Monday, March 7, 2011

Membaca Buku Ilmu Hitam

SJ Agama

Saya pernah mendengar adanya Kitab Tajul Muluk yang dikatakan mengandungi tilikan dan tafsiran mengenai tubuh badan manusia.  Sejauh mana kebenaran kitab itu. Bolehkah ia dibeli dan dibaca. Adakah Islam menerima pakai tafsiran yang tidak bersumberkan al-Quran dan Hadis.  Bagaimana pula dengan buku-buku lain yang banyak dijual dan dikatakan sama sahaja isi kandungannya dengan kitab Tajul Muluk. Saya khuatir, kitab-kitab ini boleh merosakkan akidah dan menyesatkan pembaca, tetapi mengapa ia tidak diharamkan. Harap ustaz dapat memberi maklumat ringkas tentang kitab itu.

-         Umar Najib al-Mukhtar.

Jawapan

             Bahan-bahan bacaan, kecuali al-Qur`an dan hadis sahih, bagaikan  makanan yang mengisi kepeluan jasmani kita,  ada yang baik untuk dimakan dan ada yang memudaratkan kesihatan.  Jika kita ingin makan, pilihlah makanan yang membina kesihatan.  Jangan lupa ada makanan yang lazat, tetapi mudarat atau tidak sesuai dengan tabiat semula jadi  yang ada dalam badan kita.

         Bahan-bahan  bacaan juga begitu, hatta kitab agamapun kadang-kadang ada racun disampng penawarnya yang sangat berfaedah.  Terpulanglah kepada pembaca yang bijak, memilih sendiri bahan bacaannya, kemudian menentukan sendiri yang mana racun untuk dijauhi dan penawarnya untuk ditelan.  
Sebelum saya memberi maklum balas, sama ada buku yang dikemukakan dalam pertanyaan di atas baik atau tidak baik dibaca, benar atau tidak benar maklumat dan fakta dalam kandungannya,  saya nyatakan dahulu maklumat ringkas tentang kitab Tajul Muluk yang  ditanyakan itu..

          Judul penuh kitab ini ialah Taj al-Muluk al-Murassa` bi al-Durar wa al-Jawahir al-Manzumat تاج الملك الرصع بالدرر والجواهر المنظومات (Terjemahannya: Mahkota raja-raja yang bertatah berlian dan permata).  Dicetak dalam dua edisi  rumi dan jawi.  Edisi jawinya mengandungi 136 muka surat. Kitab ini diringkaskan daripada sumber asalnya berjudul Siraj al-Zalam سراج الظلام (Pelita kegelapan).  Naskhah  yang ada pada saya ialah cetkan Dar al-Ma`arif Pulau Pinang. Tanpa  tarikh cetak. Dipercayai naskhah asalnya dicetak di Percetakan Ihya` al-Kutub al-`Arabiyyah احياء الكتب العربية , Kaherah, tetapi maklumat itu tidak dilengkapkan dengan jelas.

          Maklumat yang terdapat pada kulit buku itu,  pengarangnya ialah Syeikh Abbas orang Acheh, selesai ditulisnya pada hari Isnin 9 Rajab 1266 Hijrah.  Kitab asalnya berjudul Sirajul Zalam  سراج الظلام  selesai ditulis Di Makkah pada hari Sabtu 28 Rabi` Awwal 1306 Hijrah.  Disamping Tajul Muluk sebagai kitab induk, ada dua lagi kitab yang dicetak bersama kitab itu, pertama, Hidayat al-Mukhtar  هداية المختار , karangan Tuan Hasan Besut Bin Tuan Ishak Patani, iaitu pada akhir kitab Tajul Muluk.  Kedua, Kitab Bad` al-Khalq   بدء الخلق   pada tepinya, iaitu karangan Nusruddin Muhammad Jilani al-Raniri.

          Dalam mukaddimah kitab Tajul Muluk ini menyatakan ia ditulis kerana menyahut permintaan raja Acheh bernama Sultan Mansur Billah Syah Bin al-Sultan Jauhar al-Alim Syah, katanya:

  .. maka sanya, bertitah oleh yang ampunya kebesaran dan kemegahan pangkatnya, ialah yang menanggung panji-panji syariat dalam negeri Acheh yang mahrus (terpelihara), dan iaitulah tuan kita sultan yang kebesaran pangkatnya dan kemuliaan nasabnya dan kebesaran kepujiannya, itulah sultan yang dilakab dengan sultan  Mansur Billah Syah Ibn Sultan Johor Al-Alim Syah, akan bahawasanya aku kerjakan baginya suatu risalah yang mukhtasar dengan bahasa Jawi (bahasa Melayu) pada menyatakan mengenal segala hari bulan Arab dan mengenal segala saat bagi segala hari dan daripada bulan daripada saat bahagia dan celaka.

          Antara kandungan buku ini ialah menyatakan ubat-ubatan tradisional, bagi mengubati berbagai-bagai penyakit, suratan azimat dan rajah dan juga bacaan doa, jampi serapah dan hal-hal berkaitan nujum, jin dan sebagainya. Kitab ini dijual di pasar-pasar kaki lima dan kedai-kedai kitab.  Peminat ilmu perbomohan beranggapan buku ini  mencukupi bagi memenuhi kehendak masyarakat yang memerlukan khidmat bomoh.

          Selain buku ini, memang banyak lagi buku yang kandungannya hampir sama, seperti Senjata Fakir.   Senjata Sulit.   Bintang Dua Belas. Pati Rahsia dan lain-lain.  Dalam bahasa Arab juga ada, bahkan  lebih banyak lagi, antara judulnya al-Rahmah fi Tibb wa al-Hikmah   الطب والحكمه الرحمة في, karangan Imam al-Suyuti  السيوطي , Syams al-Ma`arif   شمس المعارف , karangan al-Buni,  Mujarrabat   مجربات  karangan al-Dayrabi   الديربي dan lain-lain.

          Saya berpendapat, kitab-kitab berupa rawatan tradisional boleh dibeli, dibaca dan dicuba kaedah rawatannya oleh pesakit atau bomoh yang berkenaan.  Tetapi hendaklah tidak terlibat dengan unsur-unsur sihir, rajah-rajah dan amalan khurafat, seperti amalan mendapat khidmat jin dan makhluk halus,  kerana unsur-unsur ini dibimbangi membawa syirik.  Jika pembaca berpendapat, dirinya tidak akan dipengaruhi unsur-unsur yang menyesatkan akidahnya, maka tidak ada sebarang larangan untuk membaca buku-buku itu.
          Secara kebetulan, saya membaca fatwa Dr Nasr Farid Wasil mufti Mesir,  tetakala menyatakan pandangannya tentang kitab al-Rahmah fi al-Tibb wa al-Hikmah  الرحمة في الطب والحكمة, yang saya klasifikasikannya sebagai menyamai kita Taj al-Muluk dalam bahasa Melayu, katanya:

          Tiada apa-apa halangan bagi siapa jua membeli dan mengamalkan apa yang baik dalam kitab itu, seperti rawatan dengan memakai kaedah al-Qur`an, kerana Allah berfirman yang membawa maksud:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلا خَسَارًا (82: Isra` (al-
                 
Terjemahan:  Dan kami turunkan al-Qur`an perkara yangmendatangkan penawar dan rahmat bagi orang mu`min

              Firaman-Nya lagi:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ (Yunus: 57)

              Terjemahan: Wahai manusia!  Sesungguhnya telah datang kepada kamu pengajaran daripada Tuhan kamu dan penawar kepada penyakit yang ada dalam dada kamu.

          Sabda Nabi (s.a.w.) yang bermaksud:

تَدَاوَوْا ، فَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَّا وَضَعَ لَهُ شِفَاءً ، أَوْ قَالَ : دَوَاءً ، إِلَّا دَاءً وَاحِدًا ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا هُوَ ؟ قَالَ : الْهَرَمُ "
          
 Terjemahan: Berubatlah kamu, kerana Allah tidak menimpakan sebarang penyakit, melainkan ada ubatnya, kecuali penyakit tua

           (Hadis ini diriwayat al-Tirmidhi, bilangan 1958, Isnad hadis Muttasil, rijalnya thoqat)

Sebaik-baiknya gunakanlah bacaan jampi yang diperolehi daripada ayat al-Qur`an, kerana menyelamatkan seseorang pesakit atau bomoh daripada syirik dan khurafat.
          Jika sesebuah kitab atau buku  itu mengandungi ilmu hitam  atau pujaan, maka jauhilah daripadanya,  kerana nabi (s.a.w.) menyatakan sihir itu haram dipelajari dan termasuk dalam tujuh perkara yang membinasakan.  Sabadanya dalam riwayat Abu Hurairah (r.a.) :

" اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا هُنَّ ، قَالَ : الشِّرْكُ بِاللَّهِ ، وَالسِّحْرُ ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ، وَأَكْلُ الرِّبَا ، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ "
            
Terjemahan: Jauhilah kamu daripada tujuh perkara yang membinasakan.  Mereka bertanya:  Wahai Rasulullah!  Apa yang dimaksudkan tujuh perkara itu?  Sabda baginda:  Syirik kepada Allah, sihir, bunuh nyawa manusia yang diharam bunuhnya, makan riba, makan harta anak yatim, mengundur diri pada hari perang dan menuduh zina terhadap wanita suci.

          )Hadis riwayat al-Bukhari, al-Wasaya, bilangan (2574) daripada Abu Hurairah,Isnad hadith Muttasil, rijalnya Muttasil. Mengikut syart al-Bukhari)

          Jumhur ulama sepakat berpendapat, haram belajar atau mengajar sihir (ilmu hitam).  Seseorang muslim dilarang sama sekali menemui bomoh yang menggunakan ilmu itu, sama ada bagi merawati penyakitnya atau menyelesaikan sesuatu masalah yang menimpanya.

          Berpandukan hadis ini, kitab yang dikemukakan dalam pertanyaan di atas harus dibeli, dibaca dan diambil isinya yang baik dan tidak bertentangan dengan al-Qur`an dan sunnah Rasulullah (s.a.w.) jua.  Seseorang hanya boleh mengambil yang baik dan menolak yang buruk daripada apa jua buku dab bahan bacaan sekalipun. 

Jika ada kitab lain yang lebih besih dan baik kandungannya,  serta tiada padanya kaedah-kaedah rawatan dengan mengamalkan ilmu hitam,  maka kaedah itu lebih baik .  Demian pendapat Mufti Mesir yang dipetik dari Internet, laman Islam On Line.

          Jawapan ini difahamkan, jika anda tidak dapat membezakan antara ilmu hitam dengan ilmu-ilmu lain, sama ada kerana kurang maklumat tentang Islam atau kerana ada kecenderungan kepadanya, dinasihatkan agar anda tidak membeli dan membaca kitab-kitab itu.  Sabda nabi (s.a.w.):  Jauhilah amalan yang meragukan anda, ambillah yang tidak meragukan.

          Sehubungan ini saya fikir baik juga diterangkan jenis-jenis ilmu hitam yang haram dipelajari, kerana boleh memesungkan akidah.  Saya terjemahkan di sini fatwa Syeikh Ahmad al-Sharbasi, seorang ulama yang terkenal di Azhar,  dalam bukunya Yas`lunak fi al-Din wa al-Hayat  يسألونك في الدين والحياة , katanya:

          Apa jua jenis ilmu yang mendakwa bolah tahu perkara ghaib, semuanya dikatigorikan sebagai ilmu hitam yang haram dipelajari atau dipercayainya, sama ada yang menggunakan kaedah hisab bintang, rajah, malihat tapak tangan, melukis pada pinggan mangkuk dan lain-lain.  Kaedah ini banyak diguna oleh penipu-penipu yang berminat mencari rezeki dengan cara mudah, kadang-kadang ada yang membuat promosi khidmatnya secara profesional.

          Jawapan ini dikeluarkan tetakala menjawab soalan sorang wanita yang bertanya, mengapa ia tidak diminati lelaki untuk mengahwininya, sehingga usianya meningkat lebih lanjut, padahal rupa parasnya biasa atau sederhana dan tiada unsur-unsur yang mengaibkan.  Wanita itu bertanya lagi, sama ada benar atau tidak tuduhan seorang bomoh yang menyatakan  ia terkena buatan orang yang tidak dikenali.  Untuk merawati penyakit itu, bomoh tersebut menasihatkan agar suatu upacara rawatan dilakukan di atas kubur setelah berpuasa beberapa hari.

          Jelas, betapa bahaya jawapan bomoh ini, kerana secara tidak langsung mendakwa tahu punca penyakit itu disebabkan buatan orang.  Tuduhan ini tidak membantu wanita berkenaan  menamatkan penderitaan jiwanya.  Sebaliknya ia akan mencari siapa yang melakuakan perbuatan jahat itu dan akan mengsyakki sesiapa jua yang ada di hadapannya.

          Bukankah lebih baik jika wanita ini dinasihatkan supaya berdoa kepada Allah,  mohon kepadaNya supaya masalah yang ditanggungnya diafiatkan. Jelaskan bahawa semua masalah tidak dapat diselesaikan tanpa izin Allah.  Dia yang menghidup dan mematikan, Dia juga Yang mengambil dan memberi.  

          Dakwaan bomoh, bahawa masalah wanita itu disebabkan buatan orang, adalah suatu pembohongan yang sangat berani.  Mempercayai pembohongannya pula adalah salah dan berdosa.  Sabda Nabi (s.a.w.) yang bermaksud:

" مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " .


(Musnad Ahmad, bialangan (9332) daripada Abu Hurairah. Hadis Hasan, rijalnya thiqat kecuali Awf ibn Abu Jamikah yang dituduh shiah)

          Terjemahan: Sesiapa yang mendatangi bomoh nujum atau tukang tilik,, lalu membenarkan tilikannya, maka sesungguhnya dia kufur kepada al-Quran yang diturun kepada Nabi Muhammad saw..

          Demikianlah Islam tidak pernah mengajar kita supaya merujuk kepada tukang tilik dan tukang nujum yang memangnya suka berbohong.