Wednesday, December 7, 2011

KRISIS AKIDAH DALAM MASYARAKAT ISLAM


Isu  takfir  dalam masyarakat  Islam  adalah sebahagian daripada krisis akidah yang menular ke dalam masyarakat Islan Malaysia sejak kebelakangan ini.  Ia juga merupakan  suatu fenomena yang bukan baru dalam sejarah pemikiran Islam.  Sesetengah penyelidik berpendapat ia berlaku selepas kewafatan Radsulullah, kemudian menjadi subur pada beberapa zaman selepasnya, iaitu lanjutan  daripada  krisis tentang tentang khilafah  dan Imamah.

Kita ikuti ulasan Hafiz Ibn Hajar (852 H.) tentang hakikat iman dalam kitabnya Fath al-Bari Syarh al-Bukhari, katanya:  Menurut beliau, ulama salaf berpendapat, iman  kepada  Allah  ialah tasdiq (percaya) dengan  hati  kepada kewujudan-Nya  dengan sifat-sifat  Uluhiyyah  dan  Rububiyyah-Nya, mengucap  dua  kalimah syahadah dengan lidah dan  melakukan  amal ibadat dengan anggota.  Keperluan kepada amal ibadat  menutut Ibn Hajar  hanya  sebagai pelengkap kepada tasdiq  (kepercayaan  hati). Lanjutan dari  pengertian  ini, ulama salaf  berpendapat,  iman  bertambah dan berkurangan dengan  bertambahnya  ibadat dan  berkurangnya iman dengan  sebab  berkurangnya ibadat.  Golongan Murji`ah berpendapat:  Iman ialah tasdiq dengan hati dan  pengakuan dengan lisan sahaja.  Amalan pada  mereka  tidak mempunyai apa-apa peranan dalam iman. 

Golongan Karramiyyah  pula berpendapat:   Iman  hanya memadai dengan  iqrar  (pengakuan  lidah sahaja,  sedangkan Mu`tazilah pulah berpendapat iman terdiri dari gabungan  antara  tasdiq,  amal  dan  iqrar.   Perbezaan   antara Mu`tazilah dengan golongan Salaf adalah tentang fungsi amal, sama ada ia sebagai syarat sah iman, iaitu mengikut pendapat  Mu`tazilah,  atau  sebagai pelengkap iman seperti pendapat  Salaf.   Ibn Hajar selanjutnya menjelaskan, sama ada amal sebagai  penyempurna atau  sebagai  syarat  sah iman, hanya  berbeza  apabila  dirujuk kepada  ilmu Allah.  Adapun pada pengetahuan manusia, iman  hanya iqrar (pengakuan) sahaja; sesiapa yang mengaku muslim dan  mengucap  dua  kalimah  Syahadah, maka ia diakui  sebagai  muslim  danhendaklah  dilakukan  ke  atasnya  hukum-hukum  sebagaimana  yang sepatutnya dilakukan terhadap orang muslim, ia tidak lagi dihukum kafir,  kecuali  setelah   ternyata  padanya  amalan-amalan  yang menunjukkan sebaliknya, seperti menyembah berhala dan sebagainya. (Lihat Fath al-Bari Syarh al-Bukhari 1/46)


Ulasan Hafiz  Ibn  Hajar ini menunjukkan  tafsiran  tentang hakikat  iman  ini adalah berlaku setelah  berlelalunya  beberapa zaman keemasan Islam.  Menurut kebanyakan ulama Islam, Dua  kalimah syahadah merupakan pintu masuk agama Islam.  Orang  kafir dikira  termasuk  dalam golongan umat Islam,  sebaik sahaja mereka mengucap dua kalimah dengan sedar dan rela hati, sekalipun pada ketika itu dia belum lagi menunaikan  kewajipan-kewajipan sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain kerana  ibadat-ibadat ini tidak diterima sebelum seseorang itu memeluk Islam.

Pengucapan  dua kalimah syahadah ini juga  melindungi  darah dan  harta  benda seseorang dari  sebarang  pencerubuhan.   Dalam hadith  riwayat Bukhari dan Muslim daripada Umar  Ibn  al-Khattab (r.a.) menyatakan:

           “Apabila  mereka  menyebut dua kalimah  syahadah,  maka terpeliharalah darah dan harta benda mereka dari  gangguanku,  kecuali  dengan hak kalimah itu  juga,  sedang hisab  terhadap  mereka  selanjutnya  terpulang  kepada Allah”.

Pada  masa-masa yang akhir ini, dalam gerakan  Islam  sering kedengaran  tuduhan  takfir terhadap  orang Islam, sekalipun mereka mengucap dua kalimah syahadah, antaranya  disebabkan kelainan ideologi politik,  perbezaan  keutamaan dalam dakwah  dan ada juga disebabkan  berbeza  metodologi dan  penguasaan  ilmu.  Takfir  sering  terjadi antara penyokong-penyokong Sunni dan Syi`ah, malah berlaku juga antara sesame Islam kerana berbeza sikap terhadap  Sayyidina Ali, walaupun sama-sama mengucap dua  kalimah syahadah  yang  serupa, pernah berlaku  dalam  parti-parti politik, kerana berbeza pendekatan mereka tentang kaedah  penghayatan  Islam.  Dalam negara kita Malaysia juga  tidak  terkecuali daripada wabak ini, walaupun keadaannya terkawal dan tidak keterlaluan.

Antara faktor berlakunya tuduhan takfir  ini, kerana terpengaruh  dengan  beberapa  buku dakwah  semasa  yang  disalah tafsir  atau dibaca tanpa guru yang mampu memberi bimbingan sehingga  menjadikan pembacanya  yang  terdiri dari golongan  muda  yang   bersemangatslam  kehilangan arah.  Akibatnya mereka tidak lagi  menghormati persaudaraan  Islam,  batas-batas iman dan kufur yang  sebenarnya menjadi keliru.

Dalam konteks pengucapan dua kalimah syahadah yang merupakan pintu masuk agama Islam. Golongan ini berpendapat,  orang  Islam jadi kafir kerana mereka mengucap dua kalimah syahadah, tetapi tidak memahami tuntutannya dan tidak beramal dengan syariat Allah yang  terkandung dalam pengakuan syahadah yang diucapnya.   Orang-orang  ini dihukum  kafir, sekalipun mereka mengerjakan  sembahyang,  puasa, zakat  dan haji serta mengakui dirinya muslim.  Pemikiran  mereka ini  diperkukuhkan  pula dengan logik akal.   Antara  logik  yangmereka  gunakan ialah,  bekas gula yang berisi garam, pada  luarnya  bertulis gula,  ia tetap tidak  mengubah  hakikat garam yang sebenarnya.  Tambah mereka lagi:  Pesakit yang  diberi kepadanya ubat, sedangkan dia enggan mengambilnya, ubat tidak akan memberi apa-apa faedah baginya, sekalipun ida mendakwa telah mengambilnya.

Ada dua sumber bacaan yang berkemungkinan ada kaitan  dengan alasan yang dipegang golongan ini dalam menangani isu takfir terhadap  orang yang mengucap dua kalimah syahadah seperti yang dikemukakan, iaitu:


1)   Buku  berjudul al-Mustalahat  al-Arba`ah  fi  al-Qur`an karya  Abu al-A`la al-Mawdudui, pemimpin pertubuhan Jama`t  Islam Pakistan.   Beliau dalam bukunya itu mengulas pengertian  sebenar istilah-istilah   al-Ilah  (Tuhan),  al-Rab  (Tuan),   al-`Ibadah (peribadatan)  dan al-Din (agama).  Menurutnya:  Umat Islam  kini telah menyimpang jauh dalam memahami istilah-istilah itu, seperti yang  dimaksudkan dalam al-Qur`an, sehingga akidah  mereka  tidak sahih  lagi.  Perkataan al-Ilah membawa erti Tuhan,  dengan  erti apabila  seseorang  mengucap  Asyhadu an  La  Ilaha  Illa  Allah. Maksudnya,  tiada  Tuhan yang  disembah  dengan  sebenar-benarnya melainkan  Allah.  Persaksian atau pengakuan ini membawa  maksud, menolak  apa jua peraturan, undang-undang dan sistem selain  dari hukum  dan peraturan Allah, pada ketika itu, tiada suatupun  yang dipersekutukan dengan Allah. (Lihat al-Mustalahat al-Arba`ah, dar al-Qalam, Kuwait, halaman 8).


Dari  ulasan al-Mawdudi tentang perkataan al-Ilah ini  difahamkan bahawa:


a)        Kita  tidak  boleh memperakukan  seseorang  itu  sebagai Muslim  semata-mata  dengan  Iqrar dua  kalimah  syahadah,  tanpa mengetahui makna dan mematuhi segala tuntutannya.

b)      Amalan menerima hukum dan peraturan bukan Islam membukti kanmereka tidak  memahami syahadah mereka, atau  mereka  sengaja mengingkarinya.


2)   Pemikiran al-Mawdudi ini diterima tanpa  bantahan  oleh Sayed Qutub, salah seorang pemimpin gerakan Islam di Mesir,   ini dapat diikuti dalam buku-bukunya seperti Ma`alim fi al-Tariq  dan Tafsir  Fi  Zilal  al-Qur`an.

Kita peturunkan  di  sini  beberapa ungkapan  Sayyid  Qutub  yang ada kaitan  dengan  persoalan  ini, misalanya kata beliau: "Perkataan al-Ilah di dalam syahadah itu diketahui  masyarakat  Arab  bahawa ia suatu cara hidup yang meruntuh  segala  asas Jahiliah yang mereka tegakkan di atasnya segala undang-undang dan peraturan, segala kepentingan dan kedudukan mereka.  Mereka sedar bahawa  sifat  agama  Islam, tidak menerima  tampalan  dan  tidak secucuk  dengan unsur-unsur peraturan bumi yang tidak lahir  dari sumber peraturannya yang diturun dari langit. (Fi Zilal al-Qur`an 8/502 Lihat juga Ma`alim, hal. 20.).
            Katanya lagi: Hakikat tasdiq (percaya) kepada agama,  bukan semata-mata ucapan yang ditutur lidah, tetapi ianya satu  perubahan  dalam  hati yang mendorong seseorang  membuat  kebaikan  dan berbakti kepada saudara sesama manusia yang memerlukan  pemeliharaan  dan naungan.  Allah tidak menghendaki kata-kata dari  manusia,  tetapi  Allah mahukan dari  mereka  tindakan-tindakan  yangmengotakan  kata-kata mereka.  Tanpa tindakan,  kata-kata  kosong dan tidak mempunyai sebarang nilai". (sumber terdahulu 8/680).


Beberapa kesimpulan boleh diambil daripada bicara ini:

*   Penentuan sama ada seseorang itu mukmin atau kafir,  sah atau  tidak  syahadahnya, haruslah bersandar  kepada  dalil-dalil yang kukuh, iaitu daripada al-Qur`an dan al-Sunnah.  Dalam hadith banyak  meriwayatkan tentang persoalan berkaitan iman dan  kufur. Baginda  Rasulullah  (s.a.w.) tidak  pernah  menghukum  seseorang muslim  itu  kafir, semata-mata kerana ia  tidak  beramal  dengan hukum-hukum syarak.  Dalam ruangan yang terbatas ini  dikemukakan satu hadith sahaja, iaitu:


Hadith  riwayat Muslim daripada Ubadah bin  al-Samit  (r.a.) yang  mermaksud:   Kami berbay`ah dengan Rasulullah  untuk  tidak melakukan  syirik, tidak mencuri, tidak melakukan zina dan  tidak membunuh  anak-anak kami.  Sesiapa yang  menyempurnakannya,  maka pahalanya terpulang kepada Allah, dan sesiapa yang  melakukannya, kemudian  dikenakan  hukuman, maka hukuman itu  sebagai  kaffarah (pencuci)  dosanya, sesiapa yang ditutup kesalahannya  itu,  maka terpulang  kepada Allah, sama ada menyiksa atau mengampuni  dosanya.


Daripada hadith ini, Fuqaha` Islam termasuk Ibn Hazm menarik perhatian bahawa iman terbukti dengan mengucap dua kalimah syahadah.  Adapun pelaksanaan amalan hanya bertindak sebagai pelengkap kepadanya jua.


Walaupun penulis  sangat kagum dan mencintai  perjuangan  dan kehebatan ilmu dua tokoh pemimpin Islam al-Mawdudi dan Sayyid Qutub, namun kalau pun benar mereka berpendapat bahawa orang yang hanya mengucap dua kalimah  syahadah, tetapi tidak melaksanakan  hukum-hukum  syarak itu  sebagai  kafir, maka saya kira pendapat itu  hanya  pendapat peribadi yang tidak boleh mengatasi keterangan yang jelas daripa da hadith Sahih, antaranya ialah yang dinyatakan di atas.

Sehubungan ini Imam Malik pernah menyatakan, bahawa pendapat  setiap  orang  boleh diterima atau ditolak,  kecuali  sabda  Nab(s.a.w.)  yang  pasti diterima.  Bagaimanapun  kita  berkeyakinan bahawa  al-Mawdudi dan Sayed Qutub telah melakukan suatu  ijtihad yang  mempastikannya mendapat ganjaran yang  sewajarnya  daripada Allah.   Jika  ijtihadnya  tepat, ia mendapat  dua  pahala,  jika sebaliknya maka ia mendapat satu pahala.

*   Buku-buku  al-Mawdudi dan Sayed Qutub  adalah  buku-buku yang lebih cenderung kepada dakwah, ia tidak termasuk dalam buku-buku  rujukan tentang hukum.  Permasalahan di atas  adalah  lebih berkaitan  dengan  hukum yang lebih tepat dirujuk  kepada  pakar-pakar yang lebih kuat autoriti tentangnya.  Sehubungan ini,  kita dapati  Sayed Qutub sendiri tidak berminat menyentuh  soal  hukum apabila beliau menarik diri dari terus membincang persoalan  yang membabitkan  hukum dan batas-batas pemisah antara iman dan  kufur dan  masalah-masalah  yang berkaitan mu`amalat  Islam  (Lihat  Fi Zilal al-Qur`an 8/680 dalam tafsiran surah al-Mutaffifin).

*   Kaedah-kaedah logik dan pemikiran rasional seperti  yang diungkapkan bahawa bekas gula yang diisi garam, tidak akan mengubah  isi garam di dalamnya, sekalipun pada kulit luarnya  ditulis gula,   tidak  harus mendasari hukum-hukum dalam  akidah,  kerana pemikiran  logik selalunya berdasarkan pencaendera, bagi  membuat keputusa,  sedangkan  permasalahan akidah tidak  mungkin  difikir akal dengan sempurna.  Justeru itu ia hendaklah berdasarkan wahyu sama ada al-Qur`an atau hadith-hadith sahih.


Sekian Wabi Lah al-Hidayah wa Tawfiq


nota
Segala pertayaan kepada penulsi hendaklah sekurang kurangnya mengandungi nama penuh