Saturday, July 23, 2011


Puasa Satu Nikmat yang Tersembunyi

Ibadat puasa merupakan ibadat yang istimewa. Ibadat ini juga merupakan satu nikmat yang hanya dirasai orang yang menjalani ibadat ini sahaja. Mungkin tidak ramai orang menyedari hakikat ini. Antara nikmatnya ialah:

Pertama: Nikmat ini dirasai sepenuhnya ketika seseorang berbuka. Orang yang tidak berpuasa gagal mendapat nikmast ini, sekalipun dia menjamu selera pada masa yang sama.
Siang hari tidak dirasai sebagai ni`mat jika tiada malam yang gelap gelita. Kita mungkin menderita jika waktu malam terlalu panjang, kita menyambut kedatangan siang dengan penuh gembira kerana membawa kepada kita cahaya, lalu kita dapat berbuat sesuatu padanya. Seseorang mungkin tidak menyedari betapa nikmatnya sihat tubuh badan kerana dia pernah menderita sakit. Di sini jelasnya sabda Nabi saw:

لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ

Terjemahan: Orang berpuasa memperolehi dua kesukaan; pertama ketika berbuka, dia bergembira kerana berbuka. Kedua, ketika menemui Allah, dia bergembira kerana berpuasa.

Kedua: Mengimbau penderitaan orang yang lapar. Persaan ni`mat diperolehi tanpa pengucapan yang didengar, tanpa bahasa yang diungkap dan tanpa suara yang membisik, tetapi dirasai melalui tali-tali perut yang lapar dan urat-urat leher yang kehausan.

Ketiga: Puasa adalah satu jalan mempersamakan di antara dua golongan manusia yang kaya dan yang miskin. Puasa bagaikan cukai yang dipungut daripada semua golongan tanapa mengira orang miskin yang tiada harta dan orang kaya yang memiliki harta.

Insan yang berperikemanusiaan wajar berfikir untuk menyerah dirinya kepada Allah dengan menyahut seruan-Nya:

ارحَموا مَن في الأرضِ يَرحَمْكُم مَن في السَّماءِ

Terjemahan: Kasihanilah terhadap makhluk di bumi, nescaya anda dikasihi makhluk di langit.

Diriwayatkan, Nabi Yusuf as sangat kerap berpuasa ketika memegang jawatan pengawal perbendaharaan negeri Mesir. Bila ditanya mengapa dia berpuasa begitu kerap? Jawabnya: Aku bimbang jika aku kenyang, nanti aku lupakan nasib orang miskin.