Tuesday, October 25, 2011

Isu Bidaah Dalam Masyarakat Islam


SOALAN: 


Saya seorang pelajar sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Untuk makluman tuan, baru-baru ini saya berpeluang mendengar ceramah seorang ustaz. Dia menyatakan banyak amalan bidaah berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia, sambil memberi contoh-contoh seperti membaca usalli ketika niat solat, membaca nawaitu ketika bersuci, membaca sayyidina dalam tasyahud, membaca doa qunut dalam solat subuh dan banyak lagi. Semua amalan ini menurutnya bidaah. Setiap bidaah itu sesat dan setiap kesesatan membawa ke neraka.

Ceramah ini menimbulkan salah faham kepada masyarakat sekitar, kerana ada pula penceramah lain berpendapat sebaliknya. Amalan itu menurutnya sunat dan tidak bertentangan dengan sunah nabi, jauh sekali daripada bidaah, apalagi membawa ke neraka.

Soalan saya, mengapa perbezaan pendapat ini berlaku, bagaimana kedudukan sebenarnya dari segi dalil, hujah dan alasan. Siapa yang benar antara dua kumpulan tersebut? -
TALIB ABU, Johor Bahru, Johor.



JAWAPAN:


Masalah yang dikemukakan di atas termasuk antara masalah khilafiah yang usang dan dibaharui semula dalam negara kita sejak beberapa dekad yang lalu. Sepatutnya masalah ini tidak dibangkit lagi di tempat-tempat awam secara terbuka, biarlah ia tersimpan dalam fail-fail lama sebagai dokumen dan bahan sejarah. Jika perlu, biarlah dibuka oleh orang-orang tertentu jua, yang berkelayakan, beramanah dan tahu menilai harga pemikiran ulama dan perbezaan pendapat mereka dalam masalah-masalah tertentu.

Perbezaan pendapat antara ilmuwan dan bijak pandai Islam bukan perkara baru bagi masyarakat Islam di rantau ini. Pengalaman yang lalu memperlihatkan kerugiannya lebih besar daripada keuntungan, kerana masalah itu dibincangkan secara terbuka di hadapan orang awam, tanpa memelihara adab al-ikhtilaf (adab berbeza pendapat). Akibatnya lahir puak-puak kecil dalam masyarakat yang dipecah-belahkan oleh orang-orang yang embawa fahaman yang berbeza tanpa memelihara adab dan etikanya.

Beberapa dekad yang lalu, di negeri Kelantan dan Pattani sebagai contoh, pernah diperselisihkan pendapat tentang najis anjing, kenduri kematian, talkin selepas pengkebumian mayat, usalli dan banyak lagi. Akhirnya lahir dua kumpulan yang digelarkan kaum muda dan kaum tua. Masing-masing mempunyai pendapat dan pengikut setia yang seolah-olah diri dan puaknya sahaja yang betul dan tidak berkemungkinan salah, sedangkan kumpulan lawan pula salah dan tidak berkemungkinan betul sama sekali.

Anggapan sebagai pengamal bidaah, sesat dan membawa ke neraka terhadap kumpulan lawan yang berbeza pendapat tentang usalli, nawaitu dan sayyidina tidak boleh diterima sama sekali, malah boleh dianggap sebagai kurang sopan kerana secara tidak langsung pula menuduh pengamalnya sebagai ahli neraka. Memang ada hadis riwayat Muslim yang membawa erti: Setiap bidaah itu sesat, dan setiap kesesatan itu ditempatkan dalam neraka.
Tetapi, bagaimana bidaah yang dikatakan sesat dalam sabda itu? Apa takrifnya dan adakah hadis itu boleh dipakai pada semua perkara sama ada akidah atau bukan akidah. Penulis lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan bidaah kufur sahaja yang membawa pengamalnya ke neraka, supaya semua keterangan antara al-Quran dan hadis dapat diserasikan dan supaya tiada percanggahan berlaku antara al-Quran dan hadis-hadis sahih yang lain.

Penulis berpendapat isu-isu usalli, qunut solat subuh, sayyidina dan sebagainya adalah masalah kecil dan tidak perlu disebar kepada orang awam yang rendah pengetahuan agamanya. Cerdik pandai agama boleh membincangkan secara jujur dan ikhlas sesama ulama dan tokoh-tokoh yang berkeahlian sahaja. Dalam ruangan yang terbatas ini penulis tidak berpeluang mengemukakan hujah masing-masing, memadailah jika dikatakan kedua-duanya ada hujah dan dalil tetapi semuanya zanni dan wajar menerima perselisihan.

Perbezaan pendapat dalam isu-isu yang membabitkan hukum dan kaedah istinbat (mengeluarkan hukum), sepatutnya membawa rahmat serta menjana pemikiran ijtihad yang lebih matang, bukannya menambahkan kesengsaraan dan kekusutan fikiran yang tidak berkesudahan. Malang sekali, jika keuntungan sepatutnya diraih daripada perbezaan pendapat itu, tiba-tiba kerugian pula dihasilkan.

Negara-negara yang lebih awal menikmati tamadun Islam seperti Mesir, Iraq dan lain-lain sangat menyedari hakikat ini. Pemikir-pemikir Islam mereka telah menulis banyak buku yang berkaitan adab berbeza pendapat seperti Dr. Taha Jabir al-Alwani dengan bukunya berjudul Adab al-Ikhtilaf, Dr. al-Qaradawi dengan bukunya al-Sahwah al-Islamiyah dan lain-lain. Buku-buku ini sangat baik dibaca oleh tokoh-tokoh ilmuwan kita kerana ia ditulis oleh ulama yang berwibawa dan berpengalaman dalam bidang itu.

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya membahagikan perbezaan pendapat kepada dua, perbezaan terpuji dan terkeji. Perbezaan terkeji menurutnya ialah apabila berlaku disebabkan faktor-faktor berikut:

1. Menunjuk kebolehan sendiri. Seseorang yang memasuki bidang fiqh perbandingan tidak akan berjaya dalam hidupnya sebagai ilmuwan jika disertai dengan nafsu dan rasa besar diri yang tidak terkawal atau taksub kepada mazhab, kumpulan atau jemaah yang dianutinya.

Orang yang taksub kepada diri sendiri, mazhab dan kumpulan tertentu bagaikan orang yang terkurung dalam sebuah bilik yang dikelilingi cermin, ia tidak nampak selain dirinya, kumpulan dan mazhabnya sahaja. Fikirannya terkunci, tidak mampu berbincang lebih luas daripada cermin kurungannya sahaja.

Orang yang taksub kepada mazhab tertentu tidak menerima wujudnya banyak mazhab dalam masyarakat. Dia tidak berpuas hati jika mazhab-mazhab lain juga sama mengambil tempat.

Penulis tertarik dengan tulisan Dr. Sulaiman al-Asyqar dalam kitabnya Tarikh al-Fiqh yang dipetiknya daripada Syeikh Rashid dalam mukadimah al-Mughni karya Ibn Qudamah, katanya:

``Sejarah mencatatkan permusuhan berlaku di Syam pada akhir abad ke-13 Hijrah antara kumpulan-kumpulan yang fanatik kepada mazhab. Mereka mendesak pemerintah supaya membahagikan masjid kepada pengikut-pengikut Syafie dan Hanafi, kerana ada fatwa dikeluarkan oleh ulama Syafie bahawa pengikut mazhab Hanafi disamakan tarafnya dengan kafir ahl al-Zimmah (kafir yang tinggal di dalam negara Islam).

Desakan itu pula berpunca daripada fatwa-fatwa liar dikeluarkan oleh ulama-ulama Syafie tentang masalah sama ada harus atau tidak bagi seorang pengikut mazhab Hanafi untuk berkahwin dengan wanita pengikut mazhab Syafie. Sesetengah ulama dari mazhab Hanafi berpendapat tidak sah perkahwinan itu kerana wanita itu diragui keimanannya, disebabkan Syafie memfatwakan harus seseorang berkata ``saya seorang muslim insya-Allah.''

Ada lagi fatwa yang pernah dikeluarkan oleh mufti bermazhab Hanafi menyatakan seorang pengikut mazhab Hanafi tidak sah solat di belakang imam yang menganut mazhab Syafie kerana dia mengangkat tangannya ketika ruku' dan sujud, sedangkan perbuatan itu merupakan gerak-geri yang membatalkan solat.

Penulis juga pernah melihat jemaah di beberapa masjid sekitar Kuala Lumpur. Ada jemaah yang dengan sengaja keluar atau tidak bersedia mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah-penceramah yang bukan daripada kumpulannya. Mereka lebih suka membuang masa di luar kawasan masjid untuk berbual daripada mendengar ceramah, walaupun kumpulan itu lebih minat berzikir dan beribadat sembahyang daripada berpuasa sunat.

Al-Quran al-Karim mengecam golongan yang taksub kepada sesuatu pihak semata-mata kerana pihak itu kumpulannya, bukan kerana kebenaran, iaitu dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan apabila dikatakan kepada mereka, ikutlah apa yang telah diturunkan Allah. Mereka menjawab: Tidak, tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati daripada perbuatan nenek moyang kami. Apakah mereka akan mengikuti juga walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun dan tidak mendapat petunjuk.

2. Kurang pengetahuan, tetapi cita-citanya besar. Kumpulan ini pernah ditunjuk oleh nabi s.a.w. dalam sabdanya yang diriwayat Bukhari yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu daripada manusia secara terang-terangan, tetapi mencabutnya dengan menarik pulang ulama. Apabila ulama semuanya meninggal, seorang mencari si jahil untuk dilantik pemimpin, apabila ditanya hal-hal agama, mereka dengan tidak segan-segan menjawabnya, sesat dan menyesatkan. - (Fath al-bari 1/194).

Aneh sekali, orang jahil merasa terhina jika tidak dapat menjawab soalan agama yang dikemukakan kepadanya, sedangkan orang alim pula mencari seberapa banyak jalan untuk tidak menjawab kerana bimbang kesilapan berlaku.Ada beberapa contoh.

Al-Sya'bi, salah seorang imam hadis dari kalangan tabi'in berkata: Aku hairan, ada orang sambil berehat di atas kerusi mewah berani menjawab seberapa banyak soalan yang dikemukakan sedangkan soalan seumpama itu jika ditanya kepada Umar ibn al-Khattab, nescaya beliau mengumpul semua ahli badar (sahabat-sahabat kanan) untuk ditanya masalah itu kepada mereka. (Sifat al-Fatwa, halaman 8).

Imam Malik pernah ditanya kepadanya 38 soalan oleh penduduk Maghrib, beliau hanya menjawab enam soalan sahaja, 36 soalan lagi dijawabnya la adri (aku tidak tahu).

Ditakdirkan imam-imam ini lahir semula pada zaman ini, mereka akan terkejut besar melihat semua orang dari semua peringkat tanpa silu malu berani bercakap tentang Islam. Mereka sanggup memberi fatwa dalam apa jua masalah yang berkaitan atau tidak berkaitan.

Penulis pernah membaca sebuah majalah yang menemu ramah seorang pelakon. Beliau sering mencemuh belia Islam yang memandang serong terhadap profesion lakonan. Pelakon itu menyatakan pendapatnya: ``Apa yang anda tahu tentang lakonan itu. Lakonan adalah amalan, amalan adalah ibadat. Saya beribadat kepada Allah menerusi lakonan saya.''

Penulis merasakan penting sesuatu masalah dirujuk kepada pakar dalam sesuatu bidang. Tetapi sayang, dalam soal-soal agama, semua orang berani bercakap, berani menjawab dengan terus terang atas namanya. Apakah bidang agama boleh diserah kepada siapa sahaja.  

No comments: