al-Dahaya: Ma yajuz fi al-sin min al-dahaya, bilangan 2418.
[905] al-Qurtubi, al-Tadhkirah bi Ahwal al-Mawta wa Umur al-Akhirah, ms 703.
[906] Fath al-Bari, 11/466