Imam Masjid Sebagai Lambang
Perpaduan Masyarakat
Bolehkah orang kuat merokok tampil ke hadapan menjadi imam,
Soalan
Kami umat Islam yang menetap di salah sebuah kampung, selalu menunaikan
solat jemaah di masjid. Salah seorang ahli jemaah selalu hadir
berjemaah dan kami berpuasti jika ia memimpin solat jamaah pada waktu ketiadaan
imam rasmi. Dukacitanya, ahli ini selalu menolak apabila diminta
menjadi imam, kadang-kadang ia mengelak diri dengan sengaja datang lewat, jika
diketahuinya ketiadaan imam yang bertugas. Pada masa yang sama pula,
ada seorang ahli jemaah yang kuat merokok berminat sekali menjadi imam, ia
selalu tampil ke hadapan, walaupun jemaah tidak menyukainya. Apa pandangan
Islam berhubung perkara ini?
Jawapan:
Pada dasarnya imam adalah suatu bentuk kepemimpinan yang
dipertanggungjawab memimpin jemaah dan makmum bagi menunaikan solat dengan
sempurna. Jika seseorang dipercayai
mempunyai kebolehan serta bersedia memimpin solat jemaah, ia harus melihat
kepercayaan itu sebagai suatu bentuk penghormatan yang tidak seharusnya ditolak
dengan mudah. Bagaimanapun, seseorang tidak boleh dipaksa supaya mengimami
solat, sekalipun atas alasan ia lebih berpengetahuan daripada orang lain. Budaya suka sama suka perlu dikekalkan.
 |
Masjid At-Taqwa ,Taman Tun Dr Ismail
Kuala Lumpur Yang Indah Tersergam |
Jika seseorang merasakan dirinya tidak dapat menjalani
tugas-tugas sebagai imam dengan sempurna, jemaah harus memilih orang lain yang
sedia menerimanya dengan ikhlas dan suci hati. Seseorang yang waras fikirannya
tentu lebih mengetahui tentang kelemahan dan kekuatan dirinya sendiri, terutama
yang berkaitan kepemimpinan. Untuk
memimpin solat jemaah bukan hanya dinilai pada bacaan dan perwatakan lahirnya
sahaja, banyak lagi ciri yang sepatutnya diambil kira, seperti sikap, gaya
hidup dan sebagainya. Saya percaya jika seseorang menolak daripada memimpin
jemaah, maka atas sebab-sebab tertentu,
mungkin peribadi yang memberatkan hatinya untuk berterus terang. Jika dengan
alasan ini ia boleh dimaafkan, Allah
berfirman yang bermaksud:
Allah tidak memberatkan seseorang melainkan sekadar
keupayaannya.(al-Baqarah: 286).
 |
| Khusyuk Solat |
Memang kekerapan hadirnya ke masjid untuk menunaikan solat
jemaah adalah suatu kelebihan yang mewajarkan dirinya dipilih memipin solat,
kerana Nabi (s.a.w.) bersabda, antara tujuh kumpulan yang akan mendapat
naungan-Nya pada hari Akhirat ialah mereka yang hatinya sentiasa berpaut ke
masjid. Bahkan dalam al-Qur`an
menyifatkan orang yang memakmurkan masjid itu ialah mereka yang sebenarnya
beriman kepada Allah dan hari Akhirat.
(al-Taubah: 18).
 |
| Solat Berjemaah |
Dalam keadaan ketiadaan imam yang sanggup memimpin solat
jemaah secara sukarela, sebaik-baiknya orang ramai atau jemaah, melalui
pentadbiran masjid atau surau, hendaklah memilih imam lain yang bersedia
memimpin, berdasarkan ciri-ciri kepemimpinan solat sebagaimana yang ditentukan
dalam kitab-kitab Fiqh. Jika masjid memerlukan beberapa pegawai, atau imam memerlukan bayaran sago hati atau gaji yang
cukup, masyarakat hendaklah menimbangnya dengan adil, kerana mendirikan solat
jemaah tidak berhasil tanpa imam dan pegawai-pegawai yang mentadbir masjid,
sedangkan mereka juga terpaksa menjalani tugas-tugas mencari nafkah untuk
keluarga dan sebagainya.
 |
| Mazhab Syafi`i
|
Ulama Fiqh menyediakan garis panduan khas bagi memilih
atau melantik imam jemaah. Menurut
mazhab Syafi`i, ada dua bahagian syarat yang diperlukan, iaitu syarat minimum
dan syarat keutamaan. Syarat-syarat ini
perlu diteliti dengan wajar, supaya pelaksanaan solat jemaah, menghasilkan
tujuan dan objektifnya yang sebenar, iaitu antara lain mengukuhkan ikatan
persaudaraan Islam dan perpaduan antara jemaah.
 |
| Peranan Imam |
Syarat minimum yang dimaksudkan ialah, hendaklah imam
beragama Islam, berakal, lelaki, bersih daripada hadas dan segala bentuk
kotoran, betul bacaan dan mampu melaksanakan solat dengan sempurna rukun dan
syaratnya. Syarat keutamaan pula ialah
jika boleh hendaklah mengikut susunan keutamaan berikut, iaitu pemimpin negara,
imam yang dilantik pemerintah, orang yang mendalami ilmu pengetahuan agama,
orang yang baik mutu bacaannya, paling berusia dan lebih lama memeluk Islam,
paling dihormati riwayat hidupnya, paling bersih pakaiannya, paling merdu suaranya, paling
cantik rupa parasnya dan mempunyai isteri. Sesiapa yang lebih menepati
ciri-ciri ini secara tertib, dialah yang lebih utama dikehadapankan untuk
memimpin solat jemaah. Jika ramai calon yang menepati ciri-ciri itu, hendaklah
ditentukan secara undi. Jika ada yang menarik diri, pemilihan hendaklah beralih
kepada calon yang terdekat di bawahnya.
(Dr. Wahbah al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh,
2/185)
 |
Jemaah Dengar Kutbah Jumaat
Dengan Khusyuk |
Demikianlah peraturan yang ditentukan dalam hukum syara`
berhubung kepemimpinan solat. Saya yakin jika peraturan ini berjalan dengan
betul, tidak berlaku lagi tolak menolak sesama jemaah untuk memimpin solat pada
ketika ketiadaan imam rasmi. Memang sulit mendapatkan calon imam yang sempurna
seperti digariskan itu, kerana zaman sudah ketinggalan jauh dengan Rasulullah,
cara hidup dan penilaian diri juga sudah banyak berubah, suasana dan
persekitaran hidup juga seakan-akan dijangkiti budaya luar, tetapi buat masa
ini rasanya memadailah jika kita dapat melantik orang yang terbaik antara kita dari
segi ilmu pengetauan tentang dan amalnya untuk dipilih sebagai imam.
Merujuk kepada persoalan mengenai orang kuat merokok,
bolehkah ia tampil kedahadapan menjadi imam, sedang jemaah tidak
menyukainya. Saya mempunyai pandangan
begini:
 |
Dato' Ishak Baharom, Mantan Mufti
Selangor: Fatwa JK PHS Selangor
Merokok Adalah Haram |
Rokok memang tidak wujud pada zaman Rasulullah (s.a.w.),
sahabat, tabi`in dan zaman awal ahli-ahli Fiqh Islam. Ia dibawa masuk ke dalam
masyarakat Islam pada zaman pertengahannya. Oleh itu tidak dikesani adanya
sebarang nas yang jelas mengenai hukum merokok.
Sejauh yang diketahui, ulama Islam berbeza pendapat tentang hukumnya,
ada yang berpendapat haram atau makruh tahrim, kerana merokok mendatangkan
mudarat dan pembaziran kepada harta benda. Ada pendapat mengatakan harus,
kerana tidak ada dalil samada al-Qur`an atau hadis yang melarangnya, namun jika
mudaratnya kepada para perokok meyakinkan, maka hukumnya telah disepakati
haram, kerana Allah berfirman yang bermaksud:
Jangan kamu campak diri kamu ke dalam bahaya yang membawa
kebinasaan (al-Baqarah: 195)
 |
JK Fatwa MKI Memutuskan
Merokok Bahawa Adalah Haram
|
Walaupun kita tidak bersetuju dengan pendapat solat di
belakang orang merokok itu sebagai tidak
sah, namun perlu diambil perhatian bahawa asap rokok menimbulkan bau yang
kurang enak kepada para jemaah, orang ramai tidak selesa dengan asapnya. Bau
ini tidak sesuai dengan suasana dalaman masjid yang nyaman dan dengan gerakgeri
imam yang memimpin solat. Justeru itu, sangat baik bagi imam, jika ia memilih
untuk tidak merokok, sekurang-kurangnya dalam tempoh waktu yang terdekat dengan
solat jemaah yang akan dipimpinnya. Ini kerana hadis riwayat al-Bukhari, sabda
Nabi (s.a.w.) yang bermaksud:
Sesiapa makan bawang putih atau merah (mentah), hendaknya
janganlah ia mendekati masjid kami, kerana Malaikat terganggu dengan gangguan
bau busuk itu.
 |
| Perokok Berbau |
Tabiat merokok adalah suatu kelemahan bagi para perokok,
imam seharusnya menjadi contoh teladan yang terbaik dan ikutan para makmum dan
jemaah, beliau adalah lambang perpaduan jemaah dan masyarakat, samada pada
gerak geri, tingkah laku, hidup harian dan sebagainya, sesuai dengan tugasnya
sebagai pemimpin ibadat solat yang paling mulia antara ibadat.
Bagaimanapun, Fuqaha Islam kecuali Ahmad Ibn Hanbal
berpendapat sah tetapi makruh sembahyang berimamkan orang fasik. Ini berdasarkan beberapa kejadian yang
berlaku seperti Ibn Umar yang bernah bersembahyang dibelakang al-Hajjaj,
pemerintah Hijaz pada zaman Abdul Malik b. Marwan (26 - 87 Hijrah ). Beliau disepakati ahli sejarah sebagai fasik,
kerana banyak terlibat dalam pertumpahan darah. Demikian juga dengan Abdullah
b. Mas`ud pernah bersolat dibelakang al-Walid b. `Uqbah Ibn b. Mu`ayt (men. 61
H.) yang merupakan seorang kaki minum. Beliau adalah pemerintah kufah pada
zaman `Uthman b. `Affan.
 |
| Jemaah Di Masjid |
Kembali kepada persoalan di atas sekali lagi, tanpa niat
membela imam-imam yang fasik atau kaki merokok, saya ingin bertanya, mengapa
kita tidak sukakan imam itu? Adakah
kerana sebab-sebab peribadi atau agama?.
Seringkali sebab-sebab peribadi dikaitkan dengan agama bagi menghalalkan
sesuatu permusuhan. Jika atas
sebab-sebab agama, sudahkah kita menasihati imam itu dengan hikmah dan teguran
yang penuh bijaksana. Jika segala-galanya sudah dilakukan, tetapi tidak juga
berhasil, maka anda sudah bebas daripada tanggungjawab, anda boleh memilih
masjid-masjid yang lain untuk menunaikan jemaah anda. Biarkan imam itu dengan para jemaah yang
setia kepadanya.
 |
| Suasana Masjid Yang Bersih
|
Dalam kesempatan ini saya ingin menarik perhatian para
jemaah, bahawa masjid adalah rumah Allah tempat bermunajat kepada-Nya, rumah
ini memerlukan suasana nyaman serta kebersihan hati dan fikiran secukupnya,
supaya para pengunjungnya memperolehi
apa yang dicita-citakannya setelah hadir dan menunaikan solat berjemaah
di masjid.
Kadang-kadang sesebuah masjid nyaman dengan suasana dan
kebersihan lahirnya, dengan keindahan halaman dan kehijauan tamannya, tetapi
kelamkabut dengan perbezaan fahaman politik para jemaah yang sangat taksub
dengan kumpulan-kumpulan tertentu.
Anehnya ketaksuban yang melampau dalam politik ini dibawa pendakwah dan
ilmuwan hingga kemana-mana, masjid juga tidak terkecuali, hingga melupakan
tugas sebenar mereka sebagai petugas
amar ma`ruf dan nahi munkar yang berprinsip.
Semangat kepartian yang melampau, jika dikembangkan di masjid, akan
hilang rasa nyamannya yang tidak boleh didapati di mana-mana pun lagi. Wallah A`lam.
Merokok: Islam Mencegah Umatnya
Memudharatkan Diri Sendiri
0 komen:
Post a Comment