Tuesday, December 21, 2010


Tolak Bukan Islam Jadi Peguam Syarie Tepat: Jamil Khir

Berita Harian (20/12/2010)


SINTOK: Keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam menolak pelantikan bukan Islam sebagai peguam syarie adalah tepat dan perlu diterima, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, untuk menjadi peguam syarie, selain ijazah dan kelayakan dalam bidang perundangan syariah, seseorang itu perlu memiliki pengetahuan serta pemahaman mendalam mengenai agama Islam supaya dapat mengendali sesuatu kes dengan tepat.
Katanya, berkata jika bukan Islam dibenarkan menjadi peguam Syarie, kesulitan akan timbul sekiranya mereka didapati menghina mahkamah kerana tindakan tidak boleh diambil mengikut perundangan syariah.
"Kalau tidak dikawal perkara ini, kelak akan timbul penghinaan yang mengganggu sensitiviti, dan ia akan menggugat sistem kehakiman syariah itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Perkhemahan Nasional Santun 2010 anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di Kem Program Latihan Khidmat Negara di sini, semalam.

Program perkhemahan itu disertai 400 pelajar miskin serta anak yatim cemerlang dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta, bermula semalam sehingga Khamis ini.

Mengenai YAPEIM, Jamil Khir berkata, kerajaan menyasarkan satu cawangan Ar-Rahnu, iaitu sistem pajak gadai berlandaskan syariah yang dikendalikan yayasan itu, diwujudkan di setiap kawasan Parlimen menjelang 2015.

Beliau berkata, ketika ini, terdapat 100 cawangan Ar-Rahnu di seluruh negara yang turut menarik pengguna bukan Islam, terutama bagi mendapatkan modal pusingan perniagaan.
"Ada di antara mereka (peniaga bukan Islam) yang meletakkan barangan mereka di cawangan Ar-Rahnu ini pada waktu pagi untuk mendapatkan modal pusingan sebelum berniaga, kemudian akan ditebus balik pada waktu petang menggunakan duit hasil jualan pada hari itu," katanya. – BERNAMA