. Untuk mendapat komen dari penulus sila sertakan nama penuh dan alamat. Pastikan anda meletakkan nama penulis dan penerbit asal artikel bersama URL berkaitan. Sebarang penerbitan bertujuan kommersial hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis.Sila email sebarang kemusyikilan anda:alhayy@yahoo.com - Jika hendak mendapatkan maklum balas dari punulis setiap soalan hendaklah mengandungi sekrang kurangnya nama penuh. TERKINI: Pendidikan Sex dan Surah Annur - Ayat 1 Klik sini Pengenalan Annur - Ayat 1 Klik siniSambungan atau dalam google hanya taip Dr Hayei

Saturday, October 29, 2011


HAJI AKBAR HANYA PROPAGANDA ?




SOALAN:




Saya pernah berbincang dengan kawan saya tentang kemungkinan berlaku haji akbar , apabila wukuf pada hari Jumaat.




Saya keliru tentang haji akbar ini kerana kawan saya itu menyatakan, haji akbar adalah suatu propaganda yang sengaja direka oleh syeikh-syeikh haji untuk menarik jemaah haji beramai-ramai memasuki jemaahnya pada tahun itu.


Soalan saya, benarkah haji akbar itu suatu propaganda, walaupun wukuf berlaku pada hari Jumaat. Bukankah hari Jumaat itu penghulu segala hari dan banyak pula kelebihannya? Bukankah segala yang berlaku pada hari itu istimewa dan besar pahalanya? Harap ustaz beri penjelasan untuk mengatasi kekeliruan saya tentang haji akbar dan kelebihan hari Jumaat. Terima kasih. - SHAKIB, Ipoh, Perak.

JAWAPAN

Berbincang tentang topik kelebihan hari Jumaat dan haji akbar sangat menarik, terutama kepada mereka yang berazam menunaikan fardu haji pada tahun ini. Mengapa tidak, jika pahalanya menyamai pahala 72 kali haji biasa, semata-mata kerana hari wukufnya kebetulan berlaku pada hari Jumaat.

Hari Jumaat juga menarik, kerana dikatakan sesiapa yang meninggal dunia pada hari atau malamnya, nescaya terlepas daripada seksa kubur dan soal Mungkar dan Nakir. Sesetengahnya pula menyatakan mati pada hari atau malam Jumaat menyamai pahala mati syahid.

Saya juga pernah mengikuti ceramah-ceramah agama, sama ada dalam program biasa atau kursus khas bagi jemaah haji. Penceramah sering membangkitkan kelebihan hari Jumaat dan fidalat wukuf pada hari itu, tetapi sayang, hujah-hujah yang diberi kebanyakannya lemah dan tidak bersandarkan al-Quran dan hadis-hadis sahih. Pada hal kedua-duanya adalah sumber utama bagi hukum dan akidah Islam.

Sering kali penceramah mempersalahkan pihak-pihak tertentu jika wukuf tidak berlaku pada hari Jumaat, misalnya kerajaan Arab Saudi sengaja mengubah tarikh wukuf kepada hari-hari selain Jumaat, kerana mengelak daripada terpaksa membebaskan beramai-ramai tahanan yang dipenjarakan, akibat berbagai-bagai kes jenayah dan yang dihukum dengan kerja-kerja berat.
Saya kurang pasti sejauh mana kebenaran fakta ini, sehingga tarikh wukuf boleh diubah, semata-mata kerana tidak ingin membebaskan tahanan dalam penjara. Pengesahan mungkin boleh dibuat dengan orang yang lebih arif dengan kedudukan di tanah suci atau dengan Kementerian Haji dan Wakaf sendiri.

Sebelum saya menjawab soalan di atas, suka dimaklumkan bahawa sebarang hukum dalam agama ini, hendaklah bersandarkan al-Quran dan hadis-hadis sahih. Hadis da'if tidak boleh dijadikan hujah bagi perkara-perkara yang berkaitan akidah dan hukum-hukum asas dalam Islam, kecuali dalam hal-hal yang berkaitan fada'il a'mal (kelebihan-kelebihan amal). Itupun hendaklah hadis yang dipilih tidak terlalu da'if.

Hari Jumaat memang ada fadilat dan kelebihannya, namun fadilat tidak boleh direka sesuka hati, biarpun seorang itu merupakan ulama besar yang berpengetahuan luas. Jika hal-hal yang berkaitan agama boleh direka orang-orang tertentu, maka apa perlu lagi kepada al-Quran dan hadis. Nabi pernah bersenda dengan orang yang berani mereka-reka dalam agama dengan sabdanya yang bermaksud: Jika anda tidak menyimpan rasa malu, lakukan sahaja apa yang anda suka. (Bukhari, al-Abad 10/434).

Tentang hadis-hadis yang menyatakan fadilat hari Jumaat, ada yang sahih dan ada yang daif, bahkan ada juga yang palsu dan sengaja direka-rekakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Saya perturunkan di sini beberapa contoh amalan yang berkaitan hari Jumaat dan keterangan yang berhubung dengannya dari segi sahih, daif dan maudu' (palsu).
Secara umumnya hari Jumaat lebih afdal daripada hari-hari lain, sebagaimana juga makhluk manusia, malaikat dan lain-lain. Nabi-nabi tentunya lebih afdal daripada manusia biasa, bulan Ramadan lebih afdal daripada bulan-bulan biasa. Ini adalah sunah (peraturan) Allah pada semua makhluknya.

Imam Malik dalam al-Muatta 1/108 meriwayatkan: Sebaik-baik hari yang menyingsing matahari padanya ialah hari Jumaat, padanya Adam dijadikan, dimasukkan ke syurga dan dikeluarkan daripadanya. Hadis ini menyatakan sebab mengapa hari Jumaat itu afdal, iaitu kerana ada hubungannya dengan sejarah Nabi Adam yang dicipta, dimasuk dan dikeluarkan dari syurga.

Hadis-hadis sahih boleh dirujuk, antara lain kepada kitab al-targhib wa al-tarhib karangan al-Munziri, di dalamnya menyatakan lagi bahawa pada hari Jumaat, para malaikat berdiri di setiap pintu masjid, untuk mencatat pahala orang yang lebih awal datang ke masjid. Siapa yang datang lebih awal, lebih besar pahalanya, iaitu seperti orang berkorban seekor unta. Orang yang lebih lewat datang lebih kecil pula pahalanya, iaitu bagaikan orang yang berkorban dengan telur puyuh.
Dinyatakan lagi dalam hadis sahih riwayat Abu Daud, al-Nasa'ie dan lain-lain, pada hari Jumaat digalakkan banyak membaca selawat kepada nabi, kerana selawat pada hari itu akan dipersembahkan kepada nabi s.a.w. Para sahabat bertanya, bagaimana selawat dipersembahkan, bukankah nabi telah wafat? Baginda bersabda: Dibawa selawat kepadaku, kerana jasad nabi-nabi tidak musnah dimakan bumi.

Dalam hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi menyatakan lagi: Sesiapa bermandi-manda pada hari Jumaat, kemudian datang pagi-pagi ke masjid, berjalan kaki dan tidak menunggang kenderaan, mengambil tempat duduk berhampiran imam, mendengar khutbah dan tidak bercakap-cakap ketika khatib menyampaikan khutbahnya, nescaya setiap langkahnya dicatat pahala menyamai amalan setahun yang lengkap dengan ibadat puasa dan sembahyang malam.

Disebut juga dalam hadis sahih, kelebihan membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, iaitu kuburnya terang dan bercahaya sepanjang minggu. Dinyatakan juga dalam hadis sahih, pada hari Jumaat ada satu saat yang dimustajabkan dia, tetapi tidak ditentukan dengan tepat bilakah waktunya.

Selain hadis sahih ada pula hadis daif yang hanya boleh dipakai pada fada'il a'mal, tetapi tidak boleh dalam perkara yang menyentuh akidah, misalnya orang yang meninggal pada hari atau malam Jumaat akan terlepas daripada seksa kubur atau tidak disoal oleh malaikat Mungkar dan Nakir. Hadis ini diriwayat Abu nu'aym dalam kitabnya Hilyah al-Awltya, tetapi sanadnya terlalu daif.

Persoalan terlepas daripada seksa kubur dan soalan Mungkar dan Nakir adalah termasuk dalam hal-hal akidah. Justeru itu, meninggal pada hari Jumaat tidak memberi apa-apa erti yang istimewa. Hanya jika ada keistimewaan diperoleh si mati itu, maka bukan disebabkan kematiannya pada hari Jumaat, tetapi kerana sebab-sebab lain, seperti amal ibadat, perjuangan dan jihadnya pada jalan allah subhanahuwataala.

Demikian juga dengan beberapa jenis syahid dunia, seperti kematian kerana sakit perut, lemas air, bersalin, kerana mempertahankan nyawa, ditimpa bangunan dan mati di luar negara, disenaraikan sebagai mati syahid yang terselamat daripada seksa kubur. Saya berpendapat, di samping sebab kematian itu ada lagi faktor yang lebih utama bagi kematiannya, seperti jihad kerana mempertahankan agama Allah.

Kita sedia mengetahui, ramai para sahabat yang kanan dan kuat iman serta sumbangannya kepada Islam tidak meninggal dunia pada hari Jumaat, bahkan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri tidak diwafatkan pada hari itu.
Jika hari Jumaat merupakan hari terbaik untuk kematian, nescaya Allah memilih hari itu untuk diwafatkan nabi-nabi pilihannya. Sebaliknya pula, kita dapati ramai orang bukan Islam, atau orang yang cara hidupnya tidak lurus dengan Islam, meninggal dunia pada hari Jumaat. Apakah hari kematian itu suatu keistimewaan baginya, atau menyebabkannya terlepas daripada seksa kubur dan soalan Munkar dan Nakir?

Kembali kepada persoalan haji akbar seperti yang dibincang, iaitu apabila wukuf pada tahun itu berlaku pada hari Jumaat. Saya bertanya kawan-kawan yang pembacaan lebih luas, mereka menyatakan tidak ada haji akbar dengan istilah itu dan tiada keterangan hadis yang menunjukkan pahala haji akbar sebagai menyamai 72 kali ibadat haji biasa.

Bagaimanapun, saya tidak sependapat dengan sesetengah orang yang mendakwa, haji akbar suatu propaganda oleh syeikh-syeikh haji untuk menarik minat jemaah haji ke Mekah saban tahun. Ini kerana cerita haji akbar itu memang lama wujud dalam kitab-kitab dan penulisan Islam. Kesahihannya ditolak oleh ulama dalam kitab-kitab dan penulisan mereka.

Sebagai contoh, Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Zad al-Ma'ad 1/12 menyatakan, haji akbar dengan pengertian apabila hari wukuf berlaku pada hari Jumaat dan keistimewaan haji pada tahun itu menyamai 72 kali haji biasa adalah batil (salah dan tidak bersumberkan dalil-dalil yang sah, sama ada daripada Rasulullah, sahabat, mahupun tabiin.
Kenyataan Ibn al-Qayyim ini di samping menafikan propaganda oleh pihak tertentu, seharusnya menjadi hakim dan pemutus kata dalam isu haji akbar yang dibincangkan.

Penafian adanya haji akbar oleh Ibn al-Qayyim, tidak bermakna tiada langsung istilah itu dalam al-Quran dan hadis. Memang ada istilah itu, tetapi dengan pengertian hari wukuf atau hari yang pada malamnya bermula wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, melontar jamrah dan beberapa amalan haji yang disempurnakan pada hari itu.

Haji akbar dengan pengertian ini kerap disebut dalam al-Quran dan hadis, iaitu dalam surah al-Taubah, ayat 3 dan dalam hadis riwayat Abu Daud yang membawa maksud: Pada suatu hari baginda Rasulullah berdiri di Mina, Baginda bertanya jemaah haji yang hadir berwukuf: Tahukah anda apakah hari ini? Parasahabat menjawab: Hari ini hari nahar (sembelihan korban). Sabda baginda: Hari ini juga dinamakan hari haji akbar.

Sebagai kesimpulan, haji akbar dengan pengertian haji yang wukuf berlaku pada hari Jumaat tidak wujud dalam amalan Islam, kalaupun tidak boleh dikatakan propaganda syeikh-syeikh haji, tetapi tiada asasnya yang sahih dan boleh dipegang. Sebaliknya haji akbar berlaku pada setiap tahun, iaitu nama kepada amalan haji yang dikerjakan pada malam wukuf di Arafah dan kerja-kerja yang disempurnakan pada harinya. Wallahualam.

No comments: