Thursday, October 28, 2010


Tafsir Surah al-Nas (Manusia)
Bilangan (114) Madaniyyah (6) Ayat
 
سْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Tafsiran Ayat (1-6)


قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ*  مَلِكِ النَّاسِ * إِلَهِ النَّاسِ  * مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ*  الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ * مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ* 


Terjemahan:

[114: 1] Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang memelihara sekalian manusia.

[114: 2] Yang Menguasai sekalian manusia.

[114: 3] Tuhan yang berhak disembah manusia.

[114: 4] Dari kejahatan pembisik yang dating dan menghilang.

[114: 5] Yang melemparkan bisikan ke dalam hati manusia.

[114: 6] (Iaitu pembisik) dari kalangan jin dan manusia

Manusia selalu terdedah kepada bisikan syaitan jin dan manusia. Dua makhluk ini giat berusaha untuk menguasai hati dan pemikiran mereka. Manusia meskipun tinggi pengetahuan dan kedudukannya di sisi Allah dan masyarakat, namun tiada jaminan keselamatannya dari bisikan syaitan yang telah bersumpah untuk menyesatkan manusia kecuali para hamba Allah yang ikhlas. Surah al-Nas ini menyuruh agar Nabi saw dan umatnya memohon kepada Allah supaya dilindungi dari  kejahatan penghasut yang sangat berbahaya ini.

Musuh Jin dan Manusia

Manusia perlu memohon kepada Allah supaya sentiasa yakin kepada Islam sebagai pegangan hidup.  Bisikan jahat sama ada daripada syaitan jin atau manusia seringkali membawa masalah kepada orang mu`min, sama ada pada kehidupan jasmani mahu pun rohaninya.  Justeru tiada jalan selain memohon pertolongan Allah.

            (114:1)               Bagaimana memohon perlindungan itu dan apa bacaannya?


قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ

[114: 1] Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang memelihara sekalian manusia.

Ada tiga pihak yang berkaitan dalam isti`adhah di sini iaitu pihak manusia yang memohon, pihak Allah yang dipohon sesuatu pada-Nya dan pihak syaitan yang dipohon agar dilindungi dari bahayanya.  Memohon perlindungan adalah suatu kehendak dan perasaan yang tertanam pada hati dan kepercayaan terhadap pihak yang diminta pertolongan padanya.

Apabila permohonan itu dimajukan kepada Allah yang memelihara manusia, maka permohonan membawa dua makna:

Pertama: Aku memohon kepada Allah kerana Dia Tuhanku, Dia menciptakandaku dari tiada kepada ada, dari setitis mani kepada seorang manusia yang sempurna kejadian.  Aku memohon kepada Allah kerana Dia yang hanya mengetahui tentang diriku dan segala keperluan hidupku, maka aku memohon kepada-Nya agar aku dilindungi daripada segala bencana.

Kedua: Aku memohon kepada Allah kerana Dia jua yang berkuasa terhadap semua makhluk ciptaan-Nya, Dia berkuasa mencegah apa sahaja dan memberi kepadaku apa sahaja. Aku memohon kepada Allah kearana tiada siapa boleh menghalang keputusan dan kehendak-Nya.

           (114:2) Jika manusia selalu memohon pertolongan pada raja dan pihak-pihak berkuasa, maka Allah raja bagi segala raja, kuasa-Nya besar dan pemerintahan-Nya sangat luas.  Aku tetap berlindung pada-Nya jua.

مَلِكِ النَّاسِ

[114: 2] Yang Menguasai sekalian manusia.

Perkataan مَالِكِ ertinya yang memiliki manusia atau yang mentadbir urusan mereka dengan syariat dan undang-undang-Nya.

          
            (114: 3)           Tatkala manusia ditimpa bencana dan kesusahan, tiada lagi Tuhan yang boleh diminta pertolongan selain Allah.

إِلَهِ النَّاسِ

[114: 3] Tuhan yang berhak disembah manusia.

Dialah Allah Tuhan yang memelihara dan memiliki manusia, Tuhan yang diminta pada-Nya perlindungan ketika datangnya kesusahan.  Perkataan  رَبِّ mendahului  مّلِكِ dan إلـه  kerana رَبّ pemelihara itu umum kepada semua makhluk-Nya, sedangkan raja dan Tuhan terbatas kepada rakyat dan kepada makhluk yang menyembah-Nya sahaja.

            Dimaksudkan dengan memohon perlindungan pada Allah bukan hanya dengan mengulang-ulang baca dengan lidah, tetapi permohonan itu hendaklah disertakan dengan pemikiran dan akidah serta amalan yang betul, menjauhkan diri dari jalan-jalan syaitan dan pemikirannya yang menyesatkan, membetulkan perjalanan hidup dengan petunjuk Islam yang bersih daripada unsur-unsur syirik, pemujaan kepada benda dan khurafat.  Jika cara hidup masih bergelumang dengan dosa dan syirik, maka bacaan surah-surah ini belum menjaminkan keberkesanannya.

Perlidungan yang benar dan bakal mendapat perkenan Allah ialah permohonan yang disertakan dengan pengakuan terhadap rububiyyah Allah, kekuasaan-Nya dan keesaan-Nya pada sifat-sifat uluhiyyah sebagaimana diajar kepada Nabi saw supaya memon dengan membaca:

أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ مَلِكِ النَّاسِ إِلَهِ النَّاسِ

Terjemahan: “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang memelihara sekalian manusia yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah manusia”.

Kekeliruan tidak harus timbul sama ada surah-surah mu`awwidhat ini  dibaca bersama perkataan “Qul” pada pangkalnya atau ditinggalkan “Qul” bagi kesesuaiannya dengan doa. Tafsir ini lebih cenderung supaya dibaca bersama perkataan “Qul” kerana itulah al-Qur`an  dan sekaligus doa.  Jika dibaca tanpa “Qul” , maka bacaan itu hanya doa, ia bukan ayat al-Qur`an lagi. Hadith-hadith yang dikemukakan pada fadilat membaca surah al-Falaq dan al-Nas, secara tidak langsung menolak pembacaan ayat yang diubah suai kerana ia bukan lagi al-Qur`an, tetapi ayat-ayat yang diubah suai. Ada kemungkinan dengan sebab pengubahan itu fadilat membacanya tiada lagi.

           (114: 4)           Kita memohon perlindungan pada Allah daripada pemikiran yang sesat dan menyeleweng, pemikiran yang melemahkan semangat dan suka menghasut.

مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ

           [114: 4] Dari kejahatan pembisik yang datang dan menghilang.

Syaitan disifatkan sebagai pembisik kerana rupa parasnya tidak kelihatan, tetapi kesannya besar bagaikan pencuri yang bergerak dalam senyap.

Perkataanh الْخَنَّاسِ ertinya datang dan menghilang.  Syaitan selalu datang sekalipun dihalau.  Ketika dibaca nama-nama Allah dan zikir dia menghilangkan diri seketika, kemudian apabila selesai zikir dia datang lagi.

            (114: 5)           Syaitan memainkan peranannya untuk menyesatkan manusia dengan melemparkan bisikan jahat ke dalam hati mereka kerana hati merupakan pusat kawalan dan penapis maklumat.
  
الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ

           [114: 5] Yang melemparkan bisikan ke dalam hati manusia.

Ayat ini menunjukkan syaitan mempunyai jalan kemasukannya ke dalam badan, hati dan dada manusia,  dia berlari-lari dalam badan sebagaimana berlarinya darah, kemudian meninggalkan kesan buruk akibat bisikannya.  Kadang-kadang dia tinggal kekal dan berterusan  hingga ke akhir hayat jika seseorang tidak memohon perlindungan pada Allah supaya dijauhi daripadanya.

           (114: 6)           Pembisik itu mungkin daripada jin keturunan Iblis yang pernah dikutuk Allah kerana telah bersumpah untuk menyesatkan manusia dan memperoprandaklan hidup mereka dan mungkin juga daripada manusia sendiri, tetapi perangainya jin.

مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

[114: 6] (Iaitu pembisik) dari kalangan jin dan manusia

Diriwayat daripada Abu Zar al-Ghifari ra, beliau bertanya seorang lelaki yang datang menemuinya:  “Adakah engkau memohon perlindungan pada Allah dari syaitan-syaitan jin dan manusia?”  Lelaki itu bertanya kembali:  “Apakah manusia ada syaitan-syaitannya?”  Jawab Abu Zar, memang ada.  Apakah anda tidak membaca firman Allah:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نِبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الإِنسِ وَالْجِنِّ[973]

Terjemahan: Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap nabi musuh-musuh iaitu syaitan-syaitan dari jenis manusia dan jin

Tahukah anda mengapa kita disuruh memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan syaitan yang direjam ketika memulakan bacaan al-Quran iaitu menerusi firman-Nya: 

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ[974]

Terjemahan: Apabila engkau hendak membaca al-Quran, maka hendaklah engkau memohon perlindungan kepada Allah dari gangguan syaitan.

Pada surah penutup al-Qur`an pula kita membaca surah al-Nas yang mengandungi permohonan agar dilindungi kita daripada syaitan penghasut dan pembisik yang datang dan menghilang, syaitan jin dan manusia yang suka berusaha menyesatkan manusia dan menggagalkannya daripada amal-amal kebajikan.

Jawapan kepada persoalan ini, kita perlu kembali kepada beberapa hakikat berikut:

Pertama Pada setiap diri manusia ini sedia ada dua gelombang yang bertentangan arah dan matlamat  iaitu gelombang syaitan dan gelombang malaikat. Ini dinyatakan dalam sabda berikut:

‏عَنْ ‏ ‏عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ ‏ ‏قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏إِنَّ لِلشَّيْطَانِ ‏ ‏لَمَّةً ‏ ‏بِابْنِ ‏ ‏آدَمَ ‏ ‏وَلِلْمَلَكِ ‏ ‏لَمَّةً ‏ ‏فَأَمَّا ‏ ‏لَمَّةُ ‏ ‏الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالْحَقِّ وَأَمَّا ‏ ‏لَمَّةُ ‏ ‏الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالْخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالْحَقِّ فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ الْأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ ثُمَّ قَرَأَ ‏ الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمْ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ[975]

Terjemahan:  Riwayat Abdullah Ibn Mas`ud ra katanya:  Sabda Nabi saw  Sesungguhnya syaitan ada sentuhannya terhadap manusia dan malaikat juga ada sentuhannya.  Sentuhan syaitan ialah menjanjikan kejahatan dan mendustakan kebenaran.  Sentuhan malaikat pula ialah menjanjikan kebaikan dan membenarkan kebaikan.  Barangsiapa dapati sentuhan malaiakt hendaklah dia sedar kedatangannya dari Allah dan barangsiapa dapati sentuhan yang satu lagi (syaitan) hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam, kemudian Nabi membaca: Syaitan menjanjikan kamu kemiskinan dan menyuruh kamu melakukan kemungkaran.

Justeru gelombang syaitan,  maka   manusia sering diserang waswas dalam  akidah yang memusnahkan iman kepada perkara-perkara ghaib. Untuk menjauhinya, manusia perlu membaca al-Quran dan memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan.

Kedua Hati manusia perlukan sinaran iman dan zikrullah, jangan dibiarkannya kosong nanti akan diduduki syaitan. Hati bagaikan sebuah kenderaan awam yang mengangkut penumpang dan membawa ke tempat masing-msing.  Kenderaan ini jika tempat-tempat duduknya dipenuhi penumpang, maka pemandunya berjaya dengan tugasnya.  Jika ada tempat-tempat duduk yang masih kosong, biasanya akan diisi sampah sarap dan  barang-barang buangan yang tidak berguna. 

Ketiga Manusia perlu memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan sebagai langkah berjaga-jaga dari serangan syaitan yang mungkin berlaku secara tiba-tiba.  Syaitan sentiasa menunggu masa yang sesuai untuk masuk,  sedangkan manusia lalai kepada pergerakannya. Menurut Ibn Abbas ra:

الشَّيْطِانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ فَإِذَا سَهَا وَغَفَلَ وَسْوَسَ , وَإِذَا ذَكَرَ اللهَ تَعَالَى خَنَسَ [976].

Terjemahan: Syaitan mencangkung di atas hati manusia, apabila hatinya lalai dia menghasut dan apabila hati manusia ingatkan Allah dia mengilang diri.

Hadith ini jelas menyatakan hikmat zikir yang berfungsi mengingatkan Allah dan memurnikan hati, firman-Nya:

وَاذْكُررَّبَّكَ كَثِيرًا وَسَبِّحْ بِالْعَشِيِّ وَالإِبْكَارِ[977]

Terjemahan: Dan banyakkan berzikir menyebut Tuhan dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.

            Zikir-zikir ma`thurat pada umumnya mempunyai khasiat mengawal diri dari gangguan-gangguan yang kadang-kadang membawa penyakit yang berterusan hingga berakhir dengan mati.

Pengajaran Dan Saranan

1:  Allah mengarah Nabi dan sekalian umatnya mencari perlindungan pada Allah yang Maha Agung dari kejahatan syaitan yang datang membisik dan menghilang diri.

2:  Allah dengan sifat-sifat rububiyyah (pemeliharaan), malikiyyah (penguasaan) dan uluhiyyah (ketuhanan) mengawal manusia dari hasutan syaitan sama ada manusia dan jin yang sangat berbahaya kepada kehidupan dan kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat.

3:     Pertarungan di antara manusia dan Syaitan Iblis berlanjutan hingga Qiamat, dia menunggu peluang untuk menyerang manusia di saat-saat kelalaian.

4:         Pengumpat-pengumpat yang pandai bermain dengan kata-kata yang indah dan penyebar-penyebar fitnah termasuk dalam kumpulanm manusia yang disebariskan dengan syaitan.

5:  Membaca al-Qur`an dan zikir serta doa sangat baik bagi melindungi diri dari bisikan syaitan dan hasutannya yang menjauhkan diri keredaan Allah.

وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ


Kuala Lumpur
Oktober,  2010






[973] al-An`am: 112
[974] al-Nahl: 98
[975] Tirmidhi, Tafsir al-Quran surah al-Baqarah, hadith (2934) daripada Abdullah ibn Mas`ud. Isnad hadith ini hasan rijalnya thiqat kecuali `Ata` ibn al-Sa`ib al-Thaqafi, beliau dikatigorikan saduq hasan al-hadith.
[976] Tafsir al-Tabari, hadith Mawquf ibn `Abbas ra, 12/752, hadith (38390) Abdullah ibn Abbas.
[977] Ala `Imran: 41.