Thursday, October 14, 2010


Tafsir Surah Quraisy 106 (Ayat 1-5)

Ketenteraman Quraisy Didahulukan


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ (1) إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاء وَالصَّيْفِ(2) فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ(3) الَّذِي أَطْعَمَهُم مِّن جُوعٍ وَآمَنَهُم مِّنْ خَوْفٍ(4)

Terjemahan

[106: 1] Kerana (mengenangkan nikmat) kebiasaan kaum Quraisy.

[106: 2] (Iaitu) kebiasaan mereka melakukan perjalanan  pada musim sejuk dan panas,

[106: 3] Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini,

[106: 4] Tuhan yang telah mengurniakan mereka makanan yang menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Ketenteraman Quraisy Didahulukan

Dua surah al-Fil dan Quraisy sama ada satu surah atau berasingan, ulama menerima sebagai dua pandangan.

Pandangan pertama ini bertepatan dengan mushaf Ubayy yang tidak memisahkan di antara dua surah ini dengan basmalah seperti yang lazimnya di dapati pada kebanyakan surah. Pengasingan di antara dua surah ini juga terlalu kecil bagaikan satu tanda koma bagi menunjukkan berhenti sebentar ketika membaca.  Justeru sesetengan ulama berpendapat surah Quraisy dan al-Fil hanya satu surah sahaja.  Susunan ayat dari segi maknanya pula ayat akhir surah al-Fil dan pertama surah Qurasy terungkap seperti Berikut:

نَحْنُ جَعَلْنَا أَصْحَابَ الْفِيِلِ كَعَصْفٍ مَأكُولٍ، لِكَى تَأتَلِفَ قُرَيشٌ فِي هَذِهِ الأَرْضِ الْمُقَدَّسَةِ وَتَتَهَيَّأَ بِذَلِكَ مُقَدِّمَاتُ ظُهُورِ نَبِيِّ الاِسْلاَمِ

            Terjemahan:  Kami jadikan tentera bergajah bagaikan daun-daun kayu yang dimakan ulat supaya kaum Quraisy bersatu padu di tanah suci Makkah ini dan dengan perpaduan, mereka bersedia menyambut kedatangan Nabi pembawa ajaran Islam.

             Dari segi i`rabnya pula, kedudukan jar dan majrur pada liilaaf tertakluk pada kata kerja ja`ala pada ayat sebelumnya.
          Pandangan kedua ini membawa i`rab lam harf jar pada (لِإِيلَافِ) tertakluk kepada ayat  (3) selepasnya, iaitu kata kerja  فَلْيَعْبُدُوا. Erti yang kedua ini kurang serasi dengan rangkaian ayat dan kandungan surah.
Perkataan ايلاف diambil daripada kata kerja آلَفَ  ertinya menghimpunkan sesuatu dalam kumpulan, disertai dengan kemesraan, kasih sayang dan perpaduan.  Sesetengah ahli bahasa menyatakan  ايلاف  diterbitkan daripada kata dasarnya   الْمُوآلَفَة  dengan erti persefahaman, perjanjian atau persetujuan[872].
            Ayat ini dalam konteks mewujudkan perpaduan dan kemesraan di kalangan Quraisy di tanah Suci Makkah dan di bumi yang padanya terdiri rmuah Allah. Kaum Quraisy dan penduduk Makkah di dahulukan dengan penganugrahan nikmat makanan dan keamanan kerana mereka memilih bumi Makkah sebagai tempat tinggal yang menjaminkan pemakanan dan keselamatan.  Bumi ini juga menyaksikan kedatangan orang-orang dari luar Hijaz untuk menunaikan haji, di samping mengadakan kegitan ekonomi dan deklamasi kesusasteraan Arab di negeri yang aman ini.

Kaum Quraisy seharunya mengerti segala kegitan hanya boleh dilakukan apabila sesebuah negeri itu berada dalam keadaan aman, sumber pemakanannya cukup, hubungan dagang dengan dunia luar tidak terputus. Ditakdirkan negeri ini berada dalam kacau bilau atau rumah suci itu berjaya dirobohkan oleh Abrahah dan tenteranya, masakan mereka boleh merasai nikmat kemesraan, kasih sayang di bumi Makkah ini.
Perkataan  قُرَيش pada asalnya nama sejenis hidupan laut yang besar, ia menyedut mangsa yang terdiri daripada  hidupan kecil yang melintasi di hadapannya. Al-Zamakhsyari memetik penjelasan Ibn `Abbas tentang Quraisy katanya:

حيوانٌ كَبِيرٌ قَوِيٌ فِي الْبَحْرِ يَأْكُلُ وَلاَ يُؤْكَلُ وَيَعْلُو وَلاَ يُعْلَى[873]

Terjemahan: “Sejenis gargasai laut, ia makan tetapi tidak boleh dimakannya, ia menang dan tidak boleh dikalahkan”.

Ada pandangan menyatakan perkataan itu diambil daripada  القَرْش  ertinya berusaha atau berniaga. Orang Quraisy terkenal dengan kegitan niaga sejak zaman berzaman lagi. Ada pendapat lain menyatakan, perkataan ini diambil daripada perkataan القِرش yang membawa erti selidik dan semak kerana kaum Quraisy menjalani kegiatan pemeriksaa, penyelidikan dan semakan terhadap tetamu yang berkunjung ke Makkah kerana mengerjakan haji. Pemeriksaan diadakan bagi tujuan menghulurkan bantuan kepada mereka sepanjang musim haji. Ada juga yang menyatakan ia diambil daripada  القَرْش   dengan erti berhimpun  dan bertemu kerana kaum ini suka berhimpun dan bermasyarakat [874]

(106: 1) Perintah Allah sama ada takwini atau taklifi, larangan atau suruhan semuanya tersirat hikmat di sebaliknya.  Kekalahan tentera bergajah Abrahah juga ada hikmatnya, pelaksanaan ibadat berterusan  kepada Tuhan rumah Kaabah di bawah pentadbiran kaum Quraisy juga ada hikamtnya. Kedua-duanya bertemu pada satu `illat,  iaitu supaya kaum Quraisy bersatu dan berkasih sayang.
لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ (1)

[106: 1] Kerana (mengenangkan nikmat) kebiasaan kaum Quraisy.

Kebiasaan kaum Quraisy ialah mengurus dagangan mereka ke Syam dan Yaman mengikut pusingan musim sejuk dan panas mempunya kesan yang sangat besar kepada ketenteraman penduduk Makkah. Justeru Allah menjadikan negeri itu aman dan selamat, pemakanan mereka cukup dan keselamatan mereka terjamin.

(06: 2) Ketenteraman diperlukan dalam semua keadaan, tetapi lebih diperlukan lagi ketika  dalam perjalanan membawa bekalan dan barang-barang untuk diniagakan.

إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاء وَالصَّيْفِ(2)

[106: 2] (Iaitu) kebiasaan mereka melakukan perjalanan  pada musim sejuk dan panas,

Negeri Makkah merupakan sebuah negeri yang kering, tanpa tanaman dan tidak banyak ternakan padanya.  Bisanya angkatan dagang dari Makkah pada musim sejuk mereka pergi Ke Yaman kerana udaranya nyaman.  Inilah yuang digambarkan dengan sebutan:

رِحْلَةَ الشِّتَاء وَالصَّيْفِ
Terjemahan: “ .. perjalanan  pada musim sejuk dan panas”.

Yaman adalah sebuah negeri yang bermusim panas, sejuk dan sederhana. Udara di negeri Makkah sejuk ketika udara sederhana di negeri Yaman. Negeri Syam pula sederhana udaranya, ketika negeri Makkah berada dalam musim panas. Orang Arab terutama pedagang-pedagang dari Makkah melancung ke Yaman dan Syam apabila negeri mereka mengalami cuaca sama ada panas atau sejuk

Sama ada pemergian keluar negeri itu kerana menikmati udara yang lebih nyaman atau kerana urusan perniagaan atau hanya untuk melancung dan bersuka-suka, semuanya membayangkan tahap pencapaian kehidupan penduduk Makkah yang tinggi.  Ini kerana semakin moden kehidupan rakyat dalam sesebuah negara, semakin banyak pula pilihan untuk mencari keselesaan, sekalipun di luar negeri terutama dalam keadaan mendesak.

(106: 3) Kediaman dan tempat tinggal yang mereka perolehi serta keamanan dan kesejahteraan yang mereka nikmatinya pula lokasinya tidak jauh dari Baitullah.  Mengapa ada pihak tergamak melakukan syirik di kawasan ini dan mengapa mereka menentang Rasulullah saw  Bukankah sepatutnya ihsan di balas dengan ihsan juga?  Apakah faktor yang mendorong mereka melakukan kekufuran dan penderhakaan itu?

فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ (3)
[106: 3] Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini,

Keamanan yang biasa diperolehi dalam perjalanan pada musim sejuk dan musim panas itu mewajarkan mereka meningkatkan ibadat kepada Tuhan yang menguasai rumah Kaabah yang mulia ini kerana nikmat itu memungkinkan mereka mendapat kekayaan yang lebih banyak dan makanan yang lebih bermutu bagi  menyelamatkan mereka dari kelaparan.

(106: 4)           Kerana nikmat keamanan, kaum Quraisy dapat hidup dengan baik dalam sebuah negeri yang kering kuntang.  Tidak sudikah mereka beribadat kepada Allah kerana mensyukuri anugrah-Nya yang tidak terhingga.

الَّذِي أَطْعَمَهُم مِّن جُوعٍ وَآمَنَهُم مِّنْ خَوْفٍ (4)

[106: 4] Tuhan yang telah mengurniakan mereka makanan yang menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Kaum Quraisy lupa bahawa nikmat-nikmat yang mereka terima itu adalah berkat doa Nabi Ibrahim as sebagai pendakwah yang pernah bermohon agar dijadikan rantau itu aman dan makmur, firmanNya:

وَاٍِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَـذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَن نَّعْبُدَ الأَصْنَامَ[875]
Terjemahan: Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa: Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini (Makkah) sebuah negeri yang aman dan jauhkanlah daku dan anak-anak cucuku dari menyembah berhala-berhala.

Mereka harus ingat bahawa negeri ini diberi keistimewaan khas oleh Allah, firman-Nya:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا جَعَلْنَا حَرَمًا آمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النَّاسُ مِنْ حَوْلِهِمْ أَفَبِالْبَاطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَةِ اللَّهِ يَكْفُرُونَ[876]

Terjemahan:  Tidakkah mereka meliohat bahawa Kami telah menjadikan negeri mereka tanah suci yang aman, sedangkan manusia di sekeliling mereka dirompak dan dibunuh.  Mengapakah mereka masih percaya kepada yang batil dan mengingkarkan nikmat Allah.

Memang besardan banyaknya nikmat Allah terhadap mereka sehingg tidak dapat dihitungkan lagi. Jika mereka tidak mampu bersyukur atas nikmat-nikmat itu, bersyukurlah atas nikmat mendapat makanan dan keamanan, itu pun sudah cukup untuk membuktikan kesyukuran kerana ibadat yang sebenar-benarnya ialah bersyukur.

Kaum Quraisy banyak melakukan kesilapan pada mentafsirkan nikmat, menyebabkan Allah menariknya sedikit demi sedikit, dahulu mereka mempunyai kedudukan sebagai ketua yang berkuasa kini mereka bertukar menjadi ketua tanpa kuasa.

Pengajaran  dan Saranan

1:         Allah membinasakan angkatan tentera bergajah dan menahan mereka dari memasukki Makkah bagi mempastikan keamanan tetap berterusan di bumi yang banyak barakahnya ini.
2:         Allah mengurniakan rezeki dan keamanan melalui perniagaan di luar negeri pada musim-musim sejuk dan panas, lalu mereka beroleh berbagai-bagai barangan yang baik dan selesa diguna.

3:         Kaum Quraisy dipandang mulia dan dihargai kerana ada Kaabah di bumi mereka.  Tanpa Kaabah, sudah pasti kedudukan mereka tidak lagi sebagai yang mereka perolehi.

4:  Peringatan Allah yang menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan sepatutnya menimbulkan rasa malu kerana mereka tidak beribadat kepada Allah Tuhan yang memelihara rumah suci itu.

5:  Menyediakan bekalan makanan yang secukupnya serta jaminan keselamatan  merupakan tanggungjawab pemerintah terhadap rakyat.  Negeri-negeri yang maju pada hari ini dan sebelum ini tidak mampu menyempurnakan dua nikmat ini kepada rakyatnya.




[872] al-Qamus al-Muhit, ms 792.
[873]Tafsir al-Kasysyaf, 4/796.
[874] Al-Qamus al-Muhit, ms 602.
[875] Ibrahim: 35
[876] al-`Ankabut: 67

No comments: