Tuesday, January 11, 2011

Pedoman al-Qur`an


 Jangan Jadikan Kekayaan Membawa Kecelakaan


فَأَمَّا الْإِنسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ (15) وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ (16) كَلَّا بَل لَّا تُكْرِمُونَ الْيَتِيمَ (17) وَلَا تَحَاضُّونَ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ (18) وَتَأْكُلُونَ التُّرَاثَ أَكْلًا لَّمًّا (19) وَتُحِبُّونَ الْمَالَ حُبًّا جَمًّا (20)

Terjemahan

[89: 15] Adapun manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, dia berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku!

[89: 16] Dan apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, maka dia merepek dengan berkata: Tuhanku telah menghinakan daku!

[89: 17] Jangan begitu. Bahkan kamu tidak memuliakan anak yatim,

[89: 18] Dan kamu tidak saling  menggalakkan untuk memberi makanan kepada orang miskin;

[89: 19] Dan kamu makan harta pusaka secara rakus.

[89: 20] Serta kamu pula sayangkan harta kekayaan secara berlebihan!


Kekayaan itu  Ujian

Harta adalah penguji iman dan akhlak, Allah menguji mereka bagi menentukan kedudukan sebenar di dunia ini dan seterusnya meningkatkan kedudukan mereka yang berjaya dalam ujian ke tahap yang lebih tinggi di sisi Allah. Penilaian  yang dilihat melalui  ujian ini ialah sejauh mana mereka dapat membebaskan dirinya daripada kekangan kebendaan dan bagaimana mereka uruskan diri dan kekayaan mereka.

Pencapaian darjah terbaik oleh seorang hartawan hanya apabila harta yang dimilikinya ditadbir mengikut kehendak Allah dan menganggap diri mereka hanya wakil  bagi pihak Allah. Hartawan yang terbaik ialah mereka yang tidak dihalang oleh kekayaannya untuk tegak berdiri sebagai hamba Allah bukan kepada nafsu dan harta.

Kekayaan bukan bukti kemuliaan manusia di sisi Allah dan bukan juga faktor pemilihannya sebagai hamba yang baik dan salih.  Justeru, janganlah sombong kerana berasa dirinya kaya dan janganlah kekayaan menyebabkannya lemas dalam lautan harta sehingga tidak dapat diselamatkan lagi.

          (89: 15) Allah memberi nikmat kepada seseorang hamba-Nya, tidak semestinya dia seorang yang disayangi; adakalanya untuk menguji, lalu dia kecundang kerana tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki dalam ujian dan adakalanya sebagai balasan pendahuluan kepada sebahagian hamba-Nya sebelum ganjaran sebenar di akhirat.

فَأَمَّا الْإِنسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ (15)

          [89: 15] Adapun manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, dia berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku!

Memang harta itu satu kemuliaan bagi manusia kerana ia adalah nikmat, tetapi pada masa yang sama, harta adalah ujian dan fitnah.  Tidak benar jika dia menyangka kekayaannya bukti keluliaannya di sisi Allah. Firman Allah:

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ ** نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَا يَشْعُرُونَ[1]

TerjemahanAdakah mereka fikir ni`mat harta benda dan anak-anak yang Kami hulurkan kepada mereka bererti Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak begitu!) tetapi mereka tidak sedar.

Dalam keadaan yang lain pula ada manusia yang diberi harta kekayaan yang banyak kepadanya, lalu dianggapnya satu anugrah bukan ujian, sebagaimana harta yang diberi kepada para muttaqin dan sebagaimana hajat Nabi Sulaiaman disempurnakan dengan kemunculan istana Permaisuri Balqis di hadapannya dalah tempoh sekelip mata. Allah berfirman melalui pertuturan Nabi Sulaiman:

هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ[2]

Terjemahan: “ .. Ini adalah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur kepada-Nya atau aku klufurkan ni`mat-Nya. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya dan Maha Pemurah”.

Garisan sempadan di antara dua manusia yang berjaya dan gagal dalam ujian ini ialah prinsip pengurusannya sama ada wahyu atau nafsu.  Harta bukan najis selama-lamanya dan bukan juga kasturi. Cara pengurusannya menentukan kedudukan sebenar pemiliknya, sama ada baik atau buruk.

Insan yang dibicarakan dalam ayat ini tidak menamakan siapa orang itu.  Oleh itu, perkataan insan kekal dengan mutlaknya supaya meliputi semua orang, kecuali sedikit jua yang bersyukur.

Ungkapan yang membawa terjemahan: “ .. Adapun manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya”, adalah satu keterangan yang jelas menunjukkan kekayaan yang dianugrah Allah kepada manusia tidak lebih dari ujian yang menentukan kesyukuran atau kekufurannya, ia bukan kerana sesuatu kelebihan ada padanya. Harta sebagai penguji bukan hanya terhadap para muttaqin, tetapi musuh-musuh-Nya juga diuji dengan harta.  Natijah yang di dapati dari ujian terhadap para Muttaqin ialah kesyukuran, sedangan ujian terhadap musuh-musuh Allah melahirkan kekufuran yang meningkat dan kedegilan yang bertambah-tambah. Allah berfirman:

وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ [3]

Terjemahan: “ .. dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan”.

Ungkapan yang membawa terjemahan “ .. Tuhanku telah memuliakan daku!” memang benar Tuhan memuliakannya jika dia menguruskan harta kekayaannya mengikut kehendak Allah.  Oleh itu, sayugia baginya mempertahankan kekayaan itu padanya dengan etika yang mulia dan dengan penuh tanggungjawab.

Orang yang dimuliakan Allah dengan penganugrahan harta, pangkat dan kuasa seharusnya mempertingkatkan lagi kewajipan bersyukur kepada Allah atlas penganugrahan ini, sebagaiman kesyukuran Nabi Sulaiman sa tatkala di beri kepadanya kefahaman pertuturan burung-burung.  Sehubungan ini Nabi Sulaiman mengucapkan:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ عُلِّمْنَا مَنْطِقَ الطَّيْرِ وَأُوتِينَا مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْفَضْلُ الْمُبِينُ[4]

Terjemahan:  “.. Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti ilmu bahasa burung dan kami telah dikurniaikan segala sesuatu. Sesungguhnya pemberian ini adalah limpah kurnia Allah  yang amat nyata”.

Demikianlah jiwa yang suci bersih apabila menerima sesuatu diterimanya dengan hati yang suci dan dibalasnya dengan hati yang suci juga, kadang-kadang terlalu berat menerima sesuatu ihsan jika gagal dipulang paling kurangnya dengan ihsan yang sama kalaupun tidak mampu dilebihkan.  Sehubungan ini kata penya`ir Abu Nuwwas [5]bermadah:



لاَ تُسْدِيَنَّ الَيَّ عَارِفَةً  **  حَتَّى أَقُومَ بِشُكْرِ مَا سَلَفَا
أنتَ الَّذِى جَلَّلْتَنِى مِنَنَا ** أوهَتْ قُوَى شُكْرِي فَقَدْ ضَعُفَا



            Terjemahan:
         Jangan anda berikan saya apa pun pemberian
        Sebelum saya bersyukur pemberian yang lalu
            Pemberian anda sungguh besar bagi saya
            Tenaga saya sangat kerdil membalasnya


          (89:16)Demikian juga kemiskinan, ia bukan kesalahan menyebabkan Allah memurkainya.  Kemurkaan apabila kemiskinan dipersalahkan taqdir dan kepercayaan bahawa Allah tidak menyukainya, lalu menyempitkan rezekinya.

وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ (16)

         [89: 16] Dan apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, maka dia merepek dengan berkata: Tuhanku telah menghinakan daku!

Sempit rezeki adalah satu ujian yang dirasakannya pahit,  kadang-kadang seseorang yang diuji berasa dirinya begitu terhina, lalu mempersalahakan Allah swt kerana mengujinya begitu rupa, padahal dia tidak hina sama sekali di sisi Allah.  Berapa ramai orang yang ditimpa kemiskinan, papa kedana, pakaiannya bertapung-tapung, tetapi doanya diperkenan Allah.  Dalam hadis riwayat Abu Hurairah ra  Rasulullah saw bersabda:

رُبَّ أَشْعَثَ مَدْفُوعٍ بِالْأَبْوَابِ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ [6]

Terjemahan: “Ramai orang rambutnya kusut masai,  dinyah dari pintu-pintu rumah (kerana meminta-minta), andainya dia bersumpah kepada Allah nescaya dijayakan sumpahnya”.

Sabda Nabi lagi riwayat Harithan Ibn Wahb al-Khuza`i, katanya, sabda Nabi saw:


أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ الْجَنَّةِ ؟ كُلُّ ضَعِيفٍ مُتَضَعِّفٍ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ ، أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ النَّارِ ؟ كُلُّ عُتُلٍّ جَوَّاظٍ مُسْتَكْبِرٍ [7]

Terjemahan: Sukakah aku beritahu kepada kamu tentang ahli syurga?  (Mereka) ialah orang-orang yang lemah dan dipandang lemah,  jika dia bersumpah kepada Allah nescaya dijayakan sumpahnya.  Sukakah aku beritahu kamu tentang ahli neraka, (mereka) ialah  orang yang sombong dan diketahui umum kejahatannya serta  membesar diri.

Kekayaan tidak semestinya satu kemuliaan di sisi Allah kerana kadang-kadang diperolehinya melalui jalan yang tidak halal. Malah kemiskinan itu sendiri, mungkin disebabkan faktor-faktor yang di luar kehendak manusia, misalnya dia dilahirkan di negeri-negeri miskin, atau daripada ibu bapa yang miskin, maka dia jadi miskin kerana suasana negeri dan persekitaran tempat tinggalnya.

Kalau begitu, bagaimana kemiskinan boleh dijadikan ukuran kemuliaan dan kehinaan di sisi Allah?

         (89: 17) Anak yatim ialah kanak-kanak yang tiada bapa atau ibu dan bapa tempat mereka bergantung hidup.  Masyarakat Islam dari semua peringkat hendaklah mengambil tanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak yatim pada masa ketiadaan ibu dan bapa sama ada sebagai bapa, ibu, saudara kepada  anak-anak ini.  

   كَلَّا بَل لَّا تُكْرِمُونَ الْيَتِيمَ (17)

         [89: 17] Jangan begitu. Bahkan kamu tidak memuliakan anak yatim.

Perkataan Kalla, ertinya  Jangan berkata begitu, tidak benar apa yang kamu katakan. Kekayaan seseorang membuktikan dia dikasihi Allah dan kemiskinan pula membuktikan dia dibenci.  Tidak benar dakwaan ini kerana kekayaan dan kemiskinan merupakan ujian.  Calon yang gagal dalam ujian ini ialah mereka rosak jiwa dan fitrahnya, mereka tidak berminat sama sekali menolong fakir miskin, membantu orang kurang upaya dan suka mengambil harta tanpa mengira sumber sama ada halal atau haram.

Menghinakan anak yatim adalah satu amalan yang biasa berlaku dalam masyarakat yang mengutamakan kebendaan, masyarakat yang bergelumang dalam lumpur kebendaan, masyarakat yang mendewa-dewakan orang kaya kerana kekayaannya.

Amalan ini tidak secucuk dengan fitrah manusia yang dicipta supaya menyayangi orang yang lemah, terutama kanak-kanak yang masih suci dan tidak menanggung apa-apa dosa.  Jika anak-anak yatim itu tidak memiliki sebarang kuasa untuk melindungi dirinya daripada bahaya yang mengancam keselamatannya, tiada ibu dan bapa yang menyayangi mereka, maka alangkah kerasnya hati mereka yang menghina anak yatim dan berkasar terhadap mereka. Sepatutnya anak yatim mendapat pembelaan yang lebih tinggi dalam masyarakat Islam kerana mendapat ramai ibu dan ramai bapa setelah kehilangan satu ibu dan satu bapa.

Setiap orang yang mempunyai naluri yang bersih tetap menghukum, mana-mana individu yang bersikap ganas terhadap kanak-kanak, terutama anak-anak yatim kerana individu ini sudah hilang nilai-nilai kemanusiaannya.

Ukuran maju mundur sesebuah masyarakat boleh dilihat pada sikap individunya terhadap anak-anak yatim dan orang miskin kerana al-Qur`an mengakui bahawa sistem masyarakat itu rosak apabila anak-anak yatimnya menjadi sampah buangan, golongan miskinnya dihina.  Maju mundur sesebuah masyarakat tidak boleh diukur berpandukan slogan dan dakyah-dakyah palsu, tetapi hendaklah dilihat kepada sistem hidupnya yang bermotifkan kebajikan dan pembelaan terhadap masa anak-anak yatim yang tidak bersalah.

          (89: 18) Dalam masyarakat Jahiliyah yang meletakkan kebendaan sebagai kayu ukur,  nasib golongan miskin sangat malang kerana tiada suara yang sanggup membela nasib mereka yang terkapai-kapai di tengah-tengah lautan.

وَلَا تَحَاضُّونَ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ (18)

         [89: 18] Dan kamu tidak saling  menggalakkan untuk memberi makanan kepada orang miskin;

Siapakah orang miskin?  Mereka ialah orang seperti saya dan anda, tetapi disebabkan faktor-faktor tertentu memaksa saya dan anda menjadi miskin.  Mungkin faktor itu politik, bencana alam, kemalangan di jalan raya  dan  sebagainya.  Tidak sudikah anda menumpahkan belas kasihan kepadanya?  Bayangkan jika anda berada pada tempat mereka, anda juga terpaksa menagih kasihan belas daripada orang lain,    anda pasti tidak rela orang membiar diri anda hidup kebuluran.  Kalau begitu, tidak adil jika anda rela berlaku sesuatu yang anda tidak rela berlaku terhadap anda.

Layanan yang paling minimum terhadap orang miskin ialah memberi makan.  Layanan ini hanya menyamai layanan terhadap haiwan dan pokok-pokok.  Apakah manusia yang sama dengan anda itu boleh disifatkan sebagai haiwan, semata-mata kerana dia miskin sedangkan kemiskinan bukan pilihannya?

Ayat di atas menyebutkan mereka tidak saling  menggalakkan untuk memberi makan kepada orang miskin.  Ini menunjukkan betapa terbaliknya sebahagian masyarakat manusia daripada nilai-nilai kemanusiaan kerana mungkin sesorang itu bakhil untuk menghulurkan bantuan, tetapi tidak pula menggalakkan oarng lain supaya turut bakhil sepertinya.  Darjah orang yang dibicarakan dalam ayat ini nampaknya turun ke tahap yang paling rendah dan tiada yang lebih rendah daripadanya.

          (89: 19)Paling buruk lagi ialah manusia yang mengambil harta pesaka kepunyaan anak-anak yatim atau mengambil semua harta pesaka untuk dirinya sahaja tanpa memberi hak-hak waris yang lain, sebagaimana yang ditetapkan.

وَتَأْكُلُونَ التُّرَاثَ أَكْلًا لَّمًّا (19)

[89: 19] Dan kamu makan harta pusaka secara rakus.

Perkataan lamma, ertinya himpun semua bahagian menjadi satu.  Dalam bahasa Arab disebut لَم شَعْثَه  ertinya menghimpunkan juzuk-juzuknya yang terpisah. Maksud ayat di atas ialah rakus atau mengambil peninggalan pesaka sebelum dibahagikan kepada waris-waris ampunya peninggalan yang berhak mengambilnya.

          (89:20) Demikianlah melesetnya fahaman orang yang menyangka bahawa harta itu tanda kasih sayang Allah kepadanya, padahal kecintaan kepada harta kekayaan itu punca kebinasaan.

وَتُحِبُّونَ الْمَالَ حُبًّا جَمًّا (20)

[89: 20] Serta kamu pula sayangkan harta kekayaan secara berlebihan!

Dalam bahasa Arab disebutkan  جَمَ الْمَاءُ    ertinya air takungan yang berkumpul dalam satu bekas.  Seorang penya`ir menyebutkan:

إنْ تَغْفِر اللهُمَّ تَغْفرْ جَمَا ** وأي عَبْد لَكَ مَا أَلَما



Terjemahan:

Ya Allah ampunilah dosa semuanya,
Tiada hamba-Mu yang tidak melakukan dosa.

Demikianlah hinanya masyarakat yang mendewa-dewakan harta, nasib anak-anak yatim dan orang miskin diabaikan.

Pengajaran Dan Saranan

1: Manusia sewringkali berlaku salah faham terhadap kemiskinan dan kekayaan, mereka anggap orang yang kaya itu disayangi Allah dan orang miskin dibenci oleh-Nya, padahal kekayaan harta benda tidak kena mengena dengan kedudukan sebenar seseorang di sisi Allah.

2: Allah mengecam keras terhadap sikap sesetengah orang yang berhati batu terhadap anak-anak yatim, golongan miskin dan orang yang tidak berada kerana sanggup mengambil harta kepunyaan orang lain dan menukar menjadi miliknya.

3:Wajib berlaku ihsan terhadap anak yatim dengan membantu keperluan mereka serta menggalakkan orang ramai memberi kerjasama pada amal kebajikan terhadap anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).

4:Wajib diuruskan harta pesaka dengan cara yang baik dengan membahaginya kepada pihak-pihak yang di tentukan hak-hak mereka padanya, tanpa mengira adapt dan gender.

5: Allah mengtingatkan manusia agar tidak mengumpulkan harta secara tamak haluba, sehingga menyebabkan hati menjadi keras dan kejam.  Mereka juga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan daripada kelemahan anak yatim untuk merampas harta benda mereka dengan segala macam hailah dan tipu daya.


Sila nyatakan nama dan alamat penuh jika ingin mendapatkan  jawapan komen dari penulis Terima kasih



[1]al-Mu`minun: 56.
[2] al-Naml: 40.
[3] Al-Anbiya`: 35.
[4] Al-Naml: 16.
[5] Beliau ialah al-Hasan ibn Hani`, penya`ir khamariyyat yang ulung, dikatakan bertaubat pada akhir usianya. Beliau dilahirkan di Khuzistan, Selatan Iran pada tahun 145 H dan wafat pada tahun 199 H.
[6] Muslim, al-Birr wa al-Silah, Fadl al-Du`fa`, hadith (4761) daripada Abd al-Rahman ibn Saklhr.  Isnad hadith ini Hasan, rijalnya thiqat, kecuali Suwaid ibn Sa`id al-Harawi yang dikatigorikan sebagai Saduq Ukhti` Kathiran.
[7] Bukahri, al-Tafsir, Surah Nun, hadith (4564) daripada Hathah ibn Wahb al-Khuza`i.Isnad hadith Murttasil, rijalnya thiqat mengikut Syarat al-Bukhari.

No comments: