Wednesday, September 12, 2012

SUMBANGAN TOK KENALI KEPADA GERAKAN TAJDID ISLAM DI KELANTAN

Pendahuluan

Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak pentadbiran Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menyampaikan sebuah syarahan mengenai kecemerlangan dalam akademik. Bagi memenuhinya, saya memilih tajuk:

Kecemerlangan Dalam Akademik: al-Imam al-Shaikh Muhammad Yusuf Kenali Sebagai Contoh.

Tuan-tuan mungkin bersama-sama saya pada pagi ini untuk memperakukan kecemerlangan akademik tokoh ini kerana dari sudut mana sekalipun kegiatan ilmiah beliau dinilai, nescaya terang dan bercahaya. Justeru, saya bersedia untuk tampil di sini pada momen ini untuk berkongsi bicara, mudah-mudahan saya juga termasuk dalam kumpulan penonton yang pernah mengungkap serangkai syair berikut:

أُحِبُّ الصَّالِحِيْنَ وَلَسْتُ مِنْهُمْ ** لَعَلَّ اللَه يَرْزُقُنِيْ صَلاَحًا

Ku cintai insan salih, meskipun aku bukan orangnya, kepadaMu ya Allah ku pohonkan doa, semoga aku juga bersama mereka.”

Saya melihat ada beberapa faktor, ketokohan Tok Kenali wajar diperkatakan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang yang diadakan pada hari ini kerana:

Pertama: Hampir keseluruhan ulama dan pelajar-pelajar agama di Malaysia hari ini mempunyai nasab akademik dengan tokoh agung ini, kerana ilmu yang pernah dipelajari, sama ada dalam halaqah ilmiah tradisional atau sekolah-sekolah aliran moden, pasti ada hubungannya dengan Tok Kenali , sama ada secara langsung atau tidak langsung. Mengenang budi kepada orang yang pernah berjasa memang menjadi ukuran kemuliaan kita.

Kedua: Sepanjang pengetahuan saya, kajian tentang sumbangan ulama seperti Tok Kenali, terlalu sedikit diperkatakan. Sekalipun bidang pengajian kita banyak bertemu dengan pengajiannya. Hasil pengajiannya banyak terabai. Kalaupun pernah dikaji, hanya tidak lebih dari mencatatkan berapa orang anak dan berapa isteri yang ditinggalkan.

Sesungguhnya rantau ini atau lebih tepat disebut Nusantara mempunyai ramai ulama yang merupakan imam pada zamannya. Nama-nama mereka mungkin telah diperkenalkan, tetapi ilmu mereka masih tersembunyi. Tokoh-tokoh seperti Muhammad Mahfuz al-Tarmusi, seorang tokoh hadis yang kaya dengan karangan-karangan asli dalam bahasa Arab, Muhammad Nawawi al-Jawi, tokoh tafsir al-Qur`an dan pengarang kitab Marah Labid atau al-Tafsir al-Munir, Syeikh Yasin `Isa al-Fadani, pengulas Sunan Abu Dawud, Sayyid Hasan al-Khurasani, pengulas Sahih al-Bukhari dan ramai lagi tokoh-tokoh Nusantara yang hebat pada zamannya. Semuanya pernah mengarang berjilid-jilid kitab dalam berbagai-bagai bidang ilmu.

Kitab-kitab dan hasil tinggalan mereka terutama yang ditulis dalam bahasa Arab itu seharusnya dijadikan sumber ilmu, pemikiran mereka sepatutnya menjadi penghubung antara generasi kini dan silam. Akademi Pengajian Islam, terutama Jabatan al-Qur’an Dan Hadis mungkin sesuai untuk mengambil tanggungjawab membariskan nama-nama mereka dalam senarai tokoh yang perlu dikaji pemikirannya sama ada pada peringkat pengajian sarjana atau Ph.D.

Tokoh seperti Tok Kenali ini mungkin dianggap kecil berbanding tokoh-tokoh silam sebelumnya, tetapi sedarkah kita, kadang-kadang bawang besar menjadi kecil, kerana iklimnya belum cukup sesuai untuk memenuhi ukuran sebenarnya atau memang memang Tok Kenali sudah cukup besar, hanya masyarakat belum mampu menilai hakikat sebenarnya.

Kelahiran dan Pendidikan

Tok Kenali dilahirkan di negeri Kelantan pada awal abad ke 20 Masehi atau pertengahan abad ke 14 Hijrah. Negeri Kelantan, sama juga dengan negeri-negeri lain di semenanjung Tanah Melayu, termasuk antara negeri yang bernaung di bawah pemerintahan British. Sebelum itu, negeri ini pernah bernaung di bawah pemerintahan Siam, iaitu antara tahun 1800-1890 M. Suasana dalam negeri ini, terutama dalam beberapa dekad pertama abad ke 20 M., tidak banyak membantu untuk kedamaian hidup rakyat biasa, baik dari segi agama, politik, sosial mahupun ekonomi.

Walaupun abad ke 20 M. baru sahaja berlalu, namun banyak peristiwa penting dari segi sejarah negeri Kelantan tidak tercatat dengan sempurna, sebahagiannya hanya terpaku dalam ingatan orang-orang tua, manakala sebahagian yang lain pula ada dalam catatan, tetapi tidak lengkap sebagaimana sepatutnya, justeru itu, untuk mengkaji peranan seseorang tokoh penting seperti Tok Kenali, tidaklah mudah dilakukan.

Untuk mengetahui sepintas lalu zaman awal kehidupan Tok Kenali, saya cuba petik beberapa peristiwa yang berlaku pada awal abad ke 20 M., mungkin ada hubungannya dengan suasana politik, agama, sosial, pendidikan dan ekonomi negeri Kelantan pada ketika itu. Saya tidak berminat memberi sebarang komen terhadapnya, hanyalah sekadar mengimbas kembali beberapa peristiwa yang berlaku ketika Tok Kenali masih hidup. Gerakan tajdid atau sumbangan ke arah pentajdidan Islam dan program yang disusun Tok Kenali mungkin ada relevannya dengan kejadian-kejadian itu.

Peristiwa pertama: Muhammad Yusuf bin Soleh al-Kelantani mencatatkan bahawa pada hari jumaat, 23hb. Zulkaedah, 1328, bersamaan November, 1910 diadakan pelagaan (penyabungan) harimau dengan kerbau di dalam jil (penjara) buruk, Jalan To’ Hakim, Kota Bharu. Seekor harimau yang berwarna hitam yang dibawa ke Kelantan oleh orang Putih. Kerbau itu, seekor kerbau balar jantan dari Kelantan .

Peristiwa kedua: Dalam sumber yang sama menyebutkan, Muhammad Yusuf bin Soleh melaporkan, katanya: maka adalah di dalam bulan Rejab, 1333 Hijrah, bersamaan 1915 Masihi, berlaku huru-hara pergaduhan di dalam jajahan Pasir Puteh, Kelantan, yang disebut-sebut orang dengan kata-kata (peristiwa) musuh To’ Janggut. Pergaduhan ini dikatakan berlaku kerana membantah keputusan kerajaan mengenakan cukai tanah kepunyaan mereka.

Peristiwa ketiga: Dalam Pengasuh keluaran pertama melaporkan: lebih kurang jam pukul 3.00 petang hari Ahad 13. Ramadan, 1336, bersamaan 23 Jun, 1918 telah berlaku perkelahian tembak menembak yang dahsyat di Kampung Kadok (10 batu dari Kota Bharu) di antara pihak Che Long kepala penjurit yang masyhor serta seorang kawannya bernama Encik Ngah, berlawan dengan pihak Encik Ismail penggawa (penghulu) daerah Kadok. Maka pada akhirnya Che Long serta kawannya itu dapat ditangkap dan dibawa turun ke Kota Bharu pada malam itu juga, kemudian daripada ia terkena tembak di perutnya dan mati di dalam hospital. Adapun kerugian di sebelah pihak penggawa itu ialah bapanya dan bapa saudaranya, kedua-duanya telah mati terkena peluru Che Long itu .

Peristiwa keempat; Nik Ab. Aziz Nik Hasan, dalam bukunya Islam di Kelantan melaporkan bahawa pada tahun 1937, satu perdebatan terbuka diadakan di Istana Seri Cemerlang, Kota Bharu, yang diwakili Haji Wan Musa bin Haji Ab. Samad (1874-1939), Haji Abbas Taha dan Dr. Burhanuddin al-Helmi di satu pihak dan Haji Ibrahim Haji Yusuf (1872-1952, Haji Ahmad Mahir bin Haji Ismail (1904-1928), Haji Abdullah Tahir Haji Ahmad (1897-1961), Haji Ahmad Manan di satu pihak yang lain. Tajuk perdebatan ialah tentang jilatan anjing, sama ada najis dan wajib disamak atau suci dan tidak wajib disamak, bahkan harus disembelih dan dimakan .

Laporan-laporan ini membayangkan suasana di negeri Kelantan waktu itu tidak damai dalam erti kata sepenuhnya, pemikiran tidak sekata, sama ada dari segi politik, sosial, ekonomi mahupun pendidikan agama. Suasana ini tidak mudah bagi seseorang pemimpin memulihkan dalam masa yang singkat, apalagi jika pihak-pihak yang terlibat itu mewakili beberapa institusi dan pemimpin yang berpengaruh dalam masyarakat dan aktif sebagai ulama.

Dalam suasana gawat dan serba payah inilah Tok Kenali atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf bin Muhammad dilahirkan, kadang-kadang nama beliau disebut juga ‘Awang Kenali’ . Beliau dilahirkan pada tahun 1287 H., bersamaan 1868 M. Muhammad Yusuf atau Tok Kenali mendapat pendidikan awal di Kota Bharu pada beberapa orang guru seperti Haji Ismail bin Haji Mahmud, Haji Wan Ali bin Wan Abdul Rahman Kutan (1837-1912 M.) dan Tuan Padang.

Pada tahun 1886 M., ketika berusia 18 tahun, Tok Kenali dihantar ke Makkah untuk melanjutkan pelajaran, di sana beliau berguru pada gurunya yang terkenal di Tanah Suci pada waktu itu, iaitu Haji Muhammad bin Muhammad Zain al-Fatani. Selepas 20 tahun berada di Makkah, maka pada tahun 1328, beliau pulang ke tanah air dan diterima sebagai ulama, aktivis masyarakat, pendidik, penulis, penterjemah dan guru halaqat di Pondok Kenali dan Majid Muhammadi, Kota Bharu.

Justeru ketokohan Tok Kenali yang dihormati dan kewibawaannya tinggi, beliau diberi kepercayaan memegang beberapa jawatan penting dalam negeri, seperti Ketua Pelajaran Agama Kelantan, Ahli Majlis Agama Islam Kelantan, Pengasas al-Jam`iyyah al-`Asriyyah, Kota Bharu, Ketua Pengarang Majalah Pengasuh dan penterjemah Kitab Tafsir Lubab al-Ta’wil fi Ma`ani al-Tanzil, karangan Imam Abu al-Hasan `Ali ibn Muhammad ibn Ibrahim atau lebih dikenali dengan Tafsir al-Khazin (678-841 H.) . Beliau juga ditugas menyusun struktur pengajian Nahu dan tatabahasa Arab, dengan kerjasama murid kanannya, Tuan Guru Haji `Ali Salah al-Din (1899-1968 M.) .

Tugas-tugas besar seperti yang diamanahkan itu, tidak ramai orang yang sanggup memikulnya, kecuali mereka yang jiwanya juga besar, malah sebelum ini belum ada tokoh yang sanggup melaksanakan tugas-tugas seumpama itu. Kesanggupan Tok Kenali dan kemampuan beliau melaksanakan amanah yang diserahkan kepadanya, membuktikan beliau mempunyai kemampuan yang luar biasa, kemampuan ini mewajarkan beliau diberi gelaran al-Muslih al-Dini (Pembaik Pulih Agama) dan Reformis Kelantan. Akhlak dan budi pekerti beliau yang mulia, serta kezuhudan yang tinggi sangat membantu kerja-kerja islah yang diperjuangkannya, sehingga perubahan sebagaimana yang dicita-citanya itu berhasil atau hampir berhasil.

Mujaddid Islam Nusantara

Ada dua bidang kerjaya Tok Kenali yang utama, iaitu mengajar dalam halaqat dan mendidik generasi pelapisnya dengan kemahiran membaca teks Arab dan memahami kitab-kitab turath (tinggalan ulama silam) dalam pelbagai bidang ilmu dengan sempurna. Bidang kedua ialah, mentadbir, menulis dan menjalani aktiviti kemasyarakatan yang lebih mencabar berbanding bidang pertama. Dua lapangan kerja yang dikendalikan oleh Tok Kenali ini pada hemat saya mewajarkannya untuk digelar Shaikh al-Jil (Mahaguru Angkatan), kerana dalam bidang pertama, beliau berjaya melahirkan ramai ulama pelapis hasil didikannya, sama ada di dalam atau di luar Kelantan. Bidang kedua pula, tidak kurang juga kejayaannya, sama ada dalam pentadbiran mahupun penulisan.

Aktiviti dan pembaharuan yang dilakukan Tok Kenali kepada negeri Kelantan, terutama dalam memperkukuhkan institusi pengajian halaqat mewajarkannya untuk digelar reformist atau mujaddid Islam Kelantan pada abad ke 20 ini, atau sekurang-kurangnya program dan aktiviti beliau itu adalah sumbangan ke arah mentajdidkan pemikiran Islam Kelantan yang kemudiannya disempurnakan pula oleh golongan pelapis yang merupakan anak-anak didik Tok Kenali.

Kewajaran Tok Kenali sebagai muslih atau mujaddid Islam di Kelantan boleh diperdekatkan dengan sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis riwayat Abu Hurayrah r.a. :

اِنَّ اللهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الأُمَّةِ عَلى رَأْسِ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِيْنَهَا

Sesungguhnya Allah membangkitkan bagi umat ini pada setiap awal seratus tahun orang-orang yang membaharui agamaNya.

Hadis ini membayangkan Islam tidak akan dibiar tanpa mujaddid yang membaharuinya. Islam tetap berterusan dengan khidmat ulama yang bertanggungjawab dengan kawajipan tajdidnya.

Membaharui atau mentajdidkan agama, tidak bermakna membawa sesuatu yang baru, tetapi maksudnya ajaran Islam yang sedia ada diberi pendekatan yang baru, sesuai dengan zaman dan waktu yang berubah-ubah. Tajdid lebih merupakan baik pulih sebuah rumah lama yang terbiar, kini rumah itu dicat dan diberi warna baru supaya kelihatan lebih menarik dan menawan hati lebih ramai orang.

Membaharui Islam boleh dilakukan melalui usaha seorang individu, seperti yang dilakukan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz, atau imam-imam mazhab yang terkemuka seperti Imam al-Syafi`i dan lain-lain. Tafsiran ini diterima kebanyakan ulama bagi hadis di atas. Ada ulama berpendapat, tajdid di samping usaha individu, boleh juga dilakukan secara kolektif dan jama`i, sama ada dalam sebuah atau beberapa buah negeri yang berkerjasama untuk kepentingan Islam. Cara ini mungkin berlaku melalui sebuah madrasah atau aliran pemikiran tertentu. Demikian pendapat beberapa tokoh ulama semasa, termasuk al-Allamah al-Mujtahid Dr., Yusuf al-Qaradawi dalam beberapa tulisannya tentang ijtihad dan tajdid. Malah ada kemungkinan ruang lingkup dan geografi negara tempat bertajdid berbeza-beza iklim dan ukuran antara satu dengan lain-lain .

Sesungguhnya, dengan pengertian tajdid secara jama`i dan kolektif, saya tidak meyimpan sebarang keraguan terhadap Tok Kenali sebagai mujaddid atau muslih agama di negeri Kelantan dalam abad ke 14 H. Ciri-ciri tajdid yang diperjuang atau yang ditinggal Tok Kenali disambung oleh murid-murid pelapis dan anak-anak didiknya seperti Muhammad Idris al-Marbawi (1894-1990), Haji `Ali Salah al-Din (1899-1968), Haji Abdullah Tahir Haji Ahmad (1897-1961), Haji As`ad Haji Daud (1886-1941), Haji Ya`qub Haji Ahmad (1893-1956), Sheikh Uthman Jalaluddin (1867-1952) dan lain-lain.

Walaupun negeri Kelantan yang bergelar serambi Mekah itu mendapat habuan yang lebih besar daripada kesan reformasi dan pembaharuan Tok Kenali, namun negeri-negeri lain di rantau ini juga tetap mendapat habuan, kerana ilmu dan pemikirannya bukan milik anak-anak dan keluarganya, ia milik semua pencinta ilmu. Justeru ilmunya dengan cepat tersebar di segenap pelusuk negara, melalui murid-muridnya yang datang dari setiap negara di rantau ini, malah tulisan-tulisannya dalam Pengasuh sewaktu beliau menjadi ketua pengarangnya adalah berkaitan dengan permasalahan umat Islam secara global dan menyeluruh. Ini diperkukuhkan lagi dengan bahan-bahan bacaan yang sangat diminati beliau seperti al-Manar, al-`Urwat al-Wuthqa yang diterbitkan oleh gerakan tajdid pimpinan Jamaluddin al-Afghani (1838-1897 M.), muridnya Muhammad Abduh (1849-1905 M.) dan al-Sheikh Muhammad Rasyid Ridha (1865-1935 M.) . Semangat Islah yang disebar melalui majalah-majalah ini, dipercayai banyak mempengaruhi pemikiran Tok Kenali.
Antara ciri-ciri tajdid dan islah yang diperjuang Tok Kenali dapat dikenalpasti pada bidang-bidang berikut:

1. Mengasaskan pengajian Nahu Arab melalui sistem pengajian yang betul, dan melahirkan ulama-ulama pelapis yang mantap dalam kefahaman teks-teks Arab berpandukan Nahu dan bahasa Arab.

2. Mengembalikan suasana yang jernih, apabila menghadapi kebuntuan dan menghadapi perbezaan pendapat dalam menentukan hukum. Beliau lebih suka memilih jalan berkecuali dan tidak berminat masuk campur padanya. Majlis perdebatan jilatan anjing adalah sebaik-baik bukti. Tentang sejauh mana kemampuan beliau dalam ilmu Fekah, akan dibincang dalam artikel selanjutnya insya-Allah.

Beliau membuktikan bahawa ulama mampu menjadi pemimpin, bahkan beliau adalah pemimpin yang turun padang bersama masyarakat.

3. Menunjukkan cara hidup hidup kaum sufi akhlaqi yang zahid tetapi berkerja, warak tetapi mencampuri masyarakat dan urusan pentadbiran.

Pengajian Bahasa Arab

Nama Tok Kenali disinonimkan dengan ilmu Nahu atau tatabahasa Arab, malah beliau diberi gelaran Sibawayh pada zamannya. Oleh itu tidak hairan, jika agenda memperkukuhkan Pengajian Bahasa Arab menduduki tempat pertama dalam program islah Tok Kenali.

Kecemerlangan Tok Kenali terserlah apabila beliau berjaya menemui penyakit yang bakal diubatinya, iaitu kelemahan Bahasa Arab yang menjadi nadi kekuatan seseorang ahli akademik. Dari sini beliau memulakan karier akademiknya dengan mendidik generasi pelapis yang bakal menguasai ilmu-ilmu Islam.

Usaha ini merupakan titik pertemuan antara beliau dengan gurunya al-Sheikh Muhammad bin Muhammad Zayn al-Fatani dalam mengatur gerakan islah. Dengan kata lain Imam Muhammad Yusuf adalah pewaris tunggal ilmu dan perjuangan gurunya. Walaupun masih banyak keistimewaan gurunya yang tidak dimiliki Imam Muhammad Yusuf, namun tidak kurang juga keistimewaan Imam Muhammad Yusuf yang tidak dimiliki gurunya. Masing-masing mempunyai kelebihan yang dianugerah Allah kepada sesiapa jua yang disukainya.

Perlu disebutkan di sini, Sheikh Wan Muhammad Muhammad Zayn, di samping seorang ulama terkenal pada zamannya, adalah juga pengarang beberapa buah kitab, dalam bahasa-bahasa Arab dan Melayu dalam pelbagai bidang ilmu, antaranya kitab Nahu yang sangat popular di kalangan pelajar-pelajar halaqat, berjudul Tashil Nayl al-Amani. Imam Muhammad Yusuf Kenali sangat disayangi gurunya itu, beliau pernah diamanah menjawab kemusykilan agama bagi mengganti gurunya. Justeru kita tidak memiliki bahan bertulis tentang sejarah dua tokoh guru dan murid ini, segala berita, hanya bersumberkan cerita mulut yang didengar daripada murud-murid dan kenalan rapat beliau yang masih hidup, di sini dibawa beberapa kisah:

Pada tahun 1322 H./1903 M. Tok Kenali menemani gurunya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zayn melawat negara Mesir. Nama Sheikh Ahmad sebelum ini dikatakan sudah terkenal di negara itu, sebagai seorang alim dari Mekah yang sukar ditandingi. Dalam tempoh berada di negara itu, Sheikh Ahmad dan muridnya dihujani berbagai-bagai soalan, untuk menguji kealiman dan keilmuan mereka.

Sebagai seorang pakar dalam ilmu Nahu dan tatabahasa Arab, sewajarnya soalan-soalan tertumpu kepada ilmu tersebut. Sumber-sumber murid Imam Muhammad Yusuf Kenali menyatakan, antara soalannya ialah perbezaan i`rab pada dua ayat al-Qur’an, iaitu antara ayat ( لم يكن الذين كفروا من أهل الكتاب ) dan ayat ( ولم أك بغيا ). To’ Kenali menjawab dengan tepat, pantas dan mengkagumkan. Kecemerlangan Imam Muhammad Yusuf Kenali terserlah apabila beliau membuktikan keupayaan penguasaannya dalam bahasa Arab. Memang bagi seorang ulama, bahasa Arab adalah lidah dan akal untuk berbicara dan berfikir.

Sumber-sumber berita juga menyebutkan, sekembalinya Tok Kenali ke tanah air pada tahun 1908 M., dua kitab yang sentiasa dibawa bersama-samanya iaitu Hasyiah `ala Syarh al-Asymuni `ala al-Alfiyah, karangan Muhammad ibn `Ali al-Sabban (1792 M.) dan Mughni al-Labib an Kutub al-Aarib, karangan Jamal al-Din Ibn Hisyam (m. 761). Dua kitab ini terlalu kerap dibaca dan sangat disayanginya, seolah-olah ia rela kehilangan barang-barang, asal tidak kehilangan dua kitab kesayangannya itu.

Tok Kenali sangat meminati syair-syair Arab. Dalam majlis pengajian dan halaqatnya beliau selalu memperdengarnya syair-syair itu ada kemungkinannya dari ciptaannya sendiri dan ada juga yang dibaca daripada hasil ciptaan penyair-penyair yang lain. Minat kepada syair dan suka bermadah, adalah petanda sebenar bahawa To’ Kenali seorang yang bukan sahaja memahami bahasa Arab, tetapi menghayati pemikirannya. Antara syair itu sedia tercatat dalam sejarah To’ Kenali, karangan Abdullah al-Qari Haji Soleh, 1967. Penulis tidak merasa ragu untuk menerima jika ada sumber-sumber menyatakan syair-syair itu adalah ciptaan To’ Kenali sendiri, kerana beliau mempunyai kepakaran dalam Nahu dan Tatabahasa Arab yang cukup dan boleh mengasah bakatnya untuk bersyair.

Ciri islah yang diperjuangkan Tok Kenali adalah menekankan pengajian Nahu dan tatabahasa Arab. Ini membuktikan Tok Kenali mempunyai wawasan yang jelas dan kefahaman yang mendalam tentang pengajian Islam, khususnya di rantau ini. Beliau berpendapat bahawa kefahaman tentang Islam tanpa penguasaan bahasa Arab adalah sesuatu yang membimbangkan, terutama di kalangan mereka yang berminat untuk mendalami Tafsir al-Qur’an, Hadis dan kitab-kitab tinggalan ulama silam, tanpa pengetahuan bahasa Arab.

Hakikat ini perlu disedari para ulama, bahawa kelemahan menguasai bahasa Arab adalah suatu halangan yang harus diatasi segera bagi mencapai maksud memahami dan mentafsirkan al-Qur’an, di samping syarat-syarat lain yang tidak kurang juga mustahaknya, seperti kesahihan akidah, kesucian hati dari pengaruh nafsu, mempunyai akal fikiran yang tajam serta berbudi pekerti mulia.


Haji Saad bin Haji Daud

Hubungan al-Qur’an sebagai wahyu ilahi dengan bahasa Arab begitu kukuh, bagaikan hubungan antara roh an jasad, malah lebih kukuh lagi apabila ucapan Baginda dalam bahasa Arab itu dijadikan sebagai pengulasNya. Firman Allah s.w.t.

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُون َ

Dan Kami turunkan al-Qur’an supaya Engkau menjelaskan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkanNya.

Bahasa Arab bagaikan karung, ilmu-ilmu Islam yang lain bagaikan perisiannya. Usaha memisahkan antara karung dengan bahan perisiannya adalah suatu rancangan halus yang ditaja musuh-musuh Islam sejak dahulu. Inilah yang disedari oleh pemimpin-pemimpin gerakan Islam seperti Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Sheikh Rasyid Rida dan terakhirnya Imam Hasan al-Banna dan diperkatakan melalui risalah-risalah seperti al-Manar, al-`Urwah al-Wuthqa dan lain-lain.

Tok Kenali dan rakan-rakan seangkatannya yang membaca majalah-majalah tersebut, tentu tidak asing dengan rancangan yang diatur musuh, terutama di negeri Kelantan di rantau Asia yang cerah dengan perkembangan dan kebangkitan Islam. Di sini jelas sekali peranan yang dimain Tok Kenali dalam gerakan tajdid Islam, iaitu memertabatkan ulama Kelantan mempelajari Islam daripada kitab-kitab Jawi kepada memahami al-Qur’an dan al-Hadith melalui bahasa asalnya iaitu bahasa Arab yang merupakan sumber mata air yang paling jernih.

Pemikiran tajdid Tok Kenali sepakat dengan rakan-rakan tajdidnya yang lain, seperti Muhammad Abduh dan Hasan al-Banna yang memulakan gerakan mereka dengan meletakkan bahasa pada tempatnya yang sewajar. Ini kerana bahasa Arab adalah bahasa al-Qur’an, juru bicara Islam, teks perisian ilmu dan budaya. Bahasa ini dimulia Allah apabila menurunkan wahyu-Nya dalam bahasa ini, kemudian mengabadikannya hingga hari kiamat.

Atas dasar inilah, Imam Syafi`i berpendapat, belajar bahasa Arab adalah wajib atas setiap muslim, sekurang-kurangnya bagi memenuhi tuntutan agamanya, khususnya fardu sembahyang. Penyebaran Islam keseluruh dunia merupakan faktor tersebarnya bahasa Arab, terutama pada beberapa zaman pertama, iaitu ketika agama dan bahasa Arab berjalan seiring. Bahasa Arab berjaya memperluaskan tamadun Islam dan keseniannya pada zaman keemasanNya, tidak ada suatu ilmu yang pernah diketahui pada zaman itu, kecuali ada jua buku dan tulisannya dalam bahasa Arab dan ada jua pakarnya dari umat Islam.

Bahasa ini mula malap apabila umat Islam mengalami kekalahan, susunan bahasa dan uslub tidak seindah asalnya. Justeru itu para pemikir Islam apabila memulakan gerakan tajdid, lebih dahulu menumpukan perhatian mereka kepada bahasa Arab dan meletakkannya pada tempatnya yang asal. Inilah juga yang disenaraikan To’ Kenali dalam program tajdidnya.

Pemikir-pemikir Islam sedar, banyak usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagi menyekat perkembangan bahasa Arab ini, seperti:

Memisahkan bahasa Arab dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini jelas pada sebuah kamus Arab yang diberi nama “al-Munjid”, karya al-Ab al-Yasu`i Luways Ma`luf, seorang penganut Kristian. Beliau dalam kamusnya ini mengelak sama sekali dari menyebut ayat al-Qur’an atau Hadith pada sebarang penjelasan makna bagi perkataan Arab dalam kamusnya. Sikap beliau berbeza sekali dengan kamus-kamus Arab seperti “Lisan al-`Arab”, karangan Ibn Manzur yang banyak merujuk kepada al-Qur’an dan Hadith apabila memberi sesuatu penjelasan tentang makna sesuatu perkataan.

1. Menggalakkan penggunaan bahasa Arab pasar atau bahasa tidak fasih dalam pertuturan. Gejala ini diterima pakai oleh orang Arab sendiri dan kemudiannya disambut baik oleh orientalis. Kadang-kadang menawarkan hadiah yang lumayan kepada pihak-pihak yang berjaya membuat projek ke arah meningkatkan penggunaan bahasa Arab pasar.

2. Pemencilan tulisan Jawi dari bahasa Malaysia dan pada urusan-urusan rasmi kerajaan, adalah merupakan usaha-usaha ke arah meremehkan penguasaan dan dan kemahiran membaca al-Qur’an. Hakikat ini memang sejak lama disedari pemimpin dan cendekiawan Islam di negara ini.

Sesetengah pendapat yang dianggap liar menyatakan, kelemahan menguasai bahasa Arab tidak harus menjadi halangan untuk mentafsir al-Qur’an, kerana terjemahan al-Qur’an yang baik-baik sudah wujud dalam berbagai-bagai bahasa termasuk bahasa Melayu. Maksudnya, teks terjemahan boleh dianggap sebagai mencukupi bagi tujuan mentafsir al-Qur’an dan memahami sepenuhnya arti yang terkandung di dalamnya.

Tok Kenali tidak banyak berteori dalam memanifestasikan hasrat perjuangannya, beliau sebagaimana yang dicatatkan dalam beberapa riwayat hidupnya tidak banyak bercakap, tetapi lebih banyak menumpukan kepada kerja. Daripada senarai tugas dan jawatan beliau cukup membuktikan beliau bukan kaki cakap, tetapi tokoh yang mengutamakan kerja dan perlaksanaannya terhadap keputusan.

Muhammad Yusuf bin Soleh al-Kelantani dalam bukunya pecahan empat, jilid 2, h. 27, menyenaraikan tugas Tok Kenali sebagai berikut:

  •  Pengasas Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan.
  •  Anggota Majlis Ulama Kelantan.
  •  Ketua Pengarang Majalah Pengasuh.
  • Kesatuan Pelajaran Agama Negeri Kelantan.
  •  Mengasaskan al-Jamciyyah al-cAsriyyah, Kota Bharu    
  •  Menterjemahkan kitab Tafsir Lubab al-Ta’wil fi Macani al-Tanzil, karangan Imam Abu al-Hasan `Ali bin Muhammad (muka 741).
  •  Mengajar dalam halaqahnya di Kubang Kerian dan Kota Bharu.

Dari senarai tugas ini dan setelah mengambil kira suasana, masa dan usianya, segala sumbangan Tok Kenali, wajar sekali dikenangi, sebagaimana pemimpin-pemimpin besar dikenali. Sudah berlalu lebih setengah abad atas pemergiannya, hingga kini belum ada sesuatu yang boleh mengingatkan kembali perjuangan tokoh besar ini.

Pengajian Tasawuf

Dalam bidang Tasawuf, Imam Muhammad Yusuf Kenali dikenali juga sebagai sufi besar. Tokoh-tokoh penting dan penyebar ajaran Tasawuf di Kota Bharu pada zaman ini sangat ramai, antaranya:

1. Haji Wan Ali Kutan (1837-1912 M.), beliau berasal dari Kelantan, kemudian menyambung pelajarannya di Mekah. Beliau dikatakan ahli dalam tarekat Abu al-Hasan al-Syadhali, malah orang pertama menyebar tarekat ini di Kota Bharu.

2. Haji Wan Musa bin Abdul Samad bin Muhammad bin Soleh al-Kelantani (1874-1939 M.). Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan murid kepada Sayyidi Azhari, salah seorang ahli sufi dari Tarekat Ahmadiyyah

3. Haji Che `Id bin Haji Che Din. Beliau juga dari aliran Tarekat Ahmadiyyah, beliau pernah bersama-sama Tuan Tabal ketika di Mekah. Haji Che `Id pernah menyebar Tasawuf di Kota Bharu dan dikatakan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai, apabila pengikut-pengikutnya turut majdhub bersama-samanya.

4. Sayyidi Azhari, ialah murid kepada Sayyidi Muhammad Dandrawi, pengamal aliran Terekat Ahmadiyyah. Beliau berasal dari Mekah dan kerap datang ke Kota Bharu pada awal abad ke- 20.

Bebarapa ulama Kelantan seperti Haji Ahmad Manan, Haji Nik Abdullah bin Haji Wan Musa, Haji Ya`qub Haji Ahmad dan Haji Wan Musa turut menerima tarekat ini daripada beliau. Sayyidi Azhari dalam pengajarannya banyak mengkritik dan menganggap ajaran Haji Che `Id sebelumnya sebagai menyeleweng. Haji Che `Id lebih dahulu menyebar tarekat ini di Kelantan, iaitu pada kira-kira akhir abad ke –19 M.

Sayyidi Azhari disanjung tinggi masyarakat Kelantan ketika di Kota Bharu, kerana beliau dianggap sebagai ulama dan wali, sehingga Sultan Muhammad juga turut bertemu dan berbicara dengan beliau di istana. Akhirnya beliau meninggalkan negeri Kelantan kerana berlaku sedikit salah faham antara beliau dengan Haji Wan Musa tentang tanah wakaf yang pernah diwakafkan kepada Sayyidi Azhari sehingga menyebabkan lahirnya dua kumpulan penyokong dan penentang Haji Wan Musa.

Peristiwa-peristiwa ini memperlihatkan pengajian Tasawuf di Kota Bharu pada akhir abad ke– 19 hingga awal abad ke – 20 sangat mendapat tempat dan kedudukan yang istimewa, sedangkan Tarekat Ahmadiyyah pula merupakan aliran Tasawuf yang sangat popular pada waktu itu.

Keluarga Tuan Tabal atau secara khususnya Haji Nik Wan Musa dan bapanya Haji Abdul Samad adalah ulama yang terlibat secara langsung dengan penyebaran dan penghayatan tarekat Tasawuf ini. To’ Kenali sempat bersama-sama beberapa ulama di atas, terutama ulama dari keluarga Tuan Tabal.

Tidak terdapat sejarah mencatatkan To’ Kenali pernah mengamalkan tarekat-tarekat Tasawuf tertentu dalam hidupnya, sekalipun pada zaman sebelum beliau, iaitu dalam abad ke – 19, kebanyakan ulama mengikat diri dengan terekat-tarekat tertentu, malah pengajian Tasawuf adalah pengajian yang sangat mendapat tempat di kalangan guru-guru agama dan masyarakat awam pada masa itu.


Haji Abdullah Tahir Bunut Payung

Berbagai-bagai tanggapan terhadap Tok Kenali dan hubungannya dengan Tasawuf. Ada pendapat mengatakan Tok Kenali seorang ahli Tasawuf yang tiada tolak bandingnya, ada pula yang mengatakan Tok Kenali tiada hubungan dengan Tasawuf. Saya tidak menaruh sebarang keraguan tentang kesufian Tok Kenali, berdasarkan beberapa maklumat yang hampir mutawatir tentang kezuhudannya, seperti kesabarannya dengan ujian kesakitan yang menimpa akhir-akhir hayatnya, sehingga kakinya berulat dan tidak mengizinkan sesiapa untuk dibuang ulat pada kakinya, selain sifat-sifat terpuji lain yang ada padanya.

Walaupun Tok Kenali dididik gurunya Shaikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fatani bersama-sama empat kawannya yang juga dari Kota Bharu, iaitu Haji Wan Musa, Haji Ibrahim dan Haji Nik Mahmud bin Haji Ismail, namun Tok Kenali mempunyai cara dan gaya Tasawufnya yang sendiri, beliau tidak terpikat dengan tarekat yang ada pada waktu itu, walaupun beliau seorang yang mengamalkan ajaran Tasawuf.

Penulis-penulis sejarah Tok Kenali hampir sepakat menyatakan hidup kerohanian Tok Kenali sangat tinggi dan cemerlang, beliau adalah seorang yang zahid dan banyak ibadat, beliau tidak pentingkan kemegahan dan kesenangan hidup, beliau memandang makhluk-makhluk lain dengan pandangan yang bertimbang rasa dan kasihan. Antara sifat-sifat beliau yang tinggi:

. Sangat merendah diri, sifat ini ternyata dalam beberapa kejadian, sebagai contoh beliau menolak tawaran menaiki kenderaan, beliau tetap memilih untuk berjalan kaki.

. Kecemerlangan hidup kerohanian Tok Kenali jelas apabila beliau sakit dan semakin parah penyakitnya, beliau tidak pernah mengeluh dan bersabar terus menerus dengan penderitaannya, tanpa mencari sebarang ikhtiar yang tidak wajib baginya mencari ikhtiar itu. Pernah dicadangkan supaya dijemput bomoh untuk merawati penyakitnya. Biasanya cara bagih adalah pilihan masyarakat terhadap pesakit yang makin hari makin teruk. Penyakit kudis yang mulanya menyerang tepi kulit, akhirnya melarat hingga ke tulang dan merombak ketul-ketul daging dan urat, ulat pun menjadi-jadi, beliau tetap membiar kudisnya dimakan ulat, sekalipun diminta supaya ulat dibuang. Tok Kenali dengan penuh sedar menyatakan tidak perlu dibuang, kerana ulat juga makhluk yang ingin makan seperti juga manusia.

Dalam sejarah pengajian Tasawuf, ada beberapa aliran yang dikenalpasti sebagai menyeleweng daripada garis Islam yang sebenar. Sekurang-kurangnya ada tiga aliran, iaitu:
1. Kumpulan Mazhab Isyraqi, iaitu kumpulan ahli Falsafah yang mempercayai berlakunya limpahan nur pada hati manusia sebagai lanjutan kepada tarbiyyah nafsiyyah dan riyadah ruhiyyah, melalui penyiksaan diri sendiri.
2. Kumpulan mazhab Hululi yang berpendapat, Allah s.w.t. mengambil tempatnya pada manusia, sebagaimana yang difahami oleh al-Husayn ibn Mansur al-Hallaj (309 H.).
3. Pendapat yang mempercayai teori wihdah al-wujud yang memperakukan bahawa al-mawjud (yang ada) itu hanya satu sahaja pada hakikatnya. Segala yang disaksikan pada alam ini adalah beberapa tacayyun kepada zat Allah s.w.t. Pemimpin utama kumpulan ini ialah Ibn `Arabi (638 H. ).

Tok Kenali dengan amalan Tasawwufnya, sekali lagi membawa pembaharuan dalam penghayatan Tasawwuf secara praktikal, ajarannya tidak dipengaruhi beberapa tarekat yang tersebar pada zamannya, seperti Tarekat Shadhaliyyah dan Ahmadiyyah, sekalipun ia seorang ahli yang sangat berminat dengan amal-amal kerohanian. Cara ini pada hemat saya lebih tepat dengan al-Qur’an dan al-Sunnah dan lebih membantu ke arah penyatuan pemikiran yang berkecamuk pada ketika itu.
Ulama dalam bidang Tasawwuf dan tarekat begitu ramai pada zaman To’ Kenali, mungkin kealiman dan keilmuan sebahagian mereka ada yang mengatasi Tok Kenali. Tokoh Tasawwuf yang penting di Kota Bharu dalam dekad ini ialah Haji Wan Musa Wan Abdul Samad (1874- 1939) M.). Beliau mendapat pendidikan awal daripada bapanya yang terkenal dengan panggilan Tuan Tabal, kemudian melanjutkan pelajarannya ke Mekah selama beberapa tahun. Antara gurunya ialah Haji Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani. Bidang kepakaran beliau ialah Tasawwuf Tarekat Ahmadiyyah. Hubungan Tok Kenali dengan beliau sangat erat, malah mereka sama-sama mendapat pendidikan daripada Sheikh Ahmad Muhammad Zain al-Fatani.
Diperhatikan antara dua tokoh ini masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri, sama ada dalam dakwah, kepakaran ilmu dan cara menghayati ilmu kerohanian masing-masing. Haji Wan Musa lebih teliti dalam penghayatan tarekat Tasawwuf, beliau terkenal dengan sikap tegas dan mendalam ilmunya dalam masalah-masalah Tasawwuf dan suluk (jalan beribadah). Besar sekali kemungkinan Haji Wan Musa dengan keilmuan dan pengaruhnya berusaha membersihkan tarekat Tasawwuf dari dalam, ini ternyata apabila beliau pernah membuat teguran terhadap fenomena majdhub dalam suluk Haji Che `Id yang dianggapnya menyeleweng sehingga ia terpaksa membawa isu itu ke pengetahuan Haji Wan Ahmad al-Fatani di Mekah melalui sultan yang memerintah pada ketika itu.
Soalan itu dijawab Sheikh Ahmad melalui sebuah risalah yang diberi nama Mir`at al-A`ajib fi Jawab Su’al al-Majadhib. Begitu juga dengan Sayyiduna Azhari, guru tarekat kepada Haji Wan Musa yang menyebarkan amalan Tarekat Ahmadiyyah di Kota Bharu, tetapi apabila ada sesuatu yang tidak disenanginya, beliau dengan tidak teragak-agak menegur gurunya itu, sekalipun dalam ajaran tarekat, perkara seumpama ini adalah luar biasa.
Haji Wan Musa berjaya memecahkan tradisi dalam tarekat yang memuja guru dan lebih cenderung kepada pembetulan amalan itu dari dalam. Sedang Tok Kenali pula, lebih suka membebas diri daripada tarekat, sekalipun beliau menghayati konsep tawakkal, zuhud dan ibadah.
Beliau menentang keras pemujaan terhadap guru dan syeikh. Ini ternyata apabila beliau menolak jurufoto yang hendak mengambil gambar beliau, dengan alasan bimbang suatu hari nanti gambarnya dipuja . Bagaimanapun, antara tokoh ini ada beberapa persamaan, iaitu:
1) Mereka tidak terlibat dalam aliran tarekat yang kontroversi seperti ajaran wihdah al-wujud yang diperkenal Ibn Arabi dan hululiyyah yang disebar oleh al-Hallaj, sekalipun ada beberapa kemungkinan ada kelemahan-kelemahan lain pada dua tokoh ini.
2) Tok Kenali dan Haji Wan Musa adalah dua ulama yang berjaya sebagai ke tahap pengajian dan penghayatan Tasawwuf yang belum sampai ke tahap seumpamanya oleh orang-orang selepas zaman mereka hingga beberapa dekad kebelakangan ini.
3) Kedua-dua mereka termasuk dalam golongan ulama dan pakar dalam bidang-bidang Fiqh dan Nahu. Kepakaran mereka dalam bidang-bidang ini, diharapkan sebagai laluan yang lebih dekat dengan syarak walaupun laluan To’ Kenali itu lebih sahih dan jelas.
4) Kedua-dua mereka mempunyai warna Tasawwuf yang ketara, dan kesan yang besar dalam pengajian Tasawwuf, tetapi mereka bukan semata-mata sufi yang terikut-ikut dengan arus amalan yang besar tidak diketahui hujung pangkal, tetapi sebenarnya mereka adalah mujaddid dalam bidang ini. Pada hemat saya, mereka berdua telah memberi sumbangan yang besar kepada usaha memecahkan dua aliran Tasawwuf Sunni yang mereka sendiri wakilinya dan Tasawwuf Falsafi yang pernah diajar oleh Ibn `Arabi dan Abdul Karim al-Jaili yang pernah sampai ke rantau ini pada zaman yang agak awal.
5) Penyelidik-penyelidik yang berminat mengkaji persamaan dan perbezaan antara dua tokoh, harus mengkaji banyak lagi aspek yang lebih menarik, seperti penglibatan mereka dengan masyarakat, kecenderungan aliran Fiqh bermazhab dan tidak bermazhab, serta warna warni Tasawwuf yang menjadi pilihan masing-masing.

Pengajian Fiqh

Tok Kenali sebagaimana yang dijejaki daripada beberapa catatan sejarah hidupnya, tidak banyak melibatkan diri dalam persoalan yang berkaitan furuc fiqhiyyah (cabang-cabang Fiqh). Setakat ini belum ditemui hasil karya atau tulisan beliau dalam ilmu Fekah atau menyentuh isu-isu tertentu mengenai hal-hal semasa. Tulisan-tulisan beliau dalam Majalah Pengasuh pada tahun-tahun 1918 dan 1919 berkisar sekitar meniup semangat kebangsaan Melayu dan bersatu padu menegakkan syariat dan budaya Islam.

Berdasarkan realiti itu, orang ramai beranggapan Tok Kenali kurang kepakarannya dalam ilmu Fekah, dia hanya pakar dalam ilmu Nahu dan Tatabahasa Arab. Sebaliknya murid beliau Haji Abdullah Tahir Haji Ahmad (1897-1961) yang alim dan pakar dalam ilmu ini, terutama dalam mazhab Syafi`i.
Beberapa hasil tulisan dari penulis-penulis muda dan veteran menyatakan kebolehan beliau dalam Ilmu Fiqh Syafi`iyyah dan Usul Fiqhh diatasi oleh murid kanannya Haji Abdullah Tahir yang lebih dikenali dengan Tuan Guru Bunut Payung dan pernah menuntut padanya selama 15 tahun.
Dato’ Yusuf Zaky Yaacob dalam tulisannya berpendapat, jika Tok Kenali dianggap tokoh yang paling berjasa membawa kemuncak pengajian Tatabahasa Arab di negeri Kelantan, maka Tuan Guru Abdullah Tahir adalah tokoh yang menyempurnakan kemuncak pengajian Fekah Syafi`iyyah, malah beliau dapatlah digolongkan dalam tokoh-tokoh ulama Fekah Kelantan aliran Syafi`iyyah yang paling handal pada zamannya . Begitu juga dengan Nik Abdul Aziz Nik Hasan yang menyebutkan dalam bukunya, Sejarah Ulama Kelantan. Beliau menyatakan To’ Kenali seorang yang berkebolehan dalam Ilmu Nahu dan Soraf. Adapun Ilmu Fekah, beliau berkemungkinan hanya bertaklid kepada ulama muta’akhkhirin sahaja.
Pandangan-pandanga di atas dan yang membabitkan ulama kita, perlu diberi penjelasan lebih lanjut dan disempurnakan haknya dengan adil, supaya sesuai dengan kepakaran sebenar mereka, termasuk To’ Kenali yang dianggap tokoh yang cemerlang ini. Saya berpendapat, jika dimaksudkan pengajian Fekah itu ialah pengajian kitab secara tradisi, iaitu mendetilkan pembacaan kitab-kitab Fekah yang meliputi syuruh dan hawasyi, atau mendalami permasalahan furu` dan juz’iyyat al-fiqh, serta mendalami pendapat ashab al-Syafi`i, meliputi qawl-qawl sahih dan daifnya, maka saya bersetuju sekali dengan kenyataan Dato’ Yusuf Zaky, kerana Haji Abdullah Tahir memiliki `aqliyyah ini, sebagaimana yang disaksikan oleh kawan-kawan dan murid-murid beliau sendiri.
Jika dimaksudkan dengan keahlian dalam Fekah itu, pengetahuan tentang maqasid al-syaricah serta kefahaman yang betul tentang Islam dan dasar-dasar syariatNya, maka Tok Kenali boleh disenaraikan dalam barisan ulama dan ilmuwan yang sangat berwibawa dan sukar ditandingi. Beliau kerap membuktikan kepakarannya dalam fiqh al-muwazanat, fiqh al-islah dan fiqh al-awlawiyyat sebagaimana yang diperkenalkan oleh ramai ulama dan pakar-pakar ijtihad pada beberapa dekad yang akhir ini.
Tok Kenali bersikap lebih terbuka dengan masalah khilafiyyah dan tidak suka membuang masa terhadapnya, justeru itu beliau dapat mengerat hubungan baiknya dengan semua kumpulan ulama yang berlainan latar belakang dan pendidikannya. Beliau bersahabat baik dengan Haji Wan Musa (1874-1939), seorang ulama Tasawwuf dan bekas mufti Kelantan yang lebih cenderung kepada pembaharuan yang dikenali dengan gerakan Kaum Muda, sebagaimana juga berhubung erat dengan kumpulan Kaum Tua, seperti Dato’ Haji Ahmad Sa`id dan lain-lain.
Ketika pendapat-pendapat diketengahkan oleh dua kumpulan ini mengenai “usalli”, membaca niat sebelum takbir, talkin mayat selepas tanam dan sebagainya, Tok Kenali mengambil sikap diam dan tidak cenderung kemana-mana, kerana yang lebih penting bagi beliau pada ketika ini ialah wihdah al-fikr (kesatuan berfikir), bukannya fiqh al-ikhtilaf (Fekah Perselisihan). Inilah Fekah beliau yang diterjemahkan dalam beberapa artikel tulisannya dalam majalah Pengasuh pada tahun 1918-1919. Kita salinkan di sini sebahagian penekanan beliau mengenai perpaduan yang menjadi salah satu ciri islahnya, katanya:
“Dan dijadikan manusia itu daif tiada boleh ia buat segala pekerjaan itu dengan sendirinya, maka berhajat setengah akan setengahnya sama ada pada perkerjaan ibadat atau adat, istimewa pula perkerjaan berhimpun (bersatu padu) itu perkerjaan yang disuruh bagi mereka yang tiada cukup menjaga dirinya maka lazim daripada berhimpun itu beberapa perkara yang disuruh perbuat akan dia dan beberapa pula perkara yang ditegah daripadanya. Bermula dalil atau suruh berhimpun setengah atas setengah itu, sembahyang jama`ah pada tiap-tiap waktu atas jalan fardu kifayah dan sembahyang Jum`at atas jalan fardu ain dan membuat haji sekali setahun fardu kifayah atas jalan umum dan seumur sekali fardu ain atas jalan khusus. Jangan kita sangka bahawa segala suruhan dan tegahan itu, suatu yang memudaratkan kita, dan memberi manfaat kepadaNya, kerana Ia Tuhan yang mahasuci daripada mengambil faedah daripada segala perbuatan” .

Pembacaan yang teliti kepada petikan ini, mungkin boleh menggarap beberapa kesimpulan, antara lain ialah, betapa halusnya penekanan To’ Kenali kepada kepentingan bersatu padu yang merupakan program pertama dalam gerakan islahnya, terutama bagi para ulama yang memikul tugas membina insan, kerana manusia itu lemah dan tidak mampu memperkuatkan dirinya, kecuali dengan adanya kerjasama, bantu membantu dan tolong menolong antara satu dengan lain. Bersatu padu atau berhimpun menurut bahasa yang digunakan To’ Kenali sangat mustahak, bukan sahaja pada perkara ibadat tetapi juga pada perkara adat. Di samping itu, garis-garis ditentukan oleh syarak, sama ada pada suruhan atau laranganNya, hendaklah dipatuhi sepenuhnya.
Amal ibadat yang dilakukan secara beramai-ramai, seperti sembahyang jama`ah, sembahyang jum`at dan ibadat haji, mengandungi hikmah yang besar dan tersirat di sebaliknya berbagai-bagai faedah, iaitu menyampaikan mesej pentingnya bersatu padu. Amalan ini pula menurutnya tidak mendatangkan sebarang hikmah kepada Allah s.w.t. yang menciptakan manusia, sebaliknya manusia sendiri yang menerima faedahnya.
Tok Kenali dalam ulasannya tentang hikmah-hikmah yang tersirat di sebalik ibadat-ibadat sembahyang dan haji, sependapat dengan Sheikh Waliyullah al-Dihlawi (169?-1762) yang berpendapat, bahawa setiap hukum syarak, sama ada suruhan dan larangan, pasti ada hikmah di sebaliknya, kata beliau:
“Ada pendapat menyatakan, hukum-hukum syarak tidak mengandungi sebarang maslahah di sebalik amalannya, tidak ada sebarang hubungan kewajaran antara amalan dengan ketentuan ciptaan Allah s.w.t.. Anggapan ini meleset dan tidak benar, bertentangan dengan kenyataan al-Sunnah dan ijmak umat Islam dalam beberapa abad pertama yang disaksikan banyak itu .
Tok Kenali sebenarnya memasuki bidang ilmu Fiqh dan Usul al-Fiqh ini melalui pintu dakwah, justeru itu pendekatan beliau ada sedikit kelainan dengan pendekatan murid-murid dan angkatan pelapisnya yang memasuki bidang ini melalui pintu pembacaan kitab dan penatapan yang teliti terhadap pendapat-pendapat dalam mazhab Syafi`i.
Hal ini adalah suatu perubahan yang terpaksa berlaku dalam proses pendidikan dan gerakan islah, malah kita harus menerimanya sebagai suatu perkembangan sihat dan positif, kerana kelainan masa, suasana, tempat dan manusia yang menjadi sasaran dakwah, menjadikan pendekatan dan gaya persembahan Islam turut berbeza. Atau dengan kata lain, Ilmu Fekah yang ada pada To’ Kenali itu, lain warnanya dengan Ilmu Fiqh yang ada pada murid-murid dan angkatan pelapisnya. Bagaimana pun, masing-masing tetap ada keistimewaannya. Firman Allah:

يُؤتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاء وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الأَلْبَابِ

“Allah memberikan ilmu hikmah yang berguna kepada sesiapa yang dikehendakinya dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya ia diberikan kebaikan yang banyak”.

Fiqh dengan pendekatan ini menjadi pilihan sesetengah ulama apabila mengulas sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Mu`awiyah, iaitu sabdanya yang bermaksud:

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِيْ الذِيْنِ

“Sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya, nescaya diberi kepadanya al-fiqh fi al-din (kefahaman dalam agama)”.

Fiqh yang didalami oleh Tok Kenali sepanjang perjalanan ilmiyahnya ialah al-fiqh fi al-din, bukannya al-fiqh al-mazhabi (Fiqh mazhab) yang lebih banyak mendatangkan kesan yang negatif kepada pembinaan insan. Sungguh jauh beza antara dua bentuk Fiqh yang pernah dikemukakan dalam sejarah pendidikan Islam di Kelantan ini. Tok Khurasan atau Sayyid Hasan al-Khurasani (1880-1943 M.) yang mengulas hadis ini berkata:

“Ada dua perkara tersirat dalam hadis di atas, iaitu: Kefahaman dalam agama adalah suatu sesuatu yang sangat besar nilainya, dan kedua, kefahaman ini adalah anugerah ilahi yang hanya diberi kepada orang tertentu jua .

Tidak tepat jika ada penyelidik berpendapat, Tok Kenali langsung tidak mendalami Fiqh kerana sejarah akademik beliau mencatatkan beliau pernah mengajar kitab-kitab seperti Fath al-Mu`in, Minhaj al-Talibin dan al-Iqna` fi Halli Alfaz Abi Syuja`. Kitab-kitab ini telah memberi bekalan yang secukupnya kepada ulama Kelantan waktu itu untuk menghadapi isu-isu yang remah temeh seperti niat sembahyang, talkin si mati, najis anjing yang pernah menggemparkan negeri Kelantan pada suatu ketika dahulu.

Tok Kenali tidak berminat mencampuri masalah khilafiyyah, kerana penglibatan dirinya dalam isu-isu yang remeh temeh ini boleh membantut proses islah yang diprogramnya sejak beliau mula berkhidmat sebagai guru dan pentadbir. Sebagai seorang mujaddid dan muslih yang berwawasan tinggi, lebih mengutamakan sesuatu yang lebih besar manfaatnya, sama ada kepada agama, mahu pu masyarakatnya. Penilai kerja-kerja yang pernah disumbang Tok Kenali, serta penyelidik yang insaf seharusnya lebih banyak melihat kepada hasil perjuangan dan sumbangan beliau kepada pembinaan manusia dan pendidikan minda dalam suasana yang serba daif itu.

Demikianlah bicara kita tentang setitik air daripada lautan ilmu Tok Kenali, kita berbangga dengan nasab ilmu kita yang masih utuh, bagaikan sebatang pokok yang daunnya rimbun, tunjangnya mendalam ke perut bumi, meskipun beliau telah pergi meninggalkan kita lebih setengah abad yang lalu, namun hingga kini belum ada tanda kenangan diberi kepadanya. Jika al-Marhum Tun Dr. Ismail, seorang tokoh dan negarawan diabadikan namanya dengan sebuah taman perumahan yang terkenal dengan nama Taman Tun Dr. Ismail, Dr. Burhanuddin al-Helmi diabadikan dengan beberapa batang jalan utama di Kuala Lumpur, demikian juga dengan Haji Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali dengan nama pendita Zaaba yang juga diabadikan dengan Jalan Persiaran Zaaba, Taman Zaaba, Lekok Zaaba disamping secara kebetulannya pula menjadi tempat letaknya sebuah kediaman seorang pencinta Tok Kenali dan satu sudut Perpustakaan Utama di Universiti Malaya yang kaya dengan bahan-bahan rujukannya, maka apa salahnya jika sebuah perpustakaan Islam diberi nama Perpustakaan Tok Kenali atau sebuah dewan yang memakai nama seperti Dewan Besar Tok Kenali, semoga Allah memberi kita kekuatan dan keberkatan menumpang nama seorang datuk yang pernah membakar lilin untuk memberi cahaya kepada anak bangsa dan negaranya.

Dalam kesempatan ini, saya tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang berjaya mendapat anugerah cemerlang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Saya juga memohon maaf jika ucapan ini tidak berkaitan atau tidak bersesuaian dengan kemulian Majlis Anugerah Cemerlang ini.




8 comments:

mebel jepara said...

Ayo wisata liburan bersama keluarga, dengan mengikuti paket wisata karimun jawa kita yang termasuk biro wisata karimun jawa berpengalaman karena memberikan paket karimun jawa murah, ada paket backpacker karimunjawa, paket tour karimun jawa 4 hari 3 malam, paket karimun jawa 3 hari 2 malam, paket murah karimun jawa 2 hari 1 malam, atau paket karimun jawa honeymoon. paket karimun jawa kami sangat memuaskan dan berkesan, info tour jadwal kapal ke karimunjava island lebih lanjut bisa menghubungi www.karimunjawakita.com,
Tapi bila anda ingin belanja online mebel jati atau mebel jepara or furniture jepara yang bisa anda jadikan pilihan karena ada harga perabot murah dari kami, silahkan berkunjung ke website www.jeparaapik.com yang juga menjual ukiran jati, kursi tamu meja makan murah almari jati bufet lemari jam bangku minimalis sofa ukir bale-bale kayu dipan antik, terimakasih

raybanoutlet001 said...

nike roshe run
michael kors outlet
adidas nmd r1
lebron shoes
michael kors outlet store
michael kors handbags
chaussure louboutin pas cher
moncler jackets
rolex replica watches
michael kors handbags

wesan michael said...

yeezy boost
michael kors outlet
adidas neo online shop
hogan outlet
lacoste polo shirts
nike air zoom structure 19
coach outlet online
michael kors outlet store
toms outlet store
tiffany online

姚嘉 said...

birkenstocks
saics running shoes
versace
nike store
ghd hair straighteners
michael kors handbags
nike air huarache
cheap nba jerseys
nike outlet store
jimmy choo

raybanoutlet001 said...

skechers go walk
tiffany jewelry
yeezy boost 350 v2
ralph lauren polo shirts
nike air huarache
adidas nmd
longchamp bags
adidas ultra boost
tiffany and co outlet
nmd adidas store

dong dong23 said...

kate spade sale
cheap ray ban sunglasses
canada goose sale
ed hardy jeans
ugg outlet online
cheap ray ban sunglasses
toms shoes
abercrombie & fitch kids
ray ban glasses
canada goose outlet
2017.2.11chenlixiang

raybanoutlet001 said...

adidas ultra boost
adidas neo shoes
nike huarache
ralph lauren uk
air jordan
fitflops sale
adidas yeezy boost
lacoste polo shirts
jordans for cheap
cheap jordans

dong dong23 said...

replica watches
cheap jordans
adidas yeezy boost 350
north face
ray ban sunglasses
toms uk
converse shoes
mont blanc pens
nfl jerseys
pandora uk
20174.17wengdongdong