Saturday, December 31, 2011



Isteri Enggan Bersama Kerana 
Cintakan Suami Orang

SOALAN:
Saya ada dua soalan:
· Isteri saya cintakan suami orang, ia berterusterang perkara itu kepada saya sambil menegaskan tiada salahnya ia mencintai suami orang, kerana cinta adalah suatu naluri di luar kawalan seseorang. Jika suami yang berpoligami, tidak dituntut menyamakan kecintaan kepada isteri-isterinya, maka apa salahnya jika seorang isteri mencintai suami orang, dengan alasan yang sama. Benarkah alasan yang diberi isteri saya itu?.
· Apa hukumnya, jika isteri saya tidak memberi kerjasama dalam bilik tidur dan apa jalan penyelesaiannya.

- SMA, Besut.

JAWAPAN:
Soalan anda sangat baik dan menarik perhatian saya. Terima kasih saya ucapkan atas soalan yang jelas dan terang. Sebelum saya memberi ulasan dan jawapan, suka saya ulangi jawapan yang pernah diuarakan oleh seorang pendakwah, apabila ditanya sama ada bercinta itu halal atau haram. Secara spontan pendakwah itu menjawab: Percintaan yang halal itu tetap halal dan yang haram itu tetap haram. Jawapan ini sungguhpun ringan dan mudah, namun ia membantu saya memahami persoalan yang anda kemukakan.

Memang percintaan yang halal itu jelas, yang haram juga jelas, namun antara halal dan haram ada jarak yang sangat jauh, samar dan seringkali mengelirukan. Hal ini menjadikan orang ramai mempunyai tanggapan yang berbeza-beza. Sesungguhnya percintaan yang halal dan jelas halalnya ialah cinta terhadap suami atau isteri, termasuk juga yang masih dalam pinangan sementara menunggu hari untuk diijab kabul. Allah berfirman yang bermaksud:
Antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bahawa ia menciptakan kamu berpasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu senang hati dan berasa cinta antara satu sama lain. (Al-Rum: 21)

Cinta yang haram pula ialah kecintaan seorang lelaki kepada isteri orang, atau wanita kepada suami orang yang tiada jalan untuk dikahwin dengannya. Memang benar seperti yang disebutkan dalam soalan di atas, bahawa pergerakan hati sukar dikawal, perasaan cinta adalah naluri semula jadi pada manusia yang tidak boleh diambil dan diberi, dicampak dan dibuang. Memang benar seorang suami yang berpoligami tidak dituntut membahagikan kasih sayangnya secara sama rata kepada isteri-isterinya. Ia hanya dituntut membahagikan nafkah dan giliran malam secara adil, isteri-isterinya tidak berhak menuntut agar disamaratakan juga kecintaan dan kasih sayang, kerana ia adalah kurnia Allah yang tidak boleh dicipta sendiri. Allah tidak akan mempersoalkan perkara itu, jika ia gagal membahagikannya sebagaimana yang diminta.

Saya berpendapat lain halnya dengan wanita yang mencintai suami orang, kerana sebelum ia mencintainya, mungkin telah berlalu beberapa episod dalam pengalaman hidupnya yang dekat. Sekurang-kurangnya ia pernah mendekati lelaki itu, pernah bercakap dengannya, pernah bersama-sama dengannya dalam suatu majlis, pernah bergurau dan bersenda. Jika hati telah jatuh cinta kepadanya, maka kecintaan itu bukannya secara mengejut dan tiba-tiba, tetapi cinta yang pernah dijemput datang, pernah dipupuk di atas asas-asas yang tidak sihat, kotor mungkin juga keji dari pandangan Islam.

Seorang wanita yang mempunyai suami, tidak harus mencintai lelaki selain suaminya, ia dilarang berhubung dengan lelaki lain tanpa izin suaminya, ia tidak diizin untuk bersuami lebih daripada satu, ia perlu setia dan patuh kepada suaminya, ia dianggap curang jika mencintai suami orang, kerana akibatnya boleh membawa kacau bilau dan huru hara, akhirnya mengancam kerukunan rumahtangga dirinya sendiri dan orang lain. Dalam sebuah hadis Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud:

Bukan golongan kami, orang yang memusnahkan kecintaan isteri terhadap suaminya.

Merujk soalan yang kemukakan di atas, iaitu isteri anda menicintai suami orang. Anda sendiri tentunya tidak menyukai sikap itu, isterinya lebih-lebih lagi tidak menykai sikap isteri anda. Jika diketahuinya, nescaya buruk sekali padahnya. Banyak kes perceraian berkau disebabkan cemburu dan hilang kepercayaan antara suami dan isteri, sreingkali anak-anak menjadi korban, rumahtangga tidak mengerti erti-erti kedamaian, disebabkan sikap suami isteri yang dikatakan tidak bertanggungjawab.

Al-Qur`an al-Karim menceritakan kesah seorang isteri yang mencintai seorang pemuda yang bukan suaminya, akhirnya ia terpaksa melakukan perkara-perkara yang tidak diterima sama ada akal mahupun agama. Pasangan cinta yang dimaksudkan ialah Zulaikha isteri al-Aziz, seorang pegawai tinggi dalam kerajaan Mesir. Zulaikha mencintai Nabi Yusuf (a.s.) seorang pemuda yang kacak dan rupawan. Zulaikha yang hatinya dimamah cinta terhadap Nabi Yusuf, akhirnya berterusterang untuk menyerahkan dirinya kepada Nabi Yusuf, ia sanggup membelakangi kesetiaan terhadap suaminya, tetapi pemuda yang bernama Yusuf itu tidak sanggup melayani kehendak nafsu wanita yang menggila itu, sebaliknya ia bersabar dan rela dirinya dipenjara, biarpun bersama-sama penjenayah yang durjana.

Mungkin Zulaikha mempunyai alasan yang boleh diterima mengapa dirinya cintakan pemuda itu?. Ia tidak mencarinya, tetapi suaminya yang membeli pemuda itu dari pasar dan membawa baliknya ke rumah untuk dijadikan hamba. Ia terpesona apabila pagi dan petang melihat wajah pemuda yang cantik itu. Hati memangnya mudah ditawan oleh kecantikan, biarpun pada seorang hamba. Justeru itu Islam tidak menjanjikan keamanan kepada pasangan yang bukan mahram apabila mereka berkahalwat, kecuali ada syaitan yang membisik mereka supaya berlaku keji.

Satu perkara lagi perlu diingat orang-orang muda, iaitu cinta ada pendahuluan dan mukadimahnya, ada kesudahan dan penutupnya. Pendahuluannya dicari, diusaha dan dibina dan dipupuk melalui pandang lihat, bercakap, bersalam, berutus, berutukar-tukar hadiah, bertemu dan bersua muka, akhirnya melarat kepada perbuatan keji dan durjana. Namun api hanya boleh dikawal pada peringkat awal, apabila menjadi besar, bahayanya sukar lagi diatasi.

Merujk soalan berikutnya, iaitu isteri anda tidak sudi memberi kerjasama ketika di bilik tidur. Persoalan ini perlu diselesai segera, makin lama disembunyikan makin kusut, carilah punca kekusutan itu dengan hati yang tenang dan terbuka. Mungkin pihak anda sendiri yang memulaklan kekusutannya. Jika masing-masing ikhlas serta cintakan kedamaian, nescaya Allah lorongkan taufik, keadaan kembali menjadi jernih semula. Allah berfirman yang bermaksud:

Jika kedua-duanya inginkan damai, Allah akan bukakan taufiknya kepada mereka (al-Nisa`:35)
Jika usaha ini tidak berhasil, Islam memberi anda peluang mengajar isteri yang nusyuz itu, dengan mengambil beberapa langkah seperti yang disebut dalam al-Qur`an, iaitu dalam firmanNya yang bermaksud:

Wanita yang kamu rasakan derhaka, hendaklah kamu nasihati mereka, jika mereka berdegil, pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan kalau masih juga degil, maka pukullah mereka dengan pukulan yang mengajar. (al-Nisa`: 34)

Ayat ini menggariskan tiga langkah yang boleh diambil oleh suami terhadap isteri yang nusyuz (derhaka), iaitu:

1) Menasihatinya dengan baik, dengan mengajaknya kembali kepada peraturan dalam hubungan perkahwinan sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam dan mengikuti undang-undang kekeluargaan Islam. Jika langkah ini tidak berhasil, hendaklah

2) Membelakanginya pada tempat tidur, supaya ia merasai kesunyiannya apabila dibelakangi. Tindakan ini dilakukan dengan harapan ia akan menyedari kesalahannya dan terus kembali ke pangkal jalan, jika tidak juga berfaedah, maka langkah selanjutnya ialah

3) Memukulnya dengan pukulan yang ringan dan terhormat. Bukannya pukulan yang menyakit dan mencederakan badan. Perlu diingatkan jika suami memukul isterinya dengan melampuai batas-batas yang dibenarkan, maka suami akan dipertanggungjawabkan dengan tindakan undang-undang jenayah terhadapnya.

Sehubungan ini ulama menyatakan, suami boleh mengambil dua langkah yang pertama dengan mudah, tetapi tidak mudah baginya mengambil langkah yang terakhir, iaitu memukulnya. Biasanya tindakan memukul itu hendaklah diberi kepada pihak yang lebih kuat tanaganya. Dalam konteks ini, hak memukul lebih wajar diserah kepada pihak berkuasa, seperti kadi atau pegawai-pegawai dipejabat agama.
Memukul isteri biarpun ianya nusyuz, tidak sesuai lagi dilakukan pada zaman ini, bahkan bertentangan dengan perilaku seorang suami yang bermaruah. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari bilangan 5204 menyebtkan yang bermaksud:

Hendaknya seorang kamu tidak memukul isterinya seperti ia memukul unta, kemudian pada malamnya ia tidaur bersama.

Jika segala-galanya buntu, maka saya menyedari bahawa insan memerlukan ketenangan dalam hidupnya, seperti juga ia perlukan makan dan minum yang secukupnya. Oleh itu sampailah masanya ia membuat keputusan yang terakhir iaitu bercerai dengan cara yang baik dan sopan.

Islam membuka pintu perceraian bagi pasangan yang bermasalah dan tiada lagi jalan menyelesaikannya, tetapi pintu perceraian hanya dibuka sebagai jalan terakhir. Sebelum itu carilah ubat yang boleh menyelamatkan anggota yang sakit daripada terus dipotong, namun jika ubat demi ubat tidak juga berfaedah, maka terimalah kenyataan bahawa kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan segala-galanya. Wallah A`lam.



No comments: