Thursday, October 13, 2011

MASALAH ANAK LUAR NIKAH


Soalan:

Saya telah berkahwin dan mempunyai seorang anak luar nikah dengan suami saya sekarang. Kini kami telah insaf. Soalan saya:

· Bolehkah saya bintikan anak itu kepada suami saya.
· Saya menyusukan anak saya sehingga 6 bulan. Apakah hubungan saya dengan anak saya, adakah sebagai ibu susu atau ibu kandung. Bagaimana hubungannya dengan adik beradiknya yang lain dan dengan suami saya.
· Kehidupan rumahtangga kami selalu menghadapi pelbagai masalah, adakah kerana perzinaan, rumahtangga kami tidak akan bahagia selama-lamanya.
· Suami saya pernah berkata ketika bergaduh “pulang ke rumah emak kamu”. Adakah perkataan ini bermakna saya sudah dicerainya.

- ARINI, Klang, Selangor.

Jawapan:

Saya menghargai puan kerana insaf atas perbuatan keji yang dilakukan pada masa-masa yang lalu, hingga melahirkan anak di luar nikah. Saya harap puan dan suami segera bertaubat, menysal serta berjanji dengan Allah untuk tidak mengulangi lagi perbuatan seumpma itu pada masa-masa akan datang. Saya mengagak usia puan suami Isteri masih muda, namun tiada siapa mengetahui bilakah ajal akan tiba. Didoakan semoga Allah memaafkan ketelanjuran puan, sehingga melampaui garisan merah yang amat berbahaya.

Oleh kerana kesalahan puan itu belum dihukum, mengikut undang-undang hudud Islam sekalipun puan boleh dihukum kerana mengaku berzina yang dianggap bukti yang paling kukuh puan telah melkukan perbuatan itu. Oleh kerana belum ada pihak yang sedia menjalankan hukuman terhadap puan dengan hukuman Islam, maka saya nasihatkan agar puan merahsiakan kesalahan itu dari pengetahuan umum. Puan tidak dikehendaki mengaku sekalipun puan mempunyai seorang anak sebagai bukti perbuatan zina yang puan sendiri lebih mengetahui hakikatnya. Dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ آنَ لَكُمْ أَنْ تَنْتَهُوا عَنْ حُدُودِ اللَّهِ مَنْ أَصَابَ مِنْ هَذِهِ الْقَاذُورَاتِ شَيْئًا فَلْيَسْتَتِرْ بِسِتْرِ اللَّهِ فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِي لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللَّهِ [موطأ مالك، الحدود، 2/825 حديث 1562]

Terjemahan: Tuan-tuan sekelian! Sudah tiba masanya kamu berhenti dari menceroboh hukum-hukum Allah. Sesiapa yang melakukan sesuatu dari kekotoran itu, hendaklah ia berlindung dengan perlindungan Allah (bertaubat). Sesungguhnya sesiapa yang membuka sesuatu yang dirahsia Allah, nescaya kami (Nabi Muhammad) hukum ke atasnya menurut kitab Allah.

Kembali kepada beberapa soalan yang dikemukakan di atas:

Pertama: Tentang nasab anak puan di luar nikah yang diterima dalam sijil kelahirannya anak yang sah kepada bapanya yang juga kini menjadi suami puan. Menurut syariat Islam, anak puan tetap anak zina. Hubungan nasabnya tidak sabit di sebelah bapanya. Oleh itu dia tidak boleh menerima pesaka dari harta peninggalan bapa yang melakukan perzinaan dengan ibunya sehingga melahirkan seorang anak perempuan. Ini kerana Islam tidak menghormati hubungan yang dilakukan di luar nikah. Bagaimanapun, jika ibu bapa sama-sama merasa bertanggungjawab untuk menjaga dan membesarkan anak itu, maka ia sesuatu yang wajar dipuji.

Nasab atau keturunan adalah nikmat anugrah Allah kepada insan yang berpasangan secara sah mengikut syarak, nikmat ini tidak dapat dirasai mereka yang tidak mempunyai pasangan yang sah mengikut syarak. Bapa zina tidak mendapat apa-apa hasil dari perzinaannya, sebagaimana disebut dalam hadis riwayat A`isyah (r.a.) yang bermaksud:

الََُْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَر

Terjemahan: Anak itu hak orang yang anak itu lahir di tempat tidurnya, dan bagi pelacur yang berzina itu kecewa. (tidak berhak mendapat anak). [Bukhari, Kitab al-Ahkam 13/152, Muslim, Kitab al-Rada` bilangan 1457]

Berhubung samada puan perlu berterus terang memberitahu anak berkenaan, saya berpendapat ia perlu diberitahu pada suatu masa nanti, tetapi rundinglah terlebih dahulu dengan suami puan, carilah jalan yang lebih berhikmat dan bijaksana, Hindarilah seberapa yang boleh apa jua maklumat yang dijangka mengeruhkan perasaannya, kerana anak puan tidak bersalah, puan dan suami sebenarnya yang menyebabkan dia bermasalah.

Kedua: Puan yang menyusukan anak sendiri, tidak berbangkit soal susuan, anak puan tetap anak kandung. Yang berbangkit tentang susuan ialah jika puan menyusukan anak orang lain, dengan syarat-syarat tertentu, maka sabitlah hukum susuan itu. Anak susuan adalah adik beradik susu dengan anak-anak puan sendiri.

Ketiga: Kehidupan dalam rumahtangga puan yang selalu bergaduh, yang dihubungkan dengandosa yang perzinaan yang puan lakukan. Saya berpendapat, itu hanya satu anggapan tanpa asas yang kukuh, puan tidak perlu layaninya. Apa yang penting bagi puan suami isteri, ialah bertaubat kepada Allah, bersihakan rekod lama yang tercemar, mohonlah kepada-Nya kerukunan hidup serta kebahagiaan rumahtangga yang paun ingini. Tiada sebab mengapa dosa puan tidak boleh diampuni, jika puan sungguh-sungguh bertaubat serta mengharapkan kemaafan-Nya. Allah berfirman yang bermaksud:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا * وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ [الطلاق: 2-3]

Terjemahan: Sesiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya diberinya jalan kelepasan, diberi kepadanya rezeki yang tidak diketahui dari mana aranya, sesiapa bertawakkal, nescaya Allah memberi kepada kecukupan.

Ayat-ayat ini menyarankan supaya bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah, setelah Dia membicarakan masalah perceraian dan krisis dalam keluarga dan rumahtangga. Ayat-ayat ini juga memberi fahaman bahawa masalah-masalah dalam keluarga adalah perkara biasa, hanya ia perlu diatasi dengan iman dan taqwa.

Keempat: Perkataan suami puan yang menyuruh puan balik ke rumah ibu, ketika bergaduh, tidak jatuh talak, kecuali jika suami puan sendiri memaksudkan perkataan itu bermaksud dia telah mencerai puan, terpulanglah kepada niatnya ketika melafazkan perkataan itu. Wallah A`lam.